Setelah melihat ramai yang berkongsi masalah mengenai family terutama melibatkan ibu dan abah rasa macam terpanggil untuk turut berkongsi cerita. Tujuan kisah yang hendak disampaikan bukanlah untuk mengaibkan mana-mana pihak terutama keluarga sendiri (nauzubillah).
Alhamdulillah aku di besarkan dengan didikan agama. Terima kasih kepada ummi dan abah sebab paksa masuk sekolah agama walhal pada mulanya aku tidak mahu tapi disebabkan aku sayangkan mereka aku turuti jua.
Kisah aku hampir sama dengan -sis kecewa. ummi dan abah aku tidak pandai bab-bab gadget, IT, teknologi dan apa-apa yang trending dalam kalangan GenY. Seingat aku semasa sekolah menengah abah dah mula terpaksa membuat tugasan kerjanya dengan bantuan komputer. Abah aku memang buta IT dan kami adik beradik yang tolong fahamkan dan ajar cara nak guna. Alhamdulillah selepas itu abah sudah pandai menggunakan komputer dan melakukan tugasan dengan sendiri walaupun tidak cekap. Ada waktunya kalau terlalu lama menghadap komputer aku yang selalunya akan jadi assistant untuk siapkan tugasan dia.
Satu malam aku terjaga dari tidur, aku perasan ada orang sedang menggunakan komputer. Komputer peribadi untuk keluarga hanya bersebelahan bilik tidur aku. Dalam keadaan mamai aku amati betul-betul. Rupa-rupanya abah sedang menghadap komputer. Pada mulanya aku tidak syak apa-apa. Pada hari lainnya aku hendak menggunakan komputer dan aku mendapati 'pendrive' abah aku ada berdekatan komputer. (Lupa sama ada aku yang mengambilnya dari kamarnya atau memang tertinggal dekat meja komputer). Disebabkan aku ini jenis yang suka ambil tahu aku pun dengan sengaja teroka device itu.
Alangkah terkejutnya aku dalam subfolder penuh dengan video porno dan aku dapati ada gambar-gambar seorang wanita melayu dalam keadaan separuh bogel yang ketika itu aku syak ini adalah skndalnya. Selepas itu aku cepat-cepat kembalikan pendrive itu ketempat asal. Disebabkan kejadian itu aku hampir langsung tidak bercakap dengan abah aku. ketika itu konon-konon ilmu penuh di dada serta berlagak seperti aku ni suci dari dosa dan perbuatan yang abah lakukan itu haram dan aku rasa menyampah dengan pelaku maksiat seperti dia. Hubungan kami keluarga ketika itu pun mula regang. Malah kadang-kadang abah pernah memburukkan ummi depan anak-anak. Walaupun itu memang sifat dan sisi buruk ummi namun tidak patut abah membakar hati anak-anak untuk membenci ummi.
Setiap hari aku bermasam muka, aku kadang-kadang masa dia panggil aku lari dan tidak pula pandang wajah dia. Ya! Perbuatan aku terlalu 'obvious'. Aku tahu abah aku sedar, aku tahu adik beradikku sedar, aku tahu hampir semua orang dalam rumah itu sedar. Aku dapat lihat riak muka abah aku berubah macam dalam hatinya ingin sekali tahu apa masalah aku.
Sampailah suatu hari kakak aku yang sulong menegur aku sebab aku terlalu kurang ajar dengan abah. Kata-katanya membuat aku sentap. Selepas itu aku sedar. Demi Allah aku sayangkan abah aku, aku tahu dengan perbuatan aku ini tak akan kemana. Dia akan terus dengan dosanya dan Aku? Terus membisu dan berharap dengan protes ala-ala mogok lapar macam ini boleh buat abah berubah. Selepas dari itu hampir setiap hari aku berdoa dan menangis supaya Allah ampunkan dosa-dosa aku dan abahku.
Sejujurnya aku takut untuk menegur secara terus. Agak lama juga aku pendam. Tidak pula aku ceritakan kepada sesiapa sebab aku rasa hanya akulah orang yang layak untuk menegurnya. Hanya aku lelaki dalam keluarga. Sengaja aku tidak memberitahu atau berkongsi masalah dengan kakak-kakak sebab aku boleh agak mungkin reaksi mereak akan lebih teruk dari aku.
Dipendekkan cerita aku terus mengumpul kekuatan untuk berdepan dan menegurnya secara kiasan. Walaupun dalam kiasan suara aku terketar-ketar. Aku takut. Takut dibenci abah. Sambil menegur air mata aku hampir jatuh (jatuh carrymark) sebab aku betul-betul harap mesej yang aku cuba sampaikan bukan sahaja sampai malah memberi kesan. Setelah itu wajahnya berubah seakan-akan tahu apa yang aku ingin sampaikan.
Setelah beberapa hari hubungan kami kembali erat. Aku tidak tahu macam mana tetapi aku yakin dan percaya abahku telah berubah. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya aku. Aku dapat lihat perubahannya. Walaupun dia tetap dengan Bengisnya tapi itulah abah aku. Aku merindui saat-saat bersamanya.
Al-Fatihah untuk arwah abah. Agak sedih dan terkilan sebab aku pernah berhajat tidak mahu ummi dan abah aku masuk menyertai majlis graduasi aku. Sebab aku tidak sanggup melihat mereka menunggu terlalu lama dalam dewan berjam lamanya hanya untuk lihat aku naik atas pentas terima segulung kertas. (lari topik sat)
Agak-agak korang boleh bayang atau tidak kalau aku tidak ambil tindakan waktu itu? Macam mana hubungan kami selpas itu? Macam mana keadaan abah aku ketika dalam kubur? Apa yang aku nak jawab depan Allah walhal aku ada peluang untuk bersuara dan aku ada ilmu tapi tidak amal? Mahu beralasan selemah-lemah iman adalah menjauhkan diri dari pelaku maksiat?
Selepas kejadian itu aku rasa bertambah yakin untuk terus menjadi pelindung keluarga. Dan aku sekarang menggantikan abah aku sebagai ketua keluarga. Aku pernah ditampar oleh kakak aku sebab aku menegur cara pemakainnya. Aku pernah dibenci oleh adik aku sebab aku menegur cara sosial hidupnya. Sehingga Adik aku tidak mahu langsung bersua muka dengan aku. Hampir setiap malam aku menangis diatas sejadah mendoakan agar adik beradik aku berubah disamping beberapa ikhtiar dan pendekatan aku ambil untuk terus menegur.
Alhamdulillah kakak aku walaupun masih tidak sesempurna muslimah pemakainnya dia cuba improve. Dan sekarang ini mudah untuk dia terima teguran. Adik perempuan aku juga Alhamdulillah sudah lagi tidak keluar rumah merayau merata-rata. Walaupun sebelum ini ummi aku sendiri tak mampu nak halang adik aku dari keluar rumah ditambah pula aku berada di UIA yang jauh dari rumah.
Bukanlah aku nak cakap aku ini insan yang sempurna atau terlalu baik. Keluarga aku tetap ada masalah hingga sekarang. Ditambah lagi semua adik beradik aku perempuan jadi masalah emosi ini terlalu sukar bagi aku seorang lelaki untuk tangani. Doakan aku sentiasa kuat.
Pointnya disini adalah.
1. Jangan takut jika dibenci manusia. Takutlah jika Allah murka terhadap kita. Jika kamu bantu agama Allah Insyaallah, Allah akan bantu kamu.
2. Ikhlas niat kerana Allah.
3. Tujuan nasihat atau teguran memang nak bagi manusia terasa. Cuma carilah dan gunalah cara yang paling berhikmah.
4. Jika masih rasa tidak mampu carilah ahli keluarga yang terdekat yang boleh memberi pertolongan atau setidak-tidaknya memberi solusi. Jika tahu orang yang kamu ceritakan masalah kamu tidak dapat memberi manfaat kecuali hanya mendengar dan mengangguk sahaja malah mungkin menimbulkan lebih banyak fitnah dan masalah. Kamu telah mendedahkan AIB kelurgamu.
5. Ingat bahawa kita nak ajak sekali keluarga kita masuk syurga kalau kita biarkan ibarat kita buka laluan dia ke neraka dan tak mustahil mereka akan tarik kita sekali. Maka berusahalah sebaik mungkin.
Mungkin juga situasi keluarga kita berbeza dan pendekatan juga berbeza. Aku tahu ramai telah memberi nasihat melalui komen-komen. Cuma berharap mungkin dari nukilan ini menjadi pencetus kepada cara bro/sis untuk bertindak.
maaf kalau panjang. Rajin pula aku nak menaip pagi-pagi buta nih. Karangan paling panjang selepas SPM >_<
Jika ada teguran kepada post aku ini komen je. Semoga sama-sama dapat manfaat.
– DHOSt