4 Kisah Seram Aku II

Assalamualaikum dan salam sejahtera admin dan pembaca. Nama aku Siti. Sebelum ni aku ada tulis confession pertama, 4 kisah seram. Boleh baca di sini, (https://iiumc.com/4-kisah-seram-aku/).

Dalam komen sebelum ni ada yang bertanya apa terjadi pada Tina kan? Sebenarnya malam tu Tina tak tidur balik. Tina ajak seorang kawan se’dorm’ dengannya untuk berqiamulail di surau.

Aku tahu pun sebab aku serbu Tina pagi tu untuk dia beritahu perkara sebenar. Bila aku tanya kenapa tidak ajak aku, dia kata aku tidur mati. Dia malas nak kejut aku. Yee aku lah yang tertidur balik bukannya Tina.

So pada confession kali ni aku nak menceritakan banyak lagi sebenarnya kisah seram yang berlaku dalam hidup aku. Saksikanlah, *muzik seram*

Kisah 1

Kisah ni mengenai kawan aku yang bernama Tina. Yee Tina yang aku ajak qiamulail hari tu. Sebenarnya Tina ni agak istimewa bagi kami sebab dia boleh rasa dan nampak sendiri makhluk halus. Tina juga pandai ubatkan orang yang terkena histeria dengan menggunakan ayat-ayat suci al-quran. Nak dijadikan cerita. Pada suatu petang yang nak masuk maghrib, ada sekumpulan pelajar berpusu-pusu pergi ke rumah guru di hujung padang sekolah. Tujuan mereka kami tidak tahu dan tak tanya pun.

Tetapi yang menjadi kemusykilannya mereka kata ada sesuatu yang berlaku di tempat tersebut. Rupa-rupanya ada tragedi histeria yang dasyat sehingga hampir 10 orang murid terkena. Maka murid-murid yang kuat semangat diarah datang untuk menolong. Kami pun pergi ke sana untuk menolong dengan membawa pelajar-pelajar terbabit ke surau.

Masa tu kami seramai 5 orang pelajar muslimat bersama-sama beberapa pelajar muslimin yang lain. Dalam perjalanan ke surau, mangsa yang aku dan Tina papah mengilai ketawa seperti ada sesuatu yang lucu terjadi. Tina terkumat-kamit membacakan sesuatu pada mangsa dengan tasbih yang tak lekat dari tangannya.

Menurut Tina, dia memerlukan tasbih untuk mengubatkan orang. Sebelum tu aku gelarkan mangsa sebagai S. S tidak menghentikan hilaian tawa sampailah suatu ayat yang Tina baca, S menangis kesakitan. S seperti menunjukkan silatnya di tengah-tengah padang bola. Aku nampak muka Tina dah pucat. Aku dapat agak yang dia ni mesti ada nampak sesuatu.

Kemudian tidak lama selepas itu seorang ustaz pun sampai di tempat tersebut. Ustaz tu bacakan sesuatu pada S sehinggalah S pengsan lalu kami memapahnya masuk ke dalam surau sekolah. Semasa ustaz dan yang lain bertungkus lumus mengubatkan pelajar histeria, kami dapat melihat pelbagai reaksi yang dipamerkan pelajar-pelajar tersebut.

Ada yang terbaring, ada yang menelentang, menjerit melolong dan ada yang menangis meminta simpati. Dalam suasana yang huru hara aku lihat Tina macam muram dan ketakutan. Aku pun malas nak tegur. Setelah keadaan kembali reda. Kami pun pulang ke asrama. Keadaan Tina masih sama seolah-olah ketakutan dan pucat. Tiba-tiba Tina berbisik pada aku.

Tina: “Benda tu ikut kita balik!”

Aku pun seperti diserang sawan apabila tahu perkara sebenar. Patutlah daripada tadi bulu tengkuk aku asyik mengembang. Menurut Tina lagi makhluk tu asyik memandang pada aku. Makhluk bertanduk itu mengekori setiap langkah kami. Sampaikan malam itu aku terjaga dari tidur dan tidak dapat tidur sampai ke pagi. Mujur Tina bagi ayat-ayat pendinding agar tidak diganggu makhluk tersebut.

Kisah 2

Kisah ini terjadi di sekolah rendah(sk). Pada suatu petang yang indah, pelajar-pelajar pergi ke sekolah kerana menyertai Kem Bestari Solat selama 3 hari 2 malam. Biasalah semasa kem berlangsung pelbagai aktiviti dilakukan termasuklah qiamulail, aktiviti kebudayaan, malam penghayatan dan beberapa pertandingan. Tapi kali ini aku ingin menceritakan perkara seram yang berlaku semasa kem berlangsung.

Pada malam terakhir kem bestari solat, kira-kira pukul 8 malam tiba-tiba kami dikejutkan oleh pelajar-pelajar yang lain untuk pergi ke padang sekolah. Yes perkara ini sekali lagi berlaku di padang sekolah. Aku dan beberapa kawan yang lain bergegas setelah mengemas apa yang patut di dalam khemah sebab tak sempat mengemas petang tadi. Kami melihat semua pelajar berpusu-pusu berlari ke padang sekolah. Kami pun bertanya pelajar di situ apa yang terjadi.

Kata mereka cikgu Rosmah menyuruh pergi ke padang. Menurut mereka ada beberapa orang murid nampak cikgu Rosmah dan diminta pergi ke padang. Kami pun apa lagi seronok tak terhingga sebab mungkin ada aktiviti yang menarik di sana. Setelah sampai bersama murid-murid yang lain di padang sekolah, kami hairan sebab tiada cikgu pun yang turut ke padang.

Keadaan padang sekolah waktu tu gelap. Cuma ada tiang lampu tetapi di hujung padang. Bulu tengkuk aku sudah menegak waktu itu. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena. Mujur saat itu adalah malam terakhir kem. Tiba-tiba kami terdengar cikgu-cikgu dan ustaz ustazah berteriak memanggil murid-murid dengan menyuruh kami berkumpul di dalam dewan. Beberapa murid pun menyatakan perkara yang sebenar.

Alangkah terkejutnya kami setelah diberitahu bahawa cikgu Rosmah tidak ke sekolah pun waktu tu sebab ada urusan luar yang perlu diselesaikan. Keadaan menjadi huru hara sebentar kerana pelajar ketakutan. Nak kata pelajar itu berbohong, bukan hanya seorang yang nampak cikgu Rosmah waktu tu tetapi ramai.

Menurut mereka, mereka sempat bercakap dengan cikgu Rosmah tetapi muka cikgu nampak pucat dan lain. Mungkin itu jelmaan cikgu Rosmah. Malam tu kami membaca yasin beramai-ramai dan program diteruskan seperti biasa. Malam penghayatan juga diteruskan pada malam tersebut. Tetapi disebabkan perasaan takut aku kurang menghayati malam penghayatan itu.

Kisah 3

Di asrama sekolah menengah aku dapat sekatil dengan seorang pelajar yang baru berpindah. Kami panggil dia sebagai Nini Tara. Dia dapat katil bawah manakala aku dapat katil atas. Di dalam dorm tersebut ada 8 orang kesemuanya. Nini Tara ni ada perangai yang pelik dan menakutkan. Dia akan pergi membasuh pakaian malam-malam seorang diri sekitar jam 11 ke 12 malam. Dia juga ada tabiat berjalan malam dalam keadaan tidur seperti orang mengigau.

Dia pernah memberitahu ahli dorm bahawa neneknya ada bela saka dan saka-saka neneknya akan kacau mereka yang mengganggu Nini Tara. Dia juga memberi amaran kepada kami bahawa penanggal akan datang kepada sesiapa yang memusuhi Nini Tara. Pada mulanya kami tidak percaya dan menganggap benda ni pembohongan semata-mata sehinggalah suatu malam aku terbangun untuk pergi ke tandas di tingkat bawah seorang diri.

Aku nampak seluruh ahli dorm aku tidur dan ahli dorm sebelah juga senyap. Dalam perjalanan naik ke atas aku ternampak Nini Tara bersiar-siar di balkoni asrama bersama baju tidurnya. Pada masa tu aku nampak jam menunjukkan pukul 1 pagi. Aku pun terasa pelik dengan kejadian yang aku nampak. Ini baru kejadian pertama. Ada satu lagi kejadian yang aku nampak apabila aku bangun pada malam hari.

Aku turun dari katil untuk mengambil extra selimut di dalam locker sebab malam tu cuaca sejuk lain macam. Semasa naik ke atas katil aku nampak mata Nini Tara memperhatikan aku sambil mulutnya terkumat kamit sambil tersenyum sinis. Aku pun memanggil namanya tetapi tiada sahutan. Aku rasa dia mengigau lagi. Tetapi kali ini mukanya nampak sungguh menyeramkan. Aku tak jadi naik ke atas katil aku.

Malam tu aku tidur di katil kosong sebelah katil yang satu lagi sebab penghuninya terpaksa pulang kerana demam. Malam tu aku terkena ‘tindih’ makhluk halus. Penat aku menjerit tetapi suara aku tidak keluar dari kerongkong. Malam tu aku nampak makhluk berambut panjang dengan lidah terjelir sampai dada di hujung kaki aku. Esoknya aku bangun dengan mata panda sebab tak cukup tidur.

Seterusnya aku nak menceritakan kisah kawan aku yang diberi nama Elly. Elly duduk di katil bawah sebelah katil aku dengan Nini Tara. Kiranya Elly berada di sebelah Nini Tara. Nak dijadikan cerita malam kejadian semua ahli dorm tidur awal. Masing-masing tidur kira-kira pada pukul 10 malam. Tetapi menurut Elly dia terjaga pada pukul 2 pagi. Elly nampak Nini Tara pergi ke satu-satu katil lepas tu pegang perut semua ahli dorm. Tetapi menurut Elly, Nini Tara pergi ke katil aku dan pegang perut aku paling lama. Kami pun kecut perut nak tidur malam.

Malam selepas kejadian kami beramai-ramai membacakan surah yasin di dorm konon nak bagi jin Nini Tara dengar tapi Nini Tara relaks duduk atas katil. Nak dijadikan cerita Tina memang musuh kepada Nini Tara. Kalau berjumpa tidak sah mereka mesti bergaduh mulut dan sindir menyindir. Pada malam kebudayaan asrama, Tina menangis tiba-tiba kerana ‘homesick’. Lalu aku membawa dia ke dorm 5 iaitu dorm aku.

Disebabkan aku tidak pandai memujuk, aku tinggalkan Tina seorang diri di dorm untuk memanggil seorang lagi kawan aku di dewan asrama. Setibanya kami di atas, Tina sudah meracau dan memberitahu dia nampak penanggal tanpa badan di sebelah locker Nini Tara yang tak berkunci. Kami pun cepat-cepat beredar dari sana. Makhluk tu mengambil kesempatan pada mereka yang beremosi seperti sedih dan marah dan itu yang berlaku pada Tina.

Kisah 4

Okay ini kisah terakhir aku bagi episod ni. Malam kejadian, selepas solat isyak, kami beredar untuk ke asrama masing-masing. Muslimin ke asrama aspura manakala muslimat ke asrama aspuri. Sesampai di asrama, aku menyedari bahawa diari kepunyaanku tertinggal di surau. Maka aku dan beberapa kawan yang lain berpatah balik bagi mengambil diari tersebut. Bagi aku diari tu amat lah penting dan tak nak orang lain membacanya.

Semasa melalui sebatang pokok bunga kertas di laluan ke surau, kami tercium bau yang sangat busuk seperti bau mayat. Kawan aku pun tegur tentang bau tersebut. Dengan tidak semena-mena bau tu datang lagi dan kali ni lebih  mengancam dari sebelumnya. Surau waktu tu dalam keadaan yang gelap gelita. Kami membuka lampu dan memberanikan diri mengambil diari di dalam surau.

Semasa masuk ke dalam surau, kami terkejut dengan kehadiran kucing hitam pak guard yang berada di sana seolah-olah sedang memerhatikan kami. Dengan tidak ada angin dan tak ada ribut tiba-tiba kucing pak guard tersebut mengiau dengan suara yang lantang berkali-kali. Seorang kawan se’dorm’ yang aku panggil sebagai Ira menyatakan bahawa kucing itu seolah- olah nampak sesuatu dan kerasukan. Masa dia cakap macam tu memang kecut perut lah aku. Tapi aku sempat berfikir pernah kah kucing kerasukan?

Maka kami berempat pun berlari seperti orang gila sambil kawan aku menjerit ketakutan. Dia kata kucing pak guard mengejar kami dekat belakang. Aku dahlah takut kucing maka makin laju lah larian aku. Sesampai di dorm, kami semua tercungap-cungap. Sejak hari tu aku tidak pernah nampak lagi kucing hitam pak guard berkeliaran di persekitaran asrama dan sekolah.

Sekian kisah seram yang pernah aku lalui dalam hidup. Banyak lagi sebenarnya tetapi bagi memenuhi kehendak tajuk maka aku cuma letak 4 kisah seram kali ni. Lain kali aku cerita kisah seram yang seterusnya. Harapnya pembaca menghayati kisah seram ini.

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *