Bumi Bertuah II

Untuk part I, (https://iiumc.com/bumi-bertuah/).

Malam ini tidak seperti malam lainnya, beberapa perkara bermain-main di dalam fikiran. Terkenang juga hampir dua tahun lalu, aku menulis konfesi Bumi Bertuah.

Tidak aku pasti mengapa tajuk itu yang ku pilih, barangkali kerana aku rasakan tanah air kita ini secara umumnya sangat bertuah, nikmat kurniaan Tuhan tidak terbilang.

Tapi dalam pada itu, ada segelintir dari kita yang tidak bertuah, yang memerlukan belas kasihan dan simpati dari anggota masyarakat lainnya.

Maka, kerana itu konfesi itu ku tulis, memohon masyarakat untuk bersimpati dan berempati kepada golongan-golongan rentan, yang tidak bernasib baik.

Izinkan aku mengambil peluang kali ini untuk mempertahankan diri aku.

Ada komen yang aku tidak bersetuju, terlalu mudah menghukum.

Menurut si pengomentar, aku tidak redha dengan takdir Ilahi.

Ini amat sensitif, dan aku sangat terkesan sampai ke hari ini.

Sebenarnya, apabila kita ditimpa suatu kepayahan atau ujian, kemudian kita mengadu dan mahu keluar dari kesusahan itu, bukanlah bererti kita tidak beriman atau redha dengan takdir tersebut.

Tidak betul juga jika kita sekadar mendiamkan apa-apa kezaliman, kemudian kita memberi alasan sudah takdirnya begitu, ini cara berfikir yang salah.

Sebaliknya, kita diberi kudrat untuk lari dari satu takdir ke takdir yang lain.

Ada juga pengomentar yang menyalahkan aku 100% kerana tidak pandai lompat ke tempat baru.

Ini betul dari satu sudut.

Tapi, silalah lihat dengan gambaran yang lebih besar, lihat dengan pandangan mata burung.

Jika sudah lumrahnya seseorang majikan itu bagi upah “underpaid”, maka jika pekerja bersilih ganti sampai sepuluh ribu kali sekalipun, akan ada di kalangan kita yang diberi gaji tidak munasabah. Masalah kembali ke asal, “back to square one”.

Konfesi yang aku tulis, bukanlah untuk diri aku seorang, aku menyentuh perkara ini secara umum.

Kepada pengomentar yang mengirimkan doa dan belas kasihan. Terima kasih. Semoga Tuhan membalasnya kembali.

InsyaAllah, walaupun tidak mengenal siapa diri aku yang sebenar, berkat ketulusan doa kalian, kini aku terima pendapatan yang lebih baik, sudah boleh jadi M40.

Namun, harapan dan hasrat aku supaya masyarakat lebih bertimbang rasa masih belum padam. Tapi, aku fikir perjalanan ini masih jauh beribu batu.

Ambil contoh hartal doktor kontrak sebelum ini, mereka melakukan mogok umum secara aman, memperjuangkan nasib doktor lantikan kontrak. Malangnya, ada sebahagian yang bukan sahaja tidak bersetuju, malah menyindir pula.

Contoh lain baru-baru ini ialah isu pelajar latihan industri, wajar diberi elaun atau tidak?

Apa pun alasannya, menurut pendapat peribadi aku, semua perniagaan, antara lain mesti ada objektif membantu atau menyumbang kepada masyarakat secara umum.

Tiadakah kita rasa belas kasihan jika pelajar di organisasi kita tak turun makan tengah hari kerana tak cukup wang, atau saban hari makan Maggi sahaja. Bagi elaun tidak bertambah miskin, jika kedekut tidak juga kaya.

Jika kita tidak pernah susah, silalah bayangkan kita berada di tempat mereka yang susah.

Jika kita sudah pernah susah, bermohonlah supaya orang lain tidak akan alami kesusahan sama.

Akhir kata, konfesi ini sekadar pendapat peribadi sahaja.

Mana yang baik silalah ambil, ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa.

Untuk rakan seperjuangan di luar sana, inilah kesimpulan aku. Nasib si kuli hanya akan diperjuangkan oleh si kuli sahaja. Sekadar bercakap kosong, atau sekadar mengadu di media sosial tak akan bawa ke mana kalau tiada tindakan.

Jalan penyelesaian yang aku nampak ialah perlunya penubuhan kesatuan sekerja, apa-apa permintaaan akan lebih sistematik, dan inilah yang dilakukan di Barat, dan rata-ratanya berjaya.

Sekian.

– Ali (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *