masalah ibu bapa tidak izinkan berkahwin

1. Nikah ialah sunnah, Nabi Salallahualaihiwassalam menyebut dengan jelas dalam banyak hadith antaranya النِّكَاحُ مِنْ سُنَّتِي ، فَمَنْ لَمْ يَعْمَلْ بِسُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي Nikah itu sunnahku barangsiapa yang tidak beramal dengan sunnahku maka bukanlah dari kalangan aku. [riwayat Ibn Majah]

Hukum nikah itu ada pelbagai mengikut individu, ada yang harus, ada yang sunat, ada yang wajib dan ada pula yang haram serta makruh.

2. Mentaati ibubapa ialah wajib pada hukum asal dan secara umum. Manakala dalam keadaan yang khusus, ketaatan itu mestilah tidak melibatkan/menyalahi 3 perkara :
i- Tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul SAW
ii- Tidak memudharatkan agama, nyawa, harta, akal dan maruah
iii- Ketaatan itu tidak boleh mencabuli hak-hak si anak yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan oleh sunnah rasulullah.

Contohnya : Ibubapa memberi nama yang buruk pada si anak, maka termasuk hak yang dijamin oleh syarak untuk si anak boleh menukar namanya walau dibenci dan tidak diredhai oleh ibubapa kerana itu haknya yang dilindungi oleh syarak.

Begitu juga bagi anak gadis, syarak menetapkan nikah tidak boleh dipaksakan maka dia berhak menolak 'pernikahan' yg dipaksakan ke atasnya walaupun ibubapanya tidak redha dan mungkin marah atau tidak merestui kerana itu haknya yang dijamin oleh syarak. Lihat hadith dlm al-Bukhari dan Muslim.

3. Bagi anak yang ingin bernikah tetapi dihalang oleh ibubapa maka halangan itu mestilah atas dasar syarak spt, calon suami/isteri tidak beragama atau fasik, mudharat yang akan timbul dan sebagainya. Jika tidak wujud alasan yang dapat diterima disisi syarak maka halangan tersebut ialah satu dosa kerana si anak ingin melaksanakan haknya dalam agama iaitu bernikah.

4. Bagi anak yang sudah mencapai tahap wajib bernikah dan dikhuatiri terjebak dengan hukum zina, maka mereka harus bernikah walau tanpa izin ibubapa kerana ketaatan kepada Allah (mengelak zina) lebih utama dari mematuhi kehendak ibubapa.

5. Masalah calon pasangan tidak diterima oleh ibubapa maka syarak menetapkan ibubapa berhak menolak calon si anak atas alasan tidak sekufu dari sudut agama (bukan keturunan, harta dsbnya). Jika calon suami/isteri ialah fasik maka ibubapa berhak menolak tetapi jika calon yang dipilih si anak ialah lelaki yang beriman dan tidak mempunyai kecacatan dari sudut agama maka ianya tidak boleh ditolak oleh ibubapa dan termasuk hak si anak untuk memenuhi fitrahnya.

Ini bertepatan dengan hadith Nabi SAW : لم ير للمتحابين مثل النكاح
Tidaklah kami melihat orang yang bercinta seperti nikah. [riwayat AlBaihaqi]

6. Tidak boleh bernikah tanpa wali, setiap pernikahan tanpa wali adalah tidak sah. Oleh yang demikian bapa perlu menjadi wali kepada anak perempuan sekalipun dia tidak menyetujui calon dan tidak bersetuju dengan anaknya untuk bernikah. Apabila dia enggan maka hak wali itu akan berpindah kepada pihak wali yang seterusnya sehingga jika tiada wali dari keluarga maka sultan menjadi wali bagi mereka yang tiada wali nikah.

7. Tugas Ibubapa ialah menjadi wali dan berfungsi menjaga keselamatan dan kebajikan si anak , ia sama sekali tidak bermaksud mereka berhak menentukan masa depan si anak kerana apabila sudah baligh, kerana anak-anak berhak memilih jalan hidup mereka sendiri dengan 'AKAL, KEHENDAK' mereka dan akan menanggung dosa-pahala atas pilihan mereka. Ibubapa hanya berhak mencampuri urusan anak apabila terdapat maslahat syarak dan atas kepentingan deen bukan kerana kehendak peribadi.

Ini kerana Allah SWT berfirman : يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ{34} وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ{35} وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ{36} لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ{37}'Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya,dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.' [Abasa : 34-37 ]

Setiap orang perlu bertanggungjawab atas pilihannya agar di hari akhirat kelak masing2 tidak saling menyalahkan antara satu sama lain.

WA.

– tazkirock dari sis

CREATE A POST

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *