Seperti kisah-kisah yang pernah di tulis, aku juga berperang dengan diri sendiri. Perjuangan melawan diri sendiri yang lebih kurang dengan confessor Serara ( https://iiumc.com/hidup-dah-
Imaginasi liar tentang hal tu akan datang pada bila-bila masa, atau lebih teruk apabila keadaan aku tak stabil. Macam sekarang. Tadi aku membayangkan aku terjun dari puncak bukit, semalam aku ternampak aku tergantung dalam ruang gelap. Pernah jugak aku terfikir untuk kelar leher sendiri dan macam-macam lagi cara.
Aku putus asa dengan kehidupan. Tapi aku masih bertahan kerana memikirkan mak ayah dan maruah keluarga. Aku nak mati. Aku berdoa pada Tuhan untuk bagi kekuatan dan ketabahan, tapi aku juga pernah berdoa agar diambil nyawa dari jasad. Pernah jugak aku berdoa waktu azan berkumandang, agar diberikan sakit kronik supaya aku lekas mati. Aku dah tak larat.
Untuk umur yang menghampiri usia 40-an, takda apa yang aku boleh banggakan tentang kehidupan. Beberapa tahun lepas, aku berhenti kerja sebab kemurungan aku tak terkawal. Aku pernah berhalusinasi kat tempat kerja. Nyaris aku tak lari menyorok bawak meja dan menjerit. Aku pernah broke down dekat pejabat. Makin lama prestasi kerja makin teruk. Aku dah tak boleh nak berkomunikasi atau fokus. Jadi aku berhenti.
Aku juga berhenti belajar beberapa tahun sebelum tu. Tak mampu nak teruskan pembelajaran. Juga disebabkan kemurungan. Dalam masa yang sama, aku juga tak dapat support dari society tempat belajar.
Malah, aku diperli dan sering menjadi bahan jenaka atau cercaan pensyarah waktu aku kena repeat semester. Aku bertahan, sampai akhir sekali aku kecundang pada saat akhir. 18 jam kredit je lagi untuk aku dapatkan degree, tapi aku tak mampu untuk teruskan. Tahu aku loser, tak payah korang ingatkan.
Beberapa hari ni, aku terasa kehidupan aku terlalu kosong dan takda hala tujuan. Takkan aku nak mengharapkan mak ayah aku sampai tua. Kesian dekat diorang. Dahlah kena tanggung malu sebab aku, kena tanggung aku sampai sekarang pulak tu.
Aku ada je buat beberapa kerja, berniaga kecil-kecilan. Pendapatan aku pun berapa lah sangat. Aku cuma dapat bantu diri aku sorang je. Itupun banyak perkara yang aku kena lupakan. Pendapatan aku cuma beberapa ratus aja sebulan setelah tolak kos dan modal. Itupun tak tentu.
Untuk beberapa bulan ni, pendapatan aku terlalu teruk. Macam tertutup pintu rezeki atas sebab yang aku sendiri tak mampu untuk fikir. Tapi aku masih bersyukur sekurang-kurangnya aku masih ada tempat tinggal dan makanan. Semua atas belas ihsan keluarga.
Jadi bayangkanlah, bila keluarga nak bercuti diorang kena tanggung aku. Kalau tidak, aku takkan mampu untuk ikut serta. Tapi sampai bila kan. Bukan aku takda terfikir untuk kembali bekerja, tapi untuk aku yang takda kelayakan ni, apa sajalah yang mampu aku buat. Ada sakit mental pulak tu. Dah beberapa tahun tak bekerja pulak tu.
Kau nak ke hire orang macam aku? Dulu masa bekerja pun orang dah panggil aku budak mental. Aku tak nak hadap benda tu dah. Makin murung aku nanti.
Aku tahu perbuatan aku sekarang cuma menjejaskan diri aku, tapi dalam masa yang sama aku jugak menjaga diri aku dari relapsed. Mungkin cara aku tak bagus, tapi dengan cara membawa diri dan mengasingkan diri dari masyarakat ni menjadikan aku lebih tenang. Walaupun hakikatnya aku masih berperang dengan kemahuan yang ingin mati.
Untuk pengetahuan, aku pernah dapatkan rawatan psikatri. Cuma sekarang dah beberapa tahun aku berhenti. Mungkin sebab aku kecewa dengan doktor atau mungkin juga sebab lokasi yang terlalu jauh dan aku tak ada transport. Payah. Samada aku perlu mengeluarkan duit yang banyak untuk ke hospital, atau aku terpaksa menyusahkan sesiapa untuk ke sana. Jadi aku pilih untuh berhenti dapatkan rawatan.
Hal-hal aku dengan Tuhan itu antara aku dengan Dia. Dia tahu setiap rayuan dan doa aku dalam sujud. Dia tahu perjuangan aku melawan diri aku sendiri. Setiap malam aku mengaji. Manalah tahu kalau-kalau ada yang nak cakap aku ni jauh dari Tuhan. Kerana begitulah sikap sebahagian dari masyarakat kita. Sedangkan kemurungan ini adalah penyakit. Dan penyakit perlu dirawat.
Jadi tolonglah, jangan dera mental orang-orang macam kami yang tidak sesihat kamu. Tolonglah, aku merayu. Tolonglah bantu kawan-kawan atau keluarga korang yang alami benda yang aku alami. Tolonglah. Tolong.
Semoga kita semua kuat untuk terus berjuang dan dipermudahkan segala urusan.
Terima kasih.
– Penyu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit