Patahnya Sebelah Sayap

Assalamualaikum buat semua pembaca. Patahnya sebelah sayap… putusnya doa yang tidak terhijab setelah emak tercinta Allah ambil semula daripada hidup saya dan keluarga..

Emak… itu gelaran keramat saya dan keluarga buat beliau.. kuat, tabah, penuh kasih sayang tetapi sangat tegas.. saat kami kecil beliau sangat tegas. Beliaulah abah dan emak saat abah tiada bila terpaksa keluar operasi berbulan-bulan lamanya. Emak yang mendidik kami, berjumpa dengan guru untuk Hari Kecemerlangan, menghantar anak-anak ke sekolah, guru mengaji dan segalanya buat kami. Tetapi bila semakin membesar kami dijadikan seperti kawan.. senang untuk meluah rasa kepadanya.

Segala impian dan keinginan emak tidak pernah terluah. Tidak pernah merungut saat kesusahan. Tiada keluhan saat membesarkan lapan orang anak saat abah keluar kawasan untuk memerah tulang empat kerat dan berbakti kepada negara. Tiada kemewahan yang diminta diidamkan saat kami membuntuhkan keperluan untuk pendidikan dan proses membesarkan anak2. Semuanya hanya demi anak2 dengan harapan kami berjaya untuk kehidupan kami seterusnya.

Emak juga tidak terlepas dengan dugaan Allah saat anak yang dikandung 9 bulan dan dibesatkan selama 20 tahun kembali menemui Penciptanya pada tahun 2012.. Tiada tangisan pilu atau rintihan, hanya sebaris kata “emak halalkan susu dari badan mak untuk awak. Emak redha awak pergi meninggalkan emak”. Allahu.. Kuatnya hati emak.. saat saya sendiri meraung kesedihan kerana adik yang lama tidak berjumpa selama beberapa bulan kerana berkhidmat jauh dari kampung halaman kini hanya mampu saya tatap sekujur tubuh berbalut kain putih.. Pucat tetapi sempurna wajahnya walaupun tiada lagi senyuman manis dari bibirnya..

Mak sangat kuat, doa sentiasa berbisik dibibir tuanya. Dalam hatiku sendiri menjerit, “Allah kenapa begini dugaan Engkau buat makku”.. Hampir berbulan saya bingung tetapi tidak pada emak. Tabah dan sabar macam biasa. Tetapi hatinya tidak mampu saya cungkil dan gali.

Namun hikmah terbesar dengan kehilangan ini,saya makin rapat dengan mak.. Jika dahulu kawan2 dalam senarai aktiviti kini emak segalanya. Plan travel saya terus berubah.. Emak insan pertama saya bawa. Dalam atau luar negara emak setia menemani. Dari tahun ke tahun banyak saya selami hati seorang emak. ALLAH indahnya dugaanMu.. Bertapa bahagianya hati saya saat mak mampu tersenyum manis seperti dulu2. Tenangnya hati saat mampu buat mak gembira. Baru sedar kuasa DOA seorang emak..

Pada tahun 2015 Allah buka jalan mudahkan urusan untuk tunaikan satu impian mak yang tidak pernah mak ceritakan pada sesiapa kecuali saya iaitu keinginannya menjejakkan kaki di Tanah Suci. Allah.. Terjentik hati saya.. 1 Jun 2015 bersamaan tarikh kelahiran mak akhirnya mak, abah dan saya menjadi tetamuNya dan tetamu Rasulullah.. Saat mak menangis seperti anak kecil didepan Kaabah baru saya tahu bertapa rindunya mak untuk menjadi tetamuNya.. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba2Nya..

2016 emak kena denggi beberapa bulan selepas itu tapak kaki mak terpaksa dibuang kerana ada jangkitan. Selepas itu kesihatan mak semakin merosot. Namun kesakitan yang Allah beri semakin menguatkan hubungan saya dengan mak. Semakin kerap saya dapat berdua-duanya dengannya. Ketawa dan menangis bercerita.. Dari mak kecil,cerita adik-beradik mak yang sangat2 disayangi sampai cerita hati saya. Semuanya menjadi bahan kami bercerita.

Penghujung 2017, saya membuat satu lagi kejutan untuk menghadiahkan mak percutian ke luar negara. Mak gembira cuma tiada sinar cahaya teruja pada matanya. Tertanya2 hati saya tetapi tidak terluah pada mulut.. Belum sempat hajat itu saya lunaskan mak kembali menemui penciptaNya. Syukur di mana saat akhirnya saya ada disisi mengucapkan kalimah2 Allah kepadanya.. Selepas berjuang melawan kesakitan selama sebulan di ICU..

Saat itu jangan ditanya bagaimana hati saya? bagaimana perasaan saya? Semuanya tawar tiada rasa.. Saya kehilangan pakar motivasi, kawan travel, kawan ketawa dan menangis, orang yang selalu ada untuk mendoakan kebaikan untuk diri saya. PENDEK KATA, saya telah kehilangan sebelah sayap tetapi tidak akan tunduk dengan kelemahan itu semangat yg ada pada arwah mak saya jadikan paruh untuk dijadikan tongkat..

AL-FATIHAH buat mak tersayang.. Semoga kebaikan yang mak berikan kepada semua orang ALLAH kurniakan dengan kebaikan di sana. INSYAALLAH.

P/s: Jadikan mak dan abah kita sebagai keutamaan kita.. Allah akan buka semua pintu2 rezeki tanpa kita sangka. Bahagia dan hati yang tenang itu juga salah satu rezeki yang terbaik.

– Noor

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *