Terlepas Peluang

Assalamualaikum dan hai kepada semua pembaca IIUM Confession. Tak lama lagi kita akan raya. Manfaatkan sebaiknya untuk kejar pahala di bulan Ramadan yang mulia ini sementara masih berkesempatan.

Terima kasih kepada admin sekiranya confession aku ni disiarkan. Saja nak share kisah hati dan perasaan. Rasa terkilan sebab terlepas peluang. Terlepas peluang untuk apa? Mohon baca sampai habis. Confession ni mungkin sedikit panjang dan aku malas nak buat part seterusnya. Cerita sini habis sini je. Maaf kalau tak menarik dan bosan bagi korang.

PROLOG

Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita semuanya bersebab. Setiap orang yang datang dalam hidup kita pasti ada hikmah di sebaliknya. Sama ada ianya memberi kebahagiaan atau pengajaran. Nama aku Maya (bukan nama sebenar) dan ini kisah cintaku.

Aku seorang wanita berumur awal 30-an. Aku bekerja di sebuah syarikat (call center/ BPO) di ibu negara. Aku ni orangnya biasa-biasa saja. Sederhana. Seorang muslimah bertudung labuh, belum pernah berkahwin, dan nak fokus kerjaya dulu untuk kestabilan kewangan.

Pernah berkenalan dengan seorang lelaki dan serius untuk berkahwin pada tahun 2017 tapi tiada jodoh. Sampai sekarang masih single dan rasa malas nak kenal orang baru. Huhu

PERTEMUAN PERTAMA

Semuanya bermula pada akhir bulan November 2023. Pada masa ni, aku baru 4 bulan bekerja di sini. Sepanjang aku bekerja selama 4 bulan ni, aku tak pernah disapa mesra oleh mana-mana rakan sekerja lelaki sama ada dalam team aku sendiri mahupun team lain.

Pada satu pagi tu tengah syok kacau air panas dalam cawan di pantri sambil berangan, tiba-tiba ada seorang lelaki mula menegur aku. Aku namakan dia Amir (bukan nama sebenar).

Amir sedang berada di sinki tengah basuh cawan. Dia cakap hai kat aku sambil senyum. Aku pandang sekeliling dulu mana tahu dia cakap hai kat orang lain ke. Masa tu takde orang sangat kat pantri. Rasanya ada cleaner je yang lalu lalang. Allahualam. Aku agak kekok balas hai dia. Haha

Aku tak kenal Amir. Tak pernah juga nampak atau terserempak dengan dia di mana-mana terutamanya di sekitar ofis. Tapi aku tak pasti kalau Amir pernah nampak aku ke sebelum ni. Fakta lain tentang aku. Aku seorang yang introvert. Pendiam, pemalu dan suka menyendiri. Tak banyak bercakap kalau takde orang ajak berborak. Tak tahu kenapa tapi aku selesa macam ni.

Aku juga rabun jauh. Kalau pagi-pagi nak pergi kerja tu aku tak pakai cermin mata sebab masih boleh nampak di bawah cahaya matahari dalam jarak kurang 5 meter. Penglihatan aku akan jadi sangat terhad bila berada di bawah cahaya lampu. Bila di meja kerja sampai balik kerja aku akan pakai cermin mata terutamanya waktu malam atau ketika nak memandu.

Aku juga agak kekok bila bersosial. Aku tak berapa ingat butir percakapan kami selepas tu. Tapi apa yang aku ingat, aku ada cakap pasal aku bancuh air guna krimer serbuk (sepatutnya untuk kopi atau teh) jadi macam susu.

Aku tak gemar minum kopi atau teh waktu pagi. Lepas dah siap kacau air, aku pun berlalu. Bila aku berjalan ke meja aku, aku terfikir balik yang aku ni pendiam, tapi boleh pulak aku jadi ramah secara tak sengaja dengan Amir. Haha.

PERTEMUAN KEDUA DAN SETERUSNYA

Beberapa hari selepas tu. Masa ni waktu lunch, aku jalan cepat-cepat ke pantri nak panaskan makanan. Maklumlah semuanya ada timeclock. Kau nak pergi lunch kena tukar status. Kau nak pergi toilet pun sama. Cuma nak pergi solat je tak tukar status sebab takut terlebih masa yang diperuntukkan. Semua benda kena cepat sebab masa terhad. Biasalah kalau kerja di call center ni. Rasa tak bebas.

Aku bukanlah jenis suka mengular. Cuma kadang nak santai jugak. Tapi tak boleh santai pun. Kes banyak dan kena selesaikan pada hari yang sama jugak. Bayangkan waktu balik pukul 6 petang, kalau ada kes masuk pukul 5:58 petang, kau tetap kena siapkan jugak. Belum lagi kalau masih ada kes pending dalam workflow.

Kadang-kadang tu ada sampai 6:30 petang pun belum tentu boleh balik. Takde maknanya boleh balik on time. Satu kes je perlukan masa 5 minit nak selesaikan. Penat hari-hari macam tu. Dah la OT tidak dikira. Tapi bersyukurlah ada kerja. Huhu. Sorry tercerita pasal kerja pulak. Okay kita sambung.

Sebelum ke pantri, kena lalu area locker dulu. Tengah berjalan tu, tiba-tiba ada orang tegur. Aku toleh ke belakang dan rupanya Amir yang tegur. Dia kat locker dia sendiri. Aku sebenarnya lupa muka Amir macam mana. Haha. Amir cakap aku jalan tak pandang keliling. Maksudnya aku ni jenis menonong. Lepas tu dia suruh aku sabar sebab jalan laju sangat.

Aku bukannya tak menyabar nak makan. Aku nak cepat. Tu je. Adoi mamat ni pun. Tapi aku cuma tersenyum dan berlalu pergi. Dalam hati aku cakap melebih-lebih pulak mamat ni. Nak cari gaduh dengan aku ke? Geram je. Aku rasa malu & annoying bila Amir tegur macam tu. Mesti dia ingat aku ni kebulur, tu yang jalan laju-laju tak pandang orang keliling tu.

Cuma yang aku pelik, bila dia cakap yang aku ni jenis menonong, rasanya macam dia selalu tengok aku dalam keadaan macam tu sebelum ni agaknya. Jalan tak pandang orang. Entah la. Ada masa-masanya aku tak pakai cermin mata, sebab tu la aku tak perasan orang sekeliling aku.

INSIDEN KELAKAR

Aku rasa momen ni paling kelakar dan akan aku ingat sampai bila-bila. Rasa bersalah pun ya. Alkisahnya aku sendirian nak pergi beli makanan kat foodcourt. Tengah syok tunggu lif sambil tengok phone, tiba-tiba Amir datang. Ish mamat ni lagi. Dia tanya makan mana. Bila dia tahu aku nak pergi tapau kat foodcourt, dia pun nak join sekali. Masa ni aku macam, ah sudah. Aku nak sorang-sorang sebenarnya.

Sejujurnya aku tak ready dengan situasi macam ni. Tak selesa la berdua je dengan lelaki pulak tu. Walaupun tempat awam, aku rasa kekok sangat. Tapi aku takde la menolak atau cakap tak boleh. Nanti dicop sombong pulak. Kami pun turun lif sama-sama. Borak sikit-sikit.

Dari sinilah kami tahu yang kami ni satu department cuma berbeza team. Dia team buat sales. Aku pulak team yang bekerja di sebalik tabir (back-end). Kerja kami memang ada kaitan antara satu sama lain. Cuma team lain tak boleh approach team back-end tanpa kebenaran team leader mereka sendiri sebab dah memang macam tu undang-undang company.

Sampai di foodcourt, aku terus cakap kat Amir aku nak beli makanan kat kedai paling depan. Plan asal nak beli kat kedai tengah-tengah. Plan terbantut sebab ada dia sekali. Amir beli makanan kat kedai mana aku tak tahu. Selesai bayar, tanpa menunggu Amir aku cabut lari naik ofis. Kering betul hati aku masa ni. Diam-diam aku tinggalkan dia kat foodcourt. Aku makan kat pantri.

Beberapa minit kemudian, Amir pun dah sampai kat pantri. Dia nampak aku dan cakap sampai hati tinggalkan dia. Aku balas balik, tak cakap pun suruh tunggu. Punyalah hati kering aku ni. Lepas tu si Amir ni mengalah. Malas berdebat dengan aku mungkin. Tipikal sangat! Perempuan selalu rasa nak menang. Haha

Aku tak kisah pun kalau lepas ni Amir dah tak nak tegur aku lagi atau cakap hai. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Amir duduk sekali dengan team dia (mungkin) sambil berborak dengan mereka. Aku pulak memang duduk makan sorang-sorang sambil makan sambil tengok phone.

Kat pantri masa tu tak ramai. Memang aku nak macam ni. Masa dia berlalu ke sinki nak basuh tangan, kami diam je tak cakap apa-apa. Tapi aku ada curi pandang dia sekejap.

RASA BERSALAH

Hari berganti hari. Waktu lunch, terserempak lagi dengan Amir kat locker. Amir macam biasa tegur aku. Aku pulak bila nampak Amir, automatik teringat kes dia kena tinggal tu. Aku pulak tanya dia makan kat mana. Eh tiba-tiba aku rasa bersalah ya. Masa ni aku dah siap makan pun.

Tengah berdiri depan locker sendiri sebab nak tengok phone. Amir sempat berseleroh dengan aku dan cakap makan kat mulut sebagai respon kepada pertanyaanku tadi sambil berlalu pergi. Aku pun tergelak kecil.

Tanpa aku sedar, colleague yang satu team dengan aku sedang menyaksikan benda ni. Dia sengih-sengih tengok aku sambil buat sign love yang bentuk C lekatkan jari kat pipi tu. Yang ala-ala Korea punya bentuk hati tu. Pandai-pandai la korang bayangkan ya. Tiba-tiba aku blushing. Haha.

Amir pun ada hati dan perasaan. Bila aku fikir balik, kalau aku di tempat dia, mesti akan berkecil hati bila kena tinggal macam tu. Normal la kita manusia biasa kan. Aku ingat dia dah tak nak tegur aku dah.

Disebabkan aku dah tahu Amir team mana dan aku cuba cari nama dia dalam staff listing tapi aku tak dapat agak nama dia yang mana satu. Oh sebelum terlupa, kami sampai sekarang belum tahu nama masing-masing ya. Masing-masing tak tanya pun. Aku malu nak tanya nama dia dulu. Nanti aku jelaskan macam mana pada akhirnya aku tahu nama Amir yang sebenar.

JATUH HATI

Tarikh 15 Disember 2023, umpama tarikh yang mengubah persepsi aku terhadap Amir. Daripada perasaan biasa-biasa terus bertukar menjadi suka. Tak sangka dan susah nak percaya. Mungkin ini ujian untuk aku. Petang tu, aku nak menunaikan solat. Toilet kat ofis ketiadaan air. Tak pasti sebab apa. Terpaksa pergi toilet level lain.

Masa aku keluar toilet tu, aku terserempak dengan Amir yang tengah berjalan nak ke pantri. Aku pun nak ke pantri jugak waktu tu untuk cuci tangan. Nampak macam aku nak larikan diri sebab Amir tengah berjalan kat belakang aku. Amir nampak je aku terus cakap hai. Aku pun balas hai dia. Dia ulang benda yang sama ya. Komplen yang aku ni selalu menonong je. Hahahaha!

Dia tanya aku okay ke hari ni. Aku cakap je aku okay. Lepas tu dia tanya macam mana nak jadi kekal positif macam aku. Perlu ke dia duduk sebelah aku masa buat call (sales). Hahaha kelakar ya ayat dia. Sampai nak duduk sebelah aku semata-mata nak dapatkan aura positif aku tu kononnya.

Aku bukanlah sentiasa positif pun. Cuma aku kurang suka cerita masalah. Saja aku mengusik dia kalau nak kekal positif duduklah sebelah team leader. Dia rasa annoying dengan jawapan aku. Siapa je suka duduk sebelah team leader. Aku pun tak nak. Hahaha.

Lepas tu Amir cakap sesuatu yang buat aku terkesima. Lebih kurang macam ni dialog dia:

Amir: “Kerja saya ni susah, tapi bila saya tengok awak, saya rasa tenang”

Aku terkesima. Aku terdiam. Mungkin bagi korang ayat dia biasa je. Tapi tidak bagi aku. Bibirku yang tadinya tersenyum nipis, berubah serta merta. Aku mengerutkan dahi sambil pandang dia sekilas. Aku tak ingat berapa lama aku terdiam macam tu.

Dalam hati aku cakap, dia nak mengorat aku ke ni? Lain macam ayat dia. Selesai je Amir refill botol air, dia pun nak berlalu kembali ke meja kerja dia. Aku pulak saja ubah topik dan tanya dia dah berapa bulan kerja kat sini. Amir cakap dia baru je 2 bulan kerja. Lah budak baru rupanya. Patutlah tak pernah nampak dia sebelum ni.

Mula dari sini la selalu waktu pagi akan terserempak dan berselisih dengan Amir kat bahagian locker. Setiap kali berselisih dia yang dulu akan ucap hai atau selamat pagi kepada aku. Aku tak pernah mulakan dulu sebab malu dan segan. Sebenarnya Amir ni seorang yang peramah. Dengan orang lain pun dia bertegur. Amir pun boleh tahan juga rupa paras dan senyumannya.

Walaupun aku dah mula suka kat dia, aku tetap berhati-hati. Mungkin dia cuma nak bertegur sapa dan beramah mesra antara rakan sekerja. Mungkin dia saja nak test aku dengan mulut manis dia. Aku tak naklah bersangka buruk.

Tapi kalau berhadapan dengan mana-mana lelaki pun, kita perempuan ni kena berwaspada. Lagipun tak naklah dicop perasan bila ditegur lelaki peramah macam Amir tu. Jadi aku tak layan sangat perasaan aku ni. Bila sibuk kerja ni, aku pun dah tak ingat pasal benda lain.

Tapi bila tiba waktu aku rasa down, teringat juga kat dia. Rasa nak luah segala-galanya kat dia. Bukan soal hati tapi soal kerja dan management syarikat ni. Sambil bagi kata-kata semangat antara kami haa gituu. Haha

Colleague aku semua perangai gila-gila dan sporting. Suka bergurau dan suka mengusik. Alhamdulillah dikurniakan colleague yang suka bekerjasama dan berkongsi ilmu antara kami walaupun kerja banyak sampai nak muntah tengok kes berlambak.

PUJIAN

Pernah satu hari tu Amir puji aku cantik. Sekali lagi dia buat aku tak keruan. Masa tu aku pakai baju kurung corak sulam berwarna pink. Aku rasa aku takde la melaram sangat pun pergi ofis hari tu. Pergi ofis pun cuma pakai bedak dan lipmatte. Tak ada nak mekap lebih-lebih.

Cuma mungkin warna pink baju kurung tu menyerlah sangat. Aku pernah je pakai cantik-cantik sikit sebelum ni, tapi takde pulak dia puji cantik. Haha.

Dan ada jugak momen yang dia macam membongak. Amir pernah cakap dia nampak muka aku berseri-seri siap tanya apa rahsia.

Haa? Masalahnya masa tu aku pakai mask, tengah tak sihat, hidung tersumbat dan batuk. Mata pun berair sebab aku terpaksa bernafas guna mulut. Aku tengok muka sendiri kat cermin pun rasa menyampah sebab nampak macam orang tua, kusam dan suram. Dia pulak boleh puji muka aku berseri-seri? Tak ke membongak namanya tu? HAHAHA.

Pernah jugak terfikir, ni salah satu ayat buaya ke? Mulut manis. Tapi tu la tu. Tak naklah cepat sangat buruk sangka dengan orang lain.

Aku perasan perubahan kat diri aku bila aku dah suka kat dia. Kalau langsung tak nampak dia sehari tu, aku terus jadi bad mood sebab rindu. Takde mood nak buat kerja. Rasa macam kekurangan. Ye lah dah biasa Amir tegur pagi-pagi. Tapi bila dia takde, rasa suram je suasana ofis. Huhu.

Terdetik kat hati nak kenal Amir dengan lebih lanjut. Cuma tu la. Dia pun tak pernah tanya nama aku. Takkan aku nak tanya dia dulu pula. Boleh je tapi aku malu. Huhu

TIDAK PEDULI

Aku juga pernah kena palau/ pulau dengan Amir ya. Tiba-tiba je dia tak tegur aku dah. Padahal minggu lepasnya dia okay je tegur aku macam biasa. Bukan dia tak nampak aku, dia saja je tak nak tegur. Mungkin dia saja nak test aku. Dia elok je cakap dengan orang lain. Dengan aku dia buat endah tak endah.

Entah la. Masa tu aku terasa jugak la. Tapi aku pun diam je. Aku pun tak pasti apa salah aku. Korang faham kan? Kalau kita dah menaruh hati kat seseorang tu, mestilah kita terasa kalau kita kena abai macam tu je. Tapi situasi berbeza kalau kita tak rasa apa-apa kat orang tu.

Balik kerja sampai je kat rumah, aku menangis macam orang putus cinta. Ya Allah teruknya aku ni. Menangis kerana lelaki ajnabi. Tak patut sebenarnya.

Hari kedua pun sama. Aku masih kena palau. Kami ada je berselisih tapi masing-masing diam je. Masa ni aku dah nekad, move on je la kalau hari-hari seterusnya dia tak nak tegur aku lagi dah. Aku dah redha. Huhu. Mungkin dia pun tengah ada masalah atau stress dengan kerja.

Hari esoknya, pergi kerja macam biasa. Masa nak balik, aku tengah nak ambil beg kat dalam locker. Tiba-tiba Amir yang baru keluar dari toilet tanya kat aku nak balik dah ke sambil menuju ke locker dia sendiri. Aku macam, tiba-tiba sangat ya. 2 hari lepas kemain kau sombong dengan aku. Aku cuma angguk dan cepat-cepat kunci locker dan keluar ofis. Lif lambat pula masa ni.

Saat yang dinantikan dah tiba. Macam mana aku tahu nama sebenar Amir. Masa aku tengah tunggu lif tu, Amir dan team leader dia ada sekali sama-sama tunggu lif. Lepas tu team leader Amir panggil nama dia dan cakap sesuatu. Aku tak pasti mereka cakap pasal apa.

Jadi tak salah tanggapan aku. Memang betul tu nama sebenar dia. Selama ni aku berteka teki berdasarkan staff listing yang company provide setiap bulan.

HATI BERBUNGA

Bila tiba-tiba dia tegur aku balik tu, aku jadi confuse. Tak tahu nak bagi reaksi macam mana. Tapi dalam hati, aku rasa gembira dia tegur aku balik. Hati berbunga-bunga. Aku terfikir nak mulakan berkawan dulu. Nak kenal hati budi. Nak tau status dia bujang atau suami orang. Tak salah kan perempuan mulakan dulu? Sebelum ni cuma bertegur sapa macam tu je.

Memandangkan umur aku pun sudah melepasi 30 tahun, sudah sampai masanya untuk aku mencari jodoh. Mungkin benar dia jodohku? Lagipun ibu aku dah risau, anak sulung perempuan dia ni belum bertemu jodoh. Ibu cakap, berkawanlah dengan sesiapa. Jangan sombong. Aku bukan sombong. Aku pemalu. Huhu

Aku tak pandai nak mula macam mana. Aku kekok nak bercakap dengan lelaki ajnabi. Tapi untuk permulaan, aku nak minta maaf pasal hari tu tinggalkan dia kat foodcourt tu. Tapi setiap kali terserempak dengan dia, lidahku kelu.

PERPISAHAN TANPA PESANAN

April 2024. Di saat aku menulis luahan ni, sudah 2 bulan tak nampak dia. Siapa sangka hari Isnin (bila tu biarlah rahsia) hari tu merupakan hari terakhir aku nampak dia. Melalui staff listing aku tahu yang dia dah nak resign. Last day dia hari Jumaat / Sabtu (kalau dia kena kerja Sabtu).

Aku rasa sedih dan tak bersemangat. Aku ingatkan masih sempat nak bercakap dengan dia antara Isnin sampai Jumaat tu. Rupanya dia terus ‘hilang’ macam tu je. Tanpa meninggalkan pesan dan ucapan selamat tinggal.

Pada hari Isnin tu juga, bila terserempak dengan Amir, dia cuma tanya aku dah makan ke belum. Tegur macam biasa seperti sebelum ni. Ruginya aku tak ambil peluang tu nak mulakan dan minta maaf. Aku pun nak minta maaf kalau aku ada terkasar bahasa dengan dia ke. Memandangkan tak lama lagi dia akan berhenti.

Aku tak tahu nombor telefon dia. Masing-masing tak ada bertukar nombor. We don’t know each other’s personal life. Aku pun tak pasti kalau dia dah tahu nama aku ke tak.

Persoalannya kat sini, aku dilema sama ada nak move on atau terus menunggu konon-konon akan adanya keajaiban yang berlaku. Tapi jodoh rahsia Allah. Rasa cinta tu masih wujud dalam hatiku walaupun aku dah tak nampak dia lagi kat ofis.

Hari-hari yang aku lalui kat ofis terasa suram. Hati jadi sayu. Semua tinggal kenangan. Aku terbayang-bayang dia berselisih dengan aku waktu pagi sebelum masuk call floor. Setiap kali aku berjalan melalui bahagian locker, aku terbayang aku berjumpa dengan dia dan dia tersenyum.

Betapa aku rindu momen tu. Betapa aku berharap suatu hari nanti kami akan bertemu semula walaupun sekejap cuma. Walaupun aku tak tahu dia buat apa sekarang, dia tinggal mana dan kerja kat mana, harapan aku semoga dia baik-baik saja.

EPILOG

Sebatas pernah. Benarlah bahawa ada masanya Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita sebagai seorang yang bermakna hanya dalam kenangan, bukan kenyataan. (Copy ayat dari video Hafizul Faiz). Inilah dia. TERLEPAS PELUANG. Seperti tajuk nukilan yang aku coret ini. Cinta tak kesampaian.

Tapi aku percaya takdir Allah. Pastinya ada pengajaran yang Allah nak tunjuk kepadaku. Allah itu menurut sangkaan hamba-hambaNya. Jadi, bersangka baiklah dengan Allah. Semoga Allah permudahkan urusan bagi mereka yang sedang berusaha mencari jodoh. Perbaiki dulu diri dan amalan. Berusaha jadi diri sendiri dengan versi yang terbaik.

“Ya Allah jika dia baik untukku, untuk agamaku, untuk dunia dan akhiratku, satukanlah kami dengan cara terbaik menurutMu Ya Allah. Tetapi jika bukan dia jodohku, berikanlah aku kekuatan untuk melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.”

I met you when I was not looking for you and lost you when I loved you the most.

– Maya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *