Syurga Yang Kembali II

Assalamualaikum para pembaca IIUM Confession. Kenalkan aku A. Ini adalah confession kedua aku selepas SYURGA YANG KEMBALI (https://iiumc.com/syurga-yang-kembali/).

Membaca komen komen daripada orang yang lebih dewasa membuatkanku lebih membuka mata.

Banyak yang positif, membuatku tersenyum di depan skrin. Sehinggakan ada di antara rakan rakanku menuduhku mempunyai teman wanita. Ah sudah, boleh pula macam tu.

Sambungan..

Kaki Ayra ku basuh. Namun kesan kotor pewarna oren masih kelihatan pada kulit. Tak mengapalah, mungkin dua tiga hari nanti akan hilang.

Sambil mencuci, fikiranku bercampur baur. Sukar diterjemahkan. Namun yang pasti satu soalan sedang ligat di fikiranku.

‘Mengapa menangis? Perasaan apa yang menyebabkannya menangis?’ Sungguh! Aku gagal mengerti.

Mama tiba-tiba muncul di pintu bilik air. Ayra yang berpaling melihatkan Mama segera mengangkat kedua belah tangan, minta didukung.

“Ayra sakit?”

Ayra menggeleng laju. Mungkin tujuh ke lapan kali gelengan. Mama dan Ayra pun berlalu, menuju ke bilik menukar baju.

Aku pula menuju ke dapur namun suara Mama terlebih dahulu menegah

“Along jangan pergi dapur lagi ya banyak kaca Mama belum habis mengemas”

Benar. Lantai dapur masih kotor seakan sama sewaktu kulihat tadi. Cuma periuk nasi sahaja diletakkan kembali ke kedudukan yang betul.

Nampaknya dalam kekalutan botol kaca pecah, nasi tumpah, Ayra melalak, dan berperang dengan perasaan sendiri sehingga menangis,

Mama bergegas untuk melihat keadaan Ayra terlebih dahulu.

2020. Mama memutuskan untuk berhenti kerja. Adakah berkaitan pengurangan pekerja, ataupun keputusannya sendiri untuk menjadi surirumah sepenuh masa? Tidak pula kupasti.

Mama yang selama ini kuperhatikan adalah seorang yang rajin dan pengemas. Mungkin boleh dikategorikan dalam golongan clean freak.

Hampir segenap ruang rumahku sudah bertukar wajah sejak dia menjadi sebahagian dari keluarga ini.

Apabila Mama membuat pembaharuan, contohnya tempat simpan barangan mencuci di bawah sinki, Abah akan memujinya di meja makan.

Abah juga mengajar Ayra dan Anim untuk selalu memuji dan berterima kasih dengan Mama kerana sentiasa mencantikkan rumah.

Aku seperti biasa, tidak bercakap. Namun kata Abah ada benarnya, pemilihan Mama untuk menghias rumah memang cantik.

Kadang kadang aku sengaja keluar dari bilik, memilih untuk menjadikan hiasan Mama sebagai ‘backdrop’ sesi PdPR ku. Terasa bangga pula bila background ku rak buku dan juga pokok yang menghijau.

Menyentuh hal PdPR, segala keperluan PdPr ku disediakan Mama. Hampir setiap hari ada sahaja bungkusan didepan pintu. Printer, headphone dan sebagainya.

Selama ini aku hanya mendengar sahaja daripada Abah bagaimana Mama menguruskan urusan persekolahan Anim, namun kali ini aku sendiri yang merasakannya. Lengkap! Segalanya lengkap. Tiada yang kurang. Namun, aku tidak pernah berterima kasih.

Sepanjang MCO, Mama semakin banyak meluangkan masa didapur. Aku akui Mama pandai dalam membuat kek dan juga pencuci mulut.

Malahan ais krim pun kami sudah jarang beli kerana Mama buat sendiri. Namun, kemahirannya agak terbatas apabila menyediakan lauk pauk.

Pernah sekali, ayam goreng yang dimasak Mama masih separa mentah di bahagian dalam. Selera ku mati. Terus aku bangkit dari kerusi dan membuang makanan di dalam pinggan yang belum pun habis.

Aku sedar, riak wajah Mama berubah. Aku sendiri gagal memahami tindakan ku yang begitu keanak anakan. Inginku meminta maaf, namun hatiku tidak mengizinkan.

Hari berganti hari. Lauk pauk yang disediakan Mama juga bersilih ganti, pelbagai jenis. Mungkin Mama sedang bereksperimen, bisikku sendiri. Aku sedar, setiap kali selepas membaca doa makan, Mama seolah olah begitu menantikan suapan pertamaku.

Pujian Abah tentang masakannya yang semakin lazat tidak begitu dihiraukan. Sepertinya menunggu aku untuk memberi reaksi. Namun aku seperti biasa, tidak bercakap.

2021. Maghrib. Abah mengajakku keluar untuk membeli lauk bungkus. Sudah menjadi kebiasaan, satu atau dua kali dalam seminggu kami pasti membeli makanan di luar.

Mungkin juga sudah terbiasa sewaktu setahun arwah Umi sakit, kami agak sebati dengan masakan restoran.

Abah memulakan bicara dengan mengutuk lagu Andi Bernadee yang dimainkan di radio. Katanya lagu sekarang sebutannya pelik pelik.

Aku hanya tergelak. Tidak mengiakan, tidak juga bersetuju. Namun rakan rakanku ramai yang menyanyikan lagu ini. Kemudian perbualan kami lebih serius.

“Along. Dengan Abah ni, cakap yang betul aja lah ya”

Aku hairan. Cakap yang betul? Kenapa pula, pernah kah aku berbohong?

“Along sayang tak Mama?”

Allahuakbar. Patutlah Abah suruh aku cakap yang betul. Soalan ini sukar. Sudahnya aku yang terjerat. Aku tidak pernah ada sebarang rangka jawapan pun untuk soalan seperti ini.

Otakku ligat berfikir. Jawapanku harus bernas, setiap yang keluar dari mulutku mungkin Abah sampaikan kepada Mama.

“Along sayang je selagi mana Mama pun sayangkan kami adik beradik” ku kira jawapan ini paling selamat. Kononnya paling berkelelakian.

“Lahh. Kenapa pulak ada ayat selagi tu? Mesti la Mama sayang kita sampai bila bila” Abah cuba menduga keyakinanku barangkali.

“Sebab.. nanti Mama mesti ada anak sendiri” entah kenapa. Dihujung ayat yang ku ungkapkan, nadaku semakin mendatar perlahan. Seakan sayu.

Tidak sanggup rasanya aku membayangkan Mama tidak menyayangi Ayra lagi, melayan Anim acuh tak acuh apabila melahirkan zuriat sendiri kelak.

Namun, ada sedikit rasa lega apabila aku berterus terang dengan Abah tentang ketakutan terbesarku ini.

Kulihat Abah disisi yang sedang memandu. Dia tidak membalas kata kataku. Perbualan kami terhenti disitu. Kami masuk ke dalam restoran dan duduk menunggu pesanan kami di satu sudut. Berdekatan kipas angin.

Abah kelihatan serius menaip sesuatu di handphonenya. Aku yang duduk bersetentang dengan Abah pula gundah, risau Abah memberitahu Mama akan bait bait ayatku di dalam kereta tadi.

Tiba tiba Abah menyuakan handphonenya kepadaku. Ku kira Abah sedang membuka aplikasi WhatsApps, rupanya Safari.

Ada sebaris ayat yang ditaipnya di kotak carian, sekaligus memaparkan beberapa artikel daripada majalah dan keratan akhbar tempatan.

‘Endometriosis and Fertility’

‘Endometriosis is associated with an increased risk of having difficulty becoming pregnant, or infertility. Studies have shown that the amount of endometriosis that is seen at the time of laparoscopy is linked to future……’

Aku tergamam. Tidak mampu kuteruskan untuk membaca keratan artikel tersebut. Ya. Aku faham sekali apa yang kubaca. Namun..

“Mama kamu takboleh mengandung”. “Memang Mama dah cakap awal kat Abah sebelum kahwin lagi”.

Aku tersentak. Pandanganku jatuh ke skrin handphone. Inginku meneruskan pembacaan, namun mataku semakin kabur dek air mata. Laju ku seka dihujung mata sebelum mengalir didepan Abah.

Tidak, bukan diriku untuk mengalirkan airmata di hadapan orang, meskipun Abah.

Kami pulang ke rumah membawa lauk yang dibungkus dari restoran. Mama bergegas menyediakan nasi. Lauk pauk dituang ke dalam mangkuk.

Aku masih membisu. Sesekali aku mencuri lihat Mama yang sibuk dari dapur ke meja makan.

Entah kenapa, buat pertama kali aku rasa ada kasih didalam pandanganku terhadap Mama. Sukar difahami. Adakah ini sebenarnya kasihan? Atau rasa bersalah yang menebal?

“Sedap tak tomyam ni? Rasanya dia tersilap ambil order ni. Mintak daging dibagi nya seafood pulak” Abah sekadar berbasa basi sambil menghirup kuah.

Aku memberanikan diri.

“Manis. Tak sedap macam Mama buat”

Damn.

Kulihat Mama seakan terkejut. Namun senyuman terukir dibibirnya. Abah juga sama. Tersenyum melihatku.

Di dalam bilik. Aku meneruskan pembacaanku mengenai endometriosis di komputer riba. Kasihan Mama. Sungguh aku tak sangka selama ini dia mengalami penyakit sebegini.

Bodohnya aku tidak pernah peka, Mama dan Abah sudah 4 tahun berkahwin. Tidak pernah sekali aku dengar mereka berbicara soal zuriat.

Mungkin juga kerana keluarga ku kecil, tidak mempunyai makcik, pakcik kaki kepoh dan mertua untuk Mama bercakap soal ini. Jika tidak, pasti kasihan Mama.

Selama ini aku butakan mata akan kasih sayang yang Mama cuba curahkan. Semuanya ku tepis. Alasannya? Aku begitu takut Mama mempunyai anak baru dengan Abah. Sedangkan Mama hanya mahu berkongsi kasih dan bahagia dengan kami yang bergelar anak.

Aku segera berwuduk. Isyak ku agak lewat kerana melayari internet. Segera ku bentangkan sejadah dan silentkan phone. Tidak mahu ada gangguan.

Usai solat, aku menadah tangan kepada Allah S.W.T. Belum sempat aku memulakan doa, air mata ku hamburkan sepuas hati. Tanganku menggigil. Jiwaku menyesal. Mataku tidak putus mengalirkan air mata. Sesuatu yang tak pernah terjadi terhadapku selama ini.

Untuk pertama kali selepas 4 tahun Mama hadir di dalam hidupku, malam ini aku selitkan doa buatnya. Bersungguh-sungguh.

Zalimnya aku tidak pernah sekali pun mendoakannya. Kejamnya aku. Begitu pentingkan diri sendiri. Sudah berapa lama Mama menjeruk rasa dengan kedinginanku.

Ya Allah. Along minta maaf Mama. Along sayangkan Mama. Terima kasih Allah hadirkan Mama dalam hidup kami.

Hari ini. 4 December 2021. 3:30AM

Di dalam dorm. Aku masih menaip confession ini menggunakan notes di dalam iPad. Walaupun sudah lewat, namun masih ramai rakan rakan ku belum tidur. Maklumlah hujung minggu.

Ada yang asyik bermain Mobile Legend, ada yang sedang memasak maggie menggunakan heater, ada yang melayan movie. Minggu hadapan kami akan pulang ke rumah, jadi ini merupakan hujung minggu terakhir kami menghabiskan masa bersama.

Masih berbaki setahun sebelum aku meninggalkan sekolah ini. Abah mengharapkan ku mengambil jurusan kedoktoran, namun aku lebih berminat ke arah kejuruteraan. Lebih lebih lagi kejuruteraan kimia. Apa apa pun, biarlah result SPM ku nanti menjadi penentu.

Sekadar berkongsi kegembiraan, namaku tersenarai menjadi pengawas untuk 2022.

Berbalik kepada Mama. Untuk aku berdepan dengan Mama dan menangis dihadapannya, adalah sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan.

Bukanku ego, (mungkin ego sedikit) namun untukku yang telah terdidik sejak kecil menyimpan perasaan sendirian, berterus terang tentang perasaan adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

Budaya institusi kekeluargaan kita bukan seperti budaya barat, dimana anak anak dengan bebas boleh menyuarakan apa sahaja isi hati berkaitan perasaan dan emosi.

Kebanyakan kami anak anak lebih terdidik untuk menyimpannya sendiri, dan akhirnya membarah menjadikan kita anak yang sukar dimengerti.

Namun, aku cuba untuk melakukannya dengan caraku tersendiri. Antaranya, aku tidak lagi lokek memuji setiap hidangan yang Mama sediakan.

Ayatku tidak lah berbunga bunga. Cukup sekadar “uish mi goreng Mama, boleh bukak kedai”. Aku lihat Mama semakin gembira

Dan aku sedar, perubahan ini menjadikan hidup kami sekeluarga lebih bahagia. Bahagianya Mama, menghidupkan seri didalam rumah kami. Hadirnya Mama, mengembalikan syurga buat kami.

– A (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit