Sudah Dekat, Cuma Masih Ditangguhkan

Hari ini hari ulangtahun perkahwinan aku dan isteri yang ke-12. Hari yang bersejarah tetapi muram untuk tahun ni. Hari ini datang tika 1001 macam masalah dan kemelut melanda aku. Hari ini datang tika aku tiada kerja tetap lebih empat bulan dan aku masih terus mencari.

Aku pernah luahkan di sini melalui Coretan Seorang YB sebelum ini. Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/coretan-seorang-yb/).

Alhamdulillah banyak komen yang membina. Sedikit sebanyak memandu aku cari solusi. Ada yang minta aku supaya hadirkan jiwa dalam amal ibadatku, perbanyakkan mohon ampun pada tuhan untuk disegerakan dan dimudahkan rezeki kerja.

Aku ikut saranan bernas yang diberikan. Sebab aku tahu aku masih jauh daripada sempurna dalam ibadat malah masih cetek ilmu agama. Aku aminkan segala doa yang dinukil pembaca.

Aku mula dapat panggilan temuduga daripada 2 buah syarikat daripada beratus yang aku pohon bekerja. Terbit rasa yakin yang tinggi peluang ini bakal menamatkan kemelut kerja selama ini. Tapi tuhan adalah sebaik-baik perancang. Masih bukan rezekiku. Alasan majikan skop kerja yang ditawar tidak 100% sesuai dengan pengalamanku.

Dalam doa, aku titipkan supaya tuhan dorongkan hati kawan-kawan dan kenalan-kenalan aku untuk bantu aku lorongkan jalan mendapatkan kerja. Aku tidak mahu sengaja mencanang masalahku pada orang sekeliling. Allah makbulkan doaku. Tidak semena-mena, bertambah jumlah kawan bertanya khabar dan cuba membantu.

Ada yang bantu majukan resume ke pihak yang berkaitan. Ada yang mahu hulurkan bantuan kewangan tapi aku tolak. Malah aku dapat satu panggilan temuduga melaui pertolongan kawanku yang tidak kusangka.

Bila ada kawan yang tampak serius mahu membantu, aku jadi optimis dan dapat rasakan rezeki kerjaku sudah hampir. Akan tetapi, ia masih tidak kunjung tiba. Aku hargai usaha kawan-kawanku. Walaupun hanya bertanya khabar, itu sudah cukup baik bagiku untuk terus kuat melalui dugaan hidup ini.

Aku turut ambil komen-komen pembaca forum ini untuk menjana pendapatan sementara sementelah duit simpanan aku sememangnya sudah sifar di dalam bank. Yang tinggal hanya sejumlah kecil duit yang aku asingkan dalam akaun si isteri untuk simpanan umrah kami.

Aku mula mendaftar sebagai pemandu e-hailing dan memenuhi berbagai keperluan tambahan yang memerlukan sejumlah wang aku dikorban lagi. Pendaftaran dengan e-hailing ‘si hijau’ masih tidak selesai sehingga kini, penuh dengan pelbagai masalah. Aku bersangka baik dengan tuhan, ini aturanNya. Mendaftar dengan e-hailing ‘si lokal’ mudah sangat, seminggu sudah dapat EVP.

Aku skeptikal dengan pendapatan yang boleh dijana dengan pekerjaan sambilan ini, kerana kereta milikku berkuasa sedikit besar dan bukanlah bersifat jimat minyak. Tambah pula, dengan EHO ‘si lokal’ yang orang ramai katakan lebih menguntungkan penumpang daripada pemandu. Namun aku usahakan juga setiap hari daripada 9 pagi sehingga 8 malam.

Sudah hampir sebulan aku lakukan. Hasilnya, aku hanya mampu menjana sejumlah duit yang menampung perbelanjaan harian di rumah. Masih tidak mampu menjana duit untuk membayar komitmen pinjaman kereta dan bil-bil. Mungkin aku masih baru, mungkin aku perlu lebih konsisten dan mungkin aku perlu tambah ilmu lagi untuk jana lebih wang dalam bidang ini.

Aku ikat perut dalam kereta. Roti krim gardenia yang menjadi makanan tengahari dengan bekal air daripada rumah sebelum aku menjamah nasi selepas pulang ke rumah waktu maghrib. Aku cuba sehabis baik untuk melunaskan solat fardu di masjid dan surau.

Aku berzikir pada Allah di selang masa memohon diberi ‘ping’ job dengan harga yang besar dan berbaloi. Aku masih amalkan solat sunat dhuha dam membaca beberapa surah sebelum keluar rumah. Aku masih terus memohon kerja secara online.

Pelbagai karakter dan karenah penumpang yang ditemui sedikit sebanyak melupakan aku sebentar dengan masalah yang dihadapi. Ada yang berkongsi kisah kehidupan. Ada juga senasib dan kurang bernasib baik daripadaku. Aku hanya mampu menasihati sebaik mungkin walaupun diri sendiri masih bergelut. Sekurang-kurangnya aku ambil iktibar dan pengajaran baik daripada orang di sekelilingku.

Seperti ditegaskan sebelum ini, bukanlah aku tidak bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Aku yakin dengan rezeki Allah, seboleh-bolehnya aku cuba bersangka baik dengan Allah.

Ini semua dugaannya dan ujiannya pada aku dan keluargaku. Semestinya ada hikmah. Aku dapat rasakan rezeki kerja tetap ku sudah hampir tiba tapi masih tertangguh. Banyak tanda-tanda rezeki kerja itu sampai cuma masa menjadi penentu.

Cuma aku sangat takut sekarang. Sebelum hari ini tiba, seluruh ahli keluargaku dilanda sakit. Mula-mula anakku terkena cirit birit dan muntah-muntah. Aku bimbang ia berlarutan ke ward seperti suatu masa dahulu. Tetapi masa itu aku punyai faedah kad medikal untuk kesemua anggota keluargaku.

Tika ini aku tiada apa-apa melainkan hanya kad kredit yang aku mampu taruhkan walaupun belum pasti minimum payment amount mampu aku lunaskan. Isteriku bertegas mahu gunakan apa sahaja ubatan dan ramuan yang ada di rumah. Syukur anakku kembali sihat selepas 3 hari. Tetapi aku hanya sempat menghela nafas lega yang singkat sebelum isteriku mula terjangkit sama.

Dua hari dia lemah di rumah. Aku korbankan masa mencari rezekiku untuk menjaganya. Aku mohon Allah kuatkan aku tetapi aku tumbang jua dan aku turut terkena tempias sakit. Masuk harini, sudah 2 hari aku tidak memandu dan ini bermaksud tiada duit yang aku boleh tabungkan.

Aku telah berterus terang dengan orang tuaku berkenaan status diri yang tidak lagi bekerja tetap. Dia tenang sahaja. Seolahnya sudah tahu dan menjangka awal. Kuat betul nalurinya. Aku mohon doa orang tuaku supaya rezeki kerja hadir buat diriku dan isteriku.

Di dalam hati, aku pohon maaf pada orang tuaku kerna tidak mampu lagi membantu mengirim duit seperti dahulu. Tak mampu aku tuturkan di bibir bimbang air mata tidak putus mengalir.

Aku kini tambah gusar bila tahun baru bakal menjelma tidak lama lagi. Seperti tahun-tahun yang lepas bukan sedikit wang yang diperlukan untuk keperluan sekolah anak-anakku. Otak aku masih memerah apa yang aku boleh lakukan untuk jana peruntukan duit tersebut.

Jika dulu, aku mampu membantu serba sedikit seorang anak buahku menyiapkan keperluan sekolah, tahun ini aku tak pasti boleh memenuhi keperluan paling asas untuk anak kandungku.

Kadang-kadang aku menangis keseorangan di dalam kereta bila mengenang nasib yang menimpa. Sambil-sambil mulut aku memohon pertolongan Allah.

Aku cuba hadirkan jiwa sehabis baik dalam amalku dan doaku. Aku terus cuba istiqamah dalam amalanku menjemput rezeki. Jadikan aku kuat hadapi semua dugaanmu ini, Ya Allah. Keluarkanlah daku dari segala masalahku ini.

Tiada sebarang hadiah istimewa buat zaujahku di hari bersejarah hari ini, waima sekeping kad. Sudah aku rancang untuk sekeping kad tetapi malangnya sakit yang datang tidak mengizinkan pula. Yang aku mampu hanyalah lafaz ucapan di mulut yang lahir tulus dari hatiku yang masih kacau.

Aku sudah berkira-kira untuk mengguna sejumlah duit tabung untuk meraikan hari ini di kedai makan petang ini. Mungkin tidak mewah tetapi yang semampunya. Saya sayang awak, isteriku zaujahku. Terima kasih di atas pengorbanan besar memahami keadaan kita dan moga terus sabar serta tabah hadapi dugaan yang tidak diketahui di mana penghujungnya.

Ya Allah, kepadamu kami sembah dan kepadamu kami memohon pertolongan. Tolonglah aku kasihanilah aku, Ya Allah. Aku yakin padamu Ya Allah.

– Muchtar H. (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *