Mentuaku Pelakon

Assalamualaikum. Kenalkan, nama aku Delima (bukan nama sebenar). Dilahirkan dan dibesarkan di tengah bandar. Berusia 29 tahun ketika ini. Tidak mempunyai pelajaran tinggi, hanya penuntut di sebuah maahad tahfiz yang terletak di selatan tanah air hampir 11 tahun yang lalu.

2013, ketika berusia 19 tahun dan juga masih sedang sibuk menjalani rutin seorang pelajar. Qodrullah, jodohku telah sampai. Bukan dengan orang aku kenali tetapi rupanya jiran sendiri. Seorang badan beruniform berusia 26 tahun ketika itu.

Orangnya biasa sahaja, manis dan berkulit gelap. Menegurku di laman muka buku sebelum bertanya pada jiran tetangga adakah aku sudah berpunya.

Singkat cerita, selepas 3 bulan berkenalan, merisik dan bertunang. Aku sah menjadi isterinya.

Di hari pernikahan, aku sedikit hairan mengapa hanya ibu dan ayahnya yang kelihatan. Tiada saudara mara lain, walau hanya seorang. Mereka hanya bersama beberapa jiran yang aku kenali.

Cuba bersangka baik, walau ketika sesi bergambar hanya ibu mertuaku sahaja yang ikut serta. Bapa mertua? Hilang entah kemana hingga tiada 1 pun gambar bersamanya melainkan gambar candid semata2.

Selesai majlis, seperti biasa kerana teruja telah menjadi isteri, aku memuat naik beberapa keping gambar dihalaman muka buku dan mengetag ibu mertuaku. Tidak lama kemudian telefon bimbitku berdering.

Bergetar suara suami memberi salam.

Suami: assalamualaikum awak.

Aku: waalaikumsalam ya saya…

Suami: tolong delete ya gambar yang awak tag mak saya.

Aku: kenapa abang?

Suami: diorang marah, dia kata tok (nenek belah bapak) minta delete semua berkaitan hal perkahwinan ni.

Dalam kehairanan, aku menurut perintah suami. Beribu soalan berlegar didalam benakku. Hinggalah beberapa hari sebelum kenduri sepupu suami di kampungnya di utara tanah air, aku terdengar sebuah perbualan.

Rupanya2 ketika mengenali aku, ibubapa mertuaku telah merancang untuk menjodohkan suamiku dengan dua pupunya. Cincin juga telah dibeli untuk mengikat tali pertunangan bersama wanita tersebut. Tetapi suamiku lebih memilih aku walaupun usia perkenalan baru sebulan.

Setelah mendengar semuanya, aku terasa ditipu dan menjadi mangsa keadaan. Kerana tidak tahu langsung akan hal ini.

Aku menangis semahunya. Pedih menikam didada. Tetapi hanya mampu berbungkam kerana suamiku bertugas dikejauhan.

Sedangkan aku keseorangan bersama ibubapanya. Sebelum terlupa, suami aku adalah anak tunggal..

Hari berganti hari, kisah “tunang tak jadi” suamiku kian dimamah waktu. Aku pun sudah berkenalan dengan wanita itu. Kami baik, bahkan teramat2 baik. Hinggakan aku pernah jadi orang tengah si dia untuk meminjam wang dari suamiku ketika si dia diuji dengan penyakit kanser payudara.

Si dia juga telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Tetapi nasibnya dalam perkahwinan tidak sebaik aku.

Pendek cerita, sekitar tahun 2018 si dia telah menghembuskan nafas terakhir akibat penyakitnya, beberapa minit selepas aku menziarahi.

Antara aku, suami & si dia telah selesai. Tetapi rupanya antara keluarga mertuaku masih rasa ‘sakit’ sentiasa tanpa aku sendiri tahu puncanya.

Aku dapat rasakan mereka membenciku, sering memandangku aku dengan hujung mata ketika aku pulang ke kampung.

Ibu mertuaku juga semakin menunjukkan taringnya, bila telah pandai melaga-laga kan aku dengan suamiku.

Mulanya dia bertanya sama ada kami mempunyai duit, tanpa berfikir2 apa2 aku menceritakan keadaan kami yang sebenar. Gaji suamiku ketika itu yang berpangkat lans koperal hanya sekitar RM1100 selepas ditolak loan perkahwinan.

Didalam RM1100 itu juga suamiku membayar RM380 sebulan untuk kereta wiranya, dan RM160 untuk basikal yang dibeli di aeon kredit.

Selepas bertanya padaku, dia bertanya pula kepada suamiku.

Seimbas lalu perlahan suami menjawab “Ada”.

Terus dia memanggilkan aku dengan wajah sinis “ijat kata ada je duit!”.

Aku terpana, diam membeku.

Lalu bertanya kepada suami

“Kenapa cakap ada duit”

Sedangkan hanya cukup2 mengisi minyak untuk pulang ke negeri tempat mencari rezeki.

Suami katakan padaku dia terlihat beberapa keping not lima puluh didalam dompetku. Dia beranggapan itu adalah duit “kami”.

Sedangkan itu duit dari kakakku mengirim sesuatu. Aku menangis kerana malu, mertuaku membuat wajah benci. Ketika suami sudah masuk ke kereta, aku baru menyusul untuk mengikuti, di hujung mata aku lihat mertuaku menutup tabir tingkap dengan kasar seolah2 benci melihat aku.

Tidak lama kemudian, kedua mertuaku telah tamat perkhidmatan, dan kembali ke negeri asal mereka di utara tanah air.

Selepas beberapa bulan jauh dari keluargaku, ibu mertuaku mula berani mengejek keturunanku dibelakang suami. Bila hanya tinggal kami berdua, keluarlah kata2 nista dari mulutnya.

Contoh

Mertua: ibu Delima tu indon kan??

Walhal hanya atokku berasal dari sana. Dr kepulauan riau dan telah merantau ke sini hampir 80tahun.

Ibu mertuaku juga mula mengejek rupa paras keluargaku.

Mertua: makcik Delima tu tak elok kan? Anak dia semua elok2.

Bila melihat anak sepupu yang baru lahir dia mencebik dan berkata

Mertua: eiii tak elok.

Bukan itu sahaja, anak keduaku juga dikatakan tidak tahu ikut rupa siapa sedangkan 99% orang mengatakan rupa ayahnya. Dan anak sulung rupaku. Tetapi pada pandangannya anak sulung rupa anaknya, si adik yang berkulit gelap yang sahih seperti ayahnya pula dia tidak tahu rupa siapa.

Aku berdiam. Bila ku luah pada suami, dia sekadar meminta aku bersabar, bersabar dan bersabar.

Hingga sampai ke tahap aku bersalin, kedua ibubapa mertua berani memaksa aku balik ke sana untuk berpantang disana. Dengan alasan ingin melihat cucu. Sehari lebih 3x memaksa suami.

Siap memberi cadangan jika luka masih sakit, pulanglah dengan kapal terbang. Kononnya airlines boleh providekan kerusi roda untuk aku dan bayi.

Selepas hampir tiap hari menangis dan tertekan, aku menurut kata suamiku untuk berpantang disana. Perjalanan selangor – kedah hampir 8jam membuatkan luka aku membengkak dan meretas.

Ibu mertua mula menyalahkan ibuku, kononnya luka meretas disebabkan ikan tamban yang diberikan ibuku ketika awal2 berpantang dahulu.

Lebih 60 hari disana, berbagai kepedihan aku lalui, pulang membeli pampers kulihat sebotol susu airmasak disamping anakku. Walau sudah berkali2 dinasihati, ibu mertuaku lebih memilih untuk mengikut kepalanya.

Dia juga memaksa untuk aku memberi susu botol ketika anakku menangis, kononnya susuku tidak cukup walaupun anakku pernah overfeed sehingga susu keluar memancut melalui hidung.

Dia juga mula berbunyi untuk aku mengikuti jejak anak buahnya yang memberi cucu sedaranya makan ketika baru berusia 3bln.

Aku menolak secara berterus terang. Nampak kemarahan diwajahnya tetapi aku tidak mempedulikan.

Hinggalah kemuncak keadaan, ketika suamiku mahu mengambilku ketika habis berpantang, dia merampas anak kami ketika menangis dan membancuhkan sebotol susu formula dan membawa anakku kebilik.

Aku cuba membuka pintu, tetapi malang telah dikunci dari dalam. Suamiku? Hanya mampu membatu.

Ibu mertuaku ini wanita berwajah polos, berkata manis. Pelakon terhebat. Di belakang keluarga mertuanya, berbagai kutukan dan hinaan dia beri. Seluruh ahli keluarga suaminya iaitu bapak mertuaku “Bermulut jahat” ” kaki bomoh” pakai penunduk dan berbagai2 lagi.

Dia juga memfitnah bapak mertuaku, konon telah membomohkan dirinya sehingga tidak sedar telah terkahwin dgn bapak mertuaku.

Tetapi bila berhadapan dengan semua, dialah manusia paling naif dan lemah lembut di alam dunia, bergambar dan memuat turun naik difacebook dengan kata-kata amat manis sekali. Sedangkan bila dibelakang, segala aib dicanang.

Selepas 10 tahun berkahwin, kemuncak ujian hidupku telah tiba. Atas kerana kasihan melihat ibubapa mertuaku sering mengeluh tentang rumah mereka yang terbengkalai, aku mencadangkan supaya suami membelikan sebuah rumah untuk mereka. Ini adalah kesilapan terbesar aku sepanjang aku hidupku.

Suamiku pada mulanya enggan dan akhirnya bersetuju dengan syarat rumah yang mereka duduki sekarang harus dijual dan duitnya diberikan kepada suamiku untuk membeli tanah dan melangsaikan hutang kereta. Ibubapa mertua pun setuju dan terlihat gembira.

Tetapi sempat kami berpesan, ini hanyalah rancangan. Kita cari dahulu, andai sesuai semuanya baru kita buat keputusan.

Setelah beberapa hari meninjau di sekitar kawasan yang dikehendaki mertua, ibu mertuaku berkenan sebuah rumah double storey tidak jauh dari kawasan rumah lama mereka, harga sekitar RM299k dan bulanan yang perlu dibayar boleh mencecah RM1500 sebulan.

Kami berdua mula mencongak, rumah lama mereka hanya berharga RM185000. Dan bapa mertuaku juga meminta untuk dibelikan sebuah tractor kecil untuknya, hasil jualanan rumahnya nanti.

Kulihat wajah suami mulai sugul. Cuba mencari beberapa rumah yang lebih murah supaya bayaran bulanan tidak terlalu membebankan. Di dalam pencarian, ibu mertuaku seolah2 memaksa dengan memberitahu, dia tidak kisah rumah di kawasan A atau B. Sedangkan dua-dua pilihannya itu rumah teres dua tingkat.

Aku mula mendiamkan diri, kerana agak tertekan bila dipaksa2. Bapa mertua juga menunjukkan sebuah rumah teres setingkat yang telah direnovate sepenuhnya. Harga hanya kurang RM2,000 dari harga rumah double storey pilihan ibu mertua.

Didalam group whatsapp bapa telah menghantar sebuah pesanan yang membuatkan kami suami isteri tersentak dengan ayat yang agak pedih berbunyi,

“apa cerita kisah rumah ni, jangan sampai kami merempat pula nanti.”

Kami berbungkam. Terdiam. Sepupu suami juga menghubungiku. Bertanya sama ada jadi atau tidak membelikan mertuaku rumah dua tingkat dia kawasan sekian-sekian.

Terasa panas didada, terus aku bertanya pada mertua, adakah dia bercerita pada orang tentang perancangan ini? Sedangkan berkali2 kami suami isteri berpesan agar tidak menceritakan kepada sesiapa. Kerana ini barulah perancangan. Bukan kewajipan yang kita wajib buat.

Ibu mertuaku mula memusing jawapan, kononnya anak buah dia yang bertanya betul kah aku ingi melakukan kenduri akikah dirumahnya? Dan dia terpaksa menjawab mungkin dirumah lain.

Aku tahu dia berbohong kerana aku tidak pernah bercerita tentang akikah. Dia juga mengatakan terpaksa bercerita untuk mencari buyer rumah lamanya dan tidak tahu urusan jual beli rumah..

Suamiku cuba bertenang, menunaikan solat istikharah, memohon diberi petunjuk. Apakah ini keputusan yang betul bagi kami? Setelah yakin dan tidak mahu ada ungkitan belakang hari, suamiku berterus terang pada mereka bahawa perancangan tersebut tidak jadi.

Mereka diam, kami diam. Aku fikirkan telah tamat disitu. Rupanya sangkaanku meleset. Memandangkan seseorang bakal pembeli pernah datang melihat rumah tersebut dan berminat, mereka menggunakan alasan bahawa rumah mereka telah ada pembeli.

Atas rasa bersalah suamiku menghulur RM1000 kepada ayahnya supaya membayar pada agent yang telah mencari buyer.

Duit itu aku tidak tahu, sama ada betul sampai pada agent atau tidak.

Walau telah diberi ganti rugi, ibu mertuaku mula memulaukan aku, lama.

Selalu setiap gambar anakku pasti dia akan meninggalkan komen. Ini tidak, sekadar melihat. Lama-lama aku menghide kedua mertuaku.

Mungkin marah benar kerana aku menegurnya supaya tidak menceritakan pada orang yang kami akan membelikan mereka rumah. Kerana itu hanya perancangan.

Tiap kali ada yang tidak kena dihati, pasti senjata dia memulaukan kami hingga kami terpaksa terhegeh2 menegurnya kembali.

Aku teringat hari raya pada tahun 2017 dia telah memuat naik sebuah status berbunyi

“beginilah nasib kami, tiap tahun raya berdua”

Maka berbondonglah sepupu-sepupu suami memujuk sambil memerli.

Kononnya jangan sedih, mereka sentiasa ada.

Sedangkan, ketika masih berjiran 2013, 2014 aku beraya dengan mereka. 2015 aku beraya berdua dengan suamiku di bumi kuantan.

2016 aku bersalin, malam raya baru discharge disebabkan bayiku demam. Itupun seawal pagi raya mula mengacau kami untuk pulang ke kampungnya.

5 hari sahaja bersama ibuku, aku pulang berpantang kerumahnya hingga 70hari.

2017 aku balik ke kampungku kerana suami sedang menjalani latihan ke lubnan, tidak jauh dari rumah ibuku. Memandangkan aku tinggal disitu selama suami menjalani latihan, kami membuat keputusan raya bersama keluargaku sahaja kerana bajet untuk pulang ke utara kami tiada. Ketika ini lah status itu dimuat naik.

Sejak kejadian, pandangan keluarga pun telah berlainan. Aku dapat rasakan mereka membenciku, tetapi kerana ingin mengintai hidupku, mereka terus berpura- bertanya khabar dan adakala meminta pendapat itu dan ini.

Kadang-kadang bila melihat status aku berjalan, senang sahaja mereka meminta aku balik ke sana. Sedangkan bila aku yang menyuruh mereka kesini, banyak pula alasannya. Banyak komitmen lah, makan modal la. Habis kami?

Sejak aku mempunyai isu dengan mertua, makin rancak si anak buahnya mengacau hidupku. Hingga 1 hari tak semena2 tiba2 hendak membawa kedua ibubapa mertua kerumahku.

Aku hairan, kenapa beria benar sepupu si suami ini. Sedangkan ketika mertuanya meminta untuk duduk dihadap ketika suaminya memandu, bukan main seluruh keluarga dia canang. Kononnya mertuanya jahat, memaksa dia memasak, mengemas rumah. Suka meminta duit suami. Walau dah diberi tapi masih meminta itu dan ini.

Aku tak pernah menyampuk. Tapi bila aku ada isu dengan mertua, bukan main mereka. Aku ceritakan pada suami, hanya tertawa dan berkata ” block la. Dia saja nak sakitkan hati awak tu “

Akhirnya selepas berfikir dan berdoa, hatiku tekad untuk membuang seluruh keluarganya daripada melihat hidupku. Aku fikirkan itu hanyalah isu kecil, rupanya bagai bom yang meledak.

Mertuaku mula mengacau suamiku, bertubi2 mesej diberi cuba memburukkan. Suami yang tahu hal sebenar cuba menjernihkan suasana dengan menyabarkan ibunya.

Hari berganti hari, tiap statusku dapat dihidu. Walau sekadar mendoakan ibuku yang dihina, tetap panas disana. Macam biasa, pada suamiku dia meluahkan segala2nya yang kononnya,semua kuceritakan tipu belaka. Aku ni tiba2 “buat teruk” katanya.

Sedangkan telah 10 tahun lamanya aku memendam rasa. Tiba hari raya, kami berhari raya pertama bersama, hari raya kedua aku pulang ke rumah ibuku, dan dia membawa anak kami ke rumah ibunya.

Aku tak mahu pisahkan hubungan nenek dan cucu, walau rasa pedih menikam, aku cuba berlapang dada. Biarlah hanya aku yang terputus hubungan dari mereka…

Ketika disana, mertua mula memancing suami. Dengan kata-kata sedih, bertanya apa salah dirinya. 10 tahun menyimpan, suamiku bertanya

“kenapa mak kata mak dia indon? Kata makcik dia tak elok.” ayat ibuku indon ni bukan sekali. Lebih dari 3x kiraku. Dari belum punya anak hingga telah 2 anak masih isu yang sama. Modal dia menyakiti hatiku.

Muka dia amat2 terkejut cerita suamiku, bapa mertuaku juga memandang tepat padanya. Dalam keadaan kelam kabut dia menafikan, kononnya ibu aku sendiri bercerita bahawa ibu aku indonesian. Berbagai2 alasan dia berikan untuk menutup kesalahannya.

Bila pulang, suamiku membuat 1 group whatsapp memasukkan kami semua termasuk bapa mertua. Dia menafikan sekeras2nya, masih berkata ibuku yang bercerita. Bertegang lidah mengatakan ceritanya betul. Aku juga meluahkan segala2nya yang terpendam selamani.

Seperti biasa, dia selitkan juga beberapa lawak kononnya dia sudah tua, tidak boleh menulis laju seperti aku. Tetapi dalam masa sama, personal whatsapp suami aku bahawa dia tak ingat sama ada betul atau tak dia pernah buat seperti aku cakapkan.

Kalau dia buat pun, bukan ada niat tidak baik. Dan personal msj pada aku pula dengan kata2 memujuk tetapi diselitkan dengan kenyataan

“mak tau, ibu tu indon dari korang belum kahwin lagi “

Aku bersangka baik pada Allah, Allah sedang membantuku menunjukkan siapa yang bercakap benar.

Hari berganti hari, masih tak berpuas hati. Kerap kali msj suamiku cuba mempertahankan diri. Kononnya aku cemburu padanya. Sengaja mereka cerita agar suami membencinya. Dan banyak lagi yang dia memburuk-burukkan aku.

Aku ini bukan lah orang yang boleh bersabar sentiasa, selepas membaca 1 mesejnya di telefon bimbit suamiku, ketika jam hampir 1 pagi aku menelefonnya. Terus aku tanyakan, apa lagi yang dia tidak berpuas hati padaku? Jika dia benci melihat aku, aku telah pun pergi.

Aku tak ‘membawa’ sekali anak dan suami. Kenapa masih tak berpuas hati? Duit yang suami kirim pun tak sekali aku halangi. Kenapa masih berusaha keras untuk aku dibenci suami?! Keras suaraku menahan tangis, mengawal suara agar tidak didengari ayah dan ibuku.

Tiba-tiba talifon dirampas,

“kau ni babi! Babi!! Babiii “

Ya aku kenal suara itu. Bapa mertuaku. Orang yang aku hormati, bapa mertuaku. Suamiku disebelah mendengar suara menjerit dari talian sana, memegang talifonku dan menyuruh kami bersabar dan meletakkan telefon.

Suamiku menghidupkan hpnya dan memberi mesej didalam group bahawa dia malu dengan apa yang jadi, jika aku adukan pada ibu dan ayahku. Mana lah dia hendak letak muka. Jika isteri nya dilabel babi, maka anak2 nya juga babi.

Aku juga mesej pada mertuaku, jangan berharap berjumpa ‘anak2’ babi lepas ni. Dan aku juga memberi kata putus, andai aku berbohong, hancurlah hidup aku dunia akhirat.

Tapi kalau dia yang berbohong aku mendoakan supaya Allah matikan mereka dalam keadaan hina. Pecah bersepai sabarku. Aku juga mohon Allah tukarkan wajah bapa mertuaku kelak menjadi babi!!

Beberapa minggu kemudian, adik kepada ibu mertuaku menghantar ceramah tentang akibat lebihkan isteri. Terasa sekali lagi diperli, rasanya benar ceramah itu ditujukan padanya.

Dia membalas dengan ceramah ibu bapa tidak boleh melaga2kan anak menantu agar berpisah. Maka melompatlah ibu mertuaku, disusuli adik beradik lain yang menghina aku. Kononnya itu adalah aku yang membalas bukan suamiku.

Wallahi aku tidak tahu. Suamiku yang membalas.

Si adik lelaki mula menunjuk hero “hei kami ni keturunan baik baik.. Hang salah group!”

Suamiku tertawa, aku tahu apa difikirannya.

Orang yang mengaku berketurunan baik-baik ini pemakan harta haram, menjual kebun ratusan ribu lepas kematian bapa, dan berkongsi dua dengan kroni iaitu abang kandung sama sama berjantina lelaki.

Yang mengaku keturunan baik-baik ini lah yang membiarkan ibu kandungnya makan nasi basi berhari-hari kerana mereka suami isteri terlalu sibuk kononnya mencari rezeki.

Yang mengaku keturunan baik-baik ini juga yang membiarkan ibu kandung duduk dalam rumah yang kotor lebih kotor dari kandang babi.

Mereka mungkin ingat kami tak tahu, tapi mereka terlupa arwah ibu mereka juga mempunyai mulut untuk berkata dan bercerita. Kami juga mempunyai mata.

Pada pertengahan bulan 9, kakak ibu mertuaku dalam keadaan nazak. Ada beberapa botol ubat dalam simpanan suami. Mereka meminta, rasanya sengaja mencari peluang agar mereka dapat bersemuka dengan suami. Suami meminta aku yang menghantar ke kuala lumpur.

Dengan lafaz bismillah aku mohon perlindungan Allah. Aku hantarkan pada isteri sepupu suami. Disinilah terbuka segala cerita. Pertama dia bertanya apa sebenarnya yang terjadi, aku ceritakan segala-galanya. Termasuklah kisah kereta yang kononnya dibelikan khas untuk suami ketika mereka pencen tetapi lebih 8 tahun tidak ditukar nama.

Kereta kecil yang di minta pada suami untuk mereka pula, dari awal diletakkan nama mereka. Motor, aku beli dari pakcik suami yang mengaku keturunan baik-baik. Langsung tidak bertanya hendak diletakkan nama siapa, terus diletakkan nama bapa mertua.

Motor yang ditukar sebagai ganti pada suami, hingga kita hampir 10 tahun tidak juga ditukar nama. Semuanya kalau boleh nama mereka, biar suami tidak berharta.

Terbuka juga cerita kenapa ramai membenci kami.

Rupanya, 10 tahun usia perkahwinan, segala gerak geri aku diceritakan. 10 tahun ini, dia kata umpama aku masuk ke tandas pun mereka bercerita.

Paling aku tidak boleh terima, mertuaku bercerita suamiku memintanya menjual tanah agar dapat berkahwin denganku. Allahu rabbi, sedangkan wang hantaran aku tak minta. Mereka yang ingin memberi.

Total cost perkahwinan ketika itu termasuk segala perbelanjaan kecil lebih kurang RM26,000 (termasuk hantaran).

Loan suami RM20,000 (RM15,000) diberikan penuh pada ibunya untuk perbelanjaan kahwin. Duit salam kaut kurang beberapa ratus RM9,000. Jika perlu ditambah pun, bukan sehingga harga sebidang tanah. Aku ceritakan pada suami, terkejutnya dia.

Dia juga bercerita padaku bahawa duit salam kaut itu tidak terpelanting RM100 pun padanya. Sudah lah tidak memberi, tetapi memburukkan kami. Ada juga cerita kononnya dia membantu suami membayar hutang koperasi, istighfar panjang suamiku.

Ketika mahu membeli rumah, gaji suamiku agak kecil kerana mempunyai hutang lama.

RM5,000 untuk menutup hutang lamanyaa itu dipinjam pada ibuku, tetapi ibunya yang mengaku jasa.

Teringat ketika suami membelikan ku sebuah kereta kecil untuk menghantar ambil anak sekolah. Terdapat bunyi2 langau dalam group family. Kononnya kereta itu jika dijual semula tidak laku, kuat minyak dan berbagai lagi.

Suamiku tahu, mereka mahu suamiku memulangkan kembali kereta yang mereka pernah beli. Kononnya sudah tidak sesuai untuk kami yang beranak dua. Kena beli kereta keluarga.

Suamiku hanya berdiam kerana kereta kecil yang mereka minta dulu masih berbaki hutang RM1800, dan diselesaikan menggunakan duit ibuku. Belum berbayar lagi. Kini kereta itu telah dijual dan dibeli kereta lain. Tiba-tiba mahu meminta kereta kami pula kembali.

Tidak lama kemudian, sepupu suami menghantar semua screenshoot dari hp ibunya yang baru meninggal dunia,

Rupanya mereka ada group lain selain group yang kami ada. Disitu bertahun lamanya “sang keturunan baik-baik ” ini memburukkan memfitnah aku. Bukan aku sahaja, termasuklah abang kandung mereka yang susah pada pandangan mereka. Status2ku juga ada balaci tukang screenshot dan dijadikan bahan umpatan.

Si keturunan baik-baik jugak menghina aku wanita tak bersekolah, alhamdulillah. Ya aku tahu kau belajar tinggi, hingga memiliki degree sukan hingga melayakkan kau menjadi guru. Tetapi tak perlu menghina aku, kerana aku tidak pernah menyentuh kehidupan kau walau sedikit.

Antara fitnah mertua pula di dalam group tersebut, kononnya aku menuduh dia kata anakku babi. Allah maha mengetahui.

Aku juga sering meminta duitnya ketika keluar. Sedangkan dia yang berlagak kaya meminta aku membelikan cucunya mcdonald bila keluar. Tapi di pusing cerita kononnya aku yang meminta.

Aku mencuci kepala suami untuk membencinya. Hanya kerana suami tidak menceraikan dan memukulku.

Aku juga menyuruh suami menjual rumah mereka, kerana aku inginkan duit.

Teramat2 dahsyat fitnahmu wahai mertua. Hinggakan mereka mengatakan kesian suamiku diuji isteri sepertiku. Takpalah wahai manusia, kau juga punya anak perempuan. Aku tak mendoakan, tetapi pasti kau akan merasakan.

Ketika suami pulang ke kampung, kononnya suami menghalang dia tidur bersama cucu atas alasan aku telah beri amaran. Padahal ketika aku berpantang anak ke 2, dia mengunci anak sulungku didalam biliknya agar dapat tidur bersama. Puas kupanggil dari luar, dia hanya mendiamkan diri.

Ketika itu, anakku sedang amat2 berjauh hati bila mendapat adik baru, siang hari lansung tidak mahu padaku. Hanya malam baru dia mahu mencium dan memelukku. Tiba2 pula dikurung didalam biliknya. Apakah motifmu wahai mertua? Lalu kau pusing pula cerita kononnya aku tak bagi ketika anakku balik bersama suami?

Sepupu-sepupu suami didalam tu?

Ada yang ingin menyepak mukaku.

Ada yang membalas storyku berkaitan fitnah sebelum memblockku.

Ada yang ingin berjumpa dan mengajar kami.

Sepupu lelaki yang tidak berkahwin lagi juga tidak mahu kalah, kononnya jangan sampai dia menghack segala laman sosial suami, pakcik yang mengaku keturunan baik-baik juga seboleh2 menyakinkan mereka didalam group bahawa segala yang dibalas suami didalam group lagi 1 adalah aku.

Kononnya aku online whatsapp suami melalui laptop kerana kami pjj ketika itu.. Beria mengatakan jangan sampai dia mencari, takut wajah kami ditumbuknya.

Aku senyum dan menadah tangan supaya benar dia datang berjumpa kami. 1001 benda ingin aku katakan padanya. Wallahi aku tidak takut pada mereka, aku sentiasa menunggu mereka datang untuk ” mengajar ” kami.

Kisah kami tak hanya sampai disini, beribu lagi cerita yang aku ketahui selepas semua ini terjadi. Suami hanya mendiamkan diri, tetapi tidak lupa untuk menghantar duit tiap bulan pada ibunya.

Aku tak menghalang, biarlah dia berbakti. Asal tidak melibatkan aku. Ketika ada kerja dikawasan sana, aku meminta dia pulang. Jawapannya ” belum lagi “. Dalam benar luka dihatinya barangkali. Tidak juga aku memaksa.

Aku tidak minta banyak, hanya doa aku pohon agar hati ini selalu kuat, tabah dan berjuang bersama suami.

Aku takut, aku takut aku akan pergi dan meminta dia kembali pada ibu ayahnya satu hari nanti.

Adakala rasa hati ini dah jauh terbawa pergi. Hanya tinggal jasad yang menemani sang suami.

Aku juga mohon doa supaya mereka tidak melakukan perkara syirik ke atas kami. Kerana ibu mertua mengaku berjumpa ‘ustaz’ untuk melembutkan hati kami. 3 pusat rawatan islam kami pergi, tiada kaedah melembutkan hati, melainkan penunduk untuk menyembah kaki..

Terima kasih. Wassalam..

– Delima Merah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. Biasa org mkn harta benda haram mmg perangai mcm ni… Ada je benda yang tak kena.

  2. Apelah ada family toksik, kaki fitnah mcm ni kan.. nasib baik laki ko baik.. tak termakan fitnah mak ayah dia..
    Semoga pn delima bersabar dan terus bersabar.. harap² family mertua dia baca confession ni..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *