Kehidupan Pasca COVID

Hai semua pembaca. Penulisan ini sekadar berkongsi kisah selepas serangan Covid-19. Cerita ini hanya bacaan santai, ringan dan tidak beremosi.

Harapan aku agar sesiapa yang sedang pulih dari serangan Covid dapat bangkit dan hidup dengan lebih bermakna. Dan bagi yang tidak pernah diserang Covid, bersyukur banyak-banyak pada Allah yang Maha Pelindung.

Pada pertengahan Julai 2021, seluruh keluarga diserang batuk. Bermula dengan suami, dia mula batuk-batuk dan demam malam. Aku dan anak-anak pula diserang batuk seminggu kemudian.

Pada mulanya kami fikir disebab makan durian dan rambutan yang berlebihan. Maklum lah, masa itu PKP sudah berakhir dan rentas daerah telah dibenarkan. Memang banyak durian dan rambutan dijual di KL.

Masuk minggu kedua, kami semua kehilangan deria rasa. Demam sentiasa on-off. Suami pula masih batuk dan sukar bernafas, tetapi berselera hendak makan macam-macam, semua teringin. Namun jamahnya hanya sedikit. Anak-anak pula hanya makan bila disuruh.

Dipendekkan cerita, kami semua disahkan positif Covid. Suami dimasukkan ke hospital dan meninggal 3 hari selepas itu.

Aku menyusul ke hospital sehari selepas kematiannya. Anak-anak ditinggalkan berdua di rumah. Walaupun positif namun mereka stabil dan bertindak positif dengan panadol.

Di hospital, aku dikategorikan sebagai pesakit tahap 3. Ada jangkitan paru-paru tetapi tidak kritikal. Seluruh badan sakit dan lemah. Semua aktiviti fizikal dilakukan dengan begitu perlahan. Berjalan ke bilik air yang hanya beberapa langkah pun memakan masa sangat lama.

Gambaran pergerakan sama seperti seekor sloth. Jalan bertunduk-tunduk, setiap langkah sangat perlahan dan perlu atur nafas dengan baik.

Setiap kali melangkah, berhenti, bernafas, sambung langkah dan berhenti untuk bernafas. Begitu lah keadaannya. Ketika membayangkan situasi itu pun masih terasa ngeri dan bermohon agar tidak diserang Covid lagi.

Perkara paling menakutkan ialah BATUK. Batuk Covid bukan seperti batuk biasa yang boleh ditahan-tahan.

Bila batuk, satu tangan aku tekan di perut, dan satu tangan lagi tekan bahagian leher supaya rapat di kerongkong. Dalam keadaan mengerekot di lantai, bertinggung dan sujud, aku batuk sebatuk-batuknya.

Masa ini, otak off terus, fokus batuk. Badan bergoncang terhenjut-henjut dan batuk dengan teruk. Paling perit ialah batuk itu langsung tidak hilangkan rasa gatal malah menambahkan penat, hilang nafas, termengah-mengah dan kejang di perut.

Batuk akan berterusan selama 20 minit hingga badan menjadi lemah dan akhirnya terjelepuk di lantai. Tercungap-cungap mencari nafas.

Keluar air mata menahan rasa perit yang tidak dapat digambarkan. Kadang-kadang sampai terkencing dalam seluar akibat tekanan melampau di perut.

Pesakit lain hanya memandang kesian tidak mampu menolong sebab mereka pun dalam keadaan yang lemah.

Antara ramai-ramai pesakit, ada 2-3 orang yang alami batuk teruk sama macam kes aku. Selalunya kami lah yang memeriahkan suasana malam dengan serangan batuk yang dasyat.

Sepanjang proses pemulihan di hospital, fikiran terlalu lemah untuk risaukan keadaan anak-anak di rumah atau kehidupan tanpa suami. Semuanya diserahkan kepada Allah. Aku tidak berdaya.

Aku lalok dengan ubat batuk yang dibekalkan hospital. Satu sudu kecil boleh buatkan tidur nyenyak dari 7 malam sampai subuh esoknya.

Mujur lah ketika itu uzur syar’ie, memang dapat tidur nyenyak. 5 hari kemudian aku dibenarkan pulang. Sampai di rumah, anak-anak telah sihat sepenuhnya.

Syukur sangat-sangat. Selama aku di hospital, cikgu sekolah dan jiran-jiran yang prihatin belikan makanan untuk mereka berdua. Kawan-kawan dan keluarga pun ada kirimkan barang keperluan harian. Itu antara dorongan untuk aku sihat dan kuat semula. Rasa disayangi.

Dua minggu pertama setelah bergelar balu, perkara pertama aku buat adalah dapatkan moratorium bank, potong langganan Astro dan Coway. Hanya kekalkan Internet untuk kegunaan persekolahan anak-anak.

Dengan pendapatan suami 8k sebulan, sekelip mata hilang, tiba-tiba bergantung kepada duit simpanan. Mujur simpanan semuanya dalam akaun sendiri jadi urusan kewangan menjadi sangat mudah.

Penerima faraid yang lain pun sebulat suara menyedekahkan bahagian masing-masing kepada kami.

Dalam keadaan pernafasan masih termengah-mengah dan menghadapi masalah lemah daya ingatan, aku cuba dapatkan pekerjaan. Doaku biarlah gaji yang diterima cukup untuk menampung kehidupan kami.

Alhamdulillah, tamat sahaja tempoh eddah, aku diterima bekerja dengan gaji bersih minima. Urusan belanjawan rumah aku bentang dan terangkan pada anak-anak, minta mereka faham kekangan perbelanjaan dan perlu berjimat-cermat.

Tapi, berkat bela anak yatim, rezeki kami mencurah-curah. Makanan sentiasa cukup malah berlebih-lebih pula.

Pada masa yang sama, aku berpeluang menjadi pekerja part time menerusi Selangor Freelance dan Kerjaya Perkeso, dan diterima menjadi penulis blog pelancongan dengan bayaran mengikut penulisan artikel.

Aku juga dalam proses memohon Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebagai ibu tunggal selain cuba menjadi ejen menjual pisau dari Turki.

Kalau rajin sila lah mencuci mata di kedai online aku (senyum sikit). Pendek kata, apa sahaja peluang aku cuba dapatkan.

Kini, kehidupan pasca Covid sangat berbeza. Rutin harian bermula jam 5 pagi dan berakhir 10.30 malam. Allah atur kehidupan aku, dapat solat sunat setiap hari, baca quran setiap malam, solat awal waktu, dan perlahan-lahan menyediakan diri untuk kembali kepada-Nya.

Mula-mula memang terasa sedih dan rindu pada suami, air mata merambu-rambu membayangkan dia masih ada. Tetapi aku tahan supaya tidak menjejaskan semangat anak. Selalunya waktu menangis adalah ketika solat tahajjud.

Itu lah pengubat jiwa, hati rasa damai, tenang dan bahagia. Syukur sangat-sangat dilahirkan sebagai Islam, apa sahaja masalah ceritakan saja pada Allah. Dari Dia semua ujian ini datang, dan kepada Dia juga lah tempat kita mengadu.

Keadaan fizikal banyak merosot. Rambut makin menipis dan gugur, kuku mudah rapuh, parut susah hilang, dan kehilangan berat badan antara yang sedang berlaku pada diri. Masalah lemah daya ingatan suatu perkara yang menakutkan.

Dari seorang pemandu yang cekap dan berpengalaman, menjadi seorang yang mudah keliru dan lupa walaupun memandu di jalan yang sering dikunjungi. Kepala rasa kebas dan gayat jika dipaksa berfikir atau mengingati sesuatu perkara.

Aku kemukakan masalah ini pada seorang kakak, dan dia kongsikan beberapa zikir.

Aku mula amalkan zikir ini dan berhajat mohon Allah beri perlindungan dan kekuatan untuk teruskan hidup dengan penuh bermakna.

6 bulan berlalu, sehingga ini aku masih mampu menjalani kehidupan sehari-sehari sebagai pejuang pesakit Covid, dengan penuh semangat.

Aku tidak pasti sejauh mana aku dapat bertahan. Harapanku hanya satu, biarlah ujian ini meningkatkan keimanan dan ketakwaanku kepada Allah. Dan semoga bila mati nanti dapat bertemu lagi dengan semua yang pernah aku sayangi di dunia ini. Aamiin.

– Tun Ramos (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *