Berkahwinlah Pada Caranya

Assalamualaikum. Saya terpanggil untuk menulis pengalaman saya yang saya sedang alami apabila membaca kisah ini :

https://iiumc.com/dilema-bakal-pengantin/

https://iiumc.com/bakal-pengantin-bersabarlah/

Saya juga bakal berkahwin dalam masa terdekat, cuma baru ke proses pertunangan. Namun, saya dan pasangan saya sudah membuat perancangan kahwin sedikit demi sedikit, jika tiada aral kami ingin melangsungkan perkahwinan kami pada awal tahun hadapan.

Pertunangan ini pula, ringkas dan buat syarat sahaja, sekadar proses perkenalan keluarga. Yang penting, hari besar pernikahan kami nanti.

Sejujurnya, saya kurang berminat dengan terma ‘wang hantaran’. Saya lebih kepada ‘mas kawen’. Kenapa perlu wang hantaran? Adat siapa yang kita ikut ya?

Baiklah, itu pendapat masing-masing, jika bakal suami anda mampu, teruskan. Jika tidak mampu, lepas tu masih mahu minta berbelas ribu, kemudian gaduh, kamu rasa macam mana kehidupan lepas kahwin nanti? Duit bukan jatuh dari langit ya. Sekali lagi, jika bakal suami mampu, teruskan.

Jika tidak mampu, jangan memaksa dia, apa kata sang perempuan itu pula cuba untuk mengumpul wang hantaran berbelas ribu.

Jika alasan ibu bapa perempuan itu, kami dah membesarkan anak kami, adakah ibu bapa sang lelaki itu tidak membesarkan anak mereka? Lelaki itu jatuh dari langit kah? Belah lelaki tidak perlu buat kenduri kah? Selepas kahwin lelaki itu juga yang akan tanggung isteri dan anak-anaknya.

Tetapi, lagi sekali, jika lelaki itu mampu dan bersetuju dengan rela hati memberi wang hantaran yang besar, itu tidak masalah, kira rezeki pada perempuan itu.

Bagi saya pula, saya tidak meminta wang hantaran malah tiada barang hantaran. Bagi saya, ianya sangat leceh kerana banyak lagi perkara yang saya perlu fikir. Saya juga masih mampu membeli keperluan saya. Saya bekerja sebagai seorang professional, malah gaji saya dua kali ganda dari suami saya.

Saya mempunyai tabungan saya sendiri dan simpanan barang kemas yang agak banyak kerana saya suka menabung. Cuma, saya bekerja sebagai pegawai kerajaan, jadi tiada bonus 6 bulan seperti rakan-rakan yang kerja di swasta.

Namun, dengan gaji yang agak besar saya ada membuat beberapa pelaburan seperti ASB loan dan simpanan di tabung haji.

Saya mulakan tabungan dengan nilai kosong. Dan bukan mudah untuk simpan RM10K setahun di awal pekerjaan saya. Jadi, saya amat merasai bertapa susahnya ingin mendapat RM10K dalam setahun itu.

Cuma, setelah beberapa tahun pelaburan, mudah sahaja saya generate RM10K itu. Tetapi, saya sudah rasa penat lelah nak dapat RM10K itu. Jadi, bagaimana dengan bakal suami saya yang juga kakitangan kerajaan yang gajinya separuh dari saya?

Berapa hantaran yang perlu saya dapat ya? Saya berpendidikan Master kerana kerjaya saya, mujur tidak sambung PhD lagi walaupun ada keperluan. Saya juga pandai menguruskan hal diri dan sangat berdikari. Saya boleh memasak dan pandai menghias rumah serta suka pada kanak-kanak.

Saya juga gemar membaca untuk mencari ilmu berkaitan kehidupan. Bab-bab agama, alhamdulillah, ibu bapa saya mendidik dengan baik, asas ibadah insyaAllah dijaga baik. Jadi, berapa hantaran yang saya layak dapat? “Sebaik-baik perempuan adalah yang rendah maharnya”.

Saya pegang pada hadis ini. Jadi, saya mengambil keputusan untuk tidak ada wang hantaran mahupun barang hantaran.

Saya cakap juga pada bakal suami saya, jika saya nak barang kemas, barang kemas saya sudah banyak. Jika saya mahu handbag/ kasut/ gadget, semua itu saya masih mampu dan tak terpakai apa yang ada sekarang.

Apa yang saya hanya inginkan dari bakal suami saya adalah sebuah akad nikah yang hadir bersama tanggungjawab. Mas kawen saya juga mengikut pada negeri saya sahaja.

Cuma urusan pernikahan, saya letakkan pada bakal suami saya sepenuhnya seperti upah tok kadi, saksi, baju nikah dan cincin nikah kami serta yang lain-lain berkaitan nikah.

Ada orang kata, nilai hantaran itu menunjukkan kesungguhan lelaki itu mendapatkan kita. Bagi saya, kesungguhan itu bukan dibuktikan dalam satu hari majlis sahaja, kesungguhkan itu kena datang sepanjang hayat suami isteri itu bersama.

Jadi, tak perlu buktikan pada hari majlis, kemudian selepas 5-10 tahun, kesungguhan itu hilang kerana terlalu lelah menanggung yang lepas. Yang penting, bakal suami saya telah memudahcara untuk menikahi saya, itu sudah bukti kesungguhnya.

Alhamdulillah, dia tidak berkira dan memang perancangan kami baik-baik aja selama ini. Malah, dia beri lebih dari yang saya syorkan. Terima kasih awak, jazakallah. Hihi.

Bab keluarga pula. Haha, saya kan pandai menguruskan diri sendiri. Saya juga event-planner bagi aktiviti jabatan saya. Kesemua perancangan perkahwinan saya, saya sudah sediakan seperti “proposal” untuk kedua ibubapa saya baca.

Ibu saya, biasalah, dia ada perancangannya sendiri. Cuma, bila ada perselisihan pendapat, saya akan berbincang. Ayat mudah saya, “saya yang menjadi pengantinnya”.

Tetapi, kerana duit perbelanjaan perkahwinan saya, saya yang keluar 100%, maka ibubapa saya tidak bersuara sangat. Ya, duit itu datang dari saya sendiri.

Jika ada makcik-makcik yang ingin mengomen, menambah itu dan ini, ayat mudah saya, “sila hulur sponsor dahulu, dan kita boleh berbincang” dan lagi sekali, berbalik pada ayat “saya yang menjadi pengantinnya”. Huhu.

Cuma, adalah sedikit perancangan ibu saya yang saya cuba blend dengan perancangan saya. Kita mudahcara sahaja. Buat kira-kira mudah dengan kemampuan yang kita ada. Buat apa nak gaduh-gaduh, apa yang kita ingin tunjukkan sebenarnya?

Tujuan kita adalah untuk walimah-urus, iaitu kenduri meraikan pengantin dan menghebahkan sebuah perkahwinan menurut Islam. Ianya, bukanlah acara untuk menunjuk siapa hebat. Para ibu bapa, muhasabah lah diri balik.

Yang hendak berkahwin, adalah anak Tuan dan Puan. Bukanlah Tuan mahupun Puan yang ingin berkahwin lagi. Dan si anak perempuan, berpada-padalah. Kenal siapa bakal suami anda dan kemampuannya.

Jika anak Datuk Megah Holding, tiada masalah untuk meminta wang hantaran lebih dan kalau dia rela hati. Jika tidak, berpada-padalah. Jangan memeningkan bakal suami anda, sebab itu juga yang akan menjadi imam masjid anda nanti.

Belum kahwin dah pening, macam mana nak urus tadbir sebuah masjid ke syurga kelak? Tetapi, kalau ada rezeki lebih, mahu buat kenduri 7 hari, 7 malam pun tiada masalah. Yang penting, bersiap diri untuk kehidupan selepas berkahwin.

Banyak lagi perkara yang perlukan duit, tidak berbaloi bergaduh untuk majlis seharian, sedangkan yang kita ingin adalah bersama hingga ke syurga. Wallahualam.

Lastly, thanks admin sebab siarkan perkongsian ringkas saya. Kepada para wanita bujang, anda sudah boleh mula menabung sendiri untuk perkahwinan impian anda. Buktikan kita wanita hebat! Haha, sekadar kata-kata semangat yang cliche.

Akhir kata, moga dipermudahkan urusan perkahwinan semua bakal pengantin termasuk saya sendiri. InsyaAllah. Assalamualaikum.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *