Penjawat Awam dan Hutang

Confession ni agak panjang dan bosan sebab ini adalah asbab kebodohan aku.

Aku seorang penjawat awam. Aku menanggung sebanyak RM150ribu personal loan sepanjang 15 tahun berkhidmat dengan bayaran bulanan RM1500.

Andai jika dapat ku undur masa. Itu la harga kebodohan yang perlu aku tanggung.

Aku la salah seorang penjawat awam yang bodoh yang senang makan umpan bank-bank demi mengayakan diorang. Andai aku menjauhi staf-staf bank yang saban hari datang dengan pelbagai promosi.

Korang maklum kot, bank ni memang suka bagi loan pada penjawat awam. Diorang memang cari penjawat awam. Memang mudah, harini sain, terus lulus esoknya.

Kerjaya aku bermula sebagai collector di bank. Keje aku kutip hutang orang. Namun sekarang terbalik. Aku pula yang di kejar.

Betul istilah hidup umpama roda. Dulu aku pernah kutuk orang yang mempunyai hutang yang tak terurus. Sekarang, aku lah orang itu. Aku dalam proses apply AKPK.

Lepas 2 tahun bekerja di bank, aku lulus temuduga sebagai kerani di sektor badan beruniform.

Mak aku yang nak sangat aku keje dengan kerajaan. Kalau ikut aku, aku nak keje di bank je. Bermula la episod hutang yang berlambak.

Bila tengok rakan-rakan seronok enjoy duit personal loan, tambah aku nak kahwin masa tu. Aku pun cuba nasib. Bermula dengan 25ribu.

Seronok bukan kepalang, boleh enjoy sakan. Ini dunia ana yang punya.

Bila mula seronok mudah dapat duit, aku jadi tak boleh hidup susah sikit. Tapi kali ni aku niat buat loan untuk berniaga.

Aku jual tudung, baju, telekung, kain pasang. Aku buka kedai bersama rakan karib. Rakan aku yang jaga kedai sebab aku bekerja. Seronok jadi sleeping partner. Tau tau dapat duit.

Tapi langit tak selalu cerah. Rakan aku jatuh sakit sampai kami terpaksa tutup operasi.

Masa kemas kedai, kami jumpa kain kuning yang berbungkus rambut. Masa tu tahu la, kami mungkin di sihir. Lesap modal aku sebanyak 30ribu. Hutang masih perlu dilunaskan.

Aku masih memikir, bagaimana nak lunaskan hutang yang berlambak.

Kebetulan ada ahli keluarga terdekat aku yang hidup mewah, tak bekerja, goyang kaki, tapi duit masuk hari-hari.

Mulanya kami tak percaya. Tapi at the end, aku akhirnya terjebak jua… Setelah melihat kemewahan beliau.

Aku pun nekad pinjam lagi 70 ribu. Kali ni nasib betul-betul malang. Duit aku lesap dalam masa seminggu je.

Ya Allah… dugaan apakah ini. Menangis tak berlagu. Kami suami isteri bergaduh. Tapi apakan daya. Nasi dah jadi bubur, telan je la.

Oh ya, sepanjang bekerja, aku dan suami punyai rumah atas nama sendiri. 1 duduk dan 1 lagi sewa.

Sejak peristiwa hitam tu, kami hidup macam biasa. Kami dikurniakan 6 orang anak. Beberapa tahun, kehidupan agak selesa walau tak mewah.

Syarikat suami aku kerap beri bonus, jadi dapat la kami hidup selesa sikit.

Sepanjang PKP juga kami tidak terkesan. Selesa duduk di rumah, duit gaji pun masuk macam biasa, hutang bayar macam biasa. Boleh bantu sikit-sikit mereka yang terkesan.

Namun mendung makin mendekat. Anak aku sakit. Aku terpaksa ambil cuti tanpa gaji berkali-kali. Kewangan makin terjejas. Hutang makin tak mampu bayar. Simpanan makin nipis.

Sepanjang CTG, aku cuba berniaga online, offline, ambil upah lipat kain, gosok kain, jual makanan, tapi itu cuma cukup untuk beli barang dapur.

Bank-bank setiap hari call, hingga aku tak mampu nak jawab dah. Aku tiada duit. Sekarang aku menanti masa untuk muflis mungkin.

Aku cuba mohon masuk bekerja semula, namun masih tiada jawapan. Aku redha…

Di saat ini jua, salah 1 rumah kami bakal di lelong. Kami benar-benar buntu. Ibarat telur di hujung tanduk. Gerak jatuh, tak gerak pun bakal jatuh.

Ini la harga sebuah kebodohan yang terpaksa aku tanggung. Andai aku tak berjinak untuk ambil personal loan. Anak-anak aku hidup senang sekarang ni.

Tolong jangan kecam aku, aku tau aku bodoh. Ikut nafsu. Aku menyesal. Aku cuma perlukan kata-kata semangat untuk bangkit semula sekarang ni.

Aku tak tahu nak cerita pada siapa. Aku bukan la jenis yang senang untuk luah perasaan. Tapi aku dah tak tertanggung sekarang ni.

Maaf kan mama anak-anak…

Pada mereka yang baru mula bekerja, jauhi la hutang jahat. Kelak bakal terseksa macam aku.

– Lia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *