Aku Seorang Pemerhati

Salam. Sejak kecil, aku lebih gemar memerhati dari berbicara. Segala apa yang berlaku, setiap kata yang ditutur dan setiap gerak bicara oleh orang sekeliling, semua kuperhati. Dari yang baik kepada yang tidak baik. Okay, kita lupakan hal yang baik. Kerana sememangnya perkara yang baik-baik telah kujadikan tauladan dalam hidupku.

Izinkan aku berkongsi kisah-kisah yang tidak baik. Dahulu aku belajar dia sekolah asrama. Aku memerhatikan rakan-rakanku biadal dengan guru, membuat onar di sekolah, memukul junior, dan sebagainya. Semua ku perhatikan.

Lalu aku melangkah ke CFS. Kuperhatikan rakan-rakanku mula berjinak-jinak dengan maksiat. Video lucah menjadi tatapan harian, hidup di CFS bagai satu percutian.

Kemudian aku ke Gombak. Ku perhatikan teman-temanku semakin meliar dan rakus. Gadis-gadis Melayu Islam menjadi santapan mingguan. Tak cukup gadis Melayu, 'rumah merah' menjadi tumpuan kunjungan. Duit hutang PTPTN, duit mak bapak bagi, dihambur ke hiburan dan nafsu rakus hasutan syaitan. Semuanya mereka ceritakan kepadaku. Aku kekal diam dan terus memerhati. Kemudian kuperhatikan mereka meneguk kencing syaitan. Carlsberg, Heineken, Bacardy, you name it. Aku juga perhatikan mereka kian alpa melupakan Tuhan mereka. Hidup bagaikan menongkat langit. Lakum diinukum waliyadin? Tak mungkin. Kerana agama mereka adalah sama dengan agamaku. Tuhan mereka juga sama dengan Tuhanku. Cuma mereka sekarang sedang alpa. Mungkin sebentar, mungkin selamanya. Dan aku tetap terus memerhati.

Kini, kuperhatikan mereka berkumpul. Menangis meratap. Sekujur tubuh kaku seorang sahabat yang telah pergi untuk selamanya. Kuperhatikan mereka menghantarnya ke kuburan, lalu mereka meninggalkannya. Dahulunya, dia adalah sahabat mereka yang paling baik dan akrab. Dahulunya, dialah tempat berkongsi suka dan meluahkan duka. Hanya dia yang memahami tanpa menghakimi. Kini dia telah pergi.

Kuperhatikan duniaku menjadi kelam. Cahaya kian pudar, menjadi malap, dan akhirnya sekitarku menjadi lebih gelap dari malam. Aku panik, dalam kegelapan, dapat kurasakan tubuhku dihimpit dari segenap penjuru. Lalu datang kepadaku dua susuk yang tidak pernah ku kenali. Tahulah aku, bahawa inilah dia Janji yang Pasti. Aku buntu. Apakah jawapan yang harus kuberi. Kerana selama ini aku hanyalah sahabat yang memerhati. Tidak sedikit pun ku cuba untuk membantu rakan-rakanku kembali ke jalan yang diredhai. Aku hanya memerhati, kerana khuatir mengguris hati. Dan kini aku telah mati, tanpa sempat memenuhi janjiku pada Illahi. Aku telah memilih populariti berbanding menjadi sahabat sejati. Apakah kesudahanku nanti?

– Insan Biasa

CREATE A POST

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *