Assalamualaikum.
Saya bekas pelajar UIA. Bergraduasi dua tahun lepas alhamdulillaah.
Hanya ingin menceritakan sedikit pengalaman dengan makhluk Allah yang ghaib.
Saya tinggal di rumah pangsa di tingkat satu (tetapi seperti tingkat dua kerana yang di bawah adalah basement). Di hadapan rumah saya adalah taman kesemuanya. Tidak ramai yang meminati kawasan perumahan saya, kerana di kala itu ia masih lagi dikirakan sebagai kawasan perumahan yang baru dan masih penuh dengan belantara. Saya dan keluarga adalah keluarga pertama yang tinggal di pangsa itu, sementara seluruh pangsa itu masih kosong tak berpenghuni.
Suatu malam saya sukar melelapkan mata. Ibu dan ayah saya sudah nyenyak tidur. Saya pun duduk dan berteleku. Memang kebiasaannya saya lambat tidur, tetapi malam itu saya sudah mengantuk tetapi mata masih enggan lelapnya. Tiba-tiba sayup sayup kedengaran suara seorang wanita menyanyi. Saya cuba mengamati suara tersebut, sepertinya ia datang dari arah taman di luar, tetapi ia sangat jelas kedengaran. Terlalu jelas. Saya cuba meneliti lagi. Saya berasa pelik kerana tidak mampu memahami bahasa apa yang dinyanyikan. Bukan melayu, bukan india, atau cina. Saya pun melihat ke luar jendela, langsir saya jarang maka pandangan saya dapat menembusi ke luar. Suara itu masih jelas tapi saya tidak mendapati sesiapa pun berada di luar! Saya mula berasa seram. Saya melihat jam di dinding. Subhanallaah! Sudah jam 3 pagi rupanya. Serentak saya menyedari waktu suara itu pun menghilang secara tiba-tiba. Saya beristighfar dan lantas berbaring menyelimuti diri.
Keluarga saya memang kerap mengigau dan diganggu, tetapi saya paling jarang diganggu. Kerap kali ibu mendengar suara orang memberi salam, atau suara mangga pintu berbunyi. Tetapi tidak ada sesiapa di luar rumah.
Namun, Ustaz saya berpesan, kita semua adalah makhluk Allah. Berperanan mengabdikan diri pada Tuhan. Jangan takutkan sesiapa selain Allah. Bila hati meyakini Allah yang paling berkuasa, tidak ada satu pun kuasa lain yang mampu mempengaruhi jiwa kita. Semoga Allah memberi perlindungan pada kita seluruhnya.
Yang faqiir akan redha-Nya:
Si Hitam
– Si Hitam
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit