Aku Masih Mau Ke Syurga

Aku Masih Mau Ke Syurga

Merenung. Mengingatkan balik masa lalu, masa zaman menimba ilmu. Aku seorang yang baik. Taat kepada Allah, ibu bapa, dan seorang yang fokus pada masa depan.

Kehidupan seharian aku, dengan buku, sejadah, Al-Quran.

Hati aku? Hati aku busuk. Ya, busuk.

Orang yang jumpa aku semua memuji aku. Cantik. Baik. Sopan. Pandai berdikari. Tak menyusahkan ibu bapa. Dan pujian paling berat, Muslimah.

Benarlah puji pujian manusia itu boleh membawa ke neraka. Dahagakan pujian, menyebabkan wujudnya perasaan riak didalam hati. Wujudnya perasaan merendahkan orang lain. Walaupun tidak terzahir melalui mulut. Tetap terlahir di sudut hati yang diri ini sentiasa lebih dari orang lain. Kebusukkan hati yang pada aku memakan diri tanpa sedar.

Yang benar, Allah yang memberi semuanya, maka Allah sahaja yang layak dipuji. Bukan aku. Bukan kau. Bukan kita. “Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh Alam” (Surah al-Fatihah, ayat 2)

Nama aku Ayu. Umur 32. Dah tua kan. Aku akan ceritakan bibit-bibit dosa yang menyebabkan hati ini tersungkur ke Neraka dunia untuk dijadikan iktibar.

Mulanya masa zaman belajar. Seperti yang aku ceritakan di atas. Hidup aku cuma dengan buku dan sejadah. Menjadi ‘best student’ bukan satu masalah bagi aku. Dibesarkan dari keluarga yang agak senang. Dalam bab agama, keluarga aku biasa-biasa saja. Aku yang sendiri tanpa ada paksaan dari ibu bapa, bertudung dan solat 5 waktu. Kerana aku rasa itu akan menjadi kunci kepada pencapaian aku kelak.

Dalam masa kejayaan datang bertimpa-timpa. Aku bersyukur. Ibu bapa happy. Aku pun happy. Terlampau happy. Sampai aku perasan, yang dalam hati aku selalu mengata kawan-kawan lain.
“Memanglah test kau fail, kau tu bukan sembahyang pun. Keje kau tengok movie je setiap malam. Study pun tak guna kalau tak sembahyang!” ini selalu, selalu, selalu keluar dalam hati.

Of course, tak terlahir di mulut. Kene maintain jadi budak baik. Dahaga pujian. Nanti jatuh image. Hati aku sentiasa mengutuk orang. Jumpa orang minta sedekah “ tak reti kerja ke, tau nak harapkan orang je!”. Jumpa orang yang bernasib tak baik je aku mengutuk dalam hati.

Ya Allah, busuk kan hati aku? Teruk perangai aku. Aku tak tau kenapa benda-benda ni terlintas di hati. Tapi demi Allah, aku tak solat untuk menunjuk. Cuma aku terlalu bangga bila Allah lorongkan aku untuk jadi orang yang solat cukup dan baik kononnya.

Fast forward. Habis belajar. Aku tak dapat kerja. Kawan-kawan lain semua dah bekerja. Masa tu umur aku dalam 25 tahun. Aku depress sikit. Tapi aku pasti yang Allah akan tolong aku. Sampai la aku dapat satu interview kontrak di government office di pusat Bandar. Aku masuk interview. Of course sebagai ulat buku tegar, aku tak pandai pun jual diri. Aku tak pandai bercakap. Kaku. So, senang cerita aku tak dapat kerja tu. Punya la teruk, sampai masa interview tu jugak dah tau aku tak dapat.

Keluar dari interview aku menangis. Sedih. Balik rumah aku berkurung. Orang kampong dah bising sebab aku tak bekerja. Lepas 2 hari, aku dapat panggilan telefon dari orang tak dikenali. Aku jawab. Katanya dia adalah salah seorang yang interview aku haritu.

Dia kata dia nak bagi aku kerja kat office under dia. Status kerja aku sambilan masa tu. Tapi jauh dari rumah mak ayah aku. So aku tolak. Tapi kakak yang call aku tu kata aku boleh tumpang rumah dia sementara nak cari rumah lain. Lama aku fikir. Mak ayah dah desak suruh kerja. Akhirnya aku setuju.

Kak Alia. Punca segala masalah.

Aku menumpang dirumah kak Alia. Dia bertudung. Solat tak pasti. Kadang-kadang solat. Kadang-kadang tak. Aku bekerja di bawah dia. Bukan bekerja je. Duduk serumah, pergi kerja dan balik kerja pun bersama. Banyak aku belajar dari dia. Dia build up aku punya self-confidence. Dia baik. Cantik. Tua lebih 7 tahun dari aku. Tapi masih bujang. Sebab dia, aku berjaya dengan hidup sekarang. Dengan gaji 5 angka. Dan berjaya hidup selesa tapi penuh dosa.

Masalah dengan kak Alia ni, pemberiannya bukan percuma. Aku tak perlu bayar apa-apa pun untuk tinggal dengan dia. Mula-mula semua normal. Makin lama makin tak normal. Dia Nampak sukakan aku. I mean like suka yang terlalu suka. Yang sampai nak bercinta. Aku? Aku kan sukakan pujian. Cair dengan pujian. Apatah lagi bila pujian tu sekali dengan taburan wang ringgit. Kak Alia ni anak yatim piatu.

Daripada aku solat. Makin lama makin tinggal. Sampai satu solat pun aku tak buat. Begitu Allah tarik nikmat kehidupan aku. Mungkin korang tanya kenapa tak angkat kaki. Sebab aku takut. Lepas lebih 5 tahun aku “bercinta” dengan dia. Sampai aku berada di puncak career aku. Dia banyak bantu. Terhutang budi. Aku pernah kata aku nak hentikan semua ni. Aku nak bertaubat.

Tapi kak Alia kata kalau aku tinggalkan dia, dia akan sebarkan hubungan kami kat tempat kerja dan kat kampong aku. Dan dia cakap jugak, she had nothing to lose. She had no parents, no family and dia takkan rugi apa. Dia kata dia akan pastikan aku jatuh macam mana dia kenal aku dulu. It took me years untuk ada kekuatan untuk angkat kaki.

Sejujurnya, tahun lepas adalah masa paling teruk untuk aku. Aku nak hentikan. Aku tau dalam diri aku, aku sayang kak Alia, tapi aku tak nak teruskan hubungan songsang ni. Aku rasa jijik. Rasa berdosa. Rasa diri ni takkan ke syurga. Sampai aku tarik balik sejadah, tarik balik Al-Quran. Menangis. Malu dengan Allah. Bila dah susah baru cari Dia. Aku tak keluar makan, berat badan aku turun, aku berkurung.

Balik rumah aku berkurung dalam bilik. Tak keluar, tak ada hiburan. Aku nak balik macam dulu. Lepas beberapa bulan, aku still tak dapat kekuatan untuk larikan diri, aku stop solat. Aku blame Allah sebab tak nak selamatkan aku. Ya Allah berdosanya aku. Kali ni lagi teruk. Sampai prestasi kerja aku teruk. Kene panggil dengan boss, dan boss suruh aku ambil cuti dan rehat.

Masa cuti ni, aku berfikir. Fikir. Fikir. Aku sujud kat kaki kak Alia. Aku menangis. Aku kata aku nak keluar dari semua ni. Aku minta maaf sebab wujudnya aku menyebabkan kami sama-sama bergelumang dosa. Aku merayu. Ambil balik semua ni, pulangkan balik kebahagiaan aku. Kak Alia menangis. Dia peluk aku, dia kata dia sayang aku. Tapi itu je yang dia cakap. Esoknya. Pagi-pagi, aku keluar. Aku pergi bank. Apply loan RM100k. lepas 2 minggu bank call loan aku lulus.

Aku transfer duit tu dalam akaun Kak Alia. Aku tak tau kenapa aku buat macam tu. Aku rasa maybe dengan duit dia boleh lepaskan aku. Kebetulan masa tu juga company aku bekerja buka peluang untuk sesiapa yang nak pindah ke sabah dan Sarawak. Aku apply dan minta perpindahan segera. Alhamdulillah kelulusan dapat cepat, lepas 2 minggu. Aku selamat mulakan hidup diborneo. Dalam masa dua minggu antara aku transfer duit dan dapat pindah tu, aku tidur hotel. Barang aku yang penting je aku bawa yang lain aku tinggalkan.

Aku pergi dari semua. Kak Alia, keluarga, dan kawan-kawan. Aku tukar no. telefon. Aku delete account media social. Aku sedih sebab tak dapat hubungi keluarga aku. Sebab aku tau kalau aku contact keluarga aku, kak Alia akan tau aku kat mana. Aku cuma email adik aku. Aku cerita semua. Dan minta dia jelaskan pada keluarga aku selamat, cuma aku kene bekerja di luar Negara.

Sampai la semalam. Dalam bulan Ramadhan yang mulia. Kak Alia message aku lepas lebih setahun kami tak berhubung. “Akak pun nak berubah. Doakan akak, Maafkan akak. Halalkan segalanya. Doakan kita bertemu di syurga.” Aku tak reply. Jujurnya, lepas pindah aku bahagia, sibukkan diri dengan kerja, sampai aku lupa langsung pasal hal lalu. aku lebih fokuskan diri pada kehidupan aku sekarang. Aku ada cuba call number Kak Alia tu pagi tadi, tapi tak dapat.

Kak Alia, ayu selalu dan akan sentiasa doakan kakak. Semoga kita betul-betul berubah ke arah kebaikkan. Semoga kita kuat untuk terus mengekalkan iman.

Aku bersyukur untuk apa yang terjadi hari ini. Ramadhan kali ini membawa seribu rahmat untuk aku. Dan selalu aku ingatkan pada diri aku, dan doa pada Allah supaya jaga hati aku. Supaya aku tidak lagi menjadi hamba pada perasaan bangga dan puji-pujian. InsyaaAllah tahun ni aku balik raya lepas tahun lepas aku beraya bersendirian. Salam Ramadhan.

Doakan nama aku ada dalam list untuk ke syurga.

– Ayu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit