Hai semua. Cerita pasal duit suap. Siapa yang tidak kenal perkataan ini kan?
Demi memenuhi nafsu duniawi, segala yang haram akan dihalalkan. Yang muslim, langsung tidak mengambil enteng berkenaan sumber makan yang kemudiannya di berikan makan minum kepada anak isteri.
Lantas, tidak mustahil keberkatan punca rezeki hilang.
Tapi, apa mereka ini peduli? Yang penting punyai rumah banglo besar, kereta nilaian setengah juta, status tinggi di mata masyarakat dan hidup bermewah.
Aku di sini sekadar berkongsi pengakuan dari teman rapat ku, yang ku namakan Fais.
Petang hari, sambil melayan angin Pantai Siring, dapatlah mata ini menikmati indahnya Pulau Besar yang terletak sekadar beberapa minit menaiki speedboat.
Begitu ramai manusia di sini, ada yang dari lokal setempat seperti aku dan Fais, dan ada yang dari luar kawasan.
Bicara bermula pabila aku bertanyakan Fais tentang kerjayanya buat masa kini. Kerana setahu ku, Fais ada bekerja dengan bos lamanya yang banyak mengambil kerja-kerja kontraktor. Masihkah dia di tempat sama atau sudah berubah angin?
Fais sekadar mengeluh perlahan dan matanya seakan merenung jauh. Aku sangkakan dia ingin mengelak soalan ku, barangkali panahan ku kurang tepat mengena sasaran di petang hari. Tidak, Fais menjawab. Dan alkisahnya pun diceritakan Fais satu persatu.
Sejak era covid, bisnes hotel bos Fais, yang aku gelarkan Abdullah (A) sedikit merundum.
Makanya si A ni banyak mengambil tender-tender kecil di BKM (jabatan bukan nama sebenar) yang mana kebanyakan urusan di lakukan oleh Fais dan kawan sekerjanya, segalanya atas arahan si A.
A juga mempunyai beberapa nama syarikat di bawah namanya dan nama isterinya. Dia turut meminta Fais serta staf lain membuka SSM baru.
Tujuannya tidak lain tidak bukan, untuk mengambil projek-projek kecil dengan nama syarikat yang berlainan. Kedengaran seperti normal kan?
Oh ya, Fais tidak mendapat sebarang imbuhan jika projek menggunakan nama syarikatnya.
Makanya Fais dan kawan sekerjanya akan menyiapkan segala paperwork dari A-Z untuk semua projek.
Setiap projek yang dapat pula, director BKM akan mendapat 10% habuan dari nilaian projek. “Bagaimana pula dengan sang bilis yang banyak di bawah jerungnya?”, tanyaku pada Fais.
Fais membalas soalan ku. Bilis bilis ini pula akan mendapat habuan RM50-RM100 setiap kali mereka turun ke site bagi meninjau progress kerja.
Ya, duit itu semua memang sudah disediakan awal oleh si A. Berbungalah mereka mereka ini. Dan disebabkan duit jajan yang si bilis ini terima, sebelah mata akan dipejam seandainya hasil kerja tidak memenuhi piawai sop yang sepatutnya.
Sebagai contoh, kerja menambah tanah di suatu kawasan. Jumlah lori yang diperlukan adalah 60. Tapi apa yang terjadi di site, hanya 40 buah lori saja yang digunakan. 20 lagi bakinya sudah ghaib di pandangan mata.
Si Bilis yang datang ke site, akan terus approve project completion. Waima, kesempurnaan projek tersebut masih lagi rompong!
Dan bilamana Si Bilis mendapat duit jajannya, maka progress release duit sangat dipermudah dan dipercepatkan.
Pernah sengaja ‘money’ tidak diberikan kepada Si Bilis, duit release project sangat lewat dapat, boleh menjangkau 2 bulan lebih.
Pernah juga beberapa projek yang tidak perlu tetapi sengaja diadakan. Kata mereka ianya penting. Walhal tidak ada kepentingan rakyat pun di situ. Ia sengaja diwujudkan demi berkongsi hasil duit negeri ke dalam poket bisnesman seperti si A dan jerung beserta bilisnya.
“Ini sekadar projek-projek kecil saja”, ujar Fais. Jika melibatkan projek besar yang nilaiannya sangat besar, maka lagi besar lah duit jajan tersebut. Aku bertanya lagi, “seberapa besar kah jumlahnya?”. Fais pun menyambung lagi kisahnya.
Ada masa tertentu, si A akan meminta dia untuk pergi ke bank dan cash out duit berpuluh ribu. Setelah itu, A akan masukkan duit tersebut ke dalam envelop besar. Kelihatan seperti dokumen biasa dari mata kasar.
A akan mengarahkan untuk bertemu sekian sekian Dato’ yang juga kenalannya di tempat awam untuk serahan envelop tersebut.
Adakalanya di warung makan tluk mus, dan adakalanya sekadar tempat parking kereta. Semuanya menggunakan transaksi tunai bagi mengelak dikesan mata mata lain.
Aku terkesima mendengarnya. Astaghfirullahalazim, dalam hatiku. Tapi aku mengunci mulut sambil mendengar cerita Fais.
Fais menyambung lagi. Bukan saja di situ, banyak lagi tempat menggunakan kaedah yang sama. Tempat bersukan bowling juga tidak kurang hebatnya. Director punya imbuhan wajib ada setelah project siap, kata Fais.
Aku bertanya lagi untuk kepastian. Adakah mereka yang mendapat duit jajan ni kesemuanya beragama Islam?
Fais mengiyakan. Bahkan ada dalam kalangan mereka punyai anak isteri elok bertudung. Mengucap panjang aku dibuatnya. Mana pergi akal waras seorang Muslim dan Mukmin dalam diri mereka mereka ini.
“Sebab itu tak usah kau sanjung tinggi mereka yang berjawatan tinggi dan ber title Dato’ ship ni. Mereka naik dengan cara haram, walaupun nampak gah di mata manusia. Atau kau tanya jujur pada Kontraktor yang bermain tender kerajaan,” ujar Fais.
Dan ironinya, rata rata mereka menjadi kaya raya dengan projek bernilai jutaan ringgit di bawah tender k*******, bukannya swasta!
Menurut Fais, dia sudah lama berhenti kerja dengan A. Dan dengarnya si A kini mendapat projek di utom, wallahua’lam.
Dia menasihatiku, andai aku bergelar kontraktor suatu hari nanti, dapatkan projek cara halal. Jauhi yang haram.
Di dunia mungkin lepas segalanya. Di dunia mungkin kita bergelar vvip. Di dunia mungkin disanjung tinggi kerana punya wang. Tapi dunia hanya sementara, INGAT akhirat lah tempat yang abadi.
– Amil (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit