Aidilfitri dan Aku

Apabila disebut tentang Hati Raya Aidilfitri, sudah tentu semua umat islam bergembira untuk menyambutnya. Dapat berkumpul bersama keluarga tercinta, serta meraikan dengan penuh meriah.

Kalau korang tanya aku, adakah aku gembira apabila Hari Raya Aidilfitri tiba? Aku akan bercakap, tidak. Aku tak suka dan aku rasa teramat gelisah dan bersedih setiap kali hari raya tiba.

Aku berasal daripada satu keluarga yang besar, yang mana masing-masing abang dan kakakku sudah berumahtangga, bekerjaya dan berjaya. Adik aku sendiri pun sudah mempunyai anak kedua.

Aku benci sebab apabila semua berkumpul, aku akan rasa akulah yang paling tak berguna, paling rendah dan paling tidak berjaya dalam keluarga aku. Aku tak suka nak berjumpa mana-mana pakcik atau makcik yang datang mengunjungi rumahku.

Dahulu, aku seorang yang berjaya, mempunyai isteri dan bekerjaya. Sekarang tidak lagi. Aku akui, aku yang bersalah, dan aku selalu membuat pilihan yang salah dalam hidup aku. Aku cemburu, dan semakin rasa hidup aku ini ibarat sampah apabila berjumpa keluargaku.

Aku hanya akan mengunci diri di dalam bilik aku, dan mendiamkan diri kerana perkara ini membuatkan aku semakin murung, semakin gelisah dan semakin aku rasakan diri aku dan kehidupan aku ini tidak berguna.

Memang kadangkala orang menganggap aku sombong, aku tak mahu bertegur sapa dan aku tak mahu berjumpa pakcik makcik yang hadir ke rumahku setahun sekali, namun bukan aku tak mahu.

Mereka semua mempunyai expectations yang tinggi terhadapku dulu semasa aku belajar di universiti, bergelar doktor dan lain-lain. Aku bercerai, dan kerjaya aku musnah akibat aku terlalu sedih memikirkan mengapa nasib aku sebegini. Sekali lagi, aku akui, aku yang salah dan musibah yang datang ini bukan atas sebab orang lain.

Namun, biarlah orang lain kata aku sombong, aku tak mahu bertegur sapa dan sanggup mengabaikan tetamu yang hadir, namun, aku rasa itu lebih baik daripada aku berjumpa orang lain dan ditembak dengan soalan-soalan yang membuatkan aku terpaksa mengambil ubat on the spot.

Disorder dalam diri aku ini mudah tercetus apabila tiba saat hari raya. Aku tahu orang lain bukan memandang rendah pada aku dengan kehidupan aku yang menyedihkan ini, sebaliknya aku yang rasa sebegitu. Bukan aku tak cuba berfikiran positif, tetapi inilah hakikatnya apabila berada dalam situasi sebegini.

Aku tak boleh lari, tak boleh nak elak perkara-perkara yang datang dan membuatkan aku terasa berat dan sedih, aku cuba bermacam cara untuk mengelakkan fikiran aku dihantui oleh perkara lama yang berulang-ulang. Aku cuba menjadikan diriku lebih positif, cuba bertemu dengan semua, tetapi nyata sia-sia. Saat aku melangkah keluar, berjumpa orang lain, aku jadi panik secara tiba-tiba, gugup, berdebar-debar, pucat, resah dan gelisah.

Pandangan dan raut wajah orang yang aku cuba bertegur sapa sudah cukup membuatkan aku masuk dan ingin mengurung diriku di dalam bilik, sama seperti tahun lepas, dua tahun lepas, tiga tahun lepas sehingga 6 tahun lepas. Walhal, bukan mereka memandang dengan pandangan yang jelik atau menghina pun. Aku yang salah anggap. Akan tetapi, aku dah cuba, tetap aku tak boleh, dan tiada orang boleh memaksa aku.

Apa boleh buat, memang aku sendiri pun dibawah rawatan, diberi ubat yang cuba menenangkan jiwaku. Ubat-ubat sebegini bukan aku boleh makan setiap hari, silap haribulan, aku ketagih pula. Ubat PRN (jika perlu) ini kau tahu-tahu sajalah kesannya. Jadi, mahu tak mahu, aku turuti sahajalah apa kehendak otakku yang berbelit dan suka berfikiran negatif.

Biarlah aku minta maaf terlebih dahulu kerana tidak berjumpa dengan mana-mana orang yang datang ke rumahku. Aku minta maaf.

Mendengar takbir raya sedikit sebanyak menjadikan diri aku semakin sedih, hiba dan pilu. Biar sahajalah aku dengan dunia aku sendiri. Insha Allah 7-8 hari raya nanti aku jadi seperti biasa semula. Bukan minta simpati, tetapi minta difahami. Memang sukar untuk memahami, tambahan lagi aku sendiri pun tidak faham dengan diri aku sendiri.

Apapun, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakan-rakan dan followers di Facebook ini. Terima kasih kerana sering menyokong aku dengan penulisan picisan aku ini.

Tamat…

– Ilzanno Sharky (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *