Berdamai Dengan Takdir

Sampai di saat ini, aku masih mencari kekuatan untuk aku teruskan hidup. Hari demi hari aku lalui, aku harus telan segala kepahitan. Aku seorang ibu yang selalu menyusahkan orang lain.

Aku ada 3 orang anak yang sedang membesar dengan pelbagai ragam. Dan aku sedang laluinya seorang diri. Di mana suamiku dan ayah kepada anak-anak aku?

Jauh dari hidup kami. Dia ada, tapi tak pernah ada. Kami dah lama hidup berasingan.

Memang sejak berkahwin, dia lebih pentingkan orang lain dari keluarga kecilnya sendiri. Sejak awal perkahwinan, dia banyak lebihkan kawan-kawan dan ibunya dari kami anak beranak.

Sehinggakan aku diperkecilkan, dihina oleh ibunya pun, dia gagal mempertahankan aku sampai aku meminta izin untuk keluar dari syurga dunia kami.

Aku sendiri dah tak mampu untuk hadap setelah pelbagai liku aku tempuh selama 8 tahun bersama.

Aku hampir hilang kewarasan. Ibunya datang tinggal dengan kami lepas sehari kami masuk ke rumah sewa selepas selesai diijabkabulkan, tanpa berbincang denganku.

Pada awalnya, aku menyangkakan cuma seketika sahaja. Tapi setelah lama tinggal bersama, aku bertanya adakah selamanya ibunya akan tinggal bersama kami?

Dan jawapannya, ya, memberi jawapan tanpa memandang wajahku kerana dia tahu aku takkan bersetuju.

Aku menghela nafas panjang. Aku cuba terima dengan lapang hati tapi privacy aku mula diragut satu per satu.

Aku bekerja shift ketika itu. Rumah sewa kami kecik je. Setiap kali aku kerja shift balik lewat malam, dengan harapan dapat berlunjur dan makan sambil tengok tv.

Tapi malangnya, ibunya dah ambil tempat di depa tv dengan tidur di situ sedangkan biliknya sendiri pun ada.

Aku dengan kelaparan dan kepenatan, terpaksa beralah dengan makan di bilik sebab dapur kecilku tak sesuai dijadikan tempat makan. Itu baru satu isu. Ya, nampak isu kecik je kan. Tapi sangat tak selesa.

Belum lagi isu anak, yang mana kami agak lambat dikurniakan anak ketika itu. Dan seperti biasa, aku disalahkan kerana tak dapat beri cucu kepada dia. Selalu mengeluh, apalah nasibnya tidak bercucu.

Macam biasa, awalnya aku tak ambil kisah sebab aku tahu perkara ni urusan dan rahsia Allah. Tapi sampai satu tahap rupanya menjadi nanah dalam hati aku.

Rungutan demi rungutan yang aku terima. Balik ke kampungnya, rungutan lagi yang aku dengar dari sedara mara sebelah sana.

Tahun ke-4 kami berkahwin, aku dikurniakan anak lelaki sulung yang sangat comel. Bermula lagi episod mengawal segala hal berkaitan suami dan anakku oleh ibu mertuaku.

Aku seolah-olah dinafikan hak sebagai ibu kepada anak aku. Kemana dia nak pergi, hanya nak ada anak dan cucunya sahaja. Sengaja tinggalkan aku di rumah keseorangan.

Aku semakin makan hati. Suamiku? Hanya menurut apa kata ibunya. Oh ya, masa ni aku dah tak lagi bekerja.

Lepas bersalin, anak sulungku menghidap eczema yang agak teruk hingga aku terpaksa menjaganya sendiri di rumah.

Risau akan keadaan kebersihan di tempat lain sebab kulit aku sangat sensitif dengan keadaan persekitaran yang berhabuk.

Dia akan menggaru sampai kulitnya berdarah walaupun kukunya sentiasa pendek. Kes ni pun aku diperli mertua.

Bila aku cuba terangkan keadaan anak aku yang ketika itu sedang menerima rawatan pakar kanak-kanak, dia tetap menyalahkan aku. Ada saja yang tak kena.

Berlanjutan hingga aku mengandungkan anak ke-2, masa ni morning sickness aku agak teruk. Sampaikan ada masa aku cuma tersadai di tepi katil tak larat nak buat apa.

Emosi aku sangat tak stabil. Aku cakap pada suamiku, tolong cari rumah lain untuk aku dan anak-anak sahaja.

Aku dah tak mampu tinggal sebumbung lagi dengan mertuaku. Dan jawapan suamiku, sabarlah, sabarlah. Ya, dia cuma boleh korbankan emosi aku tanpa dia ketahui nanah di hatiku dah makin membesar.

Aku tak pernah ceritakan perihal mertuaku kepada suamiku. Cuma aku cakap aku dah tak tahan dan menangis sepuasnya.

Masa berpantang anak ke-2 kami, aku sengaja ambil peluang tinggal lama di rumah mak aku sebab aku tak sanggup nak balik dan hadap perkara yang sama.

Tapi, lepas usia anakku 3 bulan, aku terpaksa juga balik ke rumah sewa kami.

Dan lagi, emosi aku bertambah letih. Aku perlu hadap perkara yang sama jadi sebelum ni dengan ragam anak- anak yang semakin bertambah.

Masa ni aku ambil keputusan untuk pakai perancang. Tapi, kuasa Allah itu tiada tandingannya.

Aku hamil belum cukup setahun usia anak ke-2 dengan perancang di rahimku. Allahuakbar. Aku terduduk masa tu, tak dapat terima kenyataan. Emosi aku masih belum stabil dan aku perlu terima kehadiran yang ke-3.

Pada awal kehamilan aku, aku sentiasa bersedih. Aku tak dapat terima kenyataan. Setiap hari kepala aku sangat sakit dan disertakan dengan morning sickness masa tu.

Sampailah usia kandunganku 4 bulan, aku dah mula rasa pergerakkan baby dalam perut, barulah aku redha dengan takdir.

Tapi, sekali lagi aku dikejutkan dengan berita dari suamiku. Kami diuji dengan masalah kewangan yang sangat teruk hinggakan dia ambil pinjaman wang berlesen TANPA pengetahuan aku.

Dan mulai saat itu, kad banknya dipegang oleh mereka, dan bermulalah episod nafkah yang tak cukup diberi oleh suami aku. Dia hanya mampu bayar sewa rumah, duit kereta dan bil api.

Yang lainnya, aku terpaksa korek simpanan aku dan anak-anak disebabkan dia tak pernah ada simpanan selain kwsp.

Alhamdulillah, aku ada buat bisnes online dan sedikit sebanyak dapat menampung makan minum aku dan anak-anak.

Kami dah selalu bergaduh masa ni. Aku mengidam teruk, korek simpanan lagi cuma disebabkan sangat teringin dengan bihun sup pasar malam, tapi disebabkan baru lepas bergaduh, suamiku taknak belikan apa yang aku nak.

Kebiasaan orang mengandung beratnya akan naik tapi berbeza dengan aku. Aku stress, aku selalu sakit kepala, dan beratku semakin turun.

Alhamdulillah anak ke-3 aku selamat dilahirkan.

Bermula episod PKP masa ni, suamiku tak dapat berkerja sebab sektor pekerjaannya ditutup terus. Dan episod hilang waras aku dah sampai ke tahap yang sangat serius. Hinaan dah perli dari mertua semakin menjadi-jadi.

Sepanjang 2 bulan pertama PKP, aku yang menyara keluargaku tanpa pengetahuan ibunya. Simpanan aku jadi kosong terus sebab aku terpaksa keluarkan untuk bayar sewa ruma dah bil-bil tertunggak. Suami aku?

Main game, makan, tidur, bergelak dengan ibunya. Ada masa cuba juga membantu aku.

Tapi aku dengar dan nampak dengan mata dan telinga aku sendiri masa dia tolong aku basuhkan pinggan di sinki. Ibunya berkata, dah jatuh tahta ke basuh pinggan ni?

Allahu. Sampai macam tu sekali ibunya tak suka aku sampai suami aku nak tolong pun diperlinya. Aku memang rasa sepanjang PKP tu aku dah dipresi.

Sepanjang hinaan yang ibunya katakan pada aku, hanya bayangan pisau yang aku nampak.

Aku sampai ke tahap minta suamiku bawa aku ke psikiatri sebab aku dah tak mampu nak hadap lagi. Tapi macam biasa, suami aku suruh bersabar. Tapi sabar aku dah sampai penghujungnya.

Aku minta izin darinya untuk keluar dari rumah sewa kami dengan anak-anak dan takkan kembali lagi.

Aku dah tak mampu nak dengar hinaan demi hinaan dari ibunya kepada aku dan anak-anak. Dan kami pulang ke kampungku dan terus menetap di sini.

Sepanjang hampir 2 tahun pertama lepas aku dan anak-anak balik kampung, langsung tak ada sesen pun nafkah dari suamiku.

Tapi Allah maha baik. Savings aku dalam kwsp aku keluarkan untuk menampung keperluan anak-anak. Dan rezeki dari bisnes online aku juga bertambah baik.

Aku dalam proses untuk berpisah memandangkan segala tanggungjawab cuma diletakkan atas bahu aku.

Lepas 2 tahun tanpa khabar, dia ada balik selepas dapat surat dari pejabat agama untuk sesi kaunseling.

Ada ajak aku balik ke sana tapi perlu tinggal semula sebumbung dengan ibunya. Aku dah tak mampu nak hadap lepas macam-macam dah jadi.

Setahun aku ambil masa untuk keluar dari trauma aku, untuk aku keluar dari dipresi tapi dia ajak aku untuk masuk semula ke dunia yang aku sangat nak elak.

Lebih baik aku pilih jalan hidupku, dan biarlah dia berbakti kepada ibunya sahaja.

Terima kasih kepada pembaca yang baca kisahkan yang panjang ni. Terlalu banyak kisah duka yang aku lalui. Even sekarang pun, aku sedar yang kehadiran aku dan anak-anak memang banyak menyusahkan orang lain.

Dan aku mampu berdoa dan berusaha supaya aku dapat keluar dari terus menyusahkan orang sekeliling aku. Aku masih lagi cuba untuk berdamai dengan takdir yang Allah berikan kepadaku.

– Ibu anak tiga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *