Nasihat Dalam Perhubungan

Saya mempunyai pengalaman kegagalan dalam perhubungan dengan pasangan saya sebelum ini. Saya bukan nak bercerita serta meminta simpati, jauh sekali nak memarahi atau menyuarakan rasa tidak puas hati kepada ex saya. Niat saya di sini adalah untuk berkongsi kepada anda semua, apakah yang saya pelajari daripada pengalaman pahit ini.

1. KAHWIN KERANA AGAMA

Saya nasihat, janganlah anda berkahwin dengan seseorang hanya kerana ikatan emosi yang terlalu kuat, yang sering kita panggil perasaan cinta ini. Keputusan yang kita buat kadangkala terlalu mengikut hawa nafsu dan terlalu mudah, hal ini akan menyebabkan kehancuran dalam perhubungan.

Perasaan sayang-menyayangi antara satu sama lain akan hancur lebur bila ada sedikit salah faham, bila ada sikit pertelingkahan dan pergaduhan. Namun bila kita utamakan agama dalam rumah tangga, In Shaa Allah rumahtangga akan jadi lebih harmoni kerana diberkati Allah

Jangan kahwin disebabkan kegatalan anda. Nanti dah dapat, anda menggatal dengan orang lain pula. Jadi, niat berkahwin tu sangat-sangat penting. Tambahan, sekiranya anda kahwin kerana anda berniat demi agama, serta inginkan ikatan itu bertahan, maka anda akan rasa hubungan anda mula diberkati.

Kadangkala kita boleh lihat ada segelintir pasangan, kalau kita lihat dari segi rupa, memang terlalu jauh dan tidak setaraf, namun, janganlah kita membuat penilaian hanya semata-mata berdasarkan rupa paras seseorang itu.

2. JANGAN PENTINGKAN DIRI SENDIRI

Sila ambil perhatian, kenyataan ini saya tujukan untuk mereka yang sudah berkahwin sahaja. Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu pasangan yang mana dikatakan suaminya tidak beri isterinya ambil banyak lauk ketika makan di buffet, tetapi dirinya sendiri makan bukan main mewah lagi. Si penulis mengatakan, kalau beginilah layanan suami terhadap isterinya, sampai bila pun mereka tak akan senang.

Betul, memang betul, tambahan pula apabila melihatkan si isteri yang sarat mengandung. Mengapa perlu kedekut untuk berbelanja kepada pasangan? Sedangkan isterinya tersebut mengandungkan anak mereka berdua, tetapi mengapa si lelaki berbuat sedemikian?

Kita juga kadangkala dapat lihat jenis-jenis manusia yang apabila timbul bab makan, bukan main kedekut. Walhal, duit gajinya dihabiskan dengan barang-barang hobinya, seperti kamera mahal, peralatan memancing atau yang lebih teruk, rokok! Apabila suami lebih mementingkan rokok daripada makan minum isteri mereka, keadaan ini sangat berbahaya. Azab dan musibah mungkin akan menimpa sesebuah institusi keluarga seperti ini.

3. LAKUKAN PEKERJAAN BERSAMA

Jika boleh, masak bersama, kemas rumah bersama-sama. Kalau isteri tak pandai masak, lelaki masak dan isteri basuh pinggan dan kemas dapur, and vise versa. Tapi kalau dua-dua tak pandai masak, pelbagai laman web kan ada yang mana banyak resepi-resepi masakan dikongsikan.

Berbelanja barang dapur juga baik jika dilakukan bersama-sama. Jangan biarkan isteri anda membeli barang dapur berseorangan. Bukan overprotective, tapi kalau jadi apa-apa, sekurang-kurangnya takdelah rasa bersalah sebab korang sentiasa bersama dia. Bukan apa, beberapa tahun lepas, ada satu kes di mana isterinya terlibat dalam kemalangan maut, kerana isterinya keluar berseorangan menunggang motosikal semata-mata untuk membeli lampin pakai buang anaknya. Apabila membaca kisah sebegini, terdetik dalam hati saya, kalau itulah yang berlaku pada saya, sudah tentu saya tidak akan dapat memaafkan diri saya.

Lagi satu, kalau boleh, keluar bersama, kuranglah risiko nak kena ganggu dengan mata-mata yang sentiasa memandang tu. Orang kata, isteri/suami orang memang cantik/hensem. Buatlah benda bersama-sama. Ingat, saya tulis di sini adalah sekiranya keadaan mengizinkan. Bukan wajib.

Buat mereka yang sering mengatakan tiada masa untuk melakukan perkara bersama sila baca kata-kata yang amat popular di satu laman web iaitu “When you really love someone, you will always make time for them. No matter what, no matter how, you will work it out”.

4. SOLAT BERJEMAAH

Ikut Islam, sembahyang sunat sahaja yang lebih baik dibuat di rumah, namun jika tak cukup masa kerana pekerjaan, sembahyang fardhu biarlah berjemaah. Nak upgrade? Pergi masjid bersama-sama. Malam jumaat, kalau tak sempat ke surau atau masjid, bacalah yassin bersama-sama di rumah. Kita nak rumahtangga kita diberkati, kalau tak diberkati, akan ada banyak sangat dugaan dan rintangan nanti

Suami takkan tak tahu baca al-fatihah atau surah pendek. Kena jadi imam, dan kalau tak reti baca doa, suruh isteri anda bacakan, dan pada masa yang sama, hafal lah doa selepas solat. Allah menjadikan manusia berpasangan, dan melengkapi satu sama lain. Jika suami tak reti, pasti isteri reti and vise versa.

Dulu, saya juga amat jahil sampaikan tahap doa-doa yang simple pun saya tak tahu. Tetapi apabila kerapkali mendengar doa yang dibacakan oleh imam di surau, daripada situ saya boleh hafal dan buat doa yang khusus untuk kami berdua.

5. JANGAN MENIPU

Amalkan tabiat berterus-terang. Ada rakan sekerja yang gatal pada anda, berterus terang. Benci? Berterus-terang. Straight to the point, Don’t ever lie. Lie once, nothing will be the same again, trust me.

Ceritalah segala-galanya ke pasangan anda. Dan Isteri atau suami diwajibkan merahsiakan perkara-perkara yang bakal membuka aib pasangan anda. Stress? Lauk tak sedap? Pasangan anda malas dan hanya tahu main game sahaja?. Cakap. Cakap secara berhemah la.

Perempuan ni kadang-kadang dia overthinking, dan suka memendam perasaan. Lelaki pun lagi lah, suka simpan. BIla dah terlalu teruk, dilepaskan semuanya sekali gus yang mana amat teruk dan boleh meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan.

Ingat, perkahwinan ini kita duduk dalam satu bubble. Masalah, apa hal semua disimpan. Kalau terkeluar kat ibu bapa, memang susahlah, percayalah cakap saya.

6. AYAH DAN IBU MERTUA

Peratusan amat tinggi untuk memutuskan hubungan adalah disebabkan oleh campur tangan ibu/bapa mertua. Sudah tentu, jangan cerita masalah kepada mereka, sebab sekali mereka dah benci, habislah rumah tangga anda.

Kadangkala ada spesis yang suka sangat mengapi-apikan hubungan anda. Dulu, ada kes si suami tikam mak dia sendiri sebab mak dia suka burukkan isterinya secara depan-depan. Jangan sampai jadi macam tu. Sesungguhnya untuk suami, syurga terletak di bawah kaki ibu.

Ibu mertua merupakan seseorang yang seharusnya anda perlu pikat hatinya sebagai menantu, bukannya menjadi seseorang yang dibenci. Masalah ibu mertua ini bukan setakat orang Melayu sahaja yang rasa, orang putih juga merasainya. Untuk pengetahuan anda, dalam permainan bowling, sekiranya ada satu pin di hujung gagal dijatuhkan dengan balingan pertama, pin tersebut digelar mother-in-law.

Itu orang putih, ikut suka dia lah, tetapi kita lain. Kita Melayu dan lebih penting, kita Islam. Jadi, utamakan ibu bapa dan ibubapa mertua, khususnya suami. Jangan sesekali membuka aib pada mereka.

7. HUBUNGAN YANG TIDAK PASTI MOHON JANGAN DIHEBAHKAN

Kalau baru bergelar teman wanita, atau bertunang, tolong jangan sibuk hebahkan di media sosial dengan cara berkongsi gambar berdua-duaan. Orang ni macam-macam jenis, ada yang dengki, dan ada yang tak suka perhubungan kita.

Pelbagai cara mereka boleh buat untuk memutuskan hubungan kita. Baik dengan cara halus, trang-terangan mahupun dengan cara menghantar mesej atau komen bertujuan untuk menyebabkan perselisihan faham. Tambahan lagi, jika perhubungan tersebut tak jadi, perkara ini akan menjadi satu perkara yang sangat memalukan.

Di Facebook ini contohnya, sekiranya anda dah pun bertunang, agak baik kalau anda letak relationship status tersebut sebagai ‘engaged’ dan mengubah privasinya kepada public. Ada sesetengah manusia ini, sifatnya kalau dah tahu seseorang itu sudah bertunang, dia tidak akan mengganggu, tetapi, kena ingat, ada juga yang masih nak ganggu. Sekurang-kurangnya, anda dah menyingkirkan golongan yang tidak mengganggu ini setelah anda beritahu bahawa anda sudahpun bertunang.

Saya nak beri sedikit nasihat, tolonglah jangan letak status perhubungan anda sebagai “Open Relationship”, tambahan pula sekiranya anda sendiri pun tak faham apa maksud open relationship itu. Sebagai orang Islam, silalah buat pencarian di Google mengenai maksud ‘open relationship’ itu.

8. SOLUSI PERGADUHAN

Setiap mesej/ whatsapp atau surat semasa awal perhubungan dulu, sila simpan untuk pihak suami dan isteri. Screenshot, atau sediakan satu kotak untuk menyimpan surat-surat tersebut. Jika ada gaduh besar, bukalah kembali dan baca mesej-mesej yang manis masa anda berdua baru kenal dan nak menjalinkan hubungan dulu.

Inilah gunanya, ianya akan refleks balik setiap pergaduhan dalam rumahtangga, dan In Shaa Allah, boleh baik semula. Banyakkan berbincang. Sebelum bincang, ambik wudhu dulu, untuk elakkan daripada perbincangan baik menjadi kebakaran besar dalam hati, dan menerukkan lagi hubungan.

Tahukah anda, sebenarnya kebanyakkan salah faham dalam perhubungan bukan disebabkan oleh isi-isi atau point di dalam pertelingkahan, sebaliknya lebih kepada nada suara yang salah.

Elakkan menggunaperkataan “tak pernah”, dalam argument. Contohnya, “awak ni tak pernah bertanggungjawab dalam rumahtangga kita”. Perkataan ini mudah, tetapi kesannya besar. Sekiranya ada rajin, buatlah carian di laman web mengenai perkataa-perkataan yang perlu dielakkan ketika anda bergaduh atau ada salah faham terhadap pasangan anda.

9. PEKA DAN JANGAN JADI DAYUS

Jika pasangan anda berubah, sila tanya kenapa. Pekalah terhadap perubahan pasangan anda. Peka terhadap siapa rakan-rakan pasangan anda. Sesekali, periksa telefon pasangan anda. Bukan tak percaya, namun sekarang ni zaman dah berubah, jika isteri buat dosa, wajib tegur. Takut-takut dia tarik anda sekali ke neraka.

Perempuan ni istimewa, daripada anak perempuan sehinggalah isteri, diorang ada keupayaan untuk menarik bapa/suami ke neraka disebabkan anda tutup mata di atas perbuatan-perbuatan dosa mereka. (Ceramah daripada Ustaz Samsuri)

Anda tak perlu jadi psychologist untuk membaca pasangan anda. Sebab biasanya pasangan masing-masing akan memahami satu sama lain. Jika berubah, anda perlu tanya dan berbincang. Kadangkala, masalah kecil, jika dibiarkan, akan melarat sehingga bercerai. Bahaya tau.

Jangan pendam, berterus terang, dan paling penting, fikirkan penyelesaiannya. Jangan risau, setiap masalah itu ada penyelesaiannya.

10. Tahan leteran

Perempuan atau lelaki sekalipun, sekiranya salah satu pendiam, yang lagi satu pasti berpotpetpotpet’. Anda kena faham yang biasanya pasangan anda bersifat berlawanan terhadap satu sama lain. Bila dia dah mula berpotpetpotpet, kalau anda tak tahan, peluklah isteri anda, mesti dia diam (walaupun ada orang kata nak peluk sewaktu marah tu ibarat nak tangkap biawak hidup).

Jangan menengking dia suruh diam. Jangan terus keluar rumah bila dia mula berleter. Dengarkan sahaja. Sekiranya dia dah habis berleter, pergi lah 7 eleven, beli aiskrim Magnum dan hundred plus untuk dia, mana taknya, membebel ni banyak guna air liur dan banyak guna tenaga, jadi anda rehydrate lah dia kembali. Tapi kalau lepas anda rehydrate dia, dia sambung, ha, nasiblah. After all, she’s your wife. Jodoh anda, nak atau tidak, tahanlah.

Tahanlah diri anda daripada menjawab, sebab memang tidak akan selesai masalahnya. Jadi, itulah beberapa nasihat dan pesanan yang saya boleh kongsikan untuk bacaan kita semua bersama.

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *