Angkara Kenakalan Zaman Silam

Assalamualaikum admin. Tolong hide profile. Aku pinjam fb adik aku. Thanks

Nama aku Ila (Bukan nama sebenar). Umur 28 tahun. Hari ni aku tergerak nak buat satu pengakuan melibatkan seorang rakan sekelas aku semasa darjah 4.

Dahulunya di sekolah, aku antara pelajar yang dikenali oleh hampir semua guru kerana aktif menyertai pelbagai pertandingan sehingga peringkat negeri. Jadinya, aku ni memang takda bad record or reputation. Semuanya baik baik sahaja.

Al-kisahnya bermula bila suatu hari aku gatal tangan conteng conteng muka hadapan majalah yang memaparkan wajah seorang artis tempatan. Aku buat giginya ada taring, matanya aku warnakan jadi merah menyala. Merahkan pipinya dengan marker warna merah. Bulu mata aku lukis semula jadi panjang berjela-jela. Kening aku buat jadi tebal. Aku ketawa sebab rasa macam perbuatan aku tu lucu. Lepas aku conteng, aku lupa nak sembunyikan, terus aku balik ke rumah. Oh lupa nk bgtau, majalah tu sebenarnya antara koleksi yang diletakkan di satu sudut membaca di dalam kelas kami.

Keesokkan pagi, guru kelas kami datang untuk spot check kebersihan kelas. Sudah tentu lah beliau check juga bahagian mini library dalam kelas kami tu. Terus diambilnya majalah itu kemudian disoalnya seorang demi seorang untuk memastikan siapakah punya angkara yang membuat perbuatan vandalisme itu.

Aku terlalu takut kerana guru ku telah mengancam kami untuk merotan siapa yang dikenalpasti melakukan perbuatan tersebut. Aku diam. Bila guru ku bertanya pada ku. Aku hanya menggelengkan kepala. Sebenarnya hubungan ku sangat baik dengan guru tersebut kerana aku selalu membantunya melukis mural sekolah disebabkan bakat melukis aku. Jadi dia tidak lah syak apa apa pada aku.

Namun, tidak bagi seorang budak lelaki ni, aku nama kan dia Akmal (bukan nama sebenar). Cikgu tersebut terus menyoalnya dan memaksanya untuk mengaku. Setelah dipaksa berkali kali dan dirotan pada tapak tangan. Akmal terpaksa mengaku sambil menangis. Aku tersentak dan sebak serta diselubungi rasa bersalah. Aku cuba untuk memberitahu guru ku beberapa kali tapi tak berjaya.

Hari terus berlalu, kami tamat darjah 6. Masing-masing meneruskan persekolahan di sekolah menengah. Aku dan Akmal meneruskan pengajian di sekolah menengah yang sama cuma berlainan kelas. Suatu hari, aku dapat khabar yang dia telah kehilangan datuknya yang dianggap sebagai ayahnya sendiri. Dia asyik termenung di tepi sungai, tenpat datuknya jatuh dan menemui ajalnya. Lama kelamaan, dia menjadi kurang waras dan hilang ingatan tapi hanya peristiwa tertentu sahaja diingatnya. Pada tingkatan 3, dia kembali menyambung persekolahannya. Aku cuba untuk meminta maaf atas perbuatan aku dahulu, tapi dia tidak ingat nama dan wajah aku. Aku cuba recall insiden yang berlaku ke atasnya, tapi dia tetap tak ingat. Jadi aku hanya mengingatkannya bahawa kami rakan sekelas dari darjah 1 hingga 6 dan kami berkenalan seperti biasa. Semasa dia kahwin, aku ada menghantar hadiah dan ucapan maaf. Tapi aku tidak menyatakan kenapa aku ucapkan kata maaf tersebut. Sampai lah majlis perkahwinan aku, Akmal datang bersama anak dan isterinya, aku masih diselubungi dengan penyesalan kisah lalu. Aku masih juga minta maaf tapi tidak menyatakan sebab sebenar. Tak lupa juga, setiap kali raya, walau kami tidak lah rapat, tapi aku masih lagi menghantar mesej di facebook untuk ucapkan kata kata maaf pada Hari Raya.

Mungkin orang akan kata isu ini remeh sahaja, tapi bagi aku, ini dah jadi kes penganiyaan kepada Akmal. Walaupun dah berbelas tahun berlalu, dia pun dah sihat dan menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan. Aku masih diselubungi rasa bersalah. Lebih lebih lagi seandainya perkara ini berulang kepada anak ku atas kenakalan aku dahulu.
Semoga Allah akan memaafkan kesilapan lalu ku semasa aku masih naif mencari erti hidup dan memberikan rakan ku kehidupan yang bahagia.

– Ila

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit