Tiada Bonus

Assalammualaikum semua. Salam penghujung Ramadhan dan Salam Aidilfitri.

Aidilfitri bakal menjelang tiba esok lusa. Maka dengan itu juga banyak juga lah persiapan yang setiap insan sedang fikirkan. Banyaknya persiapan maka banyaklah juga wang ringgit yang akan dikeluarkan demi menyambut perayaan umat Islam yang meriah di negara kita ini.

Dalam menyambut Syawal tu berpada – padalah. Ukur kemampuan di badan sendiri saudara saudari semua.

Bagi yang mendapat rezeki lebih, bonus ke, tahniah dan bersyukurlah dengan bonus yang diberikan walaupun jumlahnya tidak seperti yang kalian harap harapkan. Bagi yang tiada rezeki dengan bonus untuk tahun ini, bersabarlah. Perlu diingat bahawa dengan keadaan ekonomi yang tidak memberansangkan pada zaman ini, janganlah terlalu berharap pada sesuatu yang belum pasti. Setiap perniagaan ada pasang surutnya. Kalau kewangan baik, Insha Allah adalah imbuhan untuk pekerja. Kalau sebaliknya, kelangsungan syarikat lebih dititikberatkan.

Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja dengan syarikat pengiklanan yang sederhana saja besarnya. Bukan bos bukan head of department. Terus terang saya katakan bahawa pada Syawal kali ini tidak ada bonus untuk suami tidak seperti tahun tahun lepas. Walaupun kecewa (normal lah sebagai manusia), tapi kami faham dan masih bersyukur dengan apa yang ada. Gaji masuk pun dah Alhamdulillah.

Sejak dua tiga hari ini, saya lihat di wall FB beberapa sahabat yang menzahirkan kekecewaan, malahan tak kurang juga yang marah marah dan mengeluarkan kata kata yang tidak enak contohnya,

” Apa punya kompeni kedekut nak mampus. Bagi bonus RM80 je baik tak payah bagi. Duit minyak dengan tol balik kampung pun tak lepas ni”

“Hmmm..tak de bonus ke kali ni? Untungla yang keje gomen dapat bonus. Kuat mengular pun dapat bonus hakktuihh.. Aku ni mereput menganga je lah dengan bos bakhil”

“No bonus?? jahanam mood raya aku tahun ni!!!”

Perlukah sampai menzahirkan kekecewaan sebegitu sekali? Belajarlah bersyukur saudara saudari yang dimaksudkan. Sedangkan kamu yang bergaji besar, duduk di dalam aircond 8 hingga 5 petang pun masih mahu merungut? Inilah jadinya bila kita terlalu memandang ke atas hinggakan terlupa untuk melihat ke bawah. Ada saja dikalangan kita yang masih terkial kial mencari kerja. Ada saja di kalangan kita yang gajinya tidak seberapa. Jangankan bonus malahan gaji pun tak sampai 2K. Cukup cukup makan sahaja seisi keluarga.

Ingatlah saudara saudari semua. Bonus itu hanya imbuhan. Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, redhalah dengan rezeki kalian pada kali itu. Mungkin bila ekonomi syarikat kembali stabil, Insha Allah tahun tahun hadapan kembalilah bonus yang diidam idamkan.

Janganlah mudah merungut dengan ketetapan rezeki. Takut takut dikatakan khufur nikmat nanti. Suami akak pun jangan kata Raya ketiga, Raya kedua dah perlu kembali bertugas. Lepas Raya pertama di kampung, malam tu juga terus kami berangkat pulang ke KL. Bersyukurlah kalian yang dapat bercuti hingga Raya ketiga / keempat. Nak apa lagi??

Maaf jika ada yang terasa.

~~NURANI~~

– Nurani

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit