Tip Rancang Wang Hantaran

Salam sejahtera pembaca IIUM. Nama saya Aida. Berusia 30 tahun dan berasal dari Johor.
Kisah ini ditulis untuk pembaca yang berniat untuk berkahwin terutamanya wanita.

Bila sebut tentang wang hantaran, perkara yang menjadi isu adalah berapa nilai wang hantaran? Persoalan ini bukan hanya pada diri yang bakal berkahwin, malah kepada ibu bapa, makcik, jiran tetangga. Oleh itu, saya ingin berkongsi beberapa tips yang digunakan oleh saya semasa menjalani proses untuk berkahwin. Diharap sekiranya tips ini berguna, dapatlah membantu kalian. Jika tidak, mungkin ada kalangan kalian mempunyai tips lain sebagai penambahbaikkan. Semoga kita sama-sama membantu mereka yang benar-benar ingin mendirikan rumah tangga tapi masih dalam dilema HANTARAN.

Di Johor, wang hantaran kebiasaannya digunakan sepenuhnya untuk majlis perkahwinan. Mas kahwin pula menjadi hak milik kekal pengantin perempuan. Semasa mula berkenalan dahulu, suami saya memaklumkan syarat yang diletakkan oleh ibunya jika ingin berkahwin iaitu “Hantaran mesti kurang daripada RM8000, jika lebih daripada itu, carilah perempuan lain.” RM8000 sahaja? Terdetik di dalam hati sedangkan mak saya pula pesan hantaran mesti melebihi RM10 000. Setelah berfikir beberapa ketika, timbullah idea supaya kedua-dua pihak berpuas hati. Suami dengan pendirian RM8 000, Mak pula dengan pendirian RM10 000…

#Tips 1
Mula-mula sekali maklumkan pada mak yang bakal suami setuju dengan RM10 000 dengan syarat semua perbelanjaan dibuat sebelum majlis diadakan. Hanya RM5 000 akan diserahkan kepada keluarga pengantin perempuan untuk majlis perkahwinan. (Sebenarnya bakal suami tak pernah bersetuju pun).
Kemudian, saya maklumkan kepada bakal suami perlu memberitahu semasa majlis peminangan bahawa hantaran akan diberi adalah RM10 000 (untuk menyenangkan hati ibu bapa sahaja). Hakikatnya, beliau hanya perlu serahkan RM5 000 untuk kepada keluarga + RM1 000 untuk mas kahwin. Beliau begitu gembira dan senang mendengarnya. Setelah persetujuan dibuat, keluarga beliau datang meminang dan bermulalah kisah persiapan majlis perkahwinan kami selama setahun.

#Tips 2
(Minta duit bakal suami sedikit-sedikit setiap bulan)
Bayar andam, cameraman, dan khemah secara ansuran. Pastikan bayaran selesai sebelum majlis.

#Tips 3
(Beli barang hantaran bersama supaya bakal suami boleh topup sikit)
Beli barang hantaran semasa jualan akhir tahun. Pastikan keselesaan bukan jenama. Beli barang yang benar-benar akan digunakan sahaja.

#Tips 4
Pilih goodies yang bermakna untuk tetamu.Saya dulu sediakan air kotak + biskut. Kos RM1.50. (Tetamu); Bekas makanan + Senduk (Orang rewang); Bekas air (Keluarga Lelaki). Biar terlihat biasa tapi bermakna.
Tiada goodies istimewa untuk rakan istimewa.
*Goodies seperti sudu kecil, bekas telur adalakanya tidak dapat dihargai dengan baik oleh tetamu.*

#Tips 5
Bunga telur. Sediakan sekadar 100 bunga. Sebab yang berminat dengan bunga telur ni, orang tua-tua sahaja

#Tips 6
Sambil buat persediaan perkahwinan, cari rumah sama ada beli @ sewa. Kami pilih beli rumah. Simpanan yang suami sediakan untuk hantaran, mas kahwin dan majlis sebelah lelaki digunakan sepenuhnya untuk membeli rumah. Kemudian selepas selesai urusan rumah, beliau keluarkan duit KWSP menggunakan dokumen beli rumah untuk majlis perkahwinan.
*rumah dapat, majlis pun dapat.

#Tips 7
Duit KWSP biasanya boleh keluarkan 20% daripada nilai rumah, manfaatkanlah sebaik-baiknya. Gunakan duit tersebut untuk
i) majlis perkahwinan pihak lelaki
ii)hantaran dan mas kahwin
iii)beli perabot dan keperluan selepas majlis perkahwinan.

#Tips 8
Jangan minta duit salam kaut daripada ibu bapa walaupun segala pembayaran semua telah diselesaikan sebelum majlis perkahwinan. Jangan ambil tahu berapa mereka dapat. Itu rezeki mereka, insya allah rezeki selepas kahwin lagi banyak.

#Tips 9
Pastikan ibu mentua menerima wang bulanan daripada suami. Ini merupakan cara paling mudah supaya dimurahkan rezeki selepas berkahwin. Untuk isteri yang bekerja, jika kita menerima duit kocek RM200, pastikan ibunya menerima nilai yang sama.

Akhir kata, semoga tips ini dapat membantu kalian yang merancang untuk mendirikan rumah tangga. Bertoleransilah tentang isu hantaran yang takkan pernah selesai ini. Jika dikirakan semula, suami sebenarnya telah membelanjakan lebih daripada RM10 000 yang ditetapkan oleh pihak perempuan tanpa beliau sedari. Untuk makluman, gaji saya adalah dua kali ganda daripada suami. Sengaja saya meletakkan segala keperluan di bahunya supaya beliau belajar erti tanggungjawab. Alhamdulillah selepas berkahwin, beliau tidak pernah lupa memberi nafkah wang ringgit dan keperluan harian di rumah. Semoga kalian mendoakan supaya hubungan kami kekal ke akhirnya. Amin.

– Cik Puan Aida

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit