Tiga tahun saya melalui perjalanan yang sukar di universiti. Terkontang kanting di kaki lima fakulti semata-mata ingin mendapatkan gelaran graduan universiti. Seringkali terfikir sejenak, mengenang kehidupan dibangku sekolah yang sungguh merehatkan. Walaupun dahulu sering merungut, tetapi sekarang baru saya sedar, zaman itulah yang terhebat bagi setiap manusia. Tak perlu berfikir soal wang, tak perlu berbahas soal cinta dan tak perlu melatah dengan masalah. Semua ditanggung ibu dan ayah, kakak dan abang. Walau bagaimanapun, zaman itu telah berlalu. Kini harus berpijak di bumi yang nyata dan meneruskan kehidupan sebagai si dewasa yang berkhidmat untuk sesuap nasi.
Sepanjang pengalaman di universiti, banyak hal yang berlaku. Ada yang dijadikan tauladan dan ada yang dijadikan sempadan. Begitulah lumrahnya, apabila telah berada dalam lingkungan masyarakat universiti dari pelbagai latar belakang. Pelbagai ragam manusia yang akan kita jumpa, hanya duduk dan berfikir yang bagaimana sebaiknya kita pilih, supaya diri sentiasa terbimbing dan tidak terumbang-ambing.
Bercakap soal ukhwah atau persahabatan, pastilah juaranya di universiti. Mengapa saya kata begitu? Kerana di universitilah tempat kesedaran itu bermula. Fikiran semakin ‘matang’ dan pergerakan bebas seperti burung yang terbang. Kemudian, dari situlah berputik pelbagai kisah yang tak mungkin dapat dilupakan. Bagaimana saat perkenalan, bagaimana saat suka dan duka dikongsi bersama dan sebagainya. Sehinggalah muncul istilah ukhwah terlanjur.
Apa? Ukhwah terlanjur? Ya, benar. Bagaimana ukhwah boleh terlanjur? Sesuatu ukhwah yang dibina atas dasar keimanan pasti akan kekal sampai syurga, insya-Allah. Akan tetapi, jangan mudah tertipu, kadangkala ukhwah fillah sesama kaum sejenis juga ada batas-batas yang perlu dijaga. Apabila batasan itu tidak dijaga, maka lahirlah istilah ukhwah terlanjur yang sungguh merbahaya. Jika ianya tidak dirawat, parah dikemudian hari. Nauzubillah.
Terdapat beberapa simptom yang boleh dikesan bagi menilai keakraban ukhwah yang dibina supaya kita dijauhkan dari istilah ukhwah terlanjur. Antara simptom-simptomnya adalah selalunya mereka yang dikategorikan ukhwah terlanjur ialah mereka yang sering ke mana-mana akan bersama. Mereka akan makan bersama, walaupun berlainan kelas dan fakulti, mereka akan tidur bersama, berkongsi bantal dan selimut, selalu tidak mengendahkan orang lain dan di mana ada si A pasti akan ada si B. Apabila keterikatan mereka semakin padu, pelbagai perasaan yang akan muncul seperti cemburu dan tidak boleh berlapang dada dengan kawan-kawan lain yang ingin mendekati sahabatnya itu. Yang lebih parah, mereka berukhwah di atas jalan dakwah. Beruhibbuki fillah dan berukhwah fillah. Berpesan-pesan kepada kebaikan dan sentiasa ingat-mengingati tentang solat dan ibadah-ibadah yang lain. Tetapi keakraban dan ukhwah mereka itu dihiasi dengan bisikan syaitan yang mengindahkan sesuatu kemaksiatan menjadi kebaikan.
Tanpa mereka sedari, ukhwah yang kononnya dibina atas dasar cinta kerana Allah tidak berada pada tempat yang sepatutnya dan mereka hanyut di dalam keindahan ukhwah terlanjur itu. Hal ini sering berlaku dalam kalangan perempuan muslimah. Secara fitrahnya, perempuan memang ingin disayangi, dipujuk dan mendapat perhatian. Dalam masa yang sama, mereka ini berpegang pada penjagaan ikhtilat mestilah yang utama. Sehingga mereka secara tidak sedar mencari alternatif lain bagi mengelak kemaksiatan dengan menjalinkan ukhwah sesama kaum sejenis tanpa meletakkan batas-batas tertentu sebagai landasan pergaulan.
INI SUNGGUH MERBAHAYA! JANGAN TERLALU ASYIK WAHAI KAWAN SEHINGGA LUPA KEIKHLASAN BERUKHWAH!
Teringat saya akan kata-kata puisi Bro Salim A. Fillah, beliau mengatakan,
“Pernah ada waktu-waktu dalam ukhuwah ini,
kita terlalu akrab bagai awan dan hujan,
merasa menghias langit, menyuburkan bumi,
dan melukis pelangi,
namun tak sadar, hakikatnya kita saling meniadai,
di satu titik lalu sejenak kita berhenti, menyadari,
mungkin hati kita telah terkecualikan dari ikatan di atas iman,
bahkan saling nasihatpun tak lain bagai dua lilin,
saling mencahayai, tapi masing-masing habis dimakan api,
Kini saatnya kembali pada iman yang menerangi hati,
Pada amal soleh yang menjulang bercabang-cabang,
Pada akhlak yang manis ,lembut dan wangi,
Hingga ukhuwah kita menggabungkan huruf-huruf menjadi kata,
Yang dengannya kebenaran terbaca dan bercahaya.”
Dahulu, semasa dibangku sekolah, pernah saya melihat di hadapan mata saya sendiri, sebuah persahabatan yang boleh dikategorikan sebagai ‘terlanjur’. Nauzubillah. Maaf, bukanlah niat saya untuk membuka aib sesiapa, cerita ini hanya sekadar cerita dari pengalaman yang pernah saya alami.
Saya seorang pelajar dari sekolah agama yang terkemuka di selatan tanah air. Sebut sahaja nama sekolah itu dalam kalangan pelajar sekolah agama, pasti tahu benar dengan kecemerlangan sekolah itu. Dari situlah saya belajar banyak perkara. Pertama kalinya saya bergelar pelajar asrama, ketika itu sudah tingkatan enam. Apa yang saya pelajari di situ, banyak jenis ukhwah yang dibentuk oleh pelajar asrama ini dan tambahan lagi pelajar sekolah agama. Saya hanya belajar dari kehidupan ketika itu, dan saya yakin itulah yang banyak mengajar kematangan saya sehingga ke hari ini.
Semasa di asrama, terdapat dua orang sahabat yang sangat akrab persahabatannya. Setiap hari kehidupan mereka pasti akan bersama-sama. Makan bersama, tidur bersama, pergi ke kelas bersama dan duduk di dalam kelas pun sama-sama (sebelah-sebelah). Setiap kali mereka bersama, pasti akan berpegang tangan dan seolah-olah ingin memberitahu khalayak bahawa ‘inilah sahabatku’. Mereka sahabat yang baik. Suka membantu orang lain dan tidak lekang dengan senyuman. Tetapi sayangnya, keakraban mereka disalahertikan oleh orang lain, lebih-lebih lagi pelajar lelaki yang tidak senang melihatnya.
Hari-hari mereka dilalui dengan penuh gembira saya kira, adalah mungkin kadangkala akan bergaduh tapi itu adat kebiasaan dalam berkawan. Keakraban mereka semakin hari semakin merisaukan ramai orang. Rakan sebilik juga merisaukan hal itu, kerana sehingga setiap hari mereka akan tidur berkongsi tilam dan selimut yang sama. Hal itu sungguh membahayakan. Sehinggalah tamat persekolahan tingkatan enam, ketika itu saya bertemu dengan salah seorang daripada mereka. Beliau meluahkan sesuatu kepada saya. Apa yang diluahkan oleh beliau itu adalah sesuatu yang sungguh mengejutkan saya.
Beliau mengatakan bahawa selepas beberapa bulan tamat persekolahan, beliau masih menghubungi sahabat karibnya itu. Perhubungan mereka semakin dekat apabila semakin kerap berhubung antara satu sama lain sehinggalah suatu hari, kawan karibnya itu sering menelefon beliau sehingga lewat malam. Di dalam hati, saya terdetik, apa masalahnya jika bercakap sampai lewat malam, dia kan kawan rapat, bukan lelaki, perempuan juga. Rupanya detik dihati kurang tepat dengan cara berfikir seperti itu, apa yang dibualkan tidak seperti kawan karib biasa, tetapi lebih jauh dari itu, yang saya sendiri sukar untuk menterjemahkannya di sini (hanya berharap supaya pembaca memahami maksud ini). Keadaan itu merisaukan keluarganya, sehingga sampai satu hari keluarganya berkumpul dan membincangkan masalah tersebut. Beliau menangis dan hanya berharap yang terbaik kerana beliau juga terkejut dengan cara sahabat karibnya itu meluahkan perasaan. Kemudian, sampailah suatu ketika, abang beliau meminta supaya jangan berhubung terus dengan sahabat karibnya itu. Hal itu sukar dan pahit akan tetapi beliau bingung untuk berbuat apa. Hanya berserah kepada keputusan keluarganya.
Begitulah apa yang telah beliau ceritakan kepada saya. Dengan nada empati saya hanya mampu menyuruh beliau bersabar, kerana itu juga sebahagian dari ujian dalam berukhwah. Mungkin Allah ingin menegur kita atas kelalaian kita dalam berukhwah. Ingatlah sahabat, jagalah ukhwah itu sebaiknya, jangan kotorinya dengan nafsu syahwat. Bisikan talbis iblis itu sungguh licik, bahkan kita tidak menyedarinya dan menganggap hal itu perkara yang halal padahal tidak bagi kita. Wallahu alam, semoga beliau di rahmati Allah.
– Nur elHajar
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit