Perihal Bantuan

Sekarang banyak aku tengok pendedahan pasal seorang ibu yang dikatakan menggunakan anak yang tidak sihat untuk scam orang ramai memberikan bantuan.

Tak cukup dengan scam orang ramai, khabarnya pernah masuk ke program TVx. Tak cukup itu, dia turut memfitnah bekas suaminya. Yang itu, wallahua’lam. Pada aku, KEJAM dan ZALIM!

Aku cuma nak cerita betapa malu ya aku dalam meminta bantuan saat jatuh dan tak mampu nak bangkit.

Kisah terjadi pada tahun 2021, saat PKP. Kita semua dikurung, tak boleh keluar, tak boleh bekerja saat pandemic ketika itu.

Aku? Ya, aku cuma mampu ambil upah membuat tempahan kuih frozen pada waktu itu. Bantuan hanya diperoleh masa PKP 1.0 dan setelah berpindah ke tempat lain, bantuan yang diterima amatlah kurang. Tapi aku bersyukur.

Maka, aku gunakan kemahiran aku sebagai seorang lelaki bujang membuat kuih untuk jualan dan dapatkan perbelanjaan. Tak banyak, tapi adalah. Buat beli barangan dapur dan jadi modal pusingan untuk aku buat kuih.

Sampai satu ketika, selepas berbelanja, tiada wang yang berbaki dalam simpanan. Waktu goreng kuih tempahan, waktu itulah gas memasak habis. Kuih gorengan yang berendam dalam minyak terpaksa aku keluarkan.

Minta tolong pada jiran baru waktu itu kiranya ada tong gas lebih, aku nak pinjam, tapi semua cuma ada 1 dan tiada simpanan lebih. Terduduk aku bila mengenangkan nasib.

Tempahan yang ada pada hari tu terpaksa aku batalkan. Ada alasan yang aku cipta. Alhamdulillah, pelanggan terima.

Dalam otak, apa aku nak makan jika bahan ada, tapi nak masak macam mana? Mujur jiran tetangga aku di situ jenis suka berkongsi. Mak cik rumah sebelah, selalu berikan lauk apa yang dimasak. Aku cuma masak nasi untuk jadi santapan.

Ya, duit dalam simpanan aku, RM10.30 waktu itu. Jumlah yang aku tak kan pernah lupa. 2 hari aku bertahan tak terima tempahan. Tapi aku perlu lakukan sesuatu.

Sedang menonton video di YouTube, orang kongsikan video bantuan demi bantuan sewaktu PKP, aku sisipkan komentar, “Banyaknya bantuan.. Aku nak beli tong gas untuk siapkan tempahan kuih pun tiada yang sudi bantu”.

Tak sampai seminit komen aku tu, ada hamba Allah titipkan nombor telefon untuk aku berikan nombor akaun.

Bukan nak ambil kesempatan, tapi demi kelangsungan hidup, aku WhatsApp nombor tersebut. Komen yang aku tinggalkan pada video tu aku pada kembali.

Hamba Allah yang suruh aku WhatsApp tu baik budi bicaranya. Dia bertanya berapa bantuan yang aku perlu kan. 1 tong gas cuma RM26. Itulah jumlah yang aku perlukan.

Tak lama selepas itu, dia cakap dia dah masukkan sedikit wang untuk aku beli tong gas baru.

Nak tak nak, aku ke ATM berhampiran untuk semak baki. Ternyata dia menyumbang RM200 buat aku. Sedangkan aku cuma perlu kurang RM30 pada ketika itu.

Aku sekadar ucapan terima kasih kepada insane berhati murni itu. Dia cuma berpesan, jangan sedih. Rezeki Allah ada, cuma jangan berhenti berdoa.

Selepas wang dikeluarkan, aku call penghantar gas untuk dapatkan bekalan baharu. Alhamdulillah, aku kembali membuka tempahan kuih kepada pelanggan yang yang aku batalkan sebelum itu.

Siapa insan baik yang bantu aku tu? Sungguh, aku pun tak kenal. Tapi, rasa malu yang aku rasa pada waktu itu bukan kepalang. Sampai aku harus meminta2.

Kenapa tak minta bantuan keluarga? Orang tua aku dah tiada. Adik beradik? WhatsApp yang aku hantar mereka sekadar baca tanpa membalas. Sakit ya hati aku masa tu.

Cukup itulah pengakuan aku dalam perihal meminta bantuan.

Aku terfikir, kenapa ada orang yang sanggup menggunakan kepayahan dan kekurangan diri untuk menipu orang ramai dalam mendapatkan bantuan berupa ganjaran wang untuk kepentingan diri? Allahu Akbar!

– Awang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *