Aku Penderita Vertigo

Assalamualaikum pembaca semua. Aku adalah penderita vertigo sejak tahun 2014.

Vertigo attack akan datang secara “on off” yang kerap sehingga mengganggu setiap pergerakan aku, emosi, dan mental. Kerana vertigo, aku tak boleh pergi bekerja seperti orang lain.

Kerana vertigo, aku dah hilang keupayaan memandu. Dan kerana vertigo juga, aku sering mengerjakan solat secara duduk sejak tahun 2014 sehingga sekarang, walaupun ada hari aku cuba untuk solat normal seperti biasa, tapi masih tidak mampu.

Dan yang terlalu perit untuk diceritakan apabila betapa susahnya kerana tidak ramai yang memahami rasa vertigo ini terutama ahli keluarga sendiri. Aku dikelilingi insan-insan yang tidak terbuka minda untuk memahami apa itu vertigo.

Untuk lebih memahami apa itu vertigo,

“Vertigo adalah sensasi palsu di mana diri sendiri, persekitaran, atau kedua-duanya bergerak atau berpusing, biasanya disertai dengan loya dan hilang keseimbangan.

Vertigo boleh terjadi akibat dari satu keadaan yang menjejaskan telinga dalam atau sebahagian daripada otak manusia yang melibatkan keseimbangan badan.”

Ok, untuk dijadikan cerita timeline yang aku lalui adalah bermula pada tahun 2014.

Aku diserang rasa pusing itu ketika berada di rumah sewa. Pada ketika itu, aku masih seorang pelajar di sebuah universiti dan tinggal di luar kampus.

Pada hari kejadian, pada waktu subuh aku bangun seperti biasa tapi tiba-tiba jantung aku berdebar teramat sangat. Berpeluh.

Hujung jari kaki dan tangan tangkap sejuk dan aku nampak pandangan aku berputar 360 darjah tanpa henti. Ya Allah!

Aku menjerit! Dengan bantuan rakan rumah, aku dibawa ke kecemasan hospital kerajaan, aku dipapah, dan ku pegang tangan rakan ku tanpa lepas.

Perasaan takut yang menyerang, terasa bumi berputar tanpa henti dan terasa seperti nyawa 50/50. Hanya Allah yang tahu keadaan aku masa itu.

Dan dipendekkan cerita aku disahkan vertigo jenis BPPV. Diberi ubat betaserc dan cinnarizine serta ubat saraf.

Aku dirujuk ke bahagian physio selama sebulan juga diajar beberapa pergerakan/exercise yang perlu aku amalkan untuk pulih dari vertigo. Hampir seminggu terbaring, rasa pusing ligat sudah hampir hilang.

Asbab ubat dan exercise. Alhamdulillah tiada lagi episod serangan vertigo.

TAPI jangkaan aku salah! Aku diserang pusing vertigo sekali lagi sekitar tahun 2019, ketika sedang sarat hamil anak sulung ku.

Ya waktu itu aku sedang sarat, pergerakan terbatas ditambah pula dengan serangan vertigo, dan anak dalam kandungan dijangka bersaiz besar dan aku juga GDM ketika mengandung.

Hampir setiap hari aku menangis kerana aku teramat penat emosi dan mental.

Pada waktu itu alahan sudah habis tapi aku masih muntah-muntah dek kerana serangan vertigo. Sepanjang hari aku berjalan seperti robot.

Ibu ayah, mertua, adik beradik sudah mula malas melayan aku, kata mereka, aku hanya terbawa-bawa dan mengada-ngada sahaja sebab mengandung.

Dan mereka pelik sebab tak nampak fizikal aku seperti orang tidak sihat. Kerana tiada luka yang parah sana sini, tiada pucat sana sini. Tiada!

Tapi itulah vertigo, aku seorang sahaja yang rasa.

Alhamdulillah aku bersyukur suami memahami keadaan aku.

Sanggup suami balik tengahari semata-mata untuk mandikan dan suapkan aku makan. Terkejar-kejar suami, beli makanan, patah balik ke tempat kerja, bukan dekat ya.

Begitulah dia saban hari selama sebulan lebih sehingga lah tiba masa aku bersalin. Pada hari ketika aku nak bersalin, rasa pusing itu masih terasa.

Cuma kuat dan tidak sahaja. Suami inform kan pada nurse dan alhamdulillah nurse dan doktor sangat memahami, dari bilik saringan sehingga ke labor room aku dijaga dengan baik.

Dan doktor rujuk aku semula ke rehab untuk rawatan lanjut. Alhamdulillah selepas physio beberapa sesi, aku pulih tanpa ubat.

Pada tahun 2021, ketika anak sulung berusia 2 tahun lebih, lagi sekali episod vertigo bermula.

Pada waktu ini, ramai yang bertanya bila aku nak tambah anak. Sehingga kan aku rasa, mereka ini bukan bertanya tapi ‘memaksa’ untuk aku tambah anak. Terutama ibu mertua ku.

Aku takut diserang vertigo lagi ketika dalam keadaan aku mengandung. Biarlah aku lalui vertigo dalam keadaan tidak hamil, double triple penat emosi dan mental seandainya diserang vertigo dalam keadaan hamil.

Aku sedar yang aku tidak mampu dan aku tidak kuat. Aku pekakkan telinga, aku kuatkan hati, suami juga begitu.

Aku ikhtiar dengan cara berbekam, chiropractic, akupuntur, homeopati, berurut dan segala jenis ubat dan supplement aku cuba. Sudah banyak duit habis untuk rawatan dan ubat-ubatan. Tapi masih belum sembuh.

Untuk pengetahuan semua, keadaan aku makin teruk sehingga lah sekarang tahun 2023, aku masih belum pulih.

Setiap hari aku berdoa kalau esok hari aku masih dipanjangkan umur, aku nak buka mata tanpa ada rasa vertigo tu. Sehingga kini, aku tidak boleh memandang handphone dalam jangka masa yang lama.

Untuk habiskan setiap perenggan kisah ini memang memakan masa berhari-hari. Aku cuba juga menaip isi hati aku.

Aku simpan di note handphone untuk disambung kisah ini pada esok hari dan esok hari lagi dan seterusnya. Aku tiada siapa untuk luah kecuali suami.

Tapi suami aku, aku tahu dia telah banyak berkorban dan bersabar dengan isterinya yang ‘tidak normal’ ini. Hubungan dalam rumahtangga, aku anggap tidak normal seperti pasangan lain.

Walaupun kami tidak bergaduh tapi isi hati seorang suami pasti ada rasa penat dan inginkan layanan seorang isteri ‘yang normal’.

Walaupun aku cuba sedaya upaya setiap hari untuk jadi isteri yang sempurna di mana aku mampu masak satu jenis lauk sahaja untuk satu hari.

Seminggu sekali aku basuh dan sidai baju. Hari esok aku cuci toilet.

Hari esok lagi aku vacuum dan mop. Ibarat satu hari satu tugas sahaja aku mampu buat.

Aku cuba dan cuba dan terus cuba untuk lawan vertigo ni setiap hari. Memang setiap hari aku seperti pergi berperang dengan diri sendiri.

Kami tak pergi jalan-jalan seperti pasangan lain, seperti keluarga lain. Akan trigger vertigo aku setiap kali naik kereta.

Barang dapur, barang rumah, suami yang belikan setiap 2 minggu. Anak aku akan keluar ikut ayahnya beli barang dapur dan keperluan lain, itulah waktu untuk anak aku boleh merasa “keluar jalan-jalan”.

Bukan aku tidak mencuba, sudah banyak kali, tidak sampai 500 meter perjalanan, aku sudah minta untuk patah balik ke rumah. Memang tidak mampu untuk ku lawan pusing vertigo ni.

Ada hari rasa pusing itu hilang tapi akan rasa seperti di atas bot, terhuyung-hayang tanpa henti. Soalan yang sering aku dapat dari ahli keluarga,

“Kenapa tak sembuh-sembuh lagi?”

“Sakit apa macam tu? ”

“Kenapa dilayan sangat sakit tu?”

“Tak pergi berubat ke? ”

Kami suami isteri hanya jawab dengan baik walaupun sebenarnya berat nak beritahu duit sudah banyak habis untuk rawatan dan ubatan sana sini.

Dan berat juga untuk fahamkan orang betapa sukarnya untuk aku bergerak lagi-lagi menaiki kenderaan. Sangat azab Ya Allah.

Untuk setiap hari yang aku lalui, rutin dari pagi hingga malam, aku cuba bertahan kerana fikirkan anak yang masih kecil untuk diuruskan.

Banyak majlis jemputan saudara-mara aku tidak dapat hadir dek kerana vertigo. Majlis kahwin, majlis tahlil, termasuklah hari raya.

Aku hanya akan ke rumah ibu bapaku dan mertua sahaja, tapi tidak boleh lama-lama.

Memang ada yang berbunyi dan perli-perli sebab aku tidak ke dapur untuk membantu. Aku hanya duduk makan, dan selepas itu duduk diam sahaja tanpa bantu apa-apa.

Aku tidak boleh berada dalam ramai-ramai manusia. Jantung akan jadi laju secara tiba-tiba dan penglihatan akan nampak kabur dan berputar tanpa henti.

Kalau aku decide untuk baring dalam bilik, lagi akan diperli. Tahun 2023 paling penat untuk aku.

Berat badan aku turun mendadak. Dari 60kg, sekarang hanya 42kg.

Aku penat sebab tiada perubahan. Aku penat sebab orang menyampah dengan aku.

Reaksi muka mereka sudah ku tahu pasti kerana vertigo aku yang tiada kesudahan. Tiada yang sudi berborak dan bertanya khabar tentang aku lagi.

Aku faham mereka pasti bosan dengan keadaan aku yang masih sama bertahun-tahun. Dan yang paling aku kasihan adalah suami aku kerana isterinya ‘tidak normal’.

Banyak kali aku cakap, aku izinkan kalau dia mahu kahwin lagi. Suami kata itu bukan alasan untuk dia kahwin lain dan dia sangat bahagia dengan aku dan anak kami.

Suami ku tetap tak berputus asa untuk aku sembuh. Aku risau andai antara kami mengalami depression.

Kalau bukan aku, mungkin dia. Anak pasti terkesan juga. Aku doa dijauhkan.

Last rawatan suami bawa aku ke klinik ENT.

Aku lalui seperti biasa rawatan, exercise dan ubat-ubatan yang biasa aku dapat dari dua hospital kerajaan sebelum ini. Sehingga kini masih tiada nampak perubahan. Rasa terhuyung-hayang masih kuat tanpa henti.

Episod melayang dan berpusing entah keberapa kali datang on off. Diikuti pula dengan jantung yang berdebar kuat. Aku cerita pada doktor tentang sejarah serangan vertigo aku.

Dan ayat doktor itu masih aku ingat,

“Macam mana pun, awak KENA HIDUP dengan vertigo ni. ”

Ya, aku KENA HIDUP dengan vertigo!

Selalu aku cakap pada diri, kalau aku mati sekarang, itu adalah lebih baik. Sudah banyak aku susahkan suami dan aku tak mampu untuk jaga anak aku sebaiknya.

Oh ya, anak aku suka ikut aku solat. Aku solat dalam keadaan duduk dan dia pun solat ikut cara aku.

Menangis ya aku setiap kali nak faham kan yang ibu dia ni tidak sihat dan tidak boleh solat normal seperti orang lain. Dia tetap akan ikut apa yang ibu dia buat.

Sejak akhir-akhir ini, aku hanya fikir mati. Doakan aku diberi kesembuhan seperti sediakala.

Aku sudah teramat penat. Aku penat mental. Aku penat emosi. Apalagi fizikal aku.

Aku dan suami sudah berusaha sehabis baik.

Terima kasih banyak kerana sudi baca sehingga akhir.

Penderita vertigo,

– Ayuu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *