Sepucuk surat untuk mak

Assalamualaikum, saya ingin berkongsi cerita yang saya rasa boleh dijadikan iktibar, harap admin boleh approve.

SEPUCUK SURAT UNTUK MAK
Mak…
Terlalu bosan rasanya duduk membilang jari. Dah hampir 10 bulan mak pergi.
Rasanya baru semalam mak peluk kita, kan sejuk syahdu masih terasa…

Mak tahu tak, itulah kali pertama mak peluk anak yang nakal ni sejak kita dewasa. Dan itu juga kali terakhir. Ermm, rupanya mak dah tahu mak nak pergi jauh, nak tinggalkan anak2 mak, nak tinggalkan dunia fana ni…

Mak macam dah sedia. Seminggu sebelum tu, mak dah menganyam tikar mengkuang 3 helai. Akak kata sampai pagi mak anyam tikar tu. Tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih. Kakak pun hairan, mak tak pernah buat begitu…

Lepas tu mak pasang radio kecil di sebelah mak, tapi mak seolah tak sedar yang rancangan radio tu siaran Siam. Kadang2 siaran indonesia, tapi mak terus menganyam. Rupanya tikar tu digunakan untuk iring mak ke kubur…

Lepas tu mak sapu rumah bersih2, mak jemur karpet2, mak ubahkan sofa ke tempat lain. Rupanya kat situ jenazah mak diletakkan…

Paling menarik sekali mak beritahu kat mana semua duit dan barang kemas. Ada kat dlm almari, ada kat dalam beg, ada kat ASB, ada kat Tabung Haji. Mak cakap tak berapa cukup lagi, ada kat dalam gulungan tikar…

Masa tu mak perasan tak?? Kita gelak sakan bila mak bagitahu duit dalam gulungan tikar. Kita kata "mak ni memang pesen lama la". Mak cuma gelak je. Eeemmm, bahagianya saat itu…

Mak…
Hari tu hari sabtu 01/03/2007 pukul 3 petang, mak tetiba sakit perut. Bila malam tu kita sampai dari KL, mak dalam kesakitan. Akak dgn abang kat kampung semua dah pujuk, mak tetap tak mahu pergi hospital…

Dan tinggal giliran kita je yang belum pujuk. Mak kata mak tak mahu duduk hospital, tapi kita berkeras juga pujuk. Nanti kat hospital ada doktor, ada ubat untuk mak. Kat rumah kami hanya mampu sapu minyak dengan urut je…

Mak tetap tak setuju. Mak memang degil. Tak salah, anak mak yang ni pun ikut perangai mak tu. Tapi bila lihat keadaan mak makin teruk, mak sakit perut sampai nak sentuh perut mak pun sakit. Kami adik beradik sepakat hantar mak ke hospital…

Mak..
Ampunkan kami semua. Kami nak mak sihat, kami sayang mak, kami tak mahu mak sakit. Kami terpaksa juga hantar mak ke hospital. Ampunkan kami ye mak…

Mak…
Malam tu abang bawa mak ke hospital. Dan itulah kali pertama dan terakhir mak naik kereta kita. Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya mak. Kita kata nak beli kereta. Mak asyik tanya je, cukup ke duit. Kita jawab pula, kalau tak cukup, mak kan banyak duit. Mak gelak jer…

Lepas tu bila kereta kita sampai, mak buat kenduri kesyukuran. Dan kita masih ingat lagi, bila kita terlanggar Ah Chong naik motor, punyalah kita takut. Kita warning akak kita jangan bagitahu mak. Bila balik je kampung, kita cepat2 simpan kereta dalam garaj, tapi mak perasan juga bumper depan kemek. Mak tanya kenapa, selamba je kita jawab langgar pasu bunga…

Mak…
Tujuan kita menipu tu supaya mak tak risau. Maafkan kita kerna sampai mak pergi mak tak tahu hal sebenar. Mak, kita tipu mak , ampunkan kita mak…

Mak…
Jam 0430 19/03/2007
Bila tiba je kat hospital, nurse tengah balut mak dengan kain putih. Mak mesti nampak kita jatuh terduduk di lantai hospital. Mesti mak nampak abang cium dahi mak. Mesti mak nampak akak baca doa untuk mak. Mak mesti nampak adik terduduk kat kerusi kat sudut itu. Mesti mak nampak semua tu kan, kan, kan

Mak tahu tak, pagi tu balik dari hospital jam 0528 pagi, kita memandu dalam keadaan separuh sedar. Adik kat sebelah diam melayan perasaan. Kenangan bersama mak berputar dalam kepala ini. Jalan di depan terasa makin kelam, airmata dah tak mampu ditahan. Masa tu andai apa2 terjadi di jalan tu kita rela. Namun alhamdulillah akhirnya kita sampai juga. Disebabkan pagi masih awal, jadi jalan tu lengang, kosong, sekosong hati ini. Sepanjang perjalanan terasa kedinginan subuh tu lain benar suasananya. Terasa syahdu dan sayu. Dinginnnn…

Mak…
Kita masih ingat lagi, kita baca alQuran kat tepi mak temankan mak. Jam 1100 pagi mak dimandikan. Anak2 mak yang pangku mak masa mak mandi. Mak mesti rasa betapa lembutnya kami menggosok seluruh tubuh mak. Kita gosok kaki mak perlahan lahan. Mak perasan tak?

Makcik yang mandikan mak tu pujuk kita. Dia kata, "dik, jangan nangis , kalau sayang mak jangan buat begitu, jangan nangis ya". Bila makcik tu kata gitu, lagi laa laju airmata ni. Tapi kita kawal supaya tak menitik atas mak…

Mak…
Hari tu sebelum muka mak ditutup buat selamanya. Semua anak2 mak mengelilingi mak. Menatap wajah mak buat kali terakhir. Semua orang kata mak seolah-olah senyum aje. Mak rasa tak, masa tu kita sentuh dahi mak. Kita rasa sejukkk sangat dahi mak. Kita tak mampu nak cium mak. Kita tak berdaya. Kita tuliskan kalimah syahadah kat dahi mak dengan air mawar. Airmata kita tak boleh tahan lagi. Mak mesti ingat kan yang anak mak ini jadi imam solat jenazah untuk mak. Tapi kita suruh tok imam bacakan doa sebab kita sebak…

Jam 1200 mak diusung keluar dari rumah. Akak pula terkulai dalam pelukan mak cik. Badan akak terasa panas. Makkk, anak mak yang sorang tu demam.

Mak tahu, cuma akak sorang saja anak mak yang tak mengiringi mak ke tanah perkuburan.

Mak…
Hari2 ku lalui tanpa kewujudan mak lagi. Begitu terasa kehilangan mak. Boleh kata setiap malam lepas maghrib anak mak ni berendam air mata. Dan sampai satu tahap, masa tu malam jumaat lepas maghrib. Selepas kita baca yasin dengan kawan2, entah kenapa bila kat bilik , kita keluarkan gambar2 mak, pastu apa lagi, semakin kita tenung terasa semakin sayu. Tangisan tak dapat dibendung…

Mak tahu…
Kita cuba bertahan. Memujuk diri sendiri tapi tak juga reda. Kita rasa nak telefon mak, nak cakap dengan mak. Anak mak yang ni dah tak betul kan??? Dan akhirnya dalam sedu sedan itu, kita telefon kampung. Kita cakap dengan kakak , kita nangis lagi, puas la akak memujuk kita. Akak kata , "tak baik la nangis aje… doalah untuk mak". Dan akhirnya akak juga nangis…

Mak tahu tak…
Disaat itu kerinduan terasa menusuk sehingga ke hulu hati, rasa nyilu sangat. Menusuk nusuk sehingga terasa begitu sakit dalam dada ni. Sampai sekarang bila kerinduan itu menjelma hanya sedekah alFatihah kita berikan…

Mak…
Cukup la sampai sini dulu. Kawan kita dah ketuk pintu bilik tu. Kejap lagi kami nak pergi solat subuh kat masjid. Selalunya kalau kat kampung, kita yang bawak motor dengan mak. Kali ni kita jalan kaki dengan kawan pulak. Esok kita ingat nak tulis surat kat ayah pula. Mula2 kita tak tahu nak hantar mana surat ni pastu kawan kita bagitahu, simpan je buat kenangan…

Takpe ye mak, kita kasi orang lain baca, kita stop dulu, sebab kawan kita dah lama tunggu tu. Akhir kata untuk mak, I LOVE YOU SO MUCH. Dan jutaan terima kasih kerana membesarkan kita. Memberi seluruh kasih sayang dari kecil sampai masuk sekolah, sampai masuk universiti. Walaupun tak sehebat orang lain yang dapat belajar oversea, sampai akhir hayat ini jasa mak takkan mampu kita balas

– BroKongsiCerita

CREATE A POST

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *