Jodohku Bukan di Dunia?

Setelah hampir 5 tahun, 7 dating apps, 15 orang calon dan 2 orang bakal suami berpotensi tinggi, akhirnya aku membuat konklusi bahawa semua dating apps di Malaysia adalah scam! It’s a scam… untuk diri aku sendiri. Mungkin ada baiknya juga untuk aku berhenti mencari?

Nama aku Farra, (bukan nama sebenar), berumur awal 30-an dan menetap di ibu kota.

Innalillahiwainnailaihirojiun…” itulah ungkapan yang mampu keluar dari mulut aku selepas menghantar pesanan terakhir untuk si dia yang aku benar-benar anggap calon yang terakhir. Jangan salah faham, dia belum meninggal dunia, cuma ‘meninggalkan’ diri aku sahaja.

Manakan tidak, umur kami berdua dah menjengah 30-an, masing-masing memang mengharapkan hubungan yang serious. Si dia juga telahpun berjumpa dengan keluargaku sebanyak 2 kali dan begitulah juga dengan diriku.

Bukan itu sahaja, dia juga telah memperkenalkan diriku pada teman-teman kerjanya sewaktu majlis makan-makan syarikatnya dulu. Dia adalah satu-satunya calon yang banyak menunjukkan ‘green flag’ sehingga berjaya menanam ‘harapan’ yang agak tinggi ke dalam diriku.

“Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Akhirnya kau pertemukan juga aku dengan ‘the-one’ yang aku dambakan. Kau peliharalah hubungan kami, ya Allah. Moga dialah jodohku yang sebenar-benarnya,” doaku pada DIA hampir setiap hari sewaktu mula-mula perkenalan kami dulu.

Oh ya sebelum aku terlupa, si dia adalah seorang mualaf yang telah memilih untuk memeluk agama Allah sebelum perkenalan kami lagi. Dia Ikhlas dengan pilihannya sendiri, selain pengaruh dari teman-teman rapatnya yang majority adalah melayu beragama Islam.

Oleh kerana itu, si dia sangat menitik beratkan penjagaan solatnya, rajin menghadiri kelas agama, rajin berjemaah di masjid termasuk waktu Subuh dan rajin berkongsi ilmu-ilmu islamik.

Bulan puasa baru-baru ini, si dia pertama kali menjalani ibadah puasa dan bukan sahaja berjaya berpuasa penuh, tetapi juga hampir setiap malam ke masjid menunaikan solat sunat tarawih.

Apa yang membuatkanku lebih kagum adalah, si dia turut berjaya berpuasa sunat 6 Syawal! Hebat kan? Macam manalah kedua ibu bapaku tidak menaruh harapan yang tinggi pada dirinya.

Dari segi personalitinya, si dia sangat soft-spoken, sopan-santun, penyayang, rajin berkongsi cerita di mana hampir setiap hari dia akan menghubungiku untuk berborak mengenai perihal sehariannya di tempat kerja dan juga hal peribadi.

Tidak cukup dengan call, kami juga kerap berbalas Whatsapp hampir setiap masa. Semuanya kedengaran manis dan indah-indah belaka, bukan?

Namun begitu, kami berdua manusia, tiada yang sempurna. Seperti diriku yang memiliki banyak kelemahan, begitulah juga dengan dirinya. Tetapi kelemahan dirinya, boleh aku katakan agak… melampau, sehinggakan aku dah tak mampu untuk telan lagi.

Entah mengapa, tiada angin, tiada ribut, si dia kian ‘mendingin’. Si dia berubah menjadi sangat sensitif.

Awal perkenalan kami dulu, aku boleh kategorikan si dia sebagai seorang lelaki yang bersifat agak kewanitaan sedikit, di mana si dia agak kuat merajuk, gemar bergossip, agak sensitive dan sukar dibawa berbincang ketika bergaduh.

Tetapi apabila mengenangkan sifat mahmudahnya yang lebih selain umurku yang kian meningkat, aku tutupkan sahaja sebelah mataku dan memilih untuk berdamai. Apa manfaat bergaduh lama-lama untuk perkara yang remeh? Bukankah kita memang manusia yang kerap membuat silap?

Mungkin inilah ‘harga’ yang perlu aku bayar untuk mendapat jodoh idaman yang seimbang dunia juga akhiratnya? Tak mengapalah, aku terima. Aku pun ada kelemahan juga.

Hinggalah di akhir-akhir perkenalan kami, Allah telahpun memberi jawapan pada Istikarahku dengan cara menunjukkan sifat negatifnya dengan lebih jelas. Si dia semakin sensitif dan kuat merajuk walau untuk perkara yang kecil sehinggakan terlihat sisi gelapnya yang agak baran.

Aku langsung tidak boleh menegur kesalahannya walau sedikitpun atau si dia akan menghukum diriku dengan kata-kata yang pedas dan tidak menghubungiku langsung. Tiada lagi khabar berita, berkongsi cerita, bergelak ketawa apatah lagi memohon maaf dan berbaik semula.

Kali ini, aku tidak mampu untuk telan lagi. Aku tidak lagi menjadi yang pertama ‘mencemar duli’, memohon maaf dan meminta untuk berdamai kembali. “Dia pun tak jadi jugak ke?” Soal ibuku sejurus mengetahui status kami.

Aku hanya mampu mengeluh perlahan sambil mengangguk. “Entahla, ibu. Nampaknya dia pun sama je macam dengan yang sebelum-sebelum ni. Mula-mula je berminat, lama-lama jadi benci,”

Jelas terlihat wajah sayu ibu memandangku. Aku tahu jauh di sudut hatinya dia juga turut bersedih, kasihan melihat harapan anak gadisnya yang telah punah sekali lagi.

Hancur juga harapannya untuk bermenantukan seorang mualaf yang disangka boleh membimbing keturunannya nanti. Manakan tidak, selain doa aku sendiri, ada lagi doa yang lebih besar di belakangku iaitu doa sang ibu, hampir setiap malam, setiap hari.

“Tak apa lah, Farra. Allah ada simpan yang lebih baik lagi. Besar ujian dia bagi pada Farra, besar juga ‘hadiah’ yang DIA nak beri nanti,” itulah ungkapan yang sama keluar dari mulutnya waktu perkenalan aku dengan seseorang yang juga tak kesampaian dulu.

Tapi kali ni aku dapat lihat mata ibu berkaca. Dia juga seakan mengelak untuk memandang tepat ke mataku saat berbicara. Jelas, kegagalan kali ini memberi impak yang sangat besar buat dirinya.

Ironinya, pengakhiran hubungan aku dengan si dia memang hampir sama dengan yang sebelum ini. ‘Pattern’nya seakan berulang.

Pada mulanya mereka sangat berminat sehingga menunjukkan ‘effort’ ke arah memperisterikan aku. Tapi pada penghujungnya, mereka berubah menjadi dingin, hambar dan seolah sengaja memperlihatkan sisi gelap mereka seakan memberi signal untuk aku membenci mereka.

Adakah aku telah ‘terkena’ sihir pemisah? Atau adakah ini hanyalah petunjuk dari Allah untuk melindungi diriku dari berkahwin dengan orang yang salah? Atau adakah jodohku sebenarnya bukanlah di dunia tetapi di akhirat sana?

Berbalik pada kenyataan aku pada rangkap pendahuluan di atas, aku memang seorang yang tidak kenal berputus asa dalam mencari cinta. Ya, bagi aku, untuk mendapat cinta aku perlu berusaha.

Aku bukanlah anak raja yang boleh duduk beristirehat di istana menantikan kedatangan sang Putera. Aku hanyalah seorang wanita marhaen yang berkerja 9 hingga 5, Isnin hingga Jumaat,

Duduk bersama keluarga yang hujung minggunya banyak dihabiskan bersama keluarga dan rakan sejantina, tak pun memenuhi jemputan rakan-rakan yang dah berkeluarga yang sibuk mengadakan majlis cukur jambul untuk anak-anak mereka.

Jadi cuba anda lihat dan bayangkan seketika lifestyle seorang Farra. Di manakah kebarangkalian untuk sang Farra berjumpa dengan bakal zaujahnya kalau bukan di online dating?

Oleh kerana itulah, dahulu aku percaya yang aku wajib berusaha mencari calon jodohku tak kira di dating app mana sekalipun asalkan aku mencuba. Apabila gagal, aku akan cari lagi.

Ramai calon yang aku jumpa dan setiap satunya ada kisahnya tersendiri tetapi dengan pengakhiran yang sama. Luahan ini akan jadi terlalu panjang sekiranya aku kongsikan perjalanan pencarian cintaku sejak awal.

Aku kira cukuplah sampai di sini sahaja atau mungkin akanku sambung di luahan ke-2? Mungkin juga aku akan kupas bab “speed-dating” yang tengah hangat sekarang ni.

Sebagai penutup, kehidupan harus diteruskan. Meski berat macam mana pun ujian yang perlu ditempuh, aku harus terus berjalan. Bukankah dunia ini medan ujian? Mohon doa dari kalian supaya aku dipertemukan dengan yang terakhir.

Pada yang senasib denganku, aku doakan supaya kalian dipermudahkan urusan jodoh dan JANGAN BERHENTI mencuba, BEREHAT tak apa. In Shaa Allah, DIA akan perkenankan sekiranya niat kita ingin berkahwin hanya semata-mata kerana-NYA.

– Gadis Senja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

6 Comments

  1. Big hug sis, Sy pn mcm sis gk…dh lwt 30an…msh lg berusaha mencari jodoh…Ada ketika sy pause skjp bla jmpa dgn org y salah…rasa penat bla si dia hnya beria d awal prkenalan…lm² smkn dingin…akhirnya sy hny menjadi tempat persinggahan si dia…mcm² janji manis ditabur, akhirnya menyepi bgtu sj…biarlah,Allah sllu ada…siapa y menyakiti pasti akan disakiti suatu hr nanti…

  2. Mungkin Allah nk bagi yg ‘terbaik’ selepas semua ‘tapisan’ yg x menjadi tu.. tak ape lah itu sudah tertulis sejak azali lg.. apakata, lps ni xyah cari dah, biarla jodoh itu dtg sendiri.. klau ada, ada la.., n klau xde, redha je.. kdg2 hidup sendiri pon lagi mudah, x perlu susahkn sesiapa.. minta pertolongan dr. Allah SWT shj.. Dia yg maha mengetahui.. Wallahua’lam

    • Btl mami, biarlah jodoh tu dtg dgn sndri…dh hbis ikhtiar dan usaha…andai tertulis ada rzki jodoh, mg bertemu d waktu yg tepat menurut perkiraanNya …aamiin²…

  3. Mungkin awak boleh cuba reflect cara awak komunikasi. Awak kata lelaki mualaf tu cepat merajuk dan sensitif kan? Awak ni jenis yang tegur direct dan suka mengarah2 orang ke? Suka cakap kasar ke?

    Maaf kalau ter judge..tapi kalau bnyk kali dah jadi mcm ni, mungkin kita kena tukar pattern supaya dapat result yang lain.

  4. Its okay sis. Sy pernah alami mcm sis, dulu sy sgt aktif online dating. Mcm2 dating apps sy download dan bermacam org sy jumpa. Tp tak semua melekat. Di usia sy 32 sy putus cinta dgn seseorang yg sy dah couple selama 8 tahun dgn harapan dia lah yg terakhir utk sy, sbbkan dia janjikan bulan bintang dan kami dah berjumpa family msg2. Tp janji tinggal janji, bila dia bg beribu alasan utk tidak berkahwin dan akhirnya putus. 8 tahun bukan masa yg singkat utk sy melupakan, tp utk melupakan sy kembalik aktif online dating mencari dan mencari tp semuanya laki janji palsu. Sehinggalah tahun 2022, bila sy dah putus asa utk mencari, sy kembali kepada Allah. Sy sedar masa tu, mgkin diri sy yg terlalu jahil dengan agama, buatkan sy jauh dr Allah. Sy mula berubah, mendekati yg maha Esa. Semua online dating apps sy buang, dan habiskan masa dgn Allah. Tahun yg sama, perginya ibu tercinta membuatkan sy lg terduduk dan melupakan terus hasrat utk berkahwin dan menyerahkan semuanya pada Allah. Masa tu sy hanya fikir nak menjaga ayah dan juga adik sy yg bongsu sbbkan adik beradik lain semua dah berkahwin. Sy lupakan hasrat mencari jodoh, tp dlm solat tak penah utk sy lupa utk berdoa tanpa henti. Doa yg sama tiap kali solat. Dipertemukan jodoh yg terbaik tepat pada masanya yg dpt menerima diri sy yg tak sempurna dan keluarga sy. Sehingga akhir tahun 22, adik laki sy cuba perkenalkan sy dgn kwn baik dia sendiri. Sy mulanya agak malas nak berkenalan lg, lepas dah kecewa berkali2. Setelah dipujuk berkali2, akhirnya sy cuba utk berkenalan dan minta adik berikan no hp sy pada kwnnya. Yg kelakar, bukan adik yg bg no hp sy, tp sang dia yg minta no sy pada adik. Bermula perkenalan kami yg singkat. Dlm masa beberapa bulan lepas kenal, kami berdua bersetuju utk tamatkan zaman bujang kami. Alhamdullilah, sungguh tak disangka, merata sy mencari, tp akhirnya yg paling dekat rupanya jodoh sy. Tiada siapa sangka. Alhamdullilah bulan 9 tahun 2023, di usia 37, sy tamatkan zaman bujang dan sy sedang mengandung anak sulung. Sewaktu berkenalan pun, sy tak letak harapan yg tinggi pada suami ketika itu, sbb sy takut kecewa lagi. Cuma tiap kali solat, sy tetap tak tinggal doa yg sama berulang2, dan sy masih cuba berubah menjadi hamba Allah yg lebih baik. Jadi, sy harap sgt tt tak berputus asa, janji Allah itu pasti. Tidak ada jodoh di dunia, di syurga pasti ada. Allah tak kejam dengan hambaNya. Mohon doakan sy dan baby selamat dan dipermudahkan semuanya. Dan sy doakan semoga tt dpt berjumpa dgn seseorang yg Allah janjikan itu. Aamiin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *