Habis Madu Sepah Dibuang

Saya telah berkahwin selama 10 tahun. Saya kenal suami saya selama 4 tahun sebelum kahwin. Maka, asas perkahwinan kami adalah cinta selama 14 tahun.

Pada awal perkahwinan kami, saya percaya kami membina sebuah keluarga yang bahagia. Kami menunggu zuriat pertama selama 7 tahun selepas perkahwinan.

3 tahun yang lepas kami dikurniakan seorang anak perempuan. Kini puteri kami berumur 3 tahun.

Pada awalnya, selama 7 tahun, saya percaya suami saya merupakan suami yang taat dan sejati. Suami saya ini merupakan seorang yang baik hati, selalu bantu orang dan sebagainya.

Namun, segala kepercayaan saya musnah apabila saya mendapati suami saya menjalinkan hubungan dengan pihak ketiga pada akhir kehamilan dan semasa saya berpantang.

Hubungan dia amat rapat dengan seorang penyondol yang merupakan seorang pelajar universiti swasta yang mempunyai jurang perbezaan umur yang ketara.

Pada mulanya saya amat mempercayai suami saya dan saya percaya dia hanya melayan budak tu sebagai seorang adik perempuan namun saya salah.

Saya cuba menasihati suami saya untuk menjauhkan dirinya daripada budak tersebut atas firasat seorang isteri. Saya perasan kelakuan budak itu tidak menunjukkan perangai yang bermoral dan saya percayai dia adalah ujian kepada perkahwinan dan cinta kami selama 14 tahun.

Namun nasihat saya sering kali tidak diendahkan oleh suami dengan mengatakan saya terlalu beremosi dan kononnya “overreacting”.

Lama-kelamaan, suami saya mula menunjukkan perubahan yang ketara. Dia sering pulang lewat malam dengan alasan sibuk di tempat kerja, tetapi saya tahu dia meluangkan masa bersama wanita itu.

Telefon bimbitnya dikunci dengan kata laluan, dia mula menyembunyikan nombor telefon baharu, dan berkomunikasi secara rahsia.

Saya juga pernah terlihat mesej-mesej menggoda yang dikirimkan kepada wanita ini. Semua ini membuatkan saya tertanya-tanya, adakah saya pernah benar-benar dicintai olehnya selama ini?

Saya sedar dia sudah jatuh hati dengan perempuan ini dan tidak mencintai saya lagi. Dia hanya nak bersama saya untuk anak perempuan kami. Hubungan ini bukan sahaja mencederakan hati saya, malah merosakkan keharmonian keluarga kami.

Ada banyak perkara yang saya maafkan dia dan telah cuba untuk selamatkan perkahwinan kami demi anak perempuan saya yang masih kecil.

Namun, saya dapat tahu dia sering kali berbohong dan menipu saya untuk berjumpa dengan perempuan itu- membuatkan saya rasa diri saya ini bodoh kerana dia masih membuat perangai yang sama dan saya telah diperbodohkan berkali-kali.

Lebih menyedihkan, saya juga dapat tahu bekas teman wanitanya yang sudah berkahwin dengan 5 orang anak “flirt” dengan suami saya walaupun dia tahu kami sudah berkahwin, dan suami saya juga melayannya.

Saya pernah bertanya kepadanya kenapa dia masih berhubung dengan bekas teman wanita dan kenapa dia tidak boleh melepaskan masa lalu untuk fokus kepada keluarga kami sekarang.

Namun, jawapannya hanyalah alasan demi alasan – sekadar “well-wisher” dan “kawan”.

Selepas saya menyoal perbuatan dia, dia pula yang menyalahkan saya atas masalah kami, mengatakan saya tidak memahaminya atau menghormatinya dan mengesyakinya. Dia memutar belitkan cerita, membuatkan saya kelihatan seperti isteri yang tidak bertanggungjawab.

Apa yang membuatkan saya lebih terluka ialah hakikat bahawa saya telah mengorbankan segala-galanya untuk keluarga kami.

Dia jatuh sakit selama 4 bulan dan saya menjaganya sehingga dia sembuh walaupun hati saya amat terluka dengan perbuatannya. Saya percaya itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang isteri dan dia tidak akan berhubung dengan penyondol itu lagi.

Saya juga pernah mendapat tawaran jawatan besar di sebuah syarikat dengan kenaikan gaji yang besar tetapi saya menolaknya kerana saya mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan kesihatan suami saya ketika dia memerlukannya.

Saya memberikan segala masa dan tenaga saya, tetapi apa yang saya terima hanyalah kekecewaan apabila dia memilih untuk terus bersama orang luar selepas dia sihat. Dia masih menegakkan benang yang basah dengan mengatakan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Dia sering berkata dia tidak tenang di rumah kerana saya. Tetapi, jika dia tidak melakukan apa-apa kesalahan, kenapa dia ada ketenangan di rumah selama tiga tahun ini?

Saya hanya mahukan seorang suami yang jujur, setia, dan menghormati saya. Saya hanya mahukan sebuah kehidupan keluarga yang tenang dan bahagia, tetapi dia memilih jalan yang menyakitkan saya berulang kali.

Setiap kali, air mata saya dianggap sebagai drama dan kesakitan saya tidak pernah diambil peduli. Dia hanya pentingkan orang ketiga dalam hidupnya. Dia melayan mereka tanpa mempedulikan perasaan saya.

Hubungan dengan wanita-wanita ini terus berlangsung, seolah-olah perasaan saya tidak pernah penting. Suami saya juga mempunyai banyak kekurangan namun tidak pernah terdetik di hati saya untuk mencari lelaki lain sebab saya amat mencintainya.

Apa yang paling menyakitkan ialah kesedaran bahawa saya hidup dalam satu pembohongan. Saya percaya dia mencintai saya sepenuh hati, tetapi tindakan dan keputusannya membuktikan sebaliknya.

Saya merasa seperti dijadikan perhiasan dalam hidupnya, sedangkan hati dan perasaannya dimiliki oleh orang lain. Inilah yang dikatakan, habis madu sepah dibuang.

Sekarang, saya berada di satu persimpangan hidup. Saya tidak tahu sama ada untuk terus berjuang atau melepaskan semuanya. Namun, saya tahu satu perkara saya berhak untuk dihormati dan dicintai.

Saya berdoa agar Allah SWT memberikan saya kekuatan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk diri saya dan anak kami.

Jika suami saya tidak mahu berubah dan terus menghargai hubungan dengan pihak ketiga, saya mungkin terpaksa memilih jalan lain untuk mencari kebahagiaan dan ketenangan.

– Maleficient (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

3 Comments

  1. Salam,
    Jangan meminta kekuatan kerana Allah akan mendatangkan masalah untuk mendidik puan menjadi kuat. Tapi mintalah kelembutan Allah (Ya Latif) agar Allah mempermudahkan urusan dan berikan kelapangan hati buat puan. Balik semula pada Allah. Nangis, bertaubat(kerana mencintai makhluk sepenuh hati), dirikan solat hajat minta jalan keluar yang terbaik. Saya doakan urusan puan dipermudahkan Allah. Allahummaamiin.

  2. tak payah pening2 orang dah tak suka kat kita nak buat apa lagi jangan buang masa & tenaga lagi.. fokus dekat anak je simple hehe

  3. Inilah ujian kpd wanita yg ‘setia’ dan berharap suami nya akan ‘kembali’ kpdnya.. ada betulnya kata en. Ibrahim tu.., apa2 yg terjadi pon, kembalikan dan mngadu kpd Allah SWT.. Dia lah yg telah menguji dan mentaqdirkan segalanya, jadi mohon lah kpd Dia utk kembutkan hati suami & kembali ke ‘pangkal jln’.. minta sungguh2 dan usaha yg terbaik utk buktikan kasih syg awk kpdnya.. ustazah kta, jgn tanya, “apa salah saya, apa kekurangan saya..?”, tp buat n layan lah spy biasa, klaw bole lbh dari yg sbelom ini.. jika semua nya telah dicuba, & dia masih tetap begitu, minta lah petunjuk dari Allah.. fokus dgn Allah shj, klaw dia x balik, or tak peduli, itu mungkin ‘peluang’ awk utk ‘bersunyi2’ dgn Allah.., insha Allah itu adalah suatu ‘kebhagiaan’ juga utk awk.. percaya lah, Allah x akn mensia2kan awk, klaw x dpt di dunia pon, insha Allah ada ‘habuan’ awk di Akhirat kelak, asbab kesabaran dan usaha awak.., walhal ‘habuan’ kpd dia yg mngkhianati awak juga pasti Allah sediakan.. redha & tawakal selalu.. Wallahu a’lam bissawab.. 😌

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *