Bersabar Selagi Boleh

Assalamualaikum semua, Menjelang tahun perkahwinan ke 10, kami diuji suami kehilangan ibu tersayang sebelum puas membalas jasa ibunya.

Suami berubah 100 peratus. Sering termenung selalu menyalahkan diri sendiri kerana menjadi anak tidak berguna.

Ada masa dia akan menyalahkan saya sebagai isteri kerana tidak selalu mendorong die untuk menjalankan dirinya sebagai anak padahal saya tidak pernah melarang suami untuk balik berjumpa dengan ibu bapanya,

Malahan tiap minggu saya selalu mengajak suami dan anak-anak balik ke rumah orang tuanya tetapi suami memberi alasan kerja dan penat.

Amarah dalam dirinya tidak dapat dikawal apabila ada perkara yang berkaitan dengan arwah ibunya. Saya dan anak-anak selalu menjadi tempat melepaskan kemarahan.

Apa yang saya dan anak-anak buat silap sedikit pasti menjadi api kemarahan dalam diri suami.

Setiap malam saya menangis berfikir kenapa suami menjadi berubah selepas apa yang terjadi. Tiada lagi senda gurau antara saya dan suami. Apa perkara yang terjadi saya jadi tempat lepas geram.

Maki hamun kata-kata kesat sering saya terima apabila sifat amarah datang dalam diri suami.

Hati saya sakit setiap kali dia memarahi saya atau anak-anak, kadang saya jadi pendendam pada diri sendiri sehingga saya melepaskan kemarahan terhadap anak-anak tetapi saya rasa sangat menyesal selepas itu.

Prestasi kerja suami juga semakin merundum. Gaji suami sering dipotong akibat suami kerja mengikut perasaan jika dia rasa tertekan dia tidak akan pergi kerja.

Sampai satu tahap saya rasa nak lari dari rumah tetapi saya fikirkan suami dan anak-anak.

Gaji saya banyak membantu suami tetapi saya tidak pernah mengungkit sehinggakan saya tiada perbelanjaan untuk diri sendiri namun saya tetap bersyukur kerana masih ada tempat berteduh.

Suami sering mencari kesalahan saya sehinggakan anak sakit pun dia akan menyalahkan saya.

Suami memang sudah berubah, balik dari kerja terus menghadap handphone layan game online, bila anak tegur tidak dihiraukan katanya dia penat perlukan rehat.

Kami suami isteri bekerja, seawal 4.30 pagi saya akan bangun untuk menyiapkan bekalan dan melayan kerenah anak-anak untuk menyiapkan ke sekolah,

Saya terlampau letih mental dan fizikal akan sikap suami yang terlampau panas baran sampai satu tahap saya rasa hidup saya seolah tidak diperlukan.

Suami juga tidak hiraukan perasaan saya dia akan memarahi saya atau anak-anak dikhalayak ramai jika kami ada tersalah cakap atau tersalah perbuatan.

Jika ada kecemasan (wang) pula atau perkara yang penting sahaja suami akan bercakap dengan cara yang elok. Suami juga mengugut saya supaya tidak bercerita perkara ini kepada sesiapa.

Saya selalu beritahu dia supaya kita redha atas pemergian mak dan kita mampu doakan yang terbaik untuk arwah,

Kita manusia biasa tidak boleh tentukan dosa pahala tetapi kita boleh bezakan mencari pahala dan hindari dosa kerana dia sering mengatakan dia dan saya banyak dosa terhadap arwah ibunya malahan dia kata saya menantu yang tidak baik.

Namun, apa yang saya boleh buat sekarang saya hanya mampu bersabar dan berdoa.

Setiap kali api kemarahan datang saya akan buatkan air yang dibacakan ayat 19 dari Surah As Syura bermaksud:

“Allah maha lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang telah ditetapkan), dan Dialah yang maha kuat, lagi maha kuasa”

Hidup saya bertemankan air mata. Hanya itu sahaja mampu saya lakukan. Bersabar selagi boleh kerana saya hanya ada senjata (doa) buat diri saya.

– Aafiyah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *