Mampukah Bertahan Di Dahan Rapuh

Salam sayang kepada pembaca semua.. Masa aku menaip confession ni, aku baru saja lepas jawab ujian DASS atas inisiatif aku sendiri, sebab aku rasa aku dalam keadaan yang sangat tak ok..

Dan keputusannya memang aku dah jangka, aku kemurungan teruk. mujur aje anxiety dan stress aku masih tahap ringan.

Aku mintak sangat pada pembaca, tolong la jangan ajar admin, kata confession macam ni layak kat page KRT saja apa bagai, sebab kamu takkan pernah dapat rasa dan alami sendiri hanya melalui pembacaan. Hanya yang alami dapat rasa betapa sakit dan terhimpitnya jiwa ini..

Kalau nak baca, aku bersyukur sangat tapi kalau tak nak baca tolong jangan label confession macam ni hanya confession sampah.. Aku harap sangat ada antara pembaca akan dapat fahami jiwa aku, sebab aku tak mampu nak luah kat sape-sape lagi.

Namaku cik B. Dah berkahwin selama 12 tahun, dan ini perkahwinan kedua aku.

Aku pernah hilang kepercayaan pada perkahwinan dan tutup rapat-rapat pintu hati aku. Tapi suami ku yang sekarang mendesak dan memujuk rayu sehingga aku setuju atas dasar kasihan.

Betapa aku tak teguh dengan prinsip diri dan mudah mengasihani insan lain. Kalau ikutkan pekerjaan aku, aku mampu berdiri sendiri.

Bukan megah, tapi aku tahu aku sendiri punya banyak kekurangan dan tak yakin aku mampu jadi pasangan terbaik.

Suami yang kukenali asalnya seorang pendiam, tak banyak kawan, agak kekampungan dan sedikit lurus. Kuat merokok dari mula kukenali tapi pernah berjanji untuk berhenti.

Tapi kini setelah 12 tahun berlalu, makin banyak warna-warna dirinya mula muncul satu persatu. Kenapa aku sangat murung? Apa puncanya? Kami sangat kurang berkomunikasi.

Dalam whatsapp nampak mesra dengan perbualan panjang lebar, tapi bila sampai di rumah semuanya bertukar.

Aku hairan dengan situasi macam ni. Aku dah selalu sangat terima silent treatment darinya bila kami bermasalah, ada sehingga 3 minggu lamanya!

Aku ada bayi, baru 10 bulan usianya. Anak ketiga dengan suami ku yang ini. Jaraknya agak jauh dengan anak kedua kami, sebab aku serik untuk menjaga bayi lagi kerana sikap kuat merokok dan kuat bekerja nya. Anak ku mengidap asma gara-gara asap rokok suami ku.

Sehingga kini masih setia dengan inhaler. Dipujuk rayu untuk ada anak lagi kerana katanya anaknya baru dua orang.

Sebelum ini hanya aku sendirian menjaga anak kerana dia jarang ada di rumah. Setiap hari bekerja 8 pagi-10 malam, kalau public holiday pula 24 jam..

sedangkan aku juga bekerja, aku juga ada urusan kerja perlu dibereskan di rumah, ditambah lagi urusan rumahtangga. Sedangkan dia hanya boleh mengkritik bila rumah tak divakum, tandas tak disental.

Semasa mengandungkan anak bongsu kami, aku mendapat perhatian daripada occupational therapist sebab kemurungan, stress dan anxiety yang sangat teruk. Aku menangis semahunya di bilik doktor bila membuka buku pink.

Bila doktor mula scan kandungan untuk lihat denyut jantung baby, makin berhamburan air mata aku dan tanpa aku sedar aku beritahu doktor “i shouldn’t get pregnant”…

Apa salah bayi tu? Tak ada salah. Aku cuma trauma dengan silent treatment yang dah selalu aku dapat daripada suami aku.

Masa berlalu. Sampai lah masa untuk aku melahirkan. Pembedahan terpaksa dibuat sebab bayi ku songsang, dan doktor terus menawarkan ligasi atas sebab rekod ujian DASS aku dan faktor umur juga. (Aku berumur 40 tahun)

Aku bersyukur sangat dapat tawaran tu dan sekali lagi seolah-olah Allah tahu kesusahanku, suami pun menandatangani persetujuan untuk ligasi.

Bayi ku dijaga dengan baik. Aku bukan menolak kehadiran bayi itu. Aku sayangkan zuriat terakhir aku. Cuma aku bimbang adakah bayiku juga menjadi mangsa asap rokok suamiku.

Dia memang takkan boleh ditegur atau dinasihat, kerana dia rasa semua perbuatannya adalah betul belaka.

Kali ini dia masih dengan rokoknya, cuma bezanya selepas merokok dia makan gula-gula. Baju tidak ditukar, tangan tidak dicuci. Bau rokok sangat kuat menghimpit hidung dan menyesakkan dada. Diambil bayi, dicium-cium. Allahu… hancur luluh hati aku..

Dulu di awal perkahwinan, aku sentiasa akan open berbincang dalam whatsapp sekiranya ada perasaan tersinggung atau terluka. Tetapi kini tidak lagi. Masing-masing akan memendam rasa di dalam hati.

Pernah satu ketika aku menaip panjang lebar berbincang situasi kami, tapi jawapannya hanya No Komen. Terasa seperti kaca terhempas ke batu. Tiada lagi perbincangan, tiada lagi kata-kata. Masing-masing membisu.

Suami aku lahir dari sebuah keluarga yang tidak sihat dari pandangan mata kasar aku. Ibu dan ayahnya tinggal di bilik berasingan, dan hanya akan bercakap bila perlu sahaja.

Aku memerhatikan keadaan ini. Adakah aku sedang diperlakukan sepertimana dia lihat contoh ibu bapanya?

Dan kini memang sudah dua minggu kami tidur berasingan tanpa sepatah kata keluar dari bibir masing-masing. Aku perhatikan pula anak lelaki tunggalku. Adakah kamu juga nanti akan bersikap seperti bapamu, wahai anakku?

Mungkin pembaca akan sarankan aku yang memulakan perbualan. Wahai pembaca sekalian, suami ku kini bukan lagi seorang yang ku kenali. Dia kini terjebak dengan penagihan ketum dicampur ubat batuk atas pengaruh rakan sekerja.

Tanpa segan silu merebus daun di dapur kami, mengaduk air ketum bercampur ubat batuk dan coke di hadapan anak-anakku. minum tanpa perasaan malu dihadapan mertua dan jiran-jiran. Masih mampukah aku untuk menghormati insan seperti ini?

Aku jijik. Pernah aku nasihat dia. Beribu kali berjanji akan berhenti. Pernah aku ugut sekiranya apa-apa berlaku di kemudian hari, aku tidak akan menghiraukannya lagi. Tapi sehingga kini masih penagih ketum.

Malunya aku punya suami seperti ini, sedang aku dan pekerjaanku dipandang tinggi oleh masyarakat.

Pernah aku terfikir untuk laporkan pada polis, tapi kemudian ku padamkan hasrat itu. Aku pernah lengkapkan borang tuntutan fasakh, tapi akhirnya ku pendamkan sahaja.

Dengan AADK dah selalu aku berhubung minta nasihat. Tapi beginilah hari demi hari. Di belakang rumah kami hidup subur dua batang pokok ketum kebanggannya.

Setiap kali pulang ke kampung nya, penuh bonet kami dengan daun-daun ketum stok yang dikutip. Aku berdebar sepanjang jalan, jangan lah kami ditahan polis kerana akhirnya aku dan anak-anak akan ikut terlibat sama.

Aku tidak tahu adakah sepanjang 14 jam bekerja itu digunakan dengan jujur untuk bekerja atau menyeleweng. Kerana aku dapat tahu, di tempat kerja nya juga adalah port memasak ketum.

Dia habiskan 14 jam di tempat kerja, 6 hari seminggu, sedangkan anak-anak rindu seorang ayah.

Boleh dikatakan rumah hanya tempat untuk tidur sahaja. Anak-anak selalu beritahu cemburu dengan kawan- kawan dapat berjalan sana sini, tapi mereka hanya di rumah.

Aku bukan tak boleh bawa anak-anak, tapi angan-angan untuk lengkap sekeluarga bercuti bersama hanya akan tinggal angan-angan. Aku sangat benci dengan public holiday, kerana ia tak pernah bererti bagi aku dan anak-anak.

Aku pernah suarakan pada suami, anak sedang lasak dan sangat bahaya tidur di katil bersama kami. Aku ajak tidur sahaja di tilam bawah, tak perlu katil untuk elak anak dari jatuh katil. Tapi jawapannya sangat menghampakan aku.

Katanya anak-anak lain pun semua jatuh katil, tak ada masalah pun. Kalau taknak anak jatuh, jaga lah betul-betul. Ya Allah, bapa apakah ini.

Dan anakku beberapa kali jatuh katil angkara sikap acuh tak acuh. Aku menangis lihat anak kesakitan. Aku katakan aku taknak katil lagi.

Dia hanya kata kenapa aku tak bagitau apa nak dibuat.(maksudnya katil tu nanti nak dipindah ke mana dan bagaimana). Dangkal nya kamu mengharapkan isteri yang menentukan segalanya.

Dia juga tak suka apabila aku menyebut dia sebagai ketua keluarga yang sepatutnya melindungi kami. Lelaki tak suka diiktiraf sebagai ketua keluarga? Aneh bukan?

Aku boleh menaip seharian kalau nak ceritaka semua sekali. Tapi keadaan tidak akan berubah. Aku hampir putus asa.

Dan kini aku tahu, aku murung mengenangkan anak lelaki ku yang dididik cara yang salah sebagai sebagai lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga.

Contoh apakah yang dia lihat ini? Corak apa yang suami ku telah bentuk kepada satu-satunya anak lelaki ku ini. Hampa hati seorang ibu mengharapkan anak lelaki dididik menjadi lelaki budiman.

Tolong aku pembaca semua. Aku betul-betul di dahan yang rapuh ketika ini. Hati ku benar-benar fragile ketika ini dan hanya menanti masa untuk berderai.

– Cik B (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *