Benarkah Pilihan Aku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Pertama sekali aku nak ucapkan terima kasih pada IIUM Confession kerana sudi untuk menyiarkan kisah aku yang tak seberapa menarik ini.

Aku L wanita yang berusia pertengahan 20an. Aku sudah pun mendirikan rumah tangga awal tahun ini. Sekarang aku sedang berbadan dua dan dijangkan bersalin dalam hujung tahun ini.

Aku berkenalan dengan suami aku tak adalah lama mana dalam setahun lebih. Selepas itu kami mengambil keputusan untuk berumah tangga.

Majlis bertunang kami hanya diadakan kecil sahaja hanya ada keluarga aku dan keluarga suami aku serta ibu dan bapa saudara suami aku.

Seperti pasangan lain kami berkongsi mengumpul duit hantaran dan perkara itu hanya diketahui aku dan suami aku.

Dia siap bercadang untuk menggunakan duit KWSP yang kebetulan masa itu pengeluaran diluluskan. Kami juga membahagikan bahagian masing- masing untuk hantaran.

Aku tak mahu kedua-dua belah keluarga tahu yang kami berkongsi mengumpul duit hantaran.

Beberapa bulan sebelum majlis bermula aku mula buat persiapan untuk majlis perkahwinan kami nanti. Survey baju, pelamin, goodies, photographer, makeup dan sebagainya.

Kisah bermula sebulan sebelum kami berkahwin kerana ketika itu aku meminta duit hantaran dari tunang aku.

Namun dia hanya mampu memberikan aku hanya 5% dari duit hantaran yang kami telah janjikan untuk masing-masing keluarkan.

Waktu itu aku rasa sedikit khawatir dengan dia. Tunang aku beri alasan belum gaji lagi untuk dia memberikan baki hantaran yang dijanjikan.

Sehingga satu hari dia menghubungi aku untuk meminta pandangan daripada aku untuk dia menjual telefon kesayangan dia pada kawannya.

Masa tu aku agak pelik sebab setahu aku tunang aku sejenis yang sangat-sangat sayang semua barang miliknya.

Pernah aku perli dia kalau dalam senarai apa yang dia sayang aku adalah yang terakhir ketika itu cermin matanya tercicir dekat keretanya sendiri disebabkan adik angkatnya memakai cermin mata tu tanpa memberitahunya.

Berbalik kepada cerita tadi. Aku jadi hairan kenapa dia tiba-tiba sahaja nak jual phone tu. Setelah aku soal siasat akhirnya dia berterus terang yang dia masih tak cukup duit lagi untuk menampung duit hantaran yang dijanjikan.

Aku mula soal siasat itu ini sehingga aku bertanya kemana hilangnya duit KWSP yang dikeluarkan. Dia hanya terdiam seketika dan memberitahu aku duit itu dia serahkan kepada ibu bapanya untuk membayar tunggakkan rumah.

Aku bertanya adakah semua dia berikan dan dia mengaku hampir 80% dia serahkan pada ibu bapanya. Aku tanya lagi mana baki duit tersebut dia kata dia beli barang-barang peribadi dia dan juga aksesori kereta.

Banyak yang aku tanya dia banyak yang aku korek dari dia. Dari gaji sehingga semua perbelanjaan dia. Saat itu aku dah tak fikir apa yang aku rasa kosong. Baru aku tahu yang dia tidak menyimpan untuk berkahwin dan dia sendiri mengakui semua itu.

Aku beritahu yang aku mahu tangguh semua ini walaupun persiapan dan tempahan sudah pun dibuat. Dia beritahu tak perlu sebab kad jemputan dah diedarkan dan malu nanti kedua-dua buah keluarga.

Tunang aku cadangkan untuk aku membuat pinjaman peribadi atas nama aku dan dia berjanji akan membayar pinjaman tersebut setiap bulan.

Mahu tidak mahu aku buat juga pinjaman tersebut walaupun hakikatnya aku tak mahu dan tak ingin untuk membuat pinjaman peribadi hanya untuk kegunaan berkahwin.

Pinjaman tersebut diluluskan walaupun amaun yang dipinjam itu tidak sebanyak mana. Sejak itu aku makin menjauhkan diri aku dengan tunang aku.

Aku balik ke kampung untuk tenangkan diri aku. Dia chat, call dan sebagainya aku hanya menjawab ala kadar.

Suatu malam dia menghubungi aku bertanya kenapa aku menjauhkan diri aku dengannya. Aku hanya diam malas untuk melayan dia sehingga kami bertengkar.

Aku persoalkan kenapa dia tidak memberitahu aku awal-awal perkara sebegini. Dia cakap dia akan berubah dan dia akan tinggalkan semua yang dia pernah belanjakan suatu ketika dahulu.

Dia akan buat part time grab dan aku terus potong kata-kata dia. Dulu dia pernah kata benda yang sama namun tiada sebarang effort yang dia tunjukkan. Malam itu aku lepaskan semuanya yang terbuku di hati aku.

Tunang aku pula membalas aku tak support dia aku biarkan dia jatuh seorang diri dan tidak mahu membantunya.

Aku hanya cakap kalau aku tak mahu tolong aku biarkan sahaja dia. Aku takkan buat pinjaman menggunakan nama aku. Terus dia diam membisu.

Hubungan aku dan tunang aku semakin dingin. Boleh dikatakan setiap hari kami bertikam lidah. Ada sahaja yang tidak kena. Sehingga aku terfikir untuk memutuskan hubungan ini.

Pada masa yang sama tunang aku asyik bertanya soal pinjamam yang diluluskan itu sama ada aku sudah mengeluarkan duit atau tidak.

Pada awalnya kami berbincang untuk menyewa rumah selepas berkahwin namun disebabkan bajet tunang aku memutuskan untuk kami tinggal bersama ibu bapanya tanpa berbincang dengan aku sama sekali. Mahu atau tidak aku terpaksa mengikuti keputusan tunang aku.

Malas untuk aku memanjangkan cerita walaupun aku tak mahu untuk tinggal bersama mertua sebab aku dah biasa hidup berdikari.

Hubungan kami kembali membaik semula, perihal masalah kewangan biarlah kami sahaja yang tahu.

Alhamdulillah majlis perkahwinan belah aku berjalan dengan lancar dengan bantuan ibu bapa dan saudara mara.

Pada yang tidak membantu tu aku anggap sahaja mereka kekurangan tenaga walaupun pada majlis-majlis mereka sebelum ini aku dan keluarga mengerahkan tenaga kami.

Aku meneruskan kehidupan aku seperti biasa cuma agak janggal sebab duduk bersama keluarga mertua.

Aku juga ada memberitahu suami aku yang dalam sebulan aku mahu kami meluangkan masa berdua bersama. Suami aku bersetuju dengan permintaan aku.

Semuanya bermula disini, setelah berkahwin suami aku mula kerja sebagai part time rider. Aku pula kerja seperti biasa untuk menampung perbelanjaan bulanan aku. Kami jalani kehidupan suami isteri seperti biasa pada awal bulan pertama.

Suami aku ontime bayar nafkah dan pinjaman peribadi. Masuk bulan kedua suami aku mula lambat bayar nafkah dan duit pinjaman.

Dia memilih untuk memberi duit perbelanjaan pada ibu bapanya berbanding duit nafkah dan pinjaman. Bila aku minta dia bagi alasan duit tak cukup lagi.

Pada hakikatnya duit part time rider yang suami aku buat sehari boleh mencecah 50 hingga 70 itu belum masuk lagi kalau dia buat part time pada hujung minggu kadang boleh mencecah 100 keatas.

Bila aku minta ada sahaja alasan sehingga satu tahap aku biarkan sahaja malas sudah untuk meminta-minta.

Perihal ibu bapa mertua aku pula, mereka sangat baik cuma terkadang itu aku tidak berapa berkenan dengan cara mereka yang suka bercerita tentang hal orang dan mengutuk hal orang.

Kadang tu aku sering menasihati suami aku supaya tidak mengambil tahu sangat hal orang tapi ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Hari ini aku nasihat esok dia lupa semua yang aku nasihat sehingga aku sendiri letih untuk menasihatinya

Setelah beberapa bulan aku disahkan mengandung. Aku mengalami alahan yang agak teruk dan sejak itu kami sering bertengkar. Sejak mengandung emosi aku sangat tak stabil aku sendiri pun tak faham dengan diri aku sendiri.

Suami aku pula seakan tidak faham dengan keadaan diri aku. Aku pun tak faham sama ada aku terlalu mengikut perasaan atau sebaliknya. Semasa aku buat pemeriksaan di klinik swasta aku terpaksa drip.

Biasalah kos perubatan di klinik swasta agak mahal. Pada mulanya suami aku membayar semua kos rawatan. Keesokan harinya suami aku meminta 80% duit yang dikeluarkannya masa kos rawatan aku di klinik swasta.

Aku hanya mengikut katanya malas untuk bertekak walaupun aku terasa hati dengan cara dia. Aku terfikir sama ada betul atau tidak aku kandungkan zuriatnya.

Sejak hari itu, aku berazam untuk mengeluarkan duit aku sendiri tanpa mengharapkan bantuan suami aku sendiri.

Segala mengidam aku cari dengan duit aku sendiri kadang tu aku pujuk anak aku untuk tunggu aku gaji baru cari makanan yang aku mengidam.

Soal nafkah dan pinjaman makin lama makin lambat kadang itu suami aku tak bayar pun aku terpaksa dahulu kan duit aku.

Sudah masuk 2 bulan dia tangguh bayar nafkah dan pinjaman. Aku pula hanya malas untuk meminta lagi dan lagi cukup la dia tahu sendiri tanggungjawab dia.

Aku perhatikan setiap kali aku keluar berdua bersama suami aku, setiap kali itu ada sahaja halangan dari keluarga mertua. Walhal bukan setiap minggu aku keluar berdua dengan suami aku sebulan sekali.

Setiap kali itu ada sahaja permintaan dari mereka tolong belikan itu ini padahal ada sahaja kenderaan dan adik beradik lain yang ada untuk diminta tolong.

Mula-mula aku rasa perkara biasa namun setiap kali aku keluar memang akan selalu begitu. Aku kadang-kadang pelik dengan mereka.

Tidak lama lagi ada majlis bertandang pula. Kali ini, aku rasa tersangatlah sakit hati. Alahan aku entah bila akan baik sebab setakat ni tiada tanda-tanda untuk pulih lagi harapnya pulih la sebelum majlis tersebut.

Majlis ini aku dan suami memang tak mahu sebab kami mengeluarkan duit untuk majlis sebelum ini, tapi ibu bapa mertua aku memaksa mahu atau tidak terpaksa juga kami mengikut.

Terpaksa mengeluarkan duit untuk majlis ini. Majlis pula nak ada pelamin khemah,baju sewa,kompang, photographer dan PA system.

Itu belum masuk goodies dan lain-lain. Di tambah pula nak buat baju sedondon untuk rewang laki baju tshirt perempuan baju kurung warna sekian-sekian.

Aku ada berbincang dengan suami aku yang baju- baju itu membazir tapi siapalah aku untuk berkata-kata. Ibu bapa mertua tetap dengan pendirian nak juga seperti itu alasannya sebab dah menjadi tradisi kawasan tersebut.

Itu belum lagi baju mereka semasa kenduri yang nak lagi overshadow dari pengantin.

Mahu majlis tersebut grand berbanding sedara mara yang lain aku seperti biasa hanya mengikut sahaja kata-kata mereka malas mahu campur tangan.

Entahlah sekarang aku rasa seperti tiada jiwa untuk berada disitu kadang terpikir untuk hidup berdikari seperti sebelum ini. Ibu bapa sendiri takkan sama dengan ibu bapa mertua.

Sebab ibu bapa aku sejenis yang sangat simple walaupun mereka sangat berduit berbanding ibu bapa mertua aku. Boleh di katakan apa yang ibu bapa aku mahu boleh dapat dalam sekelip mata namun mereka sangat bersederhana.

Bapa aku bekerja sendiri selepas diberhentikan beberapa tahun lepas dan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung menjalankan perniagaan yang kecil kecilan sahaja. Sebelum pulang bapa sendiri sudah menyelesaikan segala hutang piutangnya.

Berbanding mertua aku yang telah berhenti kerja hutang masih lagi belum selesai sehingga kini. Bukan hendak membandingkan tapi itu yang aku lihat sepanjang aku tinggal di rumah mertua.

Sehingga sekarang terlalu banyak yang menganggu fikiran aku. Aku sendiri tak tau adakah ini hanya permainan perasaan aku sendiri atau sebaliknya.

Kadang aku berharap aku secepatnya berpindah tapi dalam keadaan suami aku yang masih lagi belum berkemampuan aku cuba untuk berfikiran positif.

Sampai sini sahaja coretan dan luahan hati aku.

– L (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *