Cikgu Kesatria Kuning

Tuk! Tuk! Tuk!

Dari kejauhan kedengaran bunyi tapak kasut cikgu sedang mendaki anak tangga menuju ke kelas.

Dengan pantas, kelas yang tadinya riuh ibarat pasar tani terus bertukar sunyi sepi. Semua murid duduk dengan tertib di tempat masing-masing.

Bunyi detakan tapak kasut itu semakin menghampiri membawa bersama bau haruman yang amat mempesona.

Kelihatan cikgu berjalan dengan pantas sambil membimbing beberapa buah buku bersama satu batang pembaris kuning panjang.

Darahku berderau!

Kerja rumah matematik yang cikgu arahkan semalam masih belum aku siapkan. Ahh! Habislah aku! Wajahku yang hitam manis berubah pucat lesi bila memikirkan nasib aku sebentar lagi.

“Assalamualaikum cikgu!”

Jeritan ketua kelas menyedarkan aku dari lamunan. Kelihatan susuk tubuh cikgu yang tinggi lampai bersama rambutnya yang disisir rapi sedang berdiri tegak di hadapan kelas.

Mataku dengan pantas melihat sepasang kasut hitam berkilat milik cikgu. Dari hujung rambut hingga hujung kaki cikgu sememangnya individu yang mementingkan kesempurnaan.

“Baca sifir 9 sekarang!”

Dengan tegas cikgu pantas menyuruh.

Aku tersenyum. Mujur aku sudah berjaya menghafal sehingga sifir 12. Dengan penuh semangat, aku melaungkan sifir 9 bersama-sama rakan sekelas yang lain.

Cikgu dengan perlahan akan berjalan di sekeliling kelas sambil memerhatikan jikalau ada murid yang curi-curi membaca sifir di belakang buku latihan.

“Baik. Semua duduk. Hantar buku Matematik 1 kat depan sekarang. Saya nak tengok”.

Jantungku berdegup laju!

Ya! Cikgu akan memeriksa buku latihan satu demi satu dihadapan murid tersebut.

Aku cuba sepantas mungkin untuk menulis namun dalam keadaan darurat begitu mana mungkin otakku mampu berfikir. Seorang demi seorang murid yang lain bangun dan menyerahkan buku untuk diperiksa.

Aduh!

Otakku ligat berfikir apa alasan yang mampu aku beri. Ini semua gara-gara kepenatan bermain ’rounders’ semalam sehinggakan aku terlelap tanpa menyiapkan kerja rumah.

“Mampoih dah aku kali ni”.

Bisikku dalam hati.

Bila tiba giliranku, aku dengan perlahan berjalan menuju meja guru lalu ku hulurkan buku latihan matematik itu.

“Ni mana dia soalan latihan?! Pasaipa hang tak buat kerja? Hang nak jadi pa ni?!”

Aku terus tunduk sambil air mata laju jatuh di pipi. Ya! Ini kali pertama aku dimarahi cikgu.

“Hang tengok sini! Tengok bawah pasaipa? Awat tak buat kerja rumah?”

Perlahan-lahan aku beranikan diri untuk melihat wajah cikgu. Ya Allah! Selamatkan lah hamba-Mu ini doaku dalam hati.

“Minta maaf cikgu. Saya terlupa nak buat”.

Ucapku sambil terketar-ketar menahan tangis.

“Hang nak jadi pa tak buat kerja sekolah? Bila nak reti kalau tak buat? Lain kali hang tak buat lagi, siap hang!”

Aku melihat cikgu menyelak helaian buku latihanku satu persatu sambil menanda dengan sebatang pen merah. Mataku dengan pantas tertancap pada sebentuk cincin batu bersaiz besar pada jari cikgu. Cantik!

“Mai tangan dua-dua belah!”

Papp! Papp!

Cikgu dengan pantas merotan kedua belah tapak tanganku menggunakan pembaris kayu kuning yang sering cikgu bawa. Pedih!

Pedihnya masih aku ingat hingga kini walaupun sudah lebih 20 tahun berlalu. Dengan jelas aku masih ingati suara cikgu yang memarahi aku pada ketika itu.

Masih terbayang mata cikgu yang sepet tapi merah menyala kerana marahkan anak murid tidak siapkan latihan matematik.

Ketika itu sekitar tahun 90an, setiap pagi cikgu akan hadir ke sekolah dengan memandu Proton Satria Kuning. Uishh! Proton Satria ialah kenderaan paling popular pada zaman itu. Warna kuning pulak tu!

.

Kepada Cikgu Abdullah Bin Man..

Cikgu, terima kasih kerana pernah mendidik saya. Pernah memarahi saya.

Asbab didikan cikgu, saya berjaya perolehi 5A sewaktu peperiksaan UPSR pada ketika itu walaupun saya hanya anak seorang buruh kampung. Saya tak mampu hadiri kelas tuisyen berbayar.

Namun cikgu sanggup adakan kelas tuisyen percuma untuk kami pada hujung minggu.

Berpuluh tahun, saya sebagai anak murid masih mengingati jasa cikgu.

Terima kasih banyak cikgu. Semoga ilmu yang cikgu curahkan selama ini akan menjadi pahala berpanjangan buat cikgu.

-Anak murid kelas maju-

– Atma (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *