Nerakakah Tempatku?

Perbalahan melalui whatsapp…

Isteri : Sesungguhnya aku tak redha dengan apa yang aku dan anak-anak lalui. Kau biar aku pikul sorang-sorang tanggungjawab yang sepatutnya kau pikul.
Suami : Aku jugak tak redha ke atas kau.

Perbualan melalui whatsapp dimatikan. Isteri terdiam. Dan isteri itu adalah aku sendiri. Ya, aku tahu. Saat suami aku tidak lagi redha ke atas aku, mungkin hidup aku akan jadi huru hara selepas ni. Rezeki aku akan makin sempit. Segala urusan ku akan jadi sulit. Serba serbi kehidupan aku menjadi sukar. Paling aku terkesan, adakah mungkin neraka tempat ku? Sebak.

Selepas beberapa hari, ada sahabat di fb share satu tazkirah dari seorang ustazah. Antara ayat yang aku ingat… “Bila mana seorang suami tidak redha ke atas isterinya, maka tidak akan tercium bau syurga isteri berkenaan.” Sungguh aku terkesan. Pecah kolam air mata aku. Sehingga saat aku menaip ini, sebak lagi.

Aku tertanya-tanya benarkah aku sudah hilang rahmat Allah saat suami ku sudah tidak redha lagi kepada ku? Aku cuba sedapkan rasa hati, Allah Maha Penyayang. Mana mungkin aku ke neraka tanpa hisab, tanpa mengambilkira segala kebaikan yang pernah aku lakukan hanya kerana suami ku sudah tidak lagi meredhai aku. Ya, sehingga kini aku masih berpegang kenyataan tentang betapa Allah Maha Penyayang mengatasi ketidakredhaan suami ke atas aku. Tapi siapa tahu, dalam diam aku berperang dengan perasaan aku sendiri. Aku tertanya-tanya dimana pahala segala kebaikan aku hilang andainya hanya dengan lafaz tidak redha suami aku, berjaya mengheret aku ke neraka.

Tak banyak yang aku mampu ceritakan apa yang telah suami aku lakukan pada aku dan anak-anak. Cukuplah aku katakan, jika untuk mendapatkan redhanya kembali aku perlu memohon maaf padanya, mungkin itu adalah perkara terakhir yang akan aku lakukan. Hati aku sudah cukup terluka. Terluka ke lubuk hati yang sangat dalam. Ya, secara zahir salahnya cuma curang. Tapi ada hal lain yang buat aku sangat-sangat terluka hingga hati aku sendiri sudah tertutup untuk beri kemaafan. Bukan sekadar dia, malah hati aku cukup terluka dengan ahli keluarganya. Sudah lebih dua tahun dia tinggalkan aku dan anak-anak. Aku hanya isteri di atas kertas.

Jujurnya, kisah Anisah Janda Terbahagia sangat memberi aku kekuatan. Masa aku untuk jadi seperti Anisah pasti akan tiba. Sekali aku melangkah pergi, tak mungkin aku akan toleh kembali. Biarlah aku begini. Syurga neraka aku biarlah Allah yang tentukan saat kita semua dibangkitkan semula nanti. Apapun perjalanan hidup aku, aku redha. Aku tidak akan pernah berhenti untuk berbuat kebaikan walapun pengakhirannya aku sama sepertimana yang ustaz ustazah khabarkan bila mana seorang suami sudah tidak lagi redha ke atas isterinya. Hidup aku kini hanya untuk mencari redha Allah, ingin berbakti pada kedua orang tua aku, membesarkan anak-anak aku menjadi anak-anak yang soleh.

Secebis kata buat suami ku jika dia ada terbaca confession aku ini… Jika Masyitah sanggup mengorbankan dirinya demi ketaatannya pada agama, aku juga sanggup mengorbankan diriku demi ketaatanku pada mu. Namun saat kau hancurkan hati aku dengan kecurangan berulangkali sehingga setiap bait kata kau merobek seluruh hati, jantung dan urat saraf ku, maaf, aku tidak lagi mampu sesabar Asiah. Ingatlah suami ku, sebelum aku dicampak ke neraka kerana tidak lagi dapat mencium syurga dibawah telapak kaki mu, kau yang terlebih dahulu akan dipersoal apa yang telah kau lakukan sehingga aku gagal mengikut mu ke syurga…

– Melati

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *