Assalamualaikum semua. First of all, nama aku Shamira. Bukan nama sebenar. Aku berumur 20 an, belum berkahwin dan merupakan seorang penjawat awam.
Tujuan aku menulis adalah sebagai pengajaran untuk kita semua agar lebih peka terhadap keadaan di sekeliling kita dan menghargai masa bersama orang tersayang. Aku juga menulis cuma nak meluahkan perasaan kerinduan aku terhadap almarhum bapaku.
Untuk pengenalan, aku mempunyai tiga orang abang. Seorang kakak dan seorang adik lelaki. Namun abang sulungku telah dijemput Ilahi terlebih dahulu kira-kira 3 tahun yang lepas akibat komplikasi otak. Kesemua adik beradikku bekerja di bandar. Oleh itu, hanya aku yang tinggal bersama kedua ibubapaku di rumah kampung. Namun, itu bukan point utama yang aku ingin sampaikan.
Awal pagi 28 November 2019. Sedang aku masih lena diulit mimpi disebabkan memakan ubat batuk yang mengantuk memandangkan keadaan kesihatan aku ketika itu kurang sihat, menjadikan pagi keesokan harinya aku terlewat bangun seperti hari-hari yang lain.
Lebih kurang jam 6.15 minit pagi, terkebil-kebil aku bangun apabila mendengar suara ibuku menangis dan meminta tolong apa bila melihat sekujur tubuh yang kaku di muka pintu rumahku. Aku lantas bangun dari katil dan segera menuju ke arah ibuku. Aku melihat insan yang aku panggil “bapak” terbaring kaku sambil tanganku laju mencari telefon untuk menelefon talian kecemasan 999.
Hampir 20 minit bercakap dengan pihak terbabit, aku give up. Aku letak telefon dan meminta bantuan 2 orang jiranku untuk mengangkat bapaku untuk di bawa ke klinik berdekatan. Aku tidak tahu dimana aku memperoleh kekuatan untuk bertenang ketika itu.
Dengan pakaian tidurku, aku menyarung tudung instant dan membawa ibuku ke klinik dengan memandu kereta ku sendiri. Manakala bapaku di bawa jiranku dgn menaiki kereta milik bapaku sendiri yang dipandu oleh jiranku. Ketika memandu, aku berdoa semoga semua nya akan baik-baik sahaja walaupun aku tahu bapa aku sebenarnya sudah tiada lagi.
Sampai di klinik, aku melihat beberapa staff di klinik mengerumuni bapaku dan berkata bahawa bapaku sah sudah tidak bernyawa lagi. Ketika itu, ibuku seperti tidak mampu menerima kenyataan apabila memeluk jasad bapaku dan memintanya bangun.
Luruh hatiku apabila melihat sendiri apa yang telah berlaku. Selepas itu, bapaku dibawa balik ke rumah semula. Dan aku mula menelefon kesemua adik beradik aku untuk balik ke kampung.
Segala persiapan dibuat dengan bantuan jiranku. Aku amat berterima kasih kepada mereka kerana membantu memudahkan urusan kami sekeluarga. Lebih kurang jam 11.30 pagi.. Almarhum bapaku selamat dikebumikan. Terlalu cepat semuanya berlaku.
Benar. Kematian itu terlalu dekat dengan kita. Tidak terjangkau dek fikiran ku apabila almarhum bapaku pergi dengan sebegitu cepat tanpa kami sekeluarga bersedia untuk kehilangannya. Perginya seorang insan yang aku anggap cinta pertama setiap anak perempuannya.
Sungguh, tidak ku sangka perbualan kami berdua pada malam sebelum permergiannya adalah perbualan aku dan almarhum bapaku buat kali yang terakhir. Mukanya kelihatan sungguh ceria. Dan bagi aku, dia kelihatan seperti biasa.
Aku tidak dapat menghidu petanda-petanda yang orang lain pernah lalui. Perbualan ku dengan almarhum bapaku malam tersebut tidak begitu lama kerana mataku sudah mula layu akibat ubat batuk yang baru aku telan. Aku meminta diri dengannya untuk masuk ke bilik tidur. Itulah kali terakhir aku bersua dengannya.
Ini kali pertama aku merasa kehilangan yang memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidupku selepas kehilangan abang sulung.. Aku kehilangan kasih sayang seorang bapa. Semua memori dengan nya berputar kembali di kepalaku. Semua kenangan indah aku bersama dengan bapaku masih tersemat dalam hati. Sungguh, malam ini mengalir air mataku kerana terlalu merinduinya.
Bagiku, dia hero, peneman aku untuk ke mana-mana, segala yang aku perlukan, aku akan meminta dia untuk membantuku sehingga sekecil-kecil perkara spt memintanya untuk membuka tin susu untuk ku, dan macam2 lagi.
Bagiku, dia seorang bapa yang sangat penyabar, lembut dalam berbicara, ceria, suka membantu dan sangatlah susah untuk aku melihat dia marah. Aku bersyukur dikurniakan seorang bapa sepertinya. Walaupun pemergiannya terlalu mengejut bagi aku, namun aku redha dengan pemergiannya. Semoga roh almarhum bapaku diampunkan segala dosa dan dicucuri rahmat Nya.
Kepada pembaca semua.. Aku nasihatkan agar sayangi dan hargai masa yang ada bersama kedua orang tua kita. Janganlah bercakap kasar dengan mereka. Layan mereka dengan baik.
Lagi satu.. Aku berpegang pada satu ayat iaitu “tidak akan miskin harta seorang anak apabila membelanjakan hartanya kepada orang tuanya”. Kerana bagiku wang ringgit tidak dapat membantu membayar semua pengorbanan mereka dalam membesarkan anak-anak mereka.
Sayangi dan bahagiakan orang tua kita sementara mereka masih bernyawa. Harta dunia mampu di cari. Akan tetapi harta dunia akhirat kita, iaitu ibubapa kita.. Tidak akan ada pengganti sampai bila-bila.
Oleh itu, sekiranya kita ada menyakitkan hati mereka.. Minta maaf kat orang tua kita cepat2 kerana kita tidak tahu berapa lama masa yang Allah beri kita pinjam untuk bersama dengan mereka. Doakan aku untuk sentiasa kuat untuk menjaga ibuku selepas ini.
Akhir kata, aku doakan agar kita semua tergolong dalam golongan anak-anak yang diredhai ibu bapa kerana sesungguhnya redha Allah terletak pada redha ibubapa kita. Mohon juga kalian sedekahkan pahala bacaan surah Al- Fatihah buat bapaku yang telah pergi dan semua muslimin muslimat yang telah pergi dijemput Ilahi. Sekian…
– Shamira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit