Penantian Anak Lebih Perit Dari Penantian Jodoh

Assalamualaikum. Terima kasih admin kalau sudi menyiarkan confession ni. Pertama sekali, maaf untuk tajuk yang mungkin hanya saya sahaja berpandangan sebegitu.

Ya benar, saya berkahwin dengan niat utama untuk mendapat anak dengan cepat. Sebab saya sangat sukakan kanak-kanak.

Kehendak orang mungkin tak sama, macam saya, saya masih boleh tolerate bila lambat dapat jodoh. Saya berkahwin early 30’s, sempat melalui sesi screening jodoh beberapa kali, kecewa berkali-kali dan enjoy single life buat seketika.

Jadi, bila sampai masanya berumahtangga, saya gembira, dan berharap sangat-sangat untuk dikurniakan anak secepat mungkin.

Tapi itulah, apa yang kita betul-betul berhajat, itulah yang kita diuji. Bulan pertama perkahwinan, masih fasa honeymoon. Jadi saya masih tak terasa apa.

Bulan kedua, terasa agak sedih bila datang bulan. Tapi masih positif dan tak henti berdoa.

Bulan ketiga, jadi lagi sedih bila kawan yang kahwin pada masa yang sama saya kahwin dah mengandung. Menangis kalah orang putus cinta. Saya putus cinta dulu pun tak menangis macam ni.

Bulan keempat, saya dah mula lebih menjaga makan. Kurangkan makan junk food, lebihkan makanan sihat.

Bulan kelima saya dah mula google tips berTTC. Saya mula study pasal OPK, BBT, even saya study prosedur-prosedur ke LPPKN.

Tapi study saja lah dulu, saya masih lagi belum rasa keperluan untuk berTTC dengan lebih agresif. Lagipun kalau tanya siapa-siapa pun, mesti semua orang gelakkan kita kata awal lagi baru 5 bulan kahwin. Kan?

Bulan keenam, down yang sangat teruk bila kawan yang baru kahwin terus mengandung. Dia pernah kata yang dia kalau boleh tak nak anak dulu, nak enjoy life berdua dulu.

Saya faham kehendak dia sebab dia masih muda dalam lingkungan 20an. Tapi rezeki dia mengandung awal, dan dia pun terima saja.

Siapa saja yang tak gembira kalau mengandung awal kan. Masa tu saya dah mula tertanya kenapa lah apa yang saya nak sangat susah dapat, orang lain yang taknak senang saja dapat.

Bulan ketujuh, saya set cut-off. Masa ni beberapa hari lagi sebelum puasa. Saya cakap dengan diri saya sendiri, kalau saya period lagi, thats it.

Saya dah tak nak stress dah. Saya dah redha. Nak fokus puasa. Nanti lepas raya saya akan try set appointment dengan LPPKN untuk rujuk pakar. Mungkin ada something wrong dengan saya atau suami.

Dan betul, period pun menjengah. Time ni betul-betul frust sampai berhari-hari saya down. Lepas dah rasional balik, saya lepaskan semua. Saya betul-betul ikhlaskan hati terima takdir, dan saya betul-betul fokus pada bulan ramadhan. Hari-hari tahajjud, rasa tenang sangat.

Dan berkatnya bulan ramadhan, sebelum raya saya dapat apa yang saya betul-betul hajatkan. Dua garis biru. Allah saja tau betapa syukurnya saya dan takjubnya dengan kekuasaanNya. Berkat bulan mulia.

Dan sekarang, saya dah pun menjadi seorang ibu. Tapi pengalaman TTC selama 8 bulan ni betul-betul pengalaman berharga. Saya senaraikan apa yang saya dah muhasabah diri semula :

1. Jangan memaksa Tuhan. Ya, kita memang nak sangat sesuatu tu, tapi jangan keterlaluan. Memadailah dengan berdoa tanpa henti, dan tak berputus asa dalam berusaha. Biar Allah tentukan bila.

2. Jangan bandingkan timeline kita dengan orang lain. Jangan dengki dengan rezeki orang lain. Hidup kita dengan orang lain tak sama. Jalani dengan tenang dan percaya dengan aturanNya.

3. Tingkatkan ibadah. Tambahan ibadah-ibadah sunat inshaAllah dapat membantu kita berdamai dengan takdir.

4. Jaga kesihatan dari muda. Jangan jadi macam saya, dah tua baru beringat nak jaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

5. Betulkan niat nak kahwin. Tengok, saya niat nak kahwin sebab nak anak, betul-betul diuji dengan apa yang saya nak.

Apa-apa pun, percaya dengan kuasa Allah. Walaupun tak lama penantian saya, hanya 8 bulan sahaja, dah cukup buat saya terseksa. Saya tak dapat bayangkan kalau lebih lama Allah uji saya.

Betullah, Allah uji hanya apa yang kita mampu. Saya kagum dengan insan-insan yang berTTC lebih lama dari saya sampai bertahun-tahun.

Saya doakan kalian semua sentiasa tabah dan semoga Allah makbulkan doa kalian semua. Allah uji sebab kita mampu. Semoga kita semua dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, penyambung risalah Nabi Muhammad.

– Ibu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *