Apakah Ada Cinta Buatku?

Assalamualaikum.. Aku kenalkan diri aku sebagai Rose (bukan nama sebenar). 2023 maka masuklah usiaku 30 tahun.

Dihening malam, kesunyian menyapa. Terasa kosong, ingin memiliki dan juga dimiliki.

29 tahun usia hidupku tidak pernah sekali hati ini dicintai. Pernah sekali cuba mencintai, malangnya rasa tidak bersambut.

Hari-hari menapak sendiri melihat saudara mara, sahabat handai mula bersuami dan mempunyai bayi.

Siang hari aku kuat sendiri, lupa segala sunyi dihati. Beransur hilang mentari, mengesot-esot datang kesunyian dihati. Rembes air mata, mengenang rasa dihati.

Apakah tidak layak aku merasai disayangi. Sudahlah lahirku dalam keluarga berpecah belah.

Tumbuh membesar bagaikan di ruang antara 2 mozek di lantai. Tiada siapa yang peduli. Semua harus diputuskan sendiri.

Ingin tumbuh menjadi bunga ataupun terus maju sehingga berbuah ataupun layu diranap takdir.

Kalau pernah mendengar kisah Janna Nick begitulah juga kehidupanku. Tiada siapa yang peduli. Telefon tidak berbunyi berhari-hari kerana tiada siapa yang akan cari.

Pernah aku terfikir, kalau ku mati apa mayatku bakal reput dimakan hari baru ada yang cari.

Dari kecil, aku boleh melakukan apa sahaja. Apa mahu pulang ,tidak mahu pulang, tidak pergi sekolah atau apa sahaja terserah.

Buatlah semahuku kerana tiada siapa membatasiku kecuali ilmu dan iman didada.

Alhamdulillah. Syukur terbesarku adalah iman dan kefahaman ilmu yang Allah kurniakan. Kalau ikutkan berontak mungkin aku sudah rosakkan diriku.

Tapi Allah Maha Penyayang, Allah lindungi diriku sentiasa. Setiap langkahku dihadirkan fikiran dan iman terlebih dahulu. Maka terlindunglah aku dari kerosakkan dari tanganku sendiri.

Terima kasih kepada persekitaranku yang memberi didikan kepada aku dari kecil tentang membaca.

Membaca adalah lubuk ilmu walau apa isinya pasti ada ilmu kita dapat pelajari.

Aku diajar untuk mengeluarkan kebaikan dari sesuatu bahan bacaan. Ilmu yang baik ambil jadi amalan, perkara tidak baik pula ambil dijadikan pengajaran.

Apabila melihat adik-adik sekarang yang melakukan perkara merosakkan diri mereka aku rasa sangat kasihan. Sesungguhnya aku lebih beruntung dari mereka.

Semoga Allah lindungi adik-adik tersebut dari kerosakkan yang lebih dasyat.

Sesungguhnya tiada siapa dilahirkan untuk jadi macam tu, mereka jadi begitu kerana persekitaran mereka tidak mampu melindungi mereka.

Sambung semula kisahku. Hanya luaran aku nampak utuh dan kukuh tidak mudah rapuh tapi sebahagian jiwaku ranap.

Aku tidak faham apa erti sayang dan cinta yang sebenarnya. Aku tidak tahu bagaimana rasanya jatuh cinta.

Melihat orang jatuh cinta dan bercinta membuatkan aku tertanya-tanya,bagaimana mereka boleh merasai perasaan itu. Bagaimana mereka boleh tahu yang mereka merasakan cinta yang sama.

Bukan sekadar cinta yang tidak ku faham, bahasa sayang juga aku tuli. Aku tidak tahu bagaimana sayang harus ditunjuk. Bagaimana saya harus dihargai.

Apakah aku terlalu keras pada bahasa jiwa sehingga tiada seorang lelaki pun cuba mendekatiku?

Apakah tiada lansung kebaikan dalam diri aku yang seseorang akan nampak?

Adakah aku akan terus malap dalam kelam malamku sendirian.

Terlalu banyak kesunyian yang singgah dalam diri ini.

Saat kesunyian menanti cinta, hadir satu lagi kesunyian serta kerinduan pada kehangatan pelukan dan belaian ibu bapa. Rindu sungguh aku, rindu pada pelukan itu.

Apakah aku akan sendirian hingga ke akhir hayatku?

– Rose (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Allah tengah jaga akak dan Allah tengah persiapkan bakal suami yg terbaik utk akak💙

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *