Beli Rumah vs Beli Memori

Entri abang ini akan menyakitkan hati dan mata para jejaka dan wanita yang berperang “buat rumah pertama” dan “rumah investment”.

Disclaimer: Apa yang abang tulis ni, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman abang. Abang ni umur dah boleh cecah warga emas tapi masih belum pencen menjadi hamba kerajaan.

Abang ada rumah seawal usia 28 tahun ketika abang baru saja berkerja dengan kerajaan. Sampai ke tarikh ini, abang memiliki enam buah rumah untuk investment.

Tapi, adakah hidup abang senang? Tidak.

Ye memang duit sentiasa ada, sentiasa keluar masuk tapi tidak masa dengan keluarga.

Abang mempunyai seorang isteri yang tidak berkerja kerana abang suruh dia menjaga kelima-lima anak abang. Anak abang, 3 atas perempuan dan 2 lelaki.

Apabila rumah terlalu banyak sebagai investment ni, duit masuk sama banyak dengan duit keluar. Hutang bank, penyewa yang mengadu rosak itu dan ini, penyewa dari neraka yang memerlukan major construction dan sebagainya.

Jadi, usia muda abang dihabiskan dengan berkerja. Kerja siang dan malam sebagai pada abang biar susah sekarang senang kemudian.

Ketika anak membesar itulah paling berharga. Sepatutnya abang bawa mereka berjalan. Melihat betapa indahnya Malaysia ni.

Tapi tidak, abang biarkan mereka dirumah, abang kerah mereka belajar supaya satu hari nanti mereka kerja kerajaan dan dapat beli rumah seperti abang. Abang silap.

Sekarang anak abang yang sulung pula berusia 28 tahun. Dia sudah berkahwin dengan pilihan hati dan mempunyai dua orang anak. Abang namakan dia kak long.

Kak long bekerja di syarikat swasta di tengah bandar KL yang gajinya dengan komitmen mustahil untuk dia menyimpan hatta separuh dari gaji. Bukan tiada langsung simpanan cuma perit bila dipaksa suruh beli rumah segera.

Apabila abang marahkan dia untuk membeli rumah, dia balas yang dia tidak mahu dia atau suami hilang masa untuk anak. Dia ingin bawa anak dia kemana saja anaknya minta tanpa perlu fikir hutang dengan bank.

Abang jadi marah. Bagaimana kalau sudah pencen nanti? Mahu duduk dimana budak tu?

Dibalas semula suruh abang bersabar, bukan mereka tidak mahu beli rumah langsung cuma deposit saja memerlukan duit.

Lagi pula anak abang ni dah tak layak untuk pakai skim rumah pertama kerana abang telah gunakan nama dia untuk salah satu rumah yang abang beli.

“Abah cuma sabar sikit. Setakat ni kami cuma mampu menyewa. Tak kan kami perlu berhenti kerja di KL ni dan balik kampung duduk di rumah abah atau ibu (mertua) semata ingin kumpul deposit rumah?

Kami memang plan nak beli rumah tapi bukan seperti abah yang semuanya rumah disewakan tapi masa untuk anak, zero”

Abang tertampar… Betul juga. Abang terlalu sibuk mengumpul harta dari memberi memori untuk anak abang membesar.

Abang selalu rasa abang betul dan pandang rendah kepada orang yang tak pernah menyimpan untuk beli rumah sedangkan rumah sendiri itu satu kemahuan.

Untuk keperluan sekadar menyewa sudah memadai. Bila mereka dah tua nanti, pandailah mereka fikir bagaimana untuk teruskan hidup.

Setiap orang mempunyai berbeza ujian dan halangan. Jangan sebab kita mampu beli rumah, kita label orang lain melakukan pembaziran dengan kehidupan seharian bila belum mampu beli rumah.

Sekian…

– ABANG BOB (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *