‘Ustazah’

Assalammualaikum kepada semua pembaca. Saya tertarik dengan confessor, (https://iiumc.com/selempang-to-ninja/).

Begitu saya kagum dengan beliau kerana berjaya istiqamah. Kalau baca jalan ceritanya tiada beza dengan saya di zaman ‘jahil’ dahulu.

Keluarga saya bukan daripada kalangan yang tinggi ilmu agama. Tetapi arwah atuk saya banyak ilmu agama.

Walaupun begitu, mak saya hanya biasa biasa sahaja. Yela zaman dahulu pakai tudung pun ikat kat leher je. pakai tudung lengan pendek itu biasa. Sidai kain dpn rumah pakai serkup aje dah cukup.

Jadi tentunya saya juga tidaklah begitu sempurna hal-hal agama.

Kalau di sekolah, acara sukan saya tak pakai tudung. Kalau keluar dengan kawan-kawan tak bertudung. Saya bertudung ketika pergi sekolah dan ketika kelas agama sahaja.

Saya teringat arwah ustaz saya ketika di sekolah menengah pesan. Wani, lain kali kena pakai lengan panjang tutup aurat. Saya hanya menggangguk malu.

Lepas sekolah, saya dapat belajar di sebuah universiti. Tapi alhamdulillah saya di kelilingi dengan kawan kawan yang baik walaupun mereka juga tidak sempurna mengamalkan ajaran agama.

Semester 2 saya menyertai program universiti di sekolah sekolah. Kami semua diwajibkan menutup aurat sebagai contoh yang baik kepada murid sekolah.

Berlaku kejadian murid-murid sekolah di rasuk/ histeria.

Saya berdepan dengan seorang murid — ketika itu dia telah dirasuk. Saya masih ingat butir bicaranya.

Ustaz yang membantu bertanya, “Kenapa kamu masuk ke dalam badan budak ni?”

Jawab budak yang dirasuk itu, “Sebab dia baik. Selalu mengaji. tutup aurat. Aku suruh dia duduk dengan budak lelaki pun dia tak nak”

Ustaz balas. “Eloklah tu dia budak baik. Kenapa kau kacau dia?”

Budak dirasuk menjawab, “Aku nak bawa dia ikut aku sekali. Aku nak bawa dia” — maksud makhluk itu, dia nak bawa budak tu ke neraka.

Ustaz kata, “Bawalah.. aku nak tengok” budak itu melompat (seperti nak terbang) tetapi dia terjatuh.

Saya dengar dia membaca ayat al-Quran. Sesekali makhluk itu akan mencelah “Kau ingat aku tak tahu baca Quran ke” saya perasan mulut budak itu tetap terkumat kamit.

Alhamdulillah selesai ‘benda’ tu keluar. Budak itu yang pada ketika itu terdedah rambutnya.. segera berlari ke dalam kelas mencari tudung pakai, dan segera mendpatkan al-Quran lalu memeluknya.

Sejak peristiwa itu, balik sahaja daripada program itu saya pakai tudung.

Ayah dan emak yang menjemput saya terkejut tengok saya balik masih memakai tudung. Saya kekalkan bertudung. Walaupun tidak istiqamah. Sehinggalah saya bertemu dengan suami saya sekarang ini.

Ketika mengenali suami saya, saya tak begitu tahu latar keluarganya. Saya jumpa bakal mertua pakai seluar jeans. Balik dari pertemuan itu, suami kata, lain kali datang jumpa emak, jangan pakai seluar jeans.

Dipendekkan cerita saya berkahwin. Kemudian bertemulah saya dengan ahli keluarganya.

MashaAllah…saya boleh katakan hampir semua saudara maranya bertudung labuh. Tiada yang free hair. Hampir semua bergelar ustaz stazah. Malah ipar saya juga ustaz ustazah.

Tapi suami tidak. Suami biasa biasa sahaja. Pun begitu, rupanya dia belajar di sekolah agama dan ada juga beberapa ilmu agama yang saya tak tahu pun selama ni.

Suami kadang-kadang beri hint. Cuba lah tanya Suzana (sepupu dia) mana dia beli tudung macam tu (tudung labuh).

Saya ringankan mulut juga bertanya-tanya. Dulu susah jugak nak cari tudung labuh. Hanya kedai-kedai tertentu sahaja.

Pakai tudung labuh tidak boleh atau pasti malu sendiri bila pakai baju pendek dan ketat. Saya mula belajar pakai. Pakai sarung tangan, pakai stokin.

Saya istiqamah dengan proses itu. Sebab saya sendiri malu bila berjumpa saudara mara sebelah suami. Tetapi mereka semua baik baik. Tak pernah pertikaikan pemakaian saya (sebelum ini).

Sekarang setiap kali kekedai membeli tudung, saya mencari bidang 60 atau paling tidak bidang 55. Selain itu saya tak biasa nak pakai dah.

Dengan pemakaian saya ini, kawan-kawan panggil saya ustazah. Rakan-rakan di ofis juga panggil saya ustazah. Walaupun hakikatnya mereka tahu saya bukan ustazah.

Sebab mereka tahu latar belakang saya macamana. Kehidupan saya yang dahulunya macam mana. Kalau suruh saya baca tazkirah memang bukan bidang sayalah. Tapi mereka sesekali melihat saya, panggilan ustazah pasti ada.

Saya kata, doa doalah mana tahu memang jadi ustazah. Boleh ajar orang agama. Hakikatnya saya sendiri banyak belajar lagi.

Alhamdulillah. Kalau jumpa rakan rakan universiti atau rakan sekolah. Mereka memang tak menyangka dengan perubahan saya ini.

Walaupun begitu saya masih tidak sempurna. Ada masa saya terlewat solat. Ada masa saya tak boleh menahan sabar. Ada masa saya terkasar dengan suami.

Jujur kata, bertemu suami banyak merubah hidup saya. Syukur Allah berikan jodoh yang baik buat saya. Saya tidak memilih orang yang salah.

Kita boleh jadi jahil dan kemudian sebaik baik manusia. Tetapi tidak mustahil juga sebaik baik manusia itu juga boleh berubah menjadi jahil.

Pesan saya, ingin merubah seseorang menjadi manusia yang beriman perlukan kesabaran — perlukan tutur kata yang baik –perlukan kita menjadi contoh yang baik.

Jika kita yang rasa kita sempurna, mengata orang yang jahil itu — tidakkah kita malu bila mereka berubah. Dan tidakkan kita rasa bersalah apabila mereka yang mahu berubah itu terhenti hanya kerana mulut kita yang sedap mengata.

Apa yang penting tetapkan niat kita kerana apa. Mula mula mungkin kita berniat kerana manusia. Tetapi lama-lama kita sendiri takut akan dosa dosa kita.

Allah jualah sebab utama hadir perasaan itu. Allah jualah sebab kita berubah. Dan akhirnya semuanya kerana allah. Demi syurga yang dijanjikan kepada kita.

Aku pendosa,

– Wani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *