Selamat Tinggal Sayang Adik

Nasa kesayangan saya sudah pergi buat selama-lamanya. Masih saya ingat, tahun 2015, ibu saya bawa dia pulang ke rumah dari tempat pembuangan sampah pasaraya berdekatan dengan rumah saya. Dia anak yang ditinggalkan, sakit, dan berkurap. Kami tidak tahu umur dia pada masa itu tetapi dia sangat kurus, langkah kakinya menggigil kerana kebuluran dan matanya tertutup dengan tahi mata keras. Kurap memenuhi badan, telinga berkuping dan selesema teruk. Melihatkan zahirnya ,sudah tidak ada harapan hidup, sehari dua lagi mungkin akan mati. Namun, kerana berkehendakkan seekor kucing siam di rumah ini sebagai pengganti Kitty yang mati kerana sakit tua, ibu saya ikhtiarkan juga untuk menghantar Nasa ke klinik. Kami memang suka akan kucing siam, terutamanya yang betina. Bagi sesiapa yang tahu, mungkin anda akan setuju jika saya katakan bahawa mereka ini sangat bijak, manja berlebihan pada masa tertentu dan memahami tuan walaupun sombong dan mudah marah. Bagi sesiapa yang tidak tahu, kucing siam bukan kucing import yang mahal, tetapi digelarkan begitu kerana warna pada badan mereka membezakan mereka dengan jenis yang lain. Bulu di badan putih tetapi ekor, telinga, muka dan kaki mereka gelap, ibarat berstokin. Bulu badan yang putih itu akan semakin gelap, selari dengan usia yang semakin tua.

Di klinik, doktor terkejut dengan keadaannya. Kata beliau, jika dia kuat, dia boleh hidup. “Jaga baik-baik, kalau dia sihat ni mesti cantik. Dia ni dah mix parsi ni. Bulu dia panjang sikit tapi tak panjang sangat”. Sepanjang pemulihan dia, Nasa sangat memberi kerjasama. Dibawa naik kereta ke klinik, dia diam saja. Jika dikira berapa suntikan dan ubat, kita manusia pun akan berputus asa dengan keadaan diri sendiri. Sepanjang kurapnya masih di badan, kami tempatkan dia di dalam kurungan, takut berjangkit. Setelah disahkan doktor bahawa dia sudah boleh bercampur dengan kucing lain dan manusia, kami bebaskan dia untuk keluar masuk rumah. Kami ajar dia buang air di tandas, waktu malam wajib tidur di dalam rumah, siang saja boleh keluar tetapi masih ‘on medication’. Kami suap pil dan ubat cecair hari-hari. Sampai masa, dia akan tunggu ibu saya atau saya untuk suapkan ubat kepadanya di almari ubat. Duduk tercongok di depan almari, macam tahu saja ubat itu mampu menolong dia untuk sihat, jadi dia perlu makan ubat. Ya, dia membesar dengan baik, bebas kurap walaupun kurapnya dulu ibarat menyaluti tubuh. Satu saja yang tidak boleh baik, selesema. Sepanjang hidupnya 2015-2018, dia tidak pernah bebas selesema, ada saja hingus yang keluar dan selalu bersin. Puas sudah dikhtiarkan doktor, tetap tidak mampu ubati selesemanya itu. Jadi, kami terpaksa biarkan saja.

Sejak kecil saya ajar dia untuk tidur dalam bilik saya dan saya isytiharkan hari jadinya sama dengan saya. Dia suka ikut saya sampaikan apa yang saya makan, dia nak tahu. Setiap kali saya makan, saya akan bagi dia hidu. Dia sendiri yang putuskan apa yang dia suka. Saya pernah hulur ayam, keropok, ikan semua dia tidak suka. Suatu hari, saya makan rambutan, dia makan. Rambutan lah kegemaran dia. Dia juga suka makan nangka, durian, mata kucing, duku dan banyak lagi buah tetapi dia tidak suka protein. Kalau ada secebis ayam jatuh ke lantai pun dibiarkan saja. Dia kucing yang baik. Tidak pernah berak atau kencing merata, tidak pernah panjat meja untuk curi makan. Begitulah dia hidup di rumah ini dan sampailah masa saya perlu pulang ke kolej. Kata ibu saya, 3 hari dia tunggu di depan bilik saya, panggil saya untuk bukakan pintu. Selepas 3 hari, dia teruskan hidup tanpa saya. Begitulah keadaannya ketika kali pertama saya berpisah dengan dia. Apabila saya kembali ke rumah, dia sambut kepulangan saya dan lama-kelamaan, dia seperti sudah memahami yang ada masa saya di rumah, ada masa saya di tempat lain, pulang ke rumah sempena cuti semester saja. Dia tidak akan lepaskan peluang untuk tidur di bilik saya jika saya ada.

Saya tidak kisah dia suka bersin. Bila dia ingin bermanja, dia wajib bersin kerana hidungnya tersumbat. Sukar bagi dia untuk keluarkan ‘purr’ yang menandakan dia sedang bermanja. Dia suka cium saya. Walaupun hidung dia berhingus, saya biarkan saja dia cium saya sampai dia puas. Hari-hari bercakap dengan saya walaupun saya tidak memahami dia. Kadang-kadang saya faham. Bilik saya ini penuh dengan kenangan dia, termasuklah hingus dia yang masih lekat di lantai. Air liur basinya masih di cadar saya. (jangan risau, saya bukan pengotor, nanti saya basuh). Saya tahu di mana dia tidur setiap hari. Bila saya panggil dia akan datang. Tetapi, apabila ajal sudah memanggil, Nasa tidur di tempat yang dia tidak pernah pergi. Di mana? Dalam enjin kereta. Kucing-kucing saya tidak pernah tidur dalam enjin kereta. Suatu pagi, abang saya menelefon untuk bertanya “Nasa ada tak kat rumah? Tadi ada bunyi dalam enjin kereta pastu abang terlanggar kucing. Sebijik macam Nasa. Tak Nampak pun kucing melintas”. Saya pun mencari dan memanggil Nasa. Dia akan datang kalau saya panggil tetapi tidak kali ini. Saya sudah tak sedap hati. Ibu saya membuat keputusan untuk pergi ke tapak kejadian yang jaraknya dalam 7 km dari rumah. Supaya pasti Nasa atau bukan. Air mata saya sudah meleleh. “Nasa tak datang ni, janganlah dia yang kena langgar”. Tetapi di sudut hati sudah berbisik itu Nasa.

Sementara ibu dan ayah saya ke sana, saya teruskan mencari Nasa di rumah. Ketika itu saya teringat sebulan lepas saya pernah sebut pada kawan saya “aku tak tahulah kalau Nasa ni mati aku jadi macam mana, gila kot”. Setiap hari dalam masa seminggu-dua saya bayangkan kalau Nasa pergi dari hidup saya. Saya tidak tahu kenapa. Sepanjang masa itu, dia asyik tidur saja, lebih daripada kebiasaan, bangun kalau ingin makan saja. Saya risau jadi saya periksa mulut dia, giginya bergoyang dan saya bawa dia ke klinik. Doktor kata Nasa ada ulser tetapi bekalan ubat tersebut tiada di klinik jadi saya beli ubat itu di farmasi. 10 hari sebelum dia mati, saya suapkan ubat kepada dia. Antibiotic ada 8 untuk disuap sekali sehari. Dia semakin sihat. Dalam masa 10 hari itu Nasa aktif semacam. Semua kucing diusik dan digigit-gigit manja. Saya ucap pada dia “amboi, mentang-mentang dah sihat, ko usik semua orang ye. Sampai taknak tidur dengan aku dah. Malam-malam pun berlari lagi”. Ya, dia dah tidak mahu tidur dengan saya. Selalunya dia suka tidur bawah ketiak saya. Puas saya paksa, dia akan tidur di luar juga.

Ibu dan ayah saya sampai. Saya jenguk kereta, ibu saya menangis. Dalam hati, “sah Nasa”. Saya meraung panggil Nasa. Mak saya bawa balik mayat dia yang perutnya dah terburai. Tapi dia Nasa. Adik saya, kawan baik saya, sayang saya. Saya kenal bulu dan badan dia walaupun rupa dia sudah tidak seperti dia lagi. Loceng dia pun sudah hilang dari leher. Dia mati di jalan yang sibuk, jauh dari rumah. Jika diingat kembali, abang saya sudah panaskan enjin kerta sebelum memandu ke tempat kerja tapi Nasa tetap tidak keluar. Ajalnya bukan di depan rumah. Dia tinggalkan kami mungkin untuk kurangkan kesedihan, tapi ayah saya tetap kutip mayatnya untuk ditanam di rumah, tidak rela kalau mayatnya lebih berkecai. Hanya sisa darah yang tertinggal di jalan itu, dia dibawa pulang cukup sifat tetapi tidak sempurna. Setiap hari saya terbayang dia ada di tempat yang dia selalu tidur. Dalam telefon saya penuh dengan dia. Jika hari-hari terakhir dia, dia tidur dengan saya, keadaan saya akan lebih teruk daripada sekarang. Setiap sudut saya nampak dia. Betapa inginnya hati saya ini untuk melihat dia ada di bilik sya tatkala saya menjengah masuk. Dia pemilik kedua katil ini. Saya hidup dalam kenangan dia. Mata ini masih bengkak. Hari jadi kami beberapa hari saja lagi tapi tahun ini, Nasa tiada bersama saya. Umurnya tidak panjang. Kucing pelik dan pandai selalunya memang umur tidak panjang. Saya tahu Nasa tu kucing saja tapi bagi yang pernah rasa, akan faham bagaimana rasanya kehilangan ini. Saya tahu ini ujian kecil buat saya. Ibu ayah saya masih ada. Jika kehilangan kucing saya rasa begini, bagaimana jika nanti giliran mereka pula. Saya sudah redha dengan permergian dia tetapi air mata akan mengalir juga bila terkenangkan dia.

Selamat tinggal Nasa. Adik rindu awak. Adik sempat bagi awak sebiji rambutan je malam tu. Awak nak lagi tapi adik kata tunggu esok. Rupanya esok tu awak tinggalkan adik. Ada lagi ni tapi adik makan sorang-sorang dah sekarang. Awak dah takde. Pemergian awak terlampau tiba-tiba. Adik harap awak bahagia hidup dengan adik sebab adik bahagia awak ada dalam hidup adik. May you be one of the reasons for me to go to jannah.

Doakan saya terus kuat. Terima kasih kerana sudi membaca.
P/s: Bagi kawan-kawan yang mampu figure out who am I, please don’t tag me. Let me stay anonymous.

– Adik

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *