Berbekas Di Hati

Assalamualaikum w.b.t dan selamat tengahari…

Saya berharap coretan saya ini sudi dibaca dan disiarkan oleh admin IIUMC…Saya tidak handal menulis namun berharap apa yang ingin disampaikan difahami oleh pembaca sekalian…

Setelah membaca sebuah artikel yang menarik semalam,saya berasa terpanggil untuk menyuarakan pandangan saya tentang isu tersebut. Isu remaja liar yang trauma dipukul oleh abangnya.

Yang nampaknya memberi kesan jangka masa yang panjang. Saya berasa terkilan saat membaca komen yang menghentam confessor malah mengatakan beliau ego,mengada dan sebagainya.

Saya teringin untuk membetulkan mentaliti rakyat Malaysia yang suka menghakimi tanpa melalui situasi orang tersebut…Kita tidak melalui,kita tidak merasa sakit beliau. Tetapi lebih selesa bersembunyi di sebalik papan kekunci,menjadi pendekar sakti yang menghambur nista sesuka hati.

Tahniah semua keyboard warrior…Andai satu saat anda berada di tempat kami,mungkin masa tu barulah anda tahu beza ego dan trauma…

Saya ada pengalaman yang mungkin boleh membuka mata anda mengenai isu pukul dan trauma dan kesan jangka masa panjang ini…

Nama saya Noraini. Saya anak ketiga daripada lima adik beradik. Saya seorang kerani di sebuah hospital swasta di ibu kota…Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki (masih bayi). Saya mempunyai dua orang adik perempuan (kembar) yang masih belajar di IPTA.

Seorang abang (sulung) dan kakak yang saya panggil kakngah. Kakngah surirumah yang meniaga secara online.

Ibu saya dulu bekerja sebagai kerani sekolah manakala ayah saya adalah anggota polis. Ibu berhenti kerja beberapa tahun setelah melahirkan adik kembar. Semasa kecil kami serba kekurangan.

Masa tu gaji ayah sebagai polis taklah sebesar mana. Tetapi kami dibesarkan dengan penuh kasih sayang…Zaman kecil kami penuh berwarna warni.

Ayah amat baik dan penyayang. Beliau tidak garang tapi pernah memukul abang sulung kerana dia merokok.

Ayah meninggal dunia semasa saya baru mendapat kerja dan adik adik masih di bangku sekolah. Ibu sungguh cekal menyekolahkan adik adik saya. Saya membantu apa yang termampu.

Abang sulung sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak. Beliau adalah seorang askar begitu juga dengan isterinya.

Ini adalah berkaitan abang sulung saya yang suka memukul anaknya. Anak sulung beliau bersekolah di tingkatan tiga. Anak kedua perempuan,sekolah rendah darjah lima.

Saya tidak tahu cara untuk memulakan cerita ini. Hubungan abang sulung dan ibu saya biasa biasa shj. Sejujurnya ibu ada termakan hati dengan sikapnya,tutur katanya terhadap ibu…

Ibu pernah meminta untuk meminjam wangnya kerana adik kembar baru mendaftar di kolej dahulu. Dia bertanya ibu kembali kemana perginya duit pencen yang ibu dapat…Dengan nada yang tinggi.

Masa tu ibu bertelefon di hadapan saya. Saya dengar ibu cakap takpalah. Ibu beri salam dan letak telefon…Saya lihat ibu sebak dan menangis. Saya juga berasa sedih. Maka semasa pendaftaran adik kembar saya turut membantu menambah yang mana tak cukup.

Sebenarnya duit pencen ibu tak sebanyak mana kerana terpaksa dibahagi dua atas sebab sebab tertentu. Jumlahnya tinggallah RM900 setiap bulan. Adik saya pula kembar dan mendapat IPTA di pantai timur…Bukan dekat…Dan kos yang diperlukan juga mestilah bukan sedikit. Kami pula tiada kenderaan. Terpaksalah saya meminjam kereta saudara (masa tu saya belum beli kereta).

Itu cerita pasal layanan dia terhadap ibu. Ini pula pasal dia dengan anak anak dia. Dia jemput kami berbuka puasa di rumahnya Ramadhan lalu. Ramadhan bulan suci. Tapi apa yang berlaku amat menyentuh hati.

Semasa kami sedang memasak di dapur,saya dengar bising bising di luar rumah. Kami segera tengok. Kami lihat dia pukul anak sulung dia dengan batang penyapu. Entah apa puncanya. Ibu cuba leraikan,ibu kata tak baik bulan puasa. Dia marah ibu balik…

Anaknya yang kedua (Rina) menangis di dalam rumah. Saya peluk dia…Dia sedih lihat abangnya dipukul. Saya peluk dia,saya cakap makndak sayang Rina. Dia menangis tersedu sedu dan dia bisik di telinga saya, ‘ayah selalu pukul kami..’

Saya tergamam. Rasa serba salah. Sejujurnya rasa teramat sedih. Isterinya (kakak ipar) juga bersikap sama. Maksudnya tidak menghalang perbuatan suaminya. Malah sekali sekala turut ikut serta.

Ibu ajak saya dan suami balik tanpa sempat kami berbuka bersama. Ibu menangis dalam kereta…Ibu juga malu pada suami saya. Kami berbuka di petronas,alas perut dengan roti. Singgah di surau untuk solat. Saya peluk ibu…Saya menangis bersama ibu mengenangkan nasib cucunya.

Bukankah memukul anak dihadapan tetamu itu mengaibkan? Tambahan anak itu sudah remaja…Sudah tentulah hal itu memberi kesan psikologi yang mendalam. Saya ceritakan pada kakngah. Kakngah ceritakan yang dia juga pernah melalui hal yang sama semasa berkunjung ke rumah mereka dulu. Maknanya memukul anak di depan tetamu bukan benda asing lagi.

Dahulu mereka tidak begitu. Saya juga perasan apabila abang bercakap dengan anak sulung dan kedua,dia cakap kasar. Jarang sekali dengar dia cakap dengan nada yang lembut penuh kasih sayang.

Mungkin anda akan kata ini kerana mereka askar,maka mereka mendidik begitu. Tapi adakah semua askar begitu? Ayah kami dulu polis,tapi beliau tidak pernah cakap kasar..Apatah lagi membahasakan diri aku dengan anak anak.

Malahan mereka memperlakukan anak sulung dan kedua seperti pembantu rumah. Membantu ibu bapa menyiapkan tugasan rumah memang tanggungjawab kita. Tetapi tidaklah sampai mengkulikan anak.

Mereka mengarah anak sulung dan kedua sesuka hati. Malahan di usia semuda itu mereka diarahkan menjaga dua adik mereka yang masih kecil pada hari cuti. Menyalin lampin,memandikan,membancuh susu. Bila adik mereka menangis,mereka dipukul lagi.

Seakan akan tiada waktu rehat untuk mereka…Sentiasa dipaksa dan dikerah dengan herdikan dan maki hamun.

Apa yang saya perhatikan anak sulung dan kedua tidak melalui zaman kanak kanak yang berwarna warni seperti mana saya semasa kecil. Zaman remaja pula begitu kosong. Mereka tiada kawan rapat yang ajak bermain di rumah. Tiada kawan rapat yang ajak keluar pada hujung minggu.

Hasilnya mereka jadi tidak pandai bersosial dan bergaul dengan orang sekeliling.

Mereka cenderung untuk menipu kerana takut dimarahi. Misalnya semasa saya bertandang ke rumah mereka tempoh hari,anak sulung mereka sedang bermain game di dalam bilik. Dia tak nampak saya yang masa tu ingin ke bilik air.

Ibunya menjerit dari depan memanggilnya suruh bersalam dengan ahli keluarga. Ibunya tanya kau buat apa dalam bilik. Dia jawab apa? Dia jawab tengah solat.

Saya diam saja. Dia menipu..Dia tak mengaku dia main game. Begitu juga Rina. Cenderung untuk menipu kerana takut…

Mereka suami isteri seakan ingin menunjukkan bahawa mereka pandai mendidik anak,anak mereka pandai mengaji,tidak tinggal solat dan pandai menghormati orang tua. Sebenarnya anak anak mereka melakukan itu kerana takut dipukul dan dimaki. Bahasa mudahnya,berlakon.

Bila dikerah dengan cara begitu,apa yang dibuat jadi tidak ikhlas..Bukan dari hati,tapi takut dimaki. Sikap pilih kasih juga amat jelas sekali. Anak yang ketiga dan bongsu dilayan bagai puteri raja. Mungkin kerana rupa.

Anak sulung dan kedua mereka gemuk dan berkulit gelap. Anak yang lain pula cerah…Tapi wajarkah dilayan begitu. Itukan anak kandung mereka.

Soal pelajaran juga satu hal. Anak yang sulung kurang kelebihan dari segi pelajaran..Itu juga menjadi sebab dia dipukul. Mereka kata anak sulung tu bodoh,tak sedar diuntung..

Perkembangan psikologi anak anak sudah tentulah terjejas. Saya berasa kasihan dengan anak anaknya. Dan andai saat anak anak ini menyimpan dendam. Trauma..Fobia…Dihantui kenangan pahit…

Adilkah mereka dikatakan ego? Nanti adalah yang cakap,confessor liar tu memanglah sebab dia salah. Patut pun kena…

Sebenarnya,apa yang saya nak sampaikan soal memukul dan memaki hamun ini. Bukan pasal salah ataupun tidak…

Memukul dan mengeluarkan kata kata kesat ini lukanya berbekas di hati…Meninggalkan parut yang tidak akan sembuh. Hanya yang melalui akan mengerti.

Wahai rakyat Malaysia…Sebelum berkomen,berkata kata…Fikirlah dulu. Adakah anda tidak pernah buat salah? Salah anda kami tidak tahu. Mungkin lebih teruk lagi,lebih ego lagi. Tetapi bersembunyi di belakang papan kekunci. Menghentam padu sesuka hati…

Saya tidak nafikan mereka suami isteri berpendapatan besar memandangkan keduanya adalah penjawat awam. Namun sikap riak mereka membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain membuatkan saya jengkel dengan mereka.

Kakngah surirumah,suaminya pula seorang tukang rumah dan tukang kebun sekolah. Mereka selalu membandingkan kehidupan mereka dan kakngah. Saya tidak tahu di mana salahnya kakngah jika suaminya tidak berpendapatan besar. Gaji dia halal dan berkat…

Titik peluh dia tu lah yang menyara kehidupan mereka. Kakngah sekeluarga bahagia dan tak pernah mencemburui kehidupan orang lain.

Begitu juga saya dan suami. Kami berkahwin di usia muda,suami saya seorang mekanik…Kami tak pernah meminjam duit atau beras mereka. Tapi mereka mempertikaikan kehidupan kami. Kami beli Proton Saga FLX selepas berkahwin..

Mereka bandingkan kehidupan mereka dengan kami. Kereta mereka (Honda City) dengan kereta kami. Hinakah kami pakai Saga? Kami ukur baju di badan sendiri…

Rezeki kita bukan semua sama. Disebabkan suami saya dan kakngah kerja tidak sehebat dia,dia jarang berbual dengan mereka. Tak sekufu mungkin…

Dengan sepupu kami yang kerja hebat hebat bukan main rancak lagi. Sanak saudara bukan main puji dia…Dia bagus,baik. Tapi sebaliknya kami saja yang tahu.

Tertanya tanya juga wang ringgit,pangkat,kereta semua ni membawa kita ke mana? Hari ini kita senang…Esok belum tentu lagi.

Semoga anak anak saudara saya tabah. Makndak hanya mampu mendoakan. Nak tegur kita pula dimarah semula…Mampu lihat saja sejauh mana mereka boleh pergi.

Saya minta maaf kerana penulisan saya panjang…Maaf juga andai ada yang tidak bersetuju.

Mendidik menggunakan kekasaran dan kata kata yang kesat mendatangkan kesan pada jangka masa yang panjang. Memukul boleh,tetapi berpada padalah.

– Noraini

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit