Assalammualaikum, Mac 2019 masih segar dalam ingatan seorang anak, lafaz yang keluar dari mulut seorang ayah,
“Mulai hari ini aku tiada anak perempuan, kita jumpa di akhirat, aku mati jangan urus jenazahku”.
Hari dan tahun bersilih ganti, aku mencuba untuk memaafkan tetapi parut yang ditinggalkan,
Bukan mudah untuk seorang anak derhaka yang tercipta oleh keangkuhan seorang ayah. Seseorang yang tidak berada di dalam situasi ini sangat mudah memberi nasihat dan teguran.
Ayah keluar dari rumah tinggalkan ibu dan kami adik beradik, tergantung tak bertali. Bukan sebab curang, lebih kepada ayah beranggapan orang di dalam rumah sudah ingkar katanya dan tak hormat dia.
Hello!!! Nak kami hormat dengan orang yang main game 24 jam di rumah, azan zohor berkumandang masih lena di buai mimpi,
Isteri berniaga bangun subuh balik malam kau bising bila dia balik tak masak, orang yang anggap anak perempuan juga patut layan siapkan makan minumnya. Kau silap besar, itulah permulaan aku mula hilang rasa hormat terhadap seorang ayah.
2 tahun lebih berlalu sejak ayah tinggalkan rumah, aku tak pernah berhubung langsung dengannya. Kadang tu ada juga terdengar dia burukkan keluarga, kononnya kami yang buang dia.
Dan yang buat aku bertambah benci bila ayah memberitahu kepada nenek, jika suatu hari aku ingin bernikah, dia tidak akan mahu menjadi wali ku.
Seandainya dia datang sekalipun di majlis tersebut, dia tidak mahu menikahkan tapi datang hanya untuk porak-perandakan majlis.
Banyak hal yang membuat aku antara adik beradik yang benci dengan ayah. Adik-beradik lain ada berhubung dengan ayah, mungkin mudah bagi mereka tapi bukan aku.
Aku yang berada di tempat kejadian, aku yang menjadi saksi segala yang keluar dari mulut seorang ayah, menjadi saksi penat lelah ibu ku.
Telinga ini yang menjadi saksi seorang ayah mengungkit membesarkan anak-anaknya dan dia sendiri yang berkata kita dah tiada apa-apa hubungan.
Kemuncak berlaku bila aku bakal menamatkan zaman bujang pada tahun ini, aku meminta abang sulung bertanyakan semula kepada ayah jika ingin menjadi wali atau tidak.
Ucapan yang keluar dari mulutnya adalah pada tahun 2019 yang ku harapkan ia berubah fikiran pada tahun ini.
Seperti yang ku duga, jawapan ringkasnya “bila ada perlu, baru cari aku” dan akhirnya ayah bluetick chat abang sulung.
Sejujurnya, perasaan benci yang aku cuba padam membara semula, rasa kecewa menyukarkan perkahwinan anak perempuan. Ayah meletak hukum bahawa dia sangat berkuasa terhadap anak perempuannya.
Pada saat ini, aku masih menanti jawapan daripada abang sulung sama ada ayah tetap berkeras tidak ingin menikahkan atau sebaliknya.
Jika tidak, aku terpaksa memohon wali hakim disebabkan wali enggan menikahkan.
Pernah juga terbaca kes-kes wali hakim mengambil masa yang lama. ada yang berbulan dan ada yang bertahun. Cuma tak faham, kenapa wujud seorang ayah yang enggan menikahkan anak perempuannya.
Aku tidak berseorangan menghadapi kes seperti ini, bila aku join satu group tu ramai rupanya kes wali enggan di Malaysia.
Ada yang menanti kes perbicaraan di Mahkamah Syariah, ada yang masih dalam proses memujuk dan ada juga yang sudah menangguhkan perkahwinan setahun kerana kes wali enggan belum selesai di Mahkamh Syariah. Kejamnya seorang ayah.
Sesungguhnya, banyak aib ayah yang masih cuba aku sembunyikan di dalam cerita ini yang membuatkan aku susah untuk memaafkan.
Untuk orang diluar sana, aku bukan memilih untuk menjadi anak derhaka melainkan keadaan memaksa untuk aku terus begini.
Usah berkata sinis yang aku akan menyesal bila ayah meninggal. Jika takdir membuatku derhaka, aku pasrah.
Terima Kasih Ayah, kau mencipta siapa aku sekarang. Usah merasa selalu benar, sedangkan topeng mu Allah masih tutup.
– NAURA (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit