Adakah Yang Senasib?

Adakah Yang Senasib?

Assalamualaikum semua ahli IIUM Confessions. Aku Mell. Setelah lama menjadi ‘silent reader’ di sini, akhirnya aku gagahkan jua jari jemariku dan mencuri sedikit masa sementara surihati kecilku masih lena untuk mengarang tentang hidupku. Pernah juga aku berangan-angan untuk ‘menovelkan’ tentang hidupku. Hehe.

Aku cuba ringkaskan tentang diri aku. Aku berusia 26 tahun, sudah berkahwin, ada seorang anak lelaki berusia 2 tahun. Aku adalah seorang anak angkat yang telah diambil oleh sepasang suami isteri yang sangat baik semasa aku baru berusia 2 minggu. Aku panggil mereka Ibu dan Ayah. Ibu sakit jantung sejak dr kecil. Oleh sebab itu Ibu tidak boleh mengandung dan mengambil anak angkat. Mereka menjaga aku seperti menatang minyak yang penuh. Hidupku sempurna dan cukup segalanya. Takdir telah tertulis, ibuku telah kembali kepada pencipta-Nya pada 17 August 2005 sewaktu aku berusia 12 tahun, lagi 2 minggu nak UPSR.

Tahun 2006 (aku form 1), Ayah telah berkahwin dengan seorang guru sekolah rendah yang sama tempat aku bersekolah dulu. Tapi aku tak pernah menjadi anak muridnya. Aku pula telah bersekolah di asrama penuh kerana UPSR aku cemerlang. Anak mana yg tak sedih bila ayahnya berkahwin lagi. Belum setahun ibu pergi. Tapi dalam masa yg sama aku gembira kerana aku dapat mak baru. Oleh sebab itu aku nak keluar dari asrama yang sememangnya dari awal aku tak boleh nak biasakan diri di asrama.

Hari-hari aku menangis. Sebab aku masih lagi bersedih dan tak boleh move on atas kehilangan arwah ibu dan setiap kali weekend aku tertekan melihat kawan-kawan lain diziarahi oleh ibubapa masing-masing tapi aku tak. Boleh dikatakan sepanjang form 1 aku di asrama aku kemurungan. Akhirnya aku keluar juga dari asrama dan pindah ke sekolah menengah biasa yang berhampiran dengan rumah. Aku memang rasa seronok sangat. Tapi nasibku bertambah teruk. Pilihan aku untuk keluar asrama adalah keputusan yang telah merosakkan hidupku.

Pada awalnya mak tiri aku baik layan aku. Lama-kelamaan makin nampak tanduknya. Dia tidak pernah pukul aku, tapi dia dera emosi aku. Dia tak masak untuk aku, apa lagi nak uruskan baju2 aku. Aku pernah buka puasa milo dan biskut sahaja dan sahur air masak. Dia masak hanya untuk ayah aku. Mereka makan berdua sahaja. Aku? Bila aku dah tau dia takkan masak untuk aku, sejak tu aku beli makan di kedai hari-hari. Aku berdikari sendiri dalam menguruskan hidup aku sedangkan aku memang tiada pengalaman untuk uruskan hidup sendri sebab aku anak angkat tunggal. Arwah Ibu manjakan aku. Ayah aku juga ada upah jiran depan rumah aku (kawan baik arwah ibu) untuk masak untuk aku.

Setiap kali balik sekolah aku akan ambil makanan di rumahnya. Itu pon kadang2 aku kena sound dengan anak2 dia katanya jangan ambil banyak2. Sedangkan aku ambil untuk 2 kali mkn, siang dan malam. Kadang2 ada mak kawan2 aku bagi makanan, kadang2 aku naik motor sendiri beli makanan, kadang2 jalan kaki, kadang2 aku makan di rumah makcik aku yang berhampiran. Aku memang susah nak makan masa tu. Tapi dah lama2 dah biasa walaupon hati aku sedih. Aku baru je form 2 masa tu . Dan hal ini berlarutan sehingga aku form 5.

Di rumah pula aku tidak dibenarkan untuk bercakap dengan ayah aku. Sejak tu ayah aku bagi aku handphone supaya aku boleh bagitahu apa2 melalui mesej. Ayah aku seorang yang baik dan tak banyak cakap. Tapi cuma kami dah malas nak bertekak hari2 dengan mak tiri. Mak tiri aku akan mengamuk bila nampak aku dekat2 dengan ayah aku (contohnya tengok tv sama2, berborak) .

Sejak tu walaupon kami serumah kami tidak bercakap. Sejak tu juga aku hanya mengurungkan diri dalam bilik sahaja. Makan, sahur, buka semua dalam bilik. Tiada lagi TV dalam hidup aku. Aku banyak menangis dan tidur sahaja di dalam bilik dan bangun ke sekolah dengan happy seolah-olah hidup aku sangat sempurna. Seronok jumpa kawan-kawan berbanding duduk rumah.

Aku sekolah menengah pagi. Mak tiri mengajar di sekolah rendah bahagian petang. So sebelum dia balik, aku dah siapkan semua makanan aku dalam bilik, mandi, semualah supaya aku langsung tak keluar bilik bila dia balik. Esoknya aku pergilah sekolah. Hari2 mcmtu. Duit sekolah pon ayah selitkan kat bawah pintu bilik ataupon ayah campak dr tingkap bilik aku sebab mak tiri aku marah kalau ayah aku bagi duit pada aku. Sehari rm10.

Ye, aku bukanlah orang yang susah dari segi kewangan. Kalau pergi tuisyen, ayah aku tunggu aku di hujung jalan rumah aku lebih awal, dan balik aku diturunkan disitu juga. Punyalah tak nak bini dia tahu. Kononnya ayah aku keluar ke tempat lain lah bukan hantar aku. Balik kampung aku tak pernah ikut. Tiba2 keluar bilik je tengok2 rumah dah takda orang. Semua balik kampung dah. Aku kena tinggal berhari-hari.

Bila hari raya, aku masih beraya dengan family arwah ibu. Sepanjang aku form 1- form 5, makcik aku yg duduk dekat dengan rumah aku tulah yg bawa aku beli baju, bawa aku balik kampung. Bila raya, semua ada ahli keluarga masing2. Aku je sorang2. Hari raya aku suram je setiap tahun. Belum lagi masuk bab wife, awek, tunang sepupu2 aku yang tak suka aku sebab cemburu aku rapat dengan sepupu2 aku. Yela, aku kan anak angkat je dalam keluarga ni. Sepupu aku masa tu semua lelaki. Aku je perempuan. Sepupu perempuan masih kecil2 lagi. Tipulah kalau aku tak makan hati dengan semua yang berlaku. Jiwa aku terseksa.

Mak tiri aku pula bukanlah elok sangat perangai. Kadang2 dia ok, kadang2 tak. 2minggu ok baik masak kemas rumah, selebihnya dia akn berkurung dalam bilik tak buat apa2, hempas2 pintu bilik bergaduh dengan ayah, pecahkan barang. Alasannya setiap kali gaduh adalah aku. Dia suka memfitnah aku pd ayah aku. Pernah smpai ayah aku cakap aku ni hanya anak angkat sahaja. Luluhnya hati aku ni. Tapi aku tau ayah aku stress kerana rumahtangganya tak lagi bahagia seperti arwah ibu dulu.

Mak tiri aku memang benci aku sebab aku anak angkat dan bukan muhrim ayah aku katanya. Tiap kali gaduh dia akn cakap pada ayah, ‘awak kawinlah dengan anak angkat awak tu!’ Padahal aku dah cuba sedaya upaya untuk mengurungkan diri dalam bilik dan elak dr bertembung dengan dia. Tapi tetap aku kena juga. Mak tiri selalu cerita yang buruk2 pasal aku pada ayah sedangkan aku tak buat. Lepas tu aku kena marah lah. Redha je lah. Dah biasa pon. Banyak lagi hal lain yang terjadi yang membuatkan aku makan hati dan kemurungan.

Satu hari tu, ayah terjumpa surat sakit bini dia yang menyatakan dia pengidap SCHIZOPHRENIA. Kesian juga ayah, ibu dulu sakit jantung. Bini sekarang schizo pula. Walaupon ibu tak boleh mengandung ayah tetap setia dan jaga ibu sehingga hujung nyawa ibu. Lepas habis SPM, aku keluar dr rumah dan bekerja sementara di kilang. Mulalah kisah hidup aku yang baru.

Ohh iye!! Tahun 2008 (form 3), masa tu masih pakai telefon rumah lagi. Ada seseorang telah telefon dan ingin bercakap dengan aku. Rupanya dia adalah nenek kandung aku yg telah serahkan aku pada ayah dan ibu aku. Ayah aku bawa aku jmpa die. Aku ni sejenis yg tak pandai menunjukkan emosi aku. Aku pendam. Dan buat muka rilek. Asal org ok dgn aku, aku pon ok je. Aku mulalah rapat2 dengan family kandung memandangkan diorg semua memang nk jmpa aku. Aku ada kakak2. Tapi kami 1 bapak, lain mak.

Dipendekkan cerita, rupanya aku adalah anak luar nikah. Yg nenek, kakak2, makcik2 yg aku jmpa ni semuanya ahli keluarga sebelah lelaki yg menjadikan aku ank luar nikah. Kau rasa? Maka berhuhuhu lah aku. Redha ok redha. :’) Tapi jiwa aku terseksa. Tapi apa boleh buat. Senyum dan berlakon happy je lah like nothing happen kan. Sehingga kini aku 26 tahun aku tak jumpa lagi ibu kandungku sebab suami dia yang sekarang tak tahu kisah hidup dia dulu2 sehingga dia pernah menghasilkan aku.

Sekian sahaja. Terima kasih dan jumpa lagi…

– Mell Abdullah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit