Bangkitlah Wan1ta Tersakiti

Assalammualaikum pembaca semua..

Aku pernah hantar confession sebelum ni, (https://iiumc.com/i-hate-myself-2/) dan aku baca semua komen berulang kali.

Terima kasih banyak atas kata-kata semangat & rasa empati dari kalian. Benarlah telahan aku yang rumahtangga aku tak normal sebenarnya.

Okay so aku nak cerita sambungan cerita aku sebab aku baca banyakkk sangat confession isteri yang sedang tersakiti. Jadi aku harap sangat mereka ambil lah tindakan yang sepatutnya.

Waktu birthday aku haritu kami bergaduh lagi tapi aku tak ingat sangat puncanya apa tapi selalunya asal birthday aku je, mesti gaduh. Asal anniversary kami je mesti gaduh.

Entahlah. Jadi aku selalu beli je kek untuk diri sendiri. Macam tahun ni aku bawak anak aku pergi makan kek kat kedai. Dating dengan anak.

Suami? Tak payah lah cakap. Kalau cakap mesti pembaca lagi geram. Hahaha.

Tapi aku ingat lagi malam birthday tu kawan baik aku tanya “Aliya, ko ok ke?” Sebab baca status aku banyak double meaning.

Dan buat pertama kalinya aku cakap kat orang yang “Tak, aku tak ok sebenarnya”. Jadi malam tu penuh dengan drama airmata aku dan kawan-kawan.

Sedih diorang bila dapat tahu life aku macam mana. Tapi aku lega sangat sebab dah meluah. Rasa ringan sikit beban tu. Syukur ada kawan-kawan yang baik.

Selepas kejadian tu, aku contact semula pejabat agama untuk buat appointment kaunseling. Nasib ustaz available. So aku jumpalah ustaz tu dan ceritakan semuanya yang berlaku dari side aku. Meleleh jugaklah airmata.

Aku ingat lagi aku cakap kat ustaz “Ustaz, sepanjang saya berkahwin saya tak pernah rasa betul-betul seronok, saya sentiasa berada dalam ketakutan”.

Lepas dengar cerita aku, dua soalan terpenting ustaz tanya. Pertama, suami awak solat tak dan kedua, macam mana hubungan suami dan ibunya.

Aku tak nak lah ulas panjang pasal ni. Tapi end of session, ustaz tanya aku, sekarang ni awak nak bercerai ke? Aku jawap aku tak pasti.

Adakah masalah aku ni cukup berat untuk aku bercerai. Yelah bercerai ni bukan main-main.

Ustaz cakap, Kalau aku nekad nak bercerai, buatlah secepat mungkin sebab aku masih muda, anak baru sorang. Masih kuat dan senang untuk mulakan hidup baru, cari kerja semua.

Tapi dia cakap takpe. Sekarang ni awak ajak suami datang jumpa saya. Kiranya aku dan suami kena sama-sama hadir untuk sesi seterusnya.

Lepas dua minggu macam tu pergilah kami berjumpa ustaz. Alhamdulillahh suami aku rendahkan ego dia waktu tu.Tapiiii kan yang paling aku geram boleh pulak ustaz tu lupa kes aku yang mana satu.

Ya Tuhaaannnn. Mengucap panjang aku. Penat aku meluah haritu siap pakej airmata boleh pulak dia lupa ek. Huhuhu

Suprisingly, selepas sesi tu perangai suami aku berubah. Dia dah jadi kurang sangat marah. Dengan anak pun dia dah boleh bersabar sikit.

Sebelum ni asal weekend je gaduh. Asal weekend je gaduh sebab dia bingit dengan perangai anak yang suka merengek. Sekarang alhamdulillah dah banyak sangat perubahan.

Kata-kata yang menyakitkan hati tu pon dah takde, mungkin dia dok cakap dalam hati lah kot tapi tak kisahlah janji aku tak dengar.

Hahahaha..

Oh lepas jumpa ustaz tu pun aku ada pergi sesi kaunseling dekat klinik. Selepas 2 kali perjumpaan aku dah discharge.

Sebab kaunselor tu cakap aku dah nampak gembira, dah lebih bersemangat berbanding pertama kali jumpa, lebih positif. Apa yang aku buat? Aku gembirakan diri sendiri.

Aku pergi joging, aku minum kopi kesukaan aku dan aku cuba lupakan sekejap apa yang berlaku. Aku latih minda untuk stay calm, untuk fokus satu-satu benda saja, untuk tidak terlalu berfikir.

Alhamdulillahhh boleh lah jugak bantu aku mengawal emosi. Yang penting sekali aku dah kurang marah anak.

Bila mood suami tak ok atau kami bergaduh, biasanya kami akan menjauhkan diri.

Salah seorang akan bawak anak keluar makan atau ke taman ke untuk bagi ruang kepada diri masing-masing. Cumanya aku masih ada isu anxiety tu.

Kalau ada benda yang trigger, semuanya auto flashback dalam kepala sampai haritu aku dah terbayang pisau sambil usap pergelangan tangan.

Aku counter balik dengan ingat muka mak dan istighfar berulang kali. So untuk masalah ni aku akan cari penyelesaian nanti.

Sekarang ni kalau bergaduh, kami lebih prefer senyap sebab nak elak dari berkata benda yang menyakitkan hati. Suami pun sampai cakap dia takut nak tegur aku sebab takut salah cakap dan aku terasa.

Walhal aku ok je asalkan cakap elok-elok bukan menengking. Sebab sebelum ni dah terlalu banyak drama berpunca dari mulut.

Tumbuk pintu, hampir nak tumbuk muka, lari dari rumah, turun dari kereta tengah malam, you name it. Macam hindustan dah.

Alhamdulillah aku pun dah bekerja walaupun gaji seciput tapi tu lah rezeki aku buat masa ni. Kalau hari sabtu kena kerja, suami aku boleh take over handle anak. Ni tengah fikir nak serius buat bisnes sendiri.

Target aku sekarang untuk ada income yang stabil so that aku mampu nak sara diri sendiri dan anak jikalau perpisahan berlaku, hidup atau mati.

Aku keraskan hati nak jugak bekerja walaupun penat berganda. Biarlah suami nak cakap apa pun.

Syukur jugak suami ringan tulang bantu buat kerja rumah mana yang aku tak mampu buat. Kadang tu dia yang suruh aku rehat sebab aku nampak penat sangat.

Cumanya sekarang ni suami aku masih dalam tempoh pemerhatian aku untuk isu penerimaan dia terhadap keluarga aku.

Ingat tak aku cakap yang dia selalu marah kalau balik kampung aku? Ya sampai sekarang ada lah sedikit isu ni di mana kalau aku rasa dia memang tak boleh terima mak aku, family aku so that’s it.

Aku akan pilih family. Now aku cuba sedaya upaya tunjuk contoh dekat dia bahawasanya kalau aku boleh terima family dia macam family aku, kenapa tidak dia?

Sampai adik ipar aku cakap akak ni lagi kakak dari abang. Maksudnya aku lagi ambil berat pasal family dia. Tapi aku ikhlas je.

Sebab ipar aku semua ok. Boleh jadi geng mengumpat. Jadi aku pon berharap dia boleh macam tu. Sekurang-kurangnya ramahkan mulut dan maniskan muka bila ada di rumah mertua. Tu je yang aku harap. Penat tau asyik nak bergaduh pasal ni je.

Overall I am happier now. Nak cakap bahagia sangat tu tidaklah sebab aku dah jadi paranoid, sentiasa dalam mode berjaga-jaga. Masalah kecik here and there tu aku cuba untuk berdamai.

Aku sendiri tak perfect. Bila tengok suami dah berubah, aku pun cuba berubah untuk jadi lebih baik.

Dia pun ada bagi hint untuk tambah anak tapi aku keraskan hati buat tak dengar. Hahaha.. Padahal aku teringin sangat nak ada baby lagi sampai menangis lah ceritanya.

Tapi dengan apa yang aku lalui sebelum ni, aku cuba bersabar dulu. Aku taknak anak aku jadi mangsa nanti.

So aku merela kan lah diri untuk kena cucuk perancang setiap dua bulan. Nasib suami ok sebab dia ingat aku penat padahal aku trauma.

Huhuhu Korang doakan aku eh? Supaya urusan rumahtangga kami dipermudahkan, dimurahkan rezeki, diberi ketenangan hati walaupun ribut badai melanda.

Bila berada dalam fasa ujian ni, aku dah tak berdoa untuk Allah panjangkan jodoh kami.

Aku cuma berdoa kalau perkahwinan ni ladang pahala bagi kami, maka permudahkan urusan rumahtangga ini tapi sekiaranya ia adalah sebaliknya maka sesungguhNya Dia saja lah lebih mengetahui.

Pesan aku kepada kaum perempuan, bangkitlah. Kita mampu hidup tanpa lelaki.

Mungkin bila suami aku tengok aku dah nekad dan keras hati, tu turning point untuk dia berubah sebab dia tahu aku boleh hidup tanpa dia. Kalau ada masalah dan anda buntu, pergilah ke pejabat agama.

Luahkan segalanya dan bertindak. Kalau suami sayang kita dan anak, dia akan berubah. Kalau sebaliknya, ingat. Kita mampu hidup tanpa suami.

Simpan sikit ruang hati tu untuk diri sendiri. Jangan penuhkan dengan manusia, yakni suami. Sebab bila-bila je hati tu akan dihancurkan.

Suami cuma lah pinjaman dari Allah.

Lagi satu, kalau anda ada masalah yang besar dengan suami, tolong lah ambil perancang dahulu. Kesukaran tu lebih tinggi bila ada anak sebab anda akan lagi susah untuk buat keputusan.

Banyak benda nak kena fikir bila dah ada anak ni. Sebarang keputusan kena ambil kira keadaan si kecik tu. Bukan nak kata anak tu beban tau.

Kalau yang dah sedia ramai anak tu, janganlah pi tambah lain pulak. Huhu suami tak bagi ambil perancang? Ingat yer, badan kita, hak kita.

Dan buat kawan-kawan aku dan keluarga yang tahu mengenai kisah aku, yang banyak mendengar, berkongsi luahan hati, terima kasih untuk segalanya. Kalian sentiasa dalam doaku. Allah jua yang mampu membalas.

Buat suami, I tak tahu apa yang pernah you lalui sepanjang you dibesarkan sampai you berkelakuan macam sebelum ni.

I percaya deep down you adalah orang yang baik cuma mungkin ada trauma yang bersisa bila melihatkan keadaan sekeliling.

Terima kasih kerana cuba berubah, cuba selamatkan rumahtangga kita. I harap lepas ni kita lebih kerap luangkan masa bersama, bercinta macam dulu semula.

I akan sentiasa cuba untuk beri lebih kasih sayang kepada you supaya you boleh berikan semula kasih sayang tu kepada orang sekeliling kita.

Kepada pembaca, semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan perlindungan-Nya dan semoga segala perkara yang baik-baik mengiringi kehidupan.

Pernah tersakiti,

– Aliya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *