ADHD dan Bunuh Diri

Salam sejahtera. Saya ingin berkongsi tentang perkaitan di antara ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) dan tingkah laku bunuh diri.

Saya juga ingin meluahkan rasa kecewa terhadap pakar psikiatri yang menafikan diagnosis ADHD pada usia dewasa.

Mengapa ADHD dipinggirkan?

Salah satu sebabnya ialah penyebaran informasi yang tidak menyeluruh tentang ADHD. Ia seterusnya menyumbang kepada stigma dan salah faham mengenai ADHD.

Tanggapan masyarakat bahawa individu ADHD ‘mesti hiperaktif’, ‘kurang daya intelektual’ dan ‘sama seperti autisme’ adalah TIDAK BENAR sama sekali.

Realiti sebenar ADHD ialah kecelaruan fungsi-fungsi eksekutif otak yang mengganggu kehidupan harian seseorang TANPA MENGIRA jantina, umur, personaliti dan tahap IQ.

Antara fungsi-fungsi eksekutif tersebut ialah kecekapan memori kerja, kecepatan memproses maklumat, pengurusan tumpuan, pengurusan tugasan, pengawalan emosi, pengekalan motivasi diri dan pengawasan tindakan diri.

ADHD ialah spectrum disorder. Spectrum disorder bermaksud kepelbagaian ciri dan tanda-tanda bagi sesuatu kecelaruan.

Oleh sebab itu, simptom-simptom ADHD adalah BERBEZA mengikut tahap keterukan bagi setiap kelemahan fungsi eksekutif individu ADHD.

Berbalik kepada isu bunuh diri, kajian pada tahun 2014 oleh sekumpulan pengkaji dari Karolinska Institutet Sweden mendapati bahawa individu ADHD lebih berisiko untuk bunuh diri berbanding individu bukan ADHD.

Disebabkan faktor genetik dan trauma, ahli keluarga individu ADHD juga berisiko untuk bunuh diri. Kajian tersebut melibatkan 51,707 individu ADHD dan 258,535 individu bukan ADHD.

Bagaimana ADHD boleh menyebabkan tingkah laku bunuh diri?

Hipersensitiviti:

Kelemahan fungsi eksekutif dalam mengawal emosi menyebabkan individu ADHD sangat sensitif kepada kritikan, sindiran dan penolakan (rejection).

Mereka juga berperasaan negatif yang berlebihan apabila gagal memenuhi ekspektasi diri dan/atau orang lain.

Dopamin yang rendah

Kelemahan fungsi eksekutif dalam mengekalkan motivasi diri telah menyebabkan individu ADHD tidak konsisten dalam melakukan sesuatu perkara.

Jika tidak ditangani, mereka akan dibelenggu kegelisahan dan ketidakpuasan tentang berbagai perkara sepanjang hidup.

Impulsiviti:

Kelemahan fungsi eksekutif dalam mengawasi tindakan diri sudah tentu sangat berisiko apabila emosi individu ADHD terganggu.

Kecenderungan bertindak secara terburu-buru dalam menyelesaikan masalah sering memudaratkan individu ADHD.

Gangguan memori kerja:

Kelemahan mengurus tumpuan dan maklumat di minda boleh menyebabkan individu ADHD terdedah kepada kecuaian, kelupaan, kelambatan dan penangguhan (procrastination).

Ini akan memberi kesan negatif dalam hubungan sosial kerana dianggap lembab atau tidak berdisiplin.

Kitaran kesilapan dan masalah yang sama akhirnya membawa kepada rasa kekurangan dan keseorangan. Sebarang bentuk pembulian/penderaan memberi kesan psikologi yang buruk kepada individu ADHD.

Sama ada hiperaktif atau tidak, masalah pembelajaran atau tidak, ‘perfectionist’ atau tidak, extrovert atau introvert, setiap individu ADHD berisiko untuk mengalami masalah kesihatan mental dan bunuh diri.

Sumber rujukan:

1. www.additudemag.com/7-executive-function-deficits-linked-to-adhd

2. www.additudemag.com/adhd-is-spectrum-disorder

3. jamanetwork.com/journals/jamapsychiatry/fullarticle/1879552

4. www.healthyplace.com/blogs/livingwithadultadhd/2018/9/people-with-adhd-are-at-high-risk-for-suicide

5. www.additudemag.com/rejection-sensitive-dysphoria-and-adhd/

– Radiant Junction (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *