Luka Ramadan

Bismillah. Hari ini terjadi fenomena equinoks. 20 Mac 2024.

Alhamdulillah sudah memasuki 9 Ramadhan.

Sengaja aku catatkan peristiwa di permulaan, sebagai tanda untuk mengenang hari dan tarikh confession ini dibuat.

Salam Ramadhan buat pembaca semua. Rasanya masih belum terlambat untuk aku ucapkan terima kasih atas kata-kata nasihat dan sokongan moral yang diberikan.

Aku pernah menghantar beberapa luahan sebelum ini, terima kasih sudi membaca dan meraikan pendapat serta berkongsikan ilmu dan pengalaman yang ada.

Ada yang meminta untuk pm the readers.

Thank you! I really appreciate it but I am not ready to interact with any readers here.

Apapun setiap kata-kata yang baik adalah satu bentuk sedekah dan pahala jariah di alam maya. Semoga yang sering berhati-hati ketika menulis komen meninggalkan kesan baik dalam hidup semua yang membacanya.

Baik, aku mulakan entry kali ini dengan tajuk ‘Luka Ramadhan’.

Mengapa luka?

Entah. Perkataan itu yang sering bermain di fikiran belakangan ini. Ada kata-kata yang tak terluah andai diceritakan secara berdepan.

Anggap sahaja curahan kali ini hanyalah sebagai terapi untukku lepaskan apa yang terbeban di perasaan. Semoga selepas ini dadaku makin ringan.

Aku Amelia, yang berusia hampir mencecah usia 30 an, bujang & introvert. Lahir dalam keluarga sederhana.

Seorang bekas guru, yang melalui beberapa episod yang mana menjadikan aku hampir hilang identiti hari ini.

Tahun 2023 yang lalu benar-benar beri impak yang luar biasa dalam hidupku.

Diuji dari sudut ekonomi, keluarga, perhubungan, kerjaya dan teman rapat yang berturut-turut membuatkan aku hilang kepercayaan terhadap diri sendiri dan orang sekeliling yang pernah rapat.

Ada satu saat dalam kehidupan, Allah akan menguji ‘kaw-kaw’ hingga terduduk dan berkata:

“Selepas ini apa lagi, ya Allah? Apa lagi? “

Sampai pernah terdetik dalam hati untuk ‘berhenti’ meminta pada-Nya. Serasa berkecil hati dengan Tuhan.

Sudah kuturuti semua yang dipintaNya, bahkan sehingga hampir hilang keseimbanganku berbuat baik dan ikhlas sesama manusia, tapi balasan yang kuterima.. aku sendiri tidak sanggup untuk menaipnya.

Aku sedaya berlapang dada dan berdamai dengan takdir. Sakit memang sakit. Perit memang perit. Tapi apa yang aku boleh lakukan? Aku hanya lah hamba yang sekadar mampu bertahan, yang kadangkala rapuh dihempas badai.

Sekali lagi aku kehilangan diri sendiri. Pertama kali di tahun 2018. Pulihnya juga makan bulan dan tahun. Aku cuba memaafkan perbuatan insan-insan yang melukakan aku tanpa mereka sedar. Aku masih menanti kata maaf dari mereka. Hingga hari ini. Tiada.

Berbekalkan sedikit ilmu kaunseling dan psikologi yang aku peroleh di universiti, aku bertahan dan berpaut. Terapi kemaafan aku usahakan.

Macam-macam teori dan tips aku aplikasikan dalam menempuh duri dan ujian kehidupan. Kadangkala aku lelah, tapi aku kembali melangkah.

Dengan berakarkan kesakitan dan pengalaman lalu, aku mula meletakkan boundaries dan set privacy rules dalam kehidupan seharianku.

Aku benar-benar menjaga kesihatan mentalku dari dikoyak-koyak. Menjahit kembali luka-luka trauma dengan ilmu dan iman yang dibekalkan para asatizah dan teman-teman.

Kehidupanku mulai aktif dan hidup kembali. Mula menyibukkan diri dalam pelbagai aktiviti dan lapangan kerja. Apa sahaja yang tidakku cuba? Mencuba resepi baru, hobi baru, cabaran baru, minat baru, teman baru, semua aku cuba dan raikan.

Gembira?

Ya, aku gembira. Tapi dalam masa yang sama, aku sunyi. Sunyi dalam keramaian. Aktivitiku penuh dan memenatkan hingga kadangkala aku mengeluh keletihan.

Aku mula mencari teman. Namun masih dalam batas sempadan syariah. Niatku mula serius dalam mencari perhubungan yang terarah.

Pernah beberapa kali gagal dan putus asa. Tapi aku kembali berusaha mencari yang sekufu dan sepadan. Baik dari segi sifat dan rupa, mahupun dari segi ilmu dan pengalaman hidup.

Ya, aku benar-benar jumpa. Jumpa yang sekufu dan selari pemikiran. Tetapi Tuhan mengizinkan hanya untuk menjadi ‘sahabat’. Dia seakan kembar jiwaku yang terpisah.

Lewat aku mengetahui dia sudah berpunya. Dia juga mendiamkan diri dengan statusnya. Keliru mungkin siapa jodohnya yang sebenarnya. Selamat sudah dia menjadi milik orang lain.

Sedaya-upaya aku cuba menerima ketentuan qada’ dan qadar Ilahi. Menghilangkan diri dari impian dan harapan yang mula terbina. Tapi, dengan diri-diriku sekali mula tenggelam mencari perlindungan. Dia masih di situ menggenggam janji yang pernah dilafazkan.

Atas nama jalan perjuangan, ikatan ‘persahabatan’ ini tetap aku perlu teruskan. Atas dasar perjuangan dakwah, aku tetap melangkah. Namun jalan yang kulalui ibarat sembilu dalam hati. Aku menghilangkan diri buat seketika. Mencari diri.

Dalam ruang lingkup pekerjaan juga aku diduga dalam jarak masa yang dekat. Tidak pernah terlintas di fikiran akhirnya jadi begini.

Pekerjaanku bukan sahaja diuji dari segi gajiku yang tidak setimpal dengan beban kerja dan amanah yang diberi, tapi juga turut diuji dengan politik di tempat kerja. Hari-hariku berlalu dengan air mata dan serangan anxiety setiap kali ingin ke tempat kerja.

Performance kerjaku drop mendadak ditambah keadaan kesihatan mentalku yang lelah dengan beban ujian yang bertalu-talu dari perhubungan dengan rakan sekerja, keluarga, kewangan, konflik perhubungan (cinta), dan tindakan majikan yang tegas buatku hilang keseimbangan.

Aku yang sebelumnya hanya diam dan bersikap tidak mengambil hati dengan kata-kata dan perbuatan orang sekeliling mula rapuh. Aku perasa dan sangat sensitif orangnya.

Aku sedaya-upaya untuk berhati-hati dalam bertindak dan memilih circle pertemanan untuk mengelak konflik dan pertelingkahan. I set the boundaries and privacy.

Tapi begitulah, perkara yang paling mahu dielakkan itulah yang terjadi. Aku hilang kawalan akhirnya. Emosi dan mentalku koyak di tempat kerja. Aku meletup di kala aku sudah tidak mampu menampung beban.

Disebabkan sifat introvertku dan sisi ‘avoidant attachment’, aku menghindar komunikasi. Aku akui kesihatan komunikasiku tidak berapa sihat.

Andai aku berterus-terang dengan keadaanku dari awal, aku pasti tidak menjebak diriku dan dirinya dalam konflik ini hingga menyebabkan aku dibuang kerja.

Ya, aku dibuang kerja kerana aku gagal bertahan dengan ‘pressures’ di tempat kerja. Aku dianggap ingkar arahan majikan kerana tidak mengemukakan surat cuti sakit ketika bercuti. Mentalku sudah lelah, aku sendiri tidak mampu untuk bangkit dari tempat tidurku.

Sudahpun kuterangkan situasi tersebut kepada majikan, tiada simpati yang kudapatkan. Hanya dibalas dengan ‘mohon hantar laporan kerja dan sila kemukakan surat cuti sakit’. Hanya itu. Aku tahu itu prosedur rasmi di mana-mana tempat kerja sekalipun. Entahlah.

Aku hanya mampu memandang telefon dengan pandangan kosong. Majikan tiada empati. Aku tidak mengemukakan cuti sakit kerana aku enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Aku hanya mahukan rehat dari suasana kerja yang membuat mentalku tertekan. Hatiku sudah tawar untuk bekerja di situ lagi.

Akhirnya,aku dipanggil oleh pihak jabatan untuk menerangkan situasi yang berlaku. Wah, kerana satu konflik yang terjadi aku terus dipanggil untuk tindakan tatatertib. Guess what?

This is my first time I feel like macam wah besar betul ye kesalahan aku ni. Aku seorang berhadapan dengan empat orang yang terdiri dari staff dan pegawai atasan.

Dari darjah satu hingga universiti, aku berusaha jaga nama baik dan berhati-hati atas setiap keputusan yang kuambil, aku bukan kaki langgar peraturan dan perlembagaan.

Hanya kerana aku mempertahankan kesihatan mental, aku dikenakan tindakan begini oleh jabatan. Wah, hebatnya kamu wahai majikan. Aku disiasat mengikut prosedur. Aku tak mampu berkata banyak dalam ruang itu, kerana dadaku seakan perit untuk mengeluarkan kata-kata.

Buat pertama kali, aku menitiskan air mata tanpa henti dari awal hingga akhir sesi soal jawab. Lebih kurang dua jam menangis. Tak cukup dengan itu, disambung dalam kereta hingga pulang ke rumah.

Aku menangis bukan kerana aku bakal dibuang kerja. Tapi menangis kerana luka keperitan yang aku tanggung selama ini mula terkoyak kembali dengan penceritaan semula. Aku sudah berlaku jujur sejujurnya apa yang berlaku. Aku pasrah kalau mereka tetap ingin mengambil tindakan.

Jika dengan mempertahankan kesihatan mental, menyebabkan aku kehilangan kerja, aku tak mampu berkata apa lagi. Aku bertahan kerana amanah yang diberikan oleh ibu bapa untuk murid-muridku. Lagi pula, aku bukan jenis suka menyerah selagi tidak selesai tugas-tugasku.

Pegawai menasihatkan aku untuk berpindah tempat kerja atau bercuti tanpa gaji.

Aku akur andai kata jabatan ingin terminate perkhidmatanku, tapi aku meminta ruang untuk beberapa tempoh masa lagi untuk aku menyelesaikan tugasan-tugasan yang berbaki. Ada amanah yang perlu aku selesaikan sebelum peperiksaan besar bermula.

Sehingga kini, aku masih teringat akan kata-kata salah seorang pegawai yang kukira sudah tempuh turun naik hidup.

“InshaAllah, lepas fasa ini, awak akan jadi lebih kuat”.

Beliau pun sudah tidak mampu memandang wajahku yang basah dengan air mata menderu laju mengalir tanpa henti. Air mata tanpa suara.

Pihak jabatan memberi peluang dan ruang masa untukku menyelesaikan tugas.

Aku bersyukur untuk itu. Tapi yang aku sedikit kesal, usai sahaja tugas-tugasku, pihak jabatan terus memberhentikanku serta-merta dengan notis sebulan gaji.

Aku tergamam. Aku tidak mampu bersuara lagi. Apatah lagi, peperiksaan makin hampir. Aku perlu memberi fokus pada anak-anak muridku.

Buat kesekian kalinya, aku abaikan notis tersebut, dan pergi ke tempat kerja seperti biasa. Anak muridku lebih utama. Jabatan nak buang, buanglah. Aku akan benar-benar berhenti selepas habis selesai semuanya.

Dalam hati, masih belum mampu menerima hakikat pihak jabatan memperlakukanku sebegini. Atas arahan atau faktor apa yang memaksa, aku tidak tahu dan aku tidak mengerti. Sebolehnya, biar aku yang meletakkan jawatan bukan dengan cara diberhentikan sebegini.

Ditambah pula berita tersebar ke seluruh tempat kerja sebelum sempat aku mengambil surat dengan tangan sendiri.

Aku tak faham mengapa hal sulit dan rasmi begini boleh tersebar sebegitu cepat, dibocorkan tanpa keizinan empunya badan. Sekali lagi anxiety aku menyerang. Mencari mulut siapa yang menjaja cerita.

Aku diam. Surat itu pun aku tidak jadi ambil. Aku rasa marah dengan staff jabatan yang tidak menjaga sensitiviti dan etika kerahsiaan maklumat.

Aku bukan buta undang-undang. Tapi, aku memilih diam dan tidak merumitkan lagi keadaan. Cuba menghadirkan diri ke tempat kerja seperti tiada apa yang berlaku.

Teman-temanku pada ketika itu hanya anak-anak muridku. Itulah sahaja semangatku untuk menghabiskan sisa tugas yang berbaki.

Tidak ada sesiapa yang aku boleh percayai saat itu. Politik di tempat kerja ibarat satay. Ada tukang cucuk, tukang bakar, tukang kipas. Ada juga yang tukang lihat.

Yang pasti, setelah kejadian tu. Satu-persatu cerita mula terbongkar. Pada mulanya aku enggan ambil kisah apa yang sampai di telinga semua orang. Perkara sudah pun terjadi, tak boleh nak patah semula. Ambil pengajaran sahajalah.

Aku juga sudah berbaik dengan rakan guru yang aku berkonflik. Aku memulakan langkah untuk minta maaf kerana aku enggan memanjang-manjangkan pertelingkahan, apatah lagi di hadapan anak-anak murid yang bakal menduduki peperiksaan.

Dipendekkan cerita, aku dapat tahu dari seorang guru lain (cikgu L) yang memberitahu bahawa ada seorang lagi guru lain (cikgu P) yang menyampai-nyampai cerita yang tidak enak didengar tentangku. Cikgu L menyatakan ketidaknyamanan beliau kepada sikap cikgu P.

Biasalah bila bertembung, mereka akan bercakap sesuatu isu. Tiba-tiba masuk topik tentangku, Cikgu L pelik dan hairan kenapa namaku dikenakan tindakan sebegitu. Sebab aku dan cikgu L ni sama-sama pindah masuk di tahun yang sama.

Pernah collaborate task, dia tahu karakter aku dan semangat kerja aku bagaimana. Berbanding dengan cikgu P, yang masuk lewat setahun dari kami. Tapi dia dikira senior sebab dah berusia. Kami ni baru setahun jagung.

Cikgu L menyatakan pada cikgu P yang beliau ingin bantu aku untuk membersihkan namaku. Tapi ditegah keras oleh cikgu P. Dia siap kata lagi,

“Jangan cuba-cuba nak masuk campur, atau tolong dia ye ! (merujuk pada aku)” Cikgu P berkata dalam nada marah. Ditambah lagi cikgu P seorang yang ada ‘kabel’ di jabatan.

Dia sering mengulang-ulang ayat itu kalau berbual dengan guru lain. Di depan anak murid juga pernah dia berkata seperti itu. Tak tahu niat dan tujuannya apa. Untuk dapatkan penghormatan atau apa, tak tahulah.

Aku pelik dengan tingkahnya. Aku cuba mengulang layar ingatan, adakah aku pernah cari pasal atau bergaduh dengan cikgu P. Tak ada pula. Bahkan sepanjang bekerja di sana, aku cuba menjaga hubungan baik sesama rakan-rakan sekerja.

Lagipun, aku bukan jenis singgah membawang ke kelas-kelas lain. Seperti yang ku katakan pada awal, aku seorang introvert yang mempunyai teman rapat dengan murid-murid. Dengan rakan kerja kalau ada urusan penting, baru berhubung.

Selidik punya selidik dengan guru lain, rupanya cikgu P tak puas hati kerana aku pernah menegurnya dalam group whatsapp. Itupun kerana niatku ingin mendamaikan dua pihak yang bertelagah hebat. Tidak ada kata-kata yang mampu aku ungkapkan bila tahu tentang kebenaran ni.

Aku baca screenshot mesej yang dihantar oleh rakan guru, cikgu P betul-betul marah dengan penggunaan bahasanya yang agak kasar.

Aku terpempan dengan sikapnya. Padahal tidak ada satu kata-kata kesat pun yang aku gunakan ketika menasihati mereka berdua yang bergaduh bagai nak rak.

Aku hanya gunakan sepotong kata-kata alim ulama. Itupun aku dah sehabis baik menapis kata-kata dan meminta maaf siap-siap kalau ada yang terguris. Niat aku hanya nak mendamaikan kedua-duanya.

Cikgu P lah yang pertama memberi respon positif dan mesra, siap mengucapkan terima kasih padaku kerana mengingatkan dia.

Selepas situasi tersebut, cikgu P dan cikgu yang bergaduh tu dah berbaik semula. Aku punya gembira dengan perdamaian kedua-duanya, siap ambil gambar selfie lagi ketika majlis program di sekolah. Aku bahagia sebab dapat tumpang pahala dalam mendamaikan dua saudara yang bergaduh.

Situasi tu buatkan aku jadi tawar hati untuk berbaik-baik dengan manusia. Aku lebih sakit hati bila dapat tahu dialah yang menjadi penyampai tak bertauliah kepada surat termination aku. Aku tak pasti sama ada dia ada terlibat atau tidak dalam perkara ni memandangkan dia ada kabel.

Aku tak pasti ‘kabel’nya mana satu di jabatan, tapi kalau betullah dia dan kabelnya ada kena mengena dengan termination aku, sumpah aku tak redha dengan perbuatan mereka selagi mereka tak minta maaf one by one denganku.

Sudah hujung-hujung sesi persekolahan baru aku tahu bahawa bukan aku seorang yang terkena, rupanya ramai lagi rakan guru lain yang terkena. Dilaga-lagakan. Benda yang tak ada diada-adakan.

Ada yang sampai menapak bilik majikan berceritakan hal sebenar. Aku yang lambat tahu kerana sibuk uruskan kelas peperiksaan.

Patutlah aku pelik, guru yang berkonflik denganku sebelum ini tiba-tiba semacam nak cari gaduh denganku. Tanpa diduga. Padahal sebelum ini kami baik-baik sahaja. Aku tak pasti siapa yang mencucuknya.

Dengan aku, tak ada pula dicucuknya. Cuma dia ada berbuat baik dengan menghadiahkan sebuah buku rujukan untuk kegunaan kelas peperiksaan.

Aku jadi sangat berterima kasih kerana dia prihatin masa tu. Masa tu, aku tak mengesyaki apa-apa padanya. Pandai dia susun taktik dan langkah. Ada udang di sebalik batu rupanya.

Tapi, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tangan jua. Aku dapat tahu, cikgu P dipindahkan semula ke tempat asalnya. Sekolah lamanya. Dia bagitau sekolah lamanya memerlukan khidmatnya kembali. Pandai dia menyusun ayat menyelamatkan diri.

Dia ada meminta maaf secara terbuka dalam group whatsapp. Sempena Ramadhan. Mengaku khilaf sebagai dia sebagai manusia. Aku dapat rasakan ucapan dia tulus dari hati. Tapi, hati aku masih belum boleh menerima apa yang pernah dilakukan.

Ya, hati aku masih sakit bila teringat. Berbulan-bulan aku berendam air mata, hadap serangan anxiety lagi, sehingga aku hilang punca. Nama aku dah tercemar dengan tindakan tatatertib. Senang-senang dia minta maaf?

Pihak jabatan ada buat sumbangan Ramadhan baru ni, tak pernah-pernah keluarga aku terima sumbangan dari ‘jabatan’ ni. Aku hanya memandang dengan pandangan kosong bungkusan yang diterima. Bukan aku tidak bersyukur. Don’t get me wrong.

Aku agak berkecil hati. Biar tersalah ampun, jangan tersalah hukum. Hatiku dahagakan permohonan maaf yang tulus. Bukan dengan cara memberi sumbangan begini, untuk menutup luka di hati. Sekalipun diriku miskin, biarlah miskinku bermaruah.

Kepada cikgu P, maaf. Aku belum mampu untuk memaafkan kesalahanmu. Aku masih belum lega lagi dari rasa sakit. Apapun, diri ini masih menanti pemohonan maaf bertulis khas yang menyatakan kesalahan secara spesifik ditujukan kepada siapa, bukan secara umum.

Kepada rakan guru yang lain, terima kasih sebab sudi siasat hingga ke akar umbi. Rakanku dari sekolah lain juga turut membantu. Rupa-rupanya cikgu P dan suaminya sama-sama narsistik.

Aku kasihan sebab aku tahu psikologi narsistik ini bagaimana, tapi aku memilih untuk tidak mahu mengalah lagi dalam hal ini. Aku tetap manusia biasa, yang kadangkala letih untuk menjadi manusia yang ‘terlalu’ memahami.

Apapun, ada banyak hikmah yang aku dapatkan dari peristiwa yang berlaku. Termasuklah aku lebih kenal siapa benar-benar kawan, yang ada ketika aku jatuh. Aku dengan guru yang berkonflik sebelum ini pun jadi lebih rapat. Hikmahnya indah.

Luka Ramadhan kali ini aku hanya mengharapkan kesembuhan sepenuhnya. Aku masih mencari-cari arah untuk aku berkembang mekar kembali. Doakan aku ye pembaca. Menjadi guru kembali aku masih belum mampu.

Trauma seakan menggigit kembali. Serasa mahu pergi berhijrah ke luar negara, tapi tak tahu nak mula dari mana. Diri ini perlukan angin baru di tempat baru.

Sekali lagi terima kasih atas kata-kata nasihat yang diberi. Yang baik-baik semua datang dari Allah SWT, yang buruk datang dari kelemahan diri sendiri.

– Amelia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *