Kasih Seorang Suami

Dalam banyak-banyak pesakit yang saya kenal, ada seorang pesakit ni betul-betul membuatkan diri saya sedar, serta bermuhasabah kerana walaupun di media masa sekarang ini sibuk menceritakan tentang golongan suami yang dayus, yang bermain kayu tiga serta yang berkasar melakukan penderaan fizikal terhadap isteri mereka, bukan semua lelaki bersifat sedemikian.

Cerita ini berlaku sewaktu saya sedang posting di jabatan perubatan, di mana ketika itu saya bertugas di wad perubatan perempuan. Puan Raihan, berumur 40 tahun sering sekali dimasukkan ke wad atas pelbagai komplikasi penyakitnya, yanh dipanggil Systemic Lupus Erythematosus, atau kita selalu dengar singkatannya, iaitu SLE.

Untuk pengetahuan semua, SLE adalah satu penyakit autoimmune, di mana secara tiba-tiba, antibodi seseorang pesakit itu menyerang badannya sendiri. Maafkan saya kerana berterus-terang di sini. Penyakit ini tidak boleh disembuhkan, tetapi hanya boleh dikawal oleh pelbagai jenis ubat-ubatan berupa steroid, untuk mengurangkan keupayaan antibodi ini.

Komplikasi yang timbul terbahagi kepada dua, yang pertama: antibodinya akan menyerang organ-organ dalaman seperti ginjal, jantung, otak dan hati menyebabkan kegagalan organ-organ ini, dan yang kedua: disebabkan oleh rawatan steroid yang menjadikan pesakit mempunyai imuniti yang rendah serta mudah terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan kuman. Wanita mempunyai risiko mendapat penyakit ini lebih kurang 40 kali ganda berbanding lelaki.

Puan Raihan merupakan pesakit yang amat biasa masuk ke wad berkenaan. Memang saya sendiri perasan, setiap kali kemasukkannya di wad, keadaannya semakin teruk apabila penyakit SLE ini mula progress.

Tetapi apa yang menarik perhatian diri saya ini adalah mengenai suami Puan Raihan, En Zul namanya. Setiap kali Puan Raihan dimasukkan ke wad, setiap kali itulah saya lihat En Zul menemaninya setiap saat dia berada di wad. Seperti anda tahu, cuma seorang pelawat yang boleh menemani pesakit, dan untuk Puan Raihan, En Zul yang sentiasa menemaninya, menjadi ‘waris’yang seorang itu.

Saat penyakit SLE mula memamah tubuh badan isterinya, sehingga menyebabkan dia terlantar, En Zul tidak pernah meninggalkan sisi isterinya. Cakaplah apa tugas sekalipun, En Zul melakukannya tanpa banyak soal.

Menukar lampin, menyuap makanan, menyapu losyen, memandikan isterinya sering dilakukan tanpa banyak soal. Cuma kadangkala sahaja, apabila tugasan itu tidak mampu dilakukan berseorangan, dia akan meminta pertolongan daripada jururawat.

Saya perasan, satu-satunya masa En Zul meninggalkan isterinya adalah ketika waktu solat. Surau yang terletak berdekatan wad di tingkat 5 itu menjadi tempat dia solat, meminta doa, serta mengadu nasib kepada tuhan.

Setiap kali round dilakukan bersama pakar, En Zul kebanyakkan masa hanya senyum sahaja melihat dan mendengar pelan-pelan rawatan daripada doktor pakar. Memang saya rasakan, agak susah nak membaca air mukanya sebenarnya. Adakah dia bersedih? Gembira atau berduka? Hanya tuhan yang tahu.

Keadaan Pn Raihan semakin teruk saban hari, walaupun rawatan yang diberikan adalah ubat yang paling kuat yang berada di hospital. Tiada perbezaan.

Satu hari, sewaktu azan Zohor mula berkumandang, saya berpeluang ke surau kerana kebanyakkan masa, saya akan terlepas jemaah di surau itu. Memang sentiasa akan ada waris pesakit yang secara sukarela menjadi imam di situ, tak kira waktu solat apa sekalipun.

Saya sempat memasuki saf yang pertama, dan selesai solat, saya perasan akan En Zul yang duduk di sebelah saya. Seperti biasa, sewaktu tamat sahaja solat, saya memang akan mengesot ke belakang. Tak tahu mengapa saya berbuat demikian, sebab memang dah tabiat memandangkan saf kedua hanya ada seorang sahaja makmum yang masih lagi bersolat.

Sewaktu imam habis sahaja membacakan doa, serta bersalaman, saya turut bangun untuk menyambung tugasan di wad. Saya perhati sahaja En Zul yang duduk diam seraya membaca doa dengan perlahan.

Saya terperasan saat dia mula mengalirkan air matanya. Bersungguh-sungguh dia meminta doa agar isterinya sembuh serta pelbagai permintaan dan doa dibacakan. Dia menekup mukanya menggunakan kedua-dua belah tangannya, seolah-olah ingin menyembunyikan kepada jemaah lain yang dia sedang menangis.

Pergerakkan badannya yang tersenggut-senggut, serta nafasnya yang berbunyi seperti orang sedang selsema sudah cukup untuk memberitahu saya bahawa dia sedang menangis. Saya berjalan kembali ke wad, dan 15 minit kemudian saya nampak En Zul masuk menerusi pintu hadapan wad tersebut.

Lain sungguh wajahnya apabila dia tiba di katil menempatkan isterinya itu. Senyum sahaja, langsung tidak menampakkan tanda-tanda kesedihan. Saya tahu, sudah tentu di perlu menyembunyikan perasaan duka dan sedih di hadapan isterinya itu.

Dia kembali duduk di kerusi di sebelah kati isterinya seraya mengambil makanan untuk menyuapkan isterinya yang ketika itu, sudah tidak mampu bergerak dan duduk. Senyum dan gelak tawanya memecahkan kesunyian di wad. Dia bersembang, membuat lawak serta bercerita perkara-perkara yang menghiburkan isterinya, dengan harapan isterinya tidaklah begitu terlalu berfikir mengenai penyakitnya.

Beberapa hari kemudian, doktor pakar memberikan berita buruk kepada Pn Raihan dan En Zul. Buah pinggangnya mulai tidak berfungsi, dan rawatan hemodialisis perlu dibuat dengan kadar segera.

“Tak mengapa doktor, saya faham. Biar saya yang tandatangan borang persetujuan ni”, katanya setelah mendengar penerangan doktor yang hendak memasukkan satu tiub di tengkuk isterinya bagi rawatan dialisis.

Memang sedikit pun tanda kesedihan tidak ditunjukkan, walaupun isterinya mula mengalirkan air mata saat rawatan demi rawatan yang semakin lama semakin banyak dan keadaanya yang kritikal. Saya lihat En Zul duduk memegang tangan isterinya. Dia tersenyum walaupun isterinya sedang menangis. Dia mula memujuk isterinya supaya tidak berputus asa.

“Walau teruk mana sekalipun keadaan awak, saya akan sentiasa berada di sisi”, itulah ungkapan En Zul kepada isterinya yang saya dapat dengari daripada kaunter jururawat.

Esoknya, saya segera ke surau apabila jam sudah pun menunjukkan pukul 3.00 petang dan saya masih belum menunaikan solat Zohor lagi. Saya melalui katil Puan Raihan, dan berasa sedikit pelik apabila kelibat En Zul tidak kelihatan di sisnya.

Saat saya melangkah masuk ke surau, saya dapati En Zul sedang duduk bersila di bahagian belakang surau. Saya lihat mukanya yang sedang bersedih. Terlihat juga bekas air mata yang sudah kering di kedua-dua pipinya. Di tangannya, terdapat Al Quran yang masih dipegang erat. Saya segera bersolat di situ berseorangan. Selesai solat, saya menyapanya

“En Zul, macamana semuanya?”, saya bertanya dengan niat memulakan perbualan.

“Entahlah doktor, semakin lama semakin sukar saya nak hadapi semua ni”, jawabnya setelah beliau mengecam muka saya sebagai salah seorang doktor di wad tersebut.

“Saya tak tahu nak nasihat bagaimana, kerana saya sendiri tidak pernah mengalami keadaan sebegini. Tapi, kalau En Zul nak cakap apa-apa, saya boleh mendengar”, saya menyambung perbualan.

“Saya fikir saya dah lakukan yang terbaik untuk isteri saya. Saya berhenti kerja, semata-mata nak menjaganya. Saya tiada anak, kerana isteri saya memang tidak boleh mengandung. Saya pindah rumah sebab dihalau kerana tak dapat bayar sewa rumah, saya duduk di kampung, kerana lebih dekat dengan isteri saya… “, dia mula menceritakan segalanya sambil tersedu-sedu menahan kesedihan.

“Jika Allah itu wujud, segalanya sudah ditetapkan, tapi kenapa dugaan sebegini datang tak henti-henti. Saya tak faham. Kenapa saya yang perlu hadapi semua ini. Saya korbankan segalanya, tapi masih tak cukupkah?”, dia menyambung.

“Saya rasa En Zul merupakan insan terpilih, didatangkan ujian demi ujian kerana En Zul mampu menanggungnya”, itu sahaja saya mampu katakan, kerana saya sendiri tak sangka sebegitu teruk keadaannya.

“Ya doktor. Maafkan saya, saya cuma rasa semakin hari semakin tiada harapan untuk kami berdua hidup sampai ke tua”, katanya.

Saya hanya mampu mendiamkan diri dan mengangguk.

“Memang orang kata setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, tak mengapalah, saya masih mampu bersabar, dan menunggu dengan penuh harapan, apakah hikmah disebalik perkara yang berlaku ini”, dia menyambung sambil berdiri dan bersalaman kepada saya serta mengucapkan terima kasih.

Saya tergamam kerana begitu hebat ujian yang diberikan kepadanya. Saya yakin, kerana dia mampu lah, dia diberikan ujian tersebut. Kalau sayalah di tempatnya, saya tak tahu apa yang akan berlaku.

En Zul kemudian berjalan menuju ke wad. Saya mengikutinya daripada belakang. Dia singgah ke satu sinki di wad, sambil membasuh mukanya dan mengelap menggunakan tisu. Saya rasa perbuatannya itu adalah untuk menyembunyikan kekecewaan dan kedukaan saat dia berjumpa isterinya semula.

Sampai di katil isterinya, En Zul senyum. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Saya memerhati daripada jauh, memikirkan diri saya juga.

Alangkah bertuahnya Pn Raihan mendapat suami seperti En Zul. Di saat puluhan kes si suami atai si isteri meninggalkan pasangan mereka apabila mereka sakit sebegini, masih ada dan wujud lagi lelaki sebegini, yang mana ayat “saya sanggup bekorban apa sahaja demi awak” betul-betul dilaksanakan, bukan sekadar omong kosong.

Puan Raihan dibolehkan discaj beberapa hari kemudian, cuma dia perlu ke pusat dialisis secara kerap selepas itu. Dalam hati saya berdoa, agar apabila tiba masa dugaan sebegini, saya akan melakukan apa yang En Zul lakukan sebagai suami, demi isteri tercinta.

– Ilzanno Sharky (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *