Trauma Dalam Keluarga II

Untuk part I, (https://iiumc.com/trauma-8/).

Setelah dikurniakan 2 cahaya mata, M diuji dengan pelbagai masalah dan sakit. Akhirmya pulang ke kampung untuk berubat.

Mungkin kerana trauma, dicampur pula dengan anasir-anasir lain, dia kelihatan lemah. Berubat hingga meracau-racau. Adik ipar dibawa bersama sebagai peneman dan penjaga kepada anak-anak.

Rupanya kejadian yang bertahun dahulu yang menimpa dia, kini berulang semula. Yang menjadi mangsa adalah adik iparnya pula.

Betapa marah MM dan keluarga hingga mabil keputusan untuk bawa kes ke balai.

Namun gagal kerana dirayu supaya diselesaikan secara dalaman hanya kerana menjaga aib ayah yang sudah tua, ibu yang sering sakit-sakit.

Bimbang akan jadi kejutan besar untuk ibu, maka hal ini dirahsiakan dan diselesaikan.

Namun apa yang memeranjatkan, terbongkar segalanya sikap ayah yang sebenar. Bukan M seorang, malah adik-adik yang lain juga pernah jadi mangsa.

Ipar-ipar juga ada yang mengaku diperlakukan begitu. Mujur aku tak pernah. Betapa hilang hormat ku ketika itu. Insan yang ku anggap baik dimataku, hakikatnya mereka yang terlibat sahaja yang tahu.

Diuji pula sikap MM yang semakin berubah. Bawa pulang perempuan malah ‘bersama’ tanpa rasa berdosa. Dalam pengetahuan M dan anak-anak.

Bukan sekali, bahkan berkali-kali kedapatan ada skandal dengan macam-macam perempuan.

Hinggalah keadaan sakit fizikal dan mental M makin teruk. Oleh kerana tak dapat menahan rasa, diambil keputusan untuk berpisah selamanya.

Tapi hak jagaan anak-anak dinafikan dengan alasan M adalah pesakit jiwa. Makin memburuk kesihatannya kerana dipisahkan pula dengan anak-anak. M murung.

Dihina, diherdik pula oleh kakak yang sama seolah-olah dia membawa celaka. Segala kisah lama diungkit. Kata cercaan, hinaan dihamburkan malah dia dipanggil perempuan gila.

Tidak hanya itu, adik beradik semua tidak ambil endah. Ibu sibuk dengan orang lain yang baru beberapa tahun dikenali hingga mengabaikan tanggungjawab pada ayah.

Anak orang, dilayan dan ditatang. Anak sendiri dibuang. Hanya makcik sajalah tempat menumpang.

Dianggap gila oleh keluarga tanpa sokongan moral yang diharap-harapkan. Aku sebagai orang luar, hanya mampu mendengar.

Setiap kali hati kecilnya bersuara, dia dikatakan mengada-ada. Tak siapa peduli, tak siapa yang mengerti. Hanya mati jalan akhir yang mahu dia ambil.

Mujur ada saki baki didalam hati untuk redha. Masih ada makcik-makcik yang setia dan sedia menerima dia ketika ahli keluarga kandung sendiri menyisihkan dia.

Ditakdirkan jua dia menemui jodoh barunya tapi disambut dingin ayah yang sepatutnya menjadi wali.

Betapa pedihnya hatiku melihat rakaman ketika dia bersalaman, ayah memalingkan muka menandakan benci akan majlis yang berlangsung.

Tiada sekeping gambar kenangan pun bersama kedua ayah ibu dan keluarga. Sungguh rasa seperti hidup sebatang kara. Hanya makcik-makciklah peneman dan pemberi semangat yang setia.

Para pembaca yang budiman, sudilah kiranya kita sama-sama mendoakan ketabahan dalam dirinya.

Jauh disudut hati, dia inginkan doa restu dari seluruh keluarga tapi sebaliknya yang dia terima. Doakanlah bahagia atas mahligai yang baru dibina.

Bagi mereka yang melalui situasi dan tekanan dalam diri, bangkitlah. Usah merasa diri begitu hina, tak bermakna. Usahlah dipendam duka kerana akan memjadi barah akhirnya.

Aku simpati, tapi apalah daya aku untuk mencampuri masalah M. Hulurkan kata-kata yang sedikit sebanyak dapat membantu semangatnya kembali mekar.

Kepada ibu-ibu, sentiasa lah berwaspada. Bukan bersangka buruk, tapi fahamilah bahasa hati.

Pada anak-anak, carilah tempat yang terbaik untuk meluahkan masalah. Mudah-mudahan, apa yang dikongsikan dapat mengajar kita akan erti kemanusiaan.

– Aku penyampai cerita, Y (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *