Saya Pula Dah Lama Tak Hadir Kenduri

Salam semua. Semalam terbaca kisah pengakuan tak suka pergi kenduri (https://iiumc.com/tak-suka-pergi-kenduri/), terjebak pula nak berkongsi kisah diri.

Saya seorang ibu, berumur akhir 40-an, bekerja dan mempunyai anak, dalam perkahwinan yang jika dibundarkan ke puluh tahun terdekat ialah 20.

Suami saya menurut jiran lama dulu “hujung-hujung minggu ada je kat rumah, ada je benda akak nampak dia buat depan rumah”, gitu.

Kisah dah lama tak hadir kenduri atau majlis-majlis seumpamanya ni amat menyedihkan saya. Kenduri atau apapun majlis membuka peluang untuk jumpa saudara-mara yang berjauhan. Paling tidakpun dapatlah tengok muka, jadilah.

Dalam setahun, dua awal perkahwinan, dapatlah juga saya hadir kenduri-kendara. Pernahlah sekali tu kenduri kahwin sepupu di selatan tanahair. Sudahlah 4 jam lebih dalam kereta, suami ugut nak patah balik ke rumah jika tak jumpa jalan ke tempat kenduri.

Kami bukan orang situ, tetapi suami anggap saya dapat tunjuk jalan yang betul dengan merujuk peta dalam kad jemputan.

Saya bingung. Mujur saya dapat tunjukkan simpang-simpang yang betul, maka sampailah kami dan dapat meraikan sepupu saya tu. Kalau tidak, semestinya suami akan buat seperti apa dia cakapkannya tadi.

Selang tahun berikutnya, giliran kenduri kahwin adik saya pula. Saya sedikitpun tak dapat melibatkan diri dengan persediaan perkahwinan adik.

Pada hari Sabtu hari pernikahannya, saya tidak dapat hadir kerana hujan lebat di negeri saya tinggal sejak pagi lagi. Saya harap kalau pukul 11 sekalipun hujan berhenti dapatlah saya balik kampung, tetapi hujan terus turun sehingga ke tengah hari.

Suami boleh cakap bagitahu mak maaf tak dapat hadir. Suami bekerja Isnin, jadi Ahad dia nak berehat di rumah. Saya nak cakap apa lagi, ikutlah sahaja arahan.

Tahun berselang kemudiannya, pakcik bongsu saya buat kenduri di bandar berhampiran kampung saya. Jalan sekitar situ pula sesak. Suami saya membebel-bebel kereta banyak dengan panas sebab dah duduk 2 jam dalam kereta.

Saya pula dah tak cam jalan utama dari exit lebuhraya sebab kali terakhir lalu jalan tu ialah sebelum kahwin dah 10 tahun sebelum, cuma mujur ada google maps jumpalah jalannya, kalau tidak, alamatnya pulang tanpa sampai ke kenduri.

Bagaimana pula dengan jemputan dari pihak keluarga suami? Samalah senarionya dengan sebelah saya. Sampai ke suatu tahun, selalu pula kami tak hadir sampai mak mentua bertegas sikit.

Kalau tempat kenduri mudah dituju, maka kami akan sampai. Sama juga kalau kawannya ajak makan-makan di rumah ke apa, lama-lama kami tak pergi dah, tak tahulah suami ada kawan lagikah, ataupun tidak, haha.

Sebab utama suami nak berehat di rumah. Lagi satu, suami rimas dengan anak-anak ikut sekali, tapi itu bukan masalah suamipun sebab dia tak pernah tolong saya uruskan anak semasa hadir majlis-majlis.

Saya akan makan serba sedikit, rasa-rasa je makanan kenduri, kemudian makan bekalan ringan dalam perjalanan pulang. Janji datang kenduri dapat tengok muka saudara-mara.

Selepas covid lagilah mana-mana kami tak pergi. Alasan tak mahu bercampur ramai orang, faham-fahamlah sendiri.

Sungguhpun begitu, suami dah kena covid dari tempat kerja, dan habis terpalit kepada kami semua. Dalam hati saya tergetus kalau nak kena, tak campur orang pun boleh kena.

Begitaulah coretan sekelumit kisah saya. Rindu nak hadir kenduri namun apakan daya. Ikut sahajalah apa yang ada depan mata sebab kalau cakap tak puas hati pun tiada gunanya.

Sekarang walaupun anak-anak dah besar-besar, disebabkan sudah terbiasa tidak hadir majlis, saya pun akan menolak jemputan dengan alasan-alasan, dan saya jadi tenang jika tidak dijemput kerana tak perlu fikir alasan.

– Isteri Terperap (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. can u drive? BIL aku duk tepi, kakak aku drive.. ada tolerasi.. kalau semua suami nk buat, kau nk jd princess je, dia pun baran.. aku pun blm kawen, tp ok je aku drive sendiri bf duk sebelah tidur.. org pun kerja, kita ni mudahkanlah urusan org..

  2. Boring tui hidup kena hadap perangai laki mcm ni, menyakitkan hati je. Ko takde lesen ke? Nk kena jd isteri misali 24/7kat somi ke? Ko gi sdn je la . Anak2 ko pon da beso bole tlg tgkkan waze dan teman ko nk gi memana. Takyah hadap perangai laki sepanjang perjalanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *