Dia Yang Mempesonakan

Assalamualaikum dan Selamat Berpuasa! Terima kasih admin jika post kisah saya. Sorry saya tak berapa pandai nak mengarang ayat tapi saya cuba juga nak sampaikan kisah saya di sini.

Sebelum ini, saya termasuk dalam golongan wanita bekerja yang berdikari dan langsung tidak ingin berkahwin. Namun segalanya berubah bila saya terpesona melihat seseorang ini.

Saya dilahirkan dalam keluarga yang cukup keperluan hidup. Saya belajar sampai Degree dan bekerja di sebuah syarikat swasta.

Namun, saya kurang kasih sayang kerana ayah dan mak memang sejak saya lahir sampai besar asyik bergaduh. Jadi rumah memang tak aman dan selalu porak peranda.

Saya ada seorang adik lelaki, Ilyas. Disebabkan situasi rumah, dia bekerja dan menetap di selatan. Ditakdirkan ayah meninggal dan mak pula membawa diri ke rumah adik beradik dia di selatan juga. Maka, saya keseorangan di KL.

Dari segi kewangan, saya memang cukup stabil. Kereta, rumah dan simpanan semua ada. Walaupun dah menginjak 31 tahun, saya masih tidak berkahwin kerana trauma dengan mak dan ayah. Mak pun dah penat layan kedegilan saya.

Saya selesa bersendirian. Saya berasa saya boleh hidup sendiri tanpa lelaki kerana stigma saya terhadap lelaki.

Ada beberapa lelaki berkenalan dengan saya dengan niat tidak betul dan ada juga yang ajak berzina jadi lagi saya takut. Ramai juga suami orang tanpa segan silu ajak beromen.

Ketika ini, saya masih free hair tapi pakaian tak adalah seksi. Saya memang buat yang wajib cuma boleh dikatakan saya masih jalil dalam agama.

Suatu hari, Ilyas kemalangan motor agak serius jadi dia terpaksa tinggal dengan mak sementara waktu. Saya akan melawat mereka setiap hujung minggu. Adik beradik dan saudara mara mak semua tinggal berdekatan juga.

Ada sekali semasa dalam perjalanan nak ke rumah mak, kereta tiba2 rosak tengah jalan. Ketika itu dah lewat malam, jalan kampung jadi tak banyak kenderaan.

Saya dah cuak dan terus call mak. Mak cakap jangan risau, nanti dia minta tolong Hanif. Nama Hanif selalu disebut oleh makcik2 di sana sebab dia baik tapi saya tak pernah berjumpa dengan dia.

Tunggu dalam 20 minit datanglah Hanif naik kereta dia. Dia cakap kereta kena tunda jadi dia suruh saya balik dulu naik kereta dia.

Nanti dia panggil kawan dia untuk tolong.

Cara berbahasa dan lenggok badan dia, sangat sopan. Hanif agak rendah sedikit dari saya tapi muka dia sentiasa senyum. Bila bercakap pun dia menundukkan pandangan. Masa ini ntah kenapa saya rasa malu sebab saya free hair dan pakai t-shirt.

Kereta dia bersih dan wangi. Barang2 semua terletak elok, ada pewangi kenderaan, tasbih, senaskah Al-Quran dan beberapa buku. Lagi bersih dari kereta saya.

Mak sekali pun tak hubungi saya. Bila saya dah sampai rumah, saya tanya mak kenapa tak tanya apa2?

Mak senyum sahaja dan cakap kalau Hanif ada semua elok2 sahaja. Hanif tak minta nombor telefon saya sebaliknya dia berurusan dengan mak dan Ilyas.

Petang esoknya baru Hanif pulangkan kereta. Bila mak ajak masuk rumah nak hidangkan air, dia segan sebab saya ada. Bila mak nak hulurkan duit pun dia tidak terima. Kereta dah elok siap isi minyak penuh.

Ingat tak lagu popular, ‘Aku terpesona?’ Sungguh saya terpesona melihat perwatakan dia.

Masa ini baru saya bertanya dengan mak pasal Hanif. Ikut cerita mak, ibu Hanif merupakan kawan sekolah mak dulu. Muka dan perwatakan Hanif sama macam ibu dia. Lembut, baik dan sopan santun. Hanif anak yatim piatu. Arwah abang dia dah meninggal.

Abang dia berserta isteri dan anak2 terlibat dalam kemalangan maut 7 tahun lepas. Impak dari kemalangan, hanya anak kedua dan ketiga selamat. Keluarga kakak ipar tak mampu nak jaga cucu2 oleh itu Hanif ambil alih tanggungjawab.

Sekarang anak kedua, Haikal berusia 10 tahun manakala yang bongsu, Hafiz berusia 8 tahun.

Orang2 di sini memang kenal dengan Hanif. Semasa abang dia meninggal, memang kecoh satu kampung tahu. Hanif sudah bertunang ketika itu tapi tunang dia minta putus sebab tidak mahu jaga anak2 buah.

Tunang dia berkahwin dengan kawan Hanif juga. Mak kata kawan dia ambil kesempatan masa Hanif tengah down. Dia sailang kawan sendiri kahwin dengan tunang Hanif.

Hanif berusia 33 tahun semasa saya baru berjumpa dia. Dia ada kedai dia sendiri dan uruskan homestay. Dia pun selalu ke hulu hilir buat macam2 kerja. Dia juga pandai masak.

Hanif belajar biasa2 sahaja, tak fasih nak berbahasa English tapi rajin buat kerja. Dia redha membujang sebab nak jaga anak2 buah dia.

Terusik hati bila dengar cerita mak. Mak pula macam boleh baca hati saya. Bila petang, mak saja jemput Haikal dan Hafiz datang rumah.

Masyaallah, perangai mereka sebijik macam Hanif. Terhibur hati melayan mereka.

Sejak dari hari itu, Hanif sentiasa berada dalam fikiran saya. Bila mak atau adik call, saya secara spontan tanya pasal Hanif. Bila saya cerita dengan kawan baik saya, dia cakap saya dah jatuh cinta hhhmmm.

Saya cuba menafikan perasaan ini. Saya dah bangga menganggap diri saya sebagai gadis moden, mampu berdikari, berkerjaya, berduit dan tidak perlukan perkahwinan untuk menyerabutkan hidup. Tapi perasaan terhadap Hanif makin lama makin menebal.

Saya selalu mengelak ke rumah mak sebelum ini tapi sekarang sedar2 saya dah sampai sana. Ilyas pernah tanya pasal Hanif dan saya jawab dengan jujur. Ilyas suruh saya cuba mengenal hati budi dia lagi rapat tapi saya tidak tahu caranya.

Benda ini berlaku selama setahun lebih. Saya usha2 dia dari jauh sahaja sebab saya masih cuba menafikan perasaan saya. Secara tak sedar, terbit satu perasaan nak present myself better bila berhadapan dengan Hanif.

Ketika puasa tahun kedua, terdetik hati saya betul2 nak jaga solat dan berdoa kepada Allah memohon petunjuk.

Kawan saya sahkan saya dah jatuh cinta jadi dia suruh saya cuba merisik Hanif. Ketika raya, saya mengumpul keberanian nak berjumpa dengan Hanif di kampung. Saya ke rumah dia dengan Ilyas.

Masa ini, Ilyas yang mula berbicara. Selepas beberapa kali bertanya, kami dapat simpulkan yang dia masih tidak berpunya. Ikutkan awal2 plan, kami cuma nak selidik pasal status dia.

Ntah kenapa saya terus tertanya sudi tak nak berkahwin dengan saya? Saya terima dia dan anak2 buah dia seadanya asalkan dia suka saya juga.

Saya jujur dengan dia yang saya dah setahun lebih usha dia. Saya tak kisah nak tukar kerja ke apa selepas berkahwin.

Well, it didn’t go as I imagine. Masing2 tersedak air dengan muka terkejut. Ilyas minta maaf cepat2 dan terus tarik tangan saya keluar rumah.

Sepanjang perjalanan balik rumah, dia membebel2. Dia cakap tak sopan lah apa. Susah jadi perempuan haiishh.

Bila balik rumah, kami diam tak beritahu mak takut kena marah.

Selepas beberapa hari, saya balik KL dan bekerja seperti biasa. Saya tidak menerima apa2 berita dari Hanif jadi saya sangkakan kena reject. Kawan saya gelakkan saya cakap mesti Hanif trauma errrmmm.

Selepas dua minggu, mak call suruh balik kampung. Masa saya balik, mak dah start membebel2. Rupanya mak dah tahu mengenai hal saya merisik Hanif.

Mak sebenarnya berjumpa dengan Hanif saja bertanya dia ada terbuka hati tak nak berkahwin tak? Hanif dengan lurusnya memberitahu yang saya sudah merisik dia kemudian saya lari. Krik krik krik.

Mak mengamuk2 marah saya. Cakap langgar adat, tak manis lah apa. Adik beradik mak dan saudara mara dia semua berkumpul dalam rumah mak. Jadi bermulalah sesi soal siasat.

Saya jawab yang saya terasa nak melamar dia jadi saya terus tanya. Saya masih jalil dan banyak benda nak belajar tapi kalau Hanif sudi nak membimbing, saya ok.

Bila mereka tanya kenapa suka Hanif, saya tak boleh nak jawab spesifik. Jadi saya beritahu yang saya dah usha dia setahun lebih dan saya terpesona dengan dia.

Terlompong habis mulut2 makcik, hahaha. Tapi mereka puji sebab saya berani, mak saja yang marah2. Esoknya, makcik2 ini semua pakat2 melawat Hanif nak merisik untuk saya secara proper. Mak tak bagi saya ikut takut saya buat hal.

Hanif cakap dia terkejut sangat2 bila saya merisik dia semasa raya. Kemudian saya lari tanpa khabar. Dari hari itu sampai sekarang dia tak tidur lena.

Dia cakap dia tak sepadan dengan saya sebab dia lihat pada taraf kewangan, pendidikan dan cara hidup. Dia risau dia tidak dapat nak membahagiakan saya jadi dia menolak elok2.

Geng2 makcik berkenaan pujuk dia untuk cuba kenal hati budi saya dulu kemudian baru buat keputusan. Dia pun terima dengan berat hati.

Kami ‘dating’ diawasi oleh mereka. Kami mostly diam sebab dia sangat pemalu jadi kami krik krik krik. Akhirnya, kami bersembang pasal makanan. Dia pandai masak dan saya suka makan jadi adalah topik untuk berbual.

Kali ketiga ‘dating’, baru Hanif buka mulut pasal bekas tunang dia. Dia masih terasa dan sakit hati dengan kawan dia dan bekas tunang. Tapi dia pasrah cakap elok juga sebelum berkahwin dah kenal perangai sebenar. Dugaan Allah selalu ada hikmah-Nya.

Hanif memang tak boleh nak bayangkan kami berkahwin sebab kami bagaikan langit dengan bumi. Dia risau tak mampu nak bahagiakan atau bimbing saya.

Masa ini saya cuma beritahu dia belum cuba belum tahu. Insyaallah, saya akan berubah ikut didikan dia. Kalau dia percaya dengan saya, maka terimalah kalau tak, tidak mengapa.

Saya balik KL dan meneruskan kerja. Selepas sebulan, mak memberitahu yang Hanif datang berjumpa dengan mak. Dia terima saya dan bersedia untuk next step. Cuma dia minta izin nak berjumpa dengan saya sebab ada beberapa perkara dia nak berbincang sebelum berkahwin.

Masa ini, boleh rasa my heart has been dipped with honey. Semua benda nampak indah dan manis. Boss marah report salah pun saya boleh senyum.

Traffic jem mentega berjam2 pun saya pasrah. Air berhenti tiba2 pun saya tak call maki Syab*s. Kawan saya cakap kalau angau bercinta macam inilah perangai errrmmm.

Alhamdulillah, kami akhirnya bertunang dan berkahwin. Hidup saya berubah 180 darjah selepas berkahwin dengan Hanif.

Sungguh saya tak menyangka akan mendirikan rumahtangga lagi2 dengan lelaki seperti Hanif. Tapi siapalah saya nak menafikan takdir Allah.

Nanti saya berkongsi sedikit coretan kehidupan kami selepas berkahwin.

Terima kasih sudi membaca!

– Intan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *